Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), 
			KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	03/07/92 
Tajuk/Title  	:	PELANCARAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM 
			MALAYSIA DAN PERASMIAN KONGRES 
			MENJELANG ABAD 21 



 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh;
    Saya  mengucapkan  terima  kasih kepada pihak penganjur
kerana  menjemput  saya  ke   Majlis   Pelancaran   Institut
Kefahaman  Islam  Malaysia  dan  Perasmian Kongres Menjelang
Abad 21 : Islam dan Wawasan 2020,  yang  dianjurkan  sempena
pelancaran Institut ini.
2.   Institut   Kefahaman  Islam  Malaysia  telah  disyorkan
kerana terdapat banyak kekeliruan di  kalangan  orang  Islam
dan  bukan  Islam  mengenai  agama  Islam  sehingga  berlaku
salahfaham dan sengketa bukan sahaja di antara  orang  Islam
dengan  bukan Islam tetapi juga di antara orang Islam dengan
orang Islam.
3.   Sama ada kita suka atau tidak, ramai bukan  Islam  yang
berpendapat  bahawa  Islam  adalah  agama  yang dikait rapat
dengan kemunduran, kemiskinan dan kelemahan.    Kebelakangan
ini   pula  Islam  sering  dikaitkan  dengan  keganasan  dan
irrationality -- iaitu tindakan atau  pemikiran  yang  tidak
berprinsip.
4.   Kita  kecewa dengan pandangan serong terhadap Islam dan
orang Islam.    Tetapi  hakikatnya  ialah  orang  Islam  dan
negara-negara Islam memang ketinggalan, lemah dan bergantung
kepada  negara  asing  dan  orang asing untuk berbagai-bagai
keperluan hidup di dunia moden  ini.    Di  masa  yang  sama
orang-orang  Islam sukar bekerjasama dan bersepakat.  Mereka
mudah membiarkan diri mereka diperalatkan untuk  kepentingan
asing.  Mereka juga tidak mampu dan kadang-kadang tidak mahu
menolong  sesama sendiri.   Perpecahan dan permusuhan antara
mereka jelas terlihat dan mereka sering  bersengketa  sesama
sendiri.
5.   Pemerintahan  negara-negara Islam di zaman ini biasanya
lemah, ketinggalan, dan kerap kucar-kacir dan tidak  tertib.
Tidak  ada  negara  Islam  yang boleh dianggap sebagai kuasa
besar yang disegani oleh dunia.  Semua negara Islam dianggap
sebagai negara membangun walaupun ada yang kaya raya.    Ini
adalah  kerana  daripada  segi  teknologi  dan  kecanggihan,
negara Islam tidak berkemampuan.
6.   Tetapi keadaan ini bukanlah selalunya  begitu.    Islam
dan  umat  Islam telah melalui zaman-zaman kegemilangan yang
panjang, di waktu mana orang Islam, agama Islam dan  negara-
negara  Islam  dihormati  dan  dimuliakan.    Kita tahu dari
sejarah bahawa selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w.   penganut
Islam  telah  mara dari Semenanjung Arab ke Utara, Timur dan
Barat.  Dalam jangkamasa yang pendek  mereka  telah  berjaya
mengembangkan  Islam dari Sepanyol di Barat hingga ke negeri
China di Timur.
7.   Sebuah empayar yang terbesar dalam sejarah dunia  telah
didirikan   oleh   orang   Islam  melalui  tindakan  dakwah,
ketenteraan dan  pemerintahan  yang  cekap.    Negara-negara
Islam  muncul  dan  terkenal  dengan tamadun yang tinggi dan
canggih.
8.   Di wilayah-wilayah Islam  terdapat  cerdik-pandai  yang
cekap  dalam  bidang  pentadbiran,  pembangunan,  pertanian,
industri, kejuruteraan, pertahanan,  ilmu  sains  dan  hisab
tinggi,  ilmu  falak  dan pelayaran, perubatan dan bermacam-
macam lagi ilmu selain daripada agama Islam, hukum-hakam dan
tafsirannya.
9.   Institusi-institusi pelajaran  tinggi  bertaburan  dari
Sepanyol hingga ke Asia Tengah, lengkap dengan khutub-khanah
dan  makmal.    Ilmu-ilmu lama dari tamadun yang telah luput
seperti Greek dan Rome dikaji, ditokok-tambah dan  dibukukan
secara teratur.
10.  Orang  daripada  suku-kaum Turki di Asia Barat dan Asia
Tengah telah menerima agama Islam  dan  sekali  lagi  mereka
telah  menjadi  bangsa  yang  maju  dan  dapat memperluaskan
wilayah Islam ke Eropah Timur.  Wilayah yang  ditadbir  oleh
mereka dibangunkan dengan pesat, lengkap dengan jalan-jalan,
saluran  air,  bangunan,  tembok  dan menara, pusat membeli-
belah, rumah tumpangan  dan  berbagai-bagai  lagi  kemudahan
yang menandakan tamadun yang tinggi.
11.  Kemudian  satu  persatu wilayah-wilayah Islam ini jatuh
ke tangan bangsa Eropah.  Sepanyol direbut balik oleh bangsa
Sepanyol dan Eropah Timur oleh bangsa-bangsa di  situ.    Di
Asia Tengah negara-negara Islam yang diduduki oleh suku-kaum
Turki dan Parsi telah jatuh ke tangan Russia.
12.  Akhirnya  semua  wilayah  Islam  ditakluki  oleh  kuasa
Barat.  Hanya yang tinggal ialah Turki dan padang pasir yang
mengelilingi Mekah dan Madinah.
13.  Soal yang perlu ditanya ialah kenapakah sebuah  empayar
yang  begitu  besar  dan  kuat  akhirnya  menjadi  lemah dan
ditakluki oleh orang lain?  Apakah bezanya di  antara  orang
Islam  dalam  abad-abad  selepas  wafat Nabi Muhammad s.a.w.
yang begitu berjaya mengembangkan wilayah dan  ajaran  Islam
serta  menguasai  berbagai-bagai  ilmu  dunia,  dengan orang
Islam yang datang kemudian yang tidak  dapat  mempertahankan
wilayah-wilayah yang mereka warisi, kurang berilmu dan lemah
dalam serba-serbi?
14.  Kita  yakin  bahawa  penganut-penganut agama Islam dari
zaman  Nabi  Muhammad  s.a.w.  dan  abad-abad  yang  berikut
memiliki  semangat  keislaman  yang  tulin.   Di samping itu
ajaran baginda masih terang dan  jelas  dalam  hati  mereka.
Tidak ada kekeliruan di kalangan mereka tentang ajaran Islam
kerana belum ada pentafsir-pentafsir yang berpolemik tentang
hukum-hakam Islam dan lain-lain ajaran Islam.
15.  Agama Islam pada zaman itu adalah agama yang mudah yang
tidak   membebankan   penganutnya   dan  sudah  tentu  tidak
menghalang  kemajuan  mereka.    Ajaran  bahawa  dunia   dan
kemajuan  di  dunia  tidak  penting  tidak menakluki fikiran
orang Islam di abad-abad awalan Islam berkembang.    Justeru
itu  mereka  berusaha  menguasai  semua  ilmu  dan  mengejar
kebahagiaan di dunia.   Hasilnya  ialah  satu  tamadun  yang
mengimbangi  dunia  dan akhirat.  Kejayaan orang Islam dalam
semua bidang  ilmu,  serta  kecekapan  dan  kemajuan  mereka
adalah   begitu   tinggi  sehingga  mereka  dapat  mengatasi
penganut-penganut agama lain.
16.  Oleh kerana umat  Islam  cekap  dan  pandai  dan  dapat
mendirikan  negara-negara  yang  kukuh  dan  kuat maka agama
Islam dan orang Islam dihormati.  Bagi orang  Islam  dakwaan
bahawa  agama  Islam adalah agama yang benar mudah diterima.
Walau bagaimanapun bagi orang yang bukan Islam dakwaan  oleh
orang  Islam  tidak  mempunyai kesan.   Yang berkesan kepada
mereka ialah kelihatan secara nyata bahawa penganut-penganut
agama Islam jelas maju, kuat dan cekap  dalam  bidang-bidang
yang  mereka  sendiri menceburi.   Demikian kejayaan tentera
Islam  menewaskan  tentera  bukan  Islam  lebih  menyakinkan
mereka  akan  kebesaran  Islam daripada dakwaan bahawa orang
Islam yang kalah, mati syahid dan memperolehi kemenangan.
17.  Ada daripada kalangan orang Islam yang berpendapat sama
ada orang lain menghormati  orang  Islam  atau  agama  Islam
tidak  penting.    Yang  penting  ialah iman orang Islam dan
akhirat.
18.  Bagi mereka  yang  terlindung  daripada  tekanan  orang
asing pandangan ini mungkin mudah diterima.  Tetapi hari ini
ramai  orang  Islam di seluruh dunia yang ditindas dan ramai
juga yang dipisahkan daripada agama mereka, sedangkan  tidak
ada  satu  pun  negara Islam yang mampu memberi perlindungan
atau pertolongan.
19.  Penghormatan orang bukan  Islam  terhadap  agama  Islam
adalah  penting,  kerana  ia  akan menjamin penindasan tidak
akan berlaku kepada umat Islam.  Dan orang Islam pula  tidak
akan   mudah   kecewa,  dan  dengan  itu  tidak  akan  mudah
dipisahkan  daripada  agama  mereka.    Walau  apapun  hasil
daripada  penghormatan  kepada agama Islam, hakikatnya ialah
tidak ada sesiapa yang suka agama  mereka  dipandang  rendah
dan dihina.
20.  Jika  Islam pada satu masa dahulu dapat membawa tamadun
yang gemilang, apakah Islam  pada  hari  ini  tidak  mungkin
mewujudkan    sekali    lagi    satu   tamadun   yang   sama
kegemilangannya?  Mereka yang berfikiran waras  tentu  yakin
bahawa  ini  bukanlah  sesuatu yang mustahil.  Pencapaiannya
sudah tentu tidak mudah.   Sudah  tentu  ia  akan  mengambil
masa.  Tetapi sesuatu matlamat itu tidak akan tercapai tanpa
permulaan.  Segala-galanya bermula dengan langkah pertama.
21.  Setiap  orang  Islam tentu berminat untuk mengembalikan
zaman kegemilangan Islam.  Masalahnya ialah  bagaimana  kita
dapat  menjayakan  matlamat  ini.    Sudah  tentu  jika kita
teruskan amalan sekarang, jika kita  tidak  mengambil  usaha
tertentu  ke  arahnya,  kejayaan  tidak  akan  datang dengan
sendirinya.    Sebaliknya,  besar  kemungkinan   kita   akan
ditinggal lebih jauh di belakang.
22.  Langkah  pertama  yang  perlu  diambil ialah menentukan
matlamat, iaitu mendefinasikan apa yang  dimaksudkan  dengan
kemajuan  dan kegemilangan.  Walaupun terdapat banyak negara
yang ditakrif sebagai negara maju,  kita  juga  tahu  bahawa
kemajuan  mereka  daripada  segi  intelek  dan fizikal telah
diiringi dengan keruntuhan moral  dan  akhlak  yang  ketara.
Sudah  tentu  ini  bukanlah contoh kemajuan dan kegemilangan
yang kita harus kejar.
23.  Namun kita masih perlu mengimbangi  negara-negara  maju
daripada   segi   penguasaan   berbagai-bagai   ilmu,  iaitu
kecekapan dalam bidang-bidang sains dan teknologi,  ciptaan,
perubatan,  pentadbiran,  sosial,  ekonomi  dan  politik dan
lain-lain bidang yang boleh menjadikan negara  Islam  kukuh,
kuat  dan  mampu  menangkis segala ancaman.   Dan kita perlu
imbangi negara-negara maju  dalam  bidang-bidang  ini  tanpa
keruntuhan  moral  dan akhlak dan pegangan kita kepada agama
kita.
24.  Pemerintahan Islam yang cekap adalah sesuatu yang  amat
penting  dalam  membawa  kejayaan  dan  kemajuan.   Di zaman
empayar Islam pemerintahan yang  kemas  dan  adil  terbukti.
Rakyat  yang  terdiri  daripada  bukan  Islam  bukan  sahaja
menerima pemerintahan Islam  tetapi  orang  Yahudi,  apabila
ditindas   oleh   masyarakat   Kristian  di  Eropah,  sering
melarikan diri ke negara-negara Islam.   Mereka tahu  mereka
akan dapat keadilan dan tidak akan menghadapi "pogrom" iaitu
pembunuhan beramai-ramai yang kerap dilakukan terhadap orang
Yahudi di beberapa negara Eropah.
25.  Justeru  itu  ilmu  pemerintahan  perlu  dikaji  supaya
negara Islam akan mendapat pemerintahan yang adil dan kemas.
Keadilan kepada semua kaum dan penganut agama harus  menjadi
budaya  pemerintahan  Islam.    Pemerintahan Islam hendaklah
berusaha supaya negara mencapai  kemajuan  yang  pesat  yang
boleh   menandingi  negara  maju  yang  lain.    Namun  soal
ketertipan, akhlak dan nilai hidup yang  mulia  yang  sesuai
dengan  ajaran  Islam  tidak  boleh  diabaikan.   Budaya dan
tamadun negara Islam mestilah mengimbangi pembangunan rohani
dengan pembangunan material.
26.  Imbangan di antara dunia dan akhirat mesti mempengaruhi
setiap yang dilakukan oleh orang Islam.   Dunia tidak  boleh
ditolak  kerana  mementingkan akhirat dan akhirat juga tidak
boleh ditolak kerana keperluan dunia.    Kedua-duanya  mesti
diberi penghargaan yang sama.
27.  Usaha  ke  arah  mengembalikan zaman kegemilangan Islam
itu sendiri patut dianggap sebagai satu  tanggungjawab  yang
mulia.  Kejayaan ke arah matlamat ini harus dianggap sebagai
ganjaran  dan balasan.   Jika dalam proses ini, diri sendiri
mendapat sesuatu, ini  adalah  kebetulan  sahaja  dan  bukan
matlamat.    Sebenarnya  jika  negara Islam maju semua pihak
akan mendapat nikmat.
28.  Untuk mencapai matlamat ini kajian-kajian mesti  dibuat
mengenai  agama  Islam,  sejarah dan tamadun Islam dan asas-
asas pencapaian umat Islam di zaman  dahulu.    Kajian  yang
hendak  dibuat  mestilah  ikhlas  dan tidak dipengaruhi oleh
sentimen dan "bias" yang terdapat  di  kalangan  umat  Islam
sekarang.      Kenyataan   mesti   diterima   dan   khayalan
disingkirkan.  Tidak ada manfaat yang akan diperolehi dengan
mendakwa bahawa walaupun umat Islam sekarang  ini  kelihatan
tidak  maju  dan  lemah  tetapi  sebenarnya  mereka maju dan
gagah.  Demikian juga tidak ada  faedahnya  mendakwa  bahawa
walaupun  orang  lain  kelihatan maju dan kuat tetapi mereka
sebenarnya mundur dan lemah.      Penipuan  diri  tidak  ada
tempat dalam kajian yang berilmiah.
29.  Hanya  dengan  kajian  yang  jujur  dan  tindakan  yang
berilmiah serta berpandukan kenyataan barulah sesuatu  dapat
dibuat untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam.
30.  Saya  berharap  Institut Kefahaman Islam akan memainkan
peranan yang utama  dalam  usaha  memulih  semula  keagungan
Islam, umat Islam dan negara Islam.
31.  Untuk  tujuan  ini  tafsiran-tafsiran yang berbeza-beza
dan mengeliru serta  melemahkan  orang  Islam  perlu  dikaji
semula  dengan  teliti  supaya dapat diperbetulkan.  Sejarah
Islam juga perlu didalami supaya kita akan mendapat  iktibar
daripadanya.
32.  Para ilmuan yang akan menyelidik bidang-bidang tertentu
di  Institut  ini  perlu  mempunyai fikiran yang terbuka dan
berani menyoal  pandangan-pandangan  yang  orthodox.    Yang
mesti  diutamakan  ialah  kebenaran  dan  ajaran  Islam yang
dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.  Ajaran yang  ditafsir  dan
direka oleh mereka yang datang kemudian tidak boleh dianggap
sebagai  setaraf  dengan  ajaran  Nabi  Muhammad  s.a.w. dan
dengan itu boleh diulas dan diselidik serta digugurkan  jika
didapati  bercanggah  dengan  Al-Quran dan ajaran Nabi Besar
kita.
33.  Usaha ke arah ini tidaklah mudah.  Tentangan hebat akan
datang daripada mereka yang benar-benar percaya  bahawa  apa
yang  mereka  percaya  dan yang mereka ajar adalah benar dan
tidak boleh disoal.   Sebarang keraguan  terhadap  apa  yang
dipercayai  oleh  mereka  akan  dianggap oleh mereka sebagai
bertentangan dengan akidah.  Demikian apabila  sesuatu  yang
baru   yang   mungkin   diasaskan   kepada  kebenaran  sains
diutarakan, maka mereka menuduh bahawa ia tidak benar kerana
bercanggah dengan apa yang sudah mereka  percayai.    Bahawa
dunia  ini  adalah  bulat  seperti  bola,  bahawa langit dan
bintang adalah lebih jauh daripada  yang  mereka  anggarkan,
bahawa  manusia  boleh  ke  bulan,  semuanya  ditolak dahulu
tetapi akhirnya diterima.    Hanya  kerana  yang  nyata  ini
diterima  tidak menidakkan kebenaran ajaran Islam.  Ia hanya
menidakkan  tafsiran  dan  pengertian   ulama   Islam   yang
terdahulu.
34.  Dengan  peredaran  zaman banyak lagi perubahan pendapat
yang mesti dilakukan.   Tafsiran-tafsiran yang lama  mungkin
didapati  tidak  lagi  sesuai dengan kenyataan.  Banyak lagi
perkara dan  kebolehan  yang  sekarang  dianggap  ajaib  dan
mustahil  akan  menjadi  kenyataan umum dan biasa.    Tetapi
agama Islam terus relevan dan tepat.   Yang  salah  bukannya
agama tetapi pentafsir agama.
35.  Justeru  itu  Institut  Kefahaman Islam ini tidak harus
bimbang akan tentangan terhadap kebenaran yang  akan  mereka
temui  dalam  penyelidikan  mereka  mengenai agama Islam dan
amalan-amalan  serta  kepercayaan-kepercayaan   umat   Islam
sekarang.  Asalkan tidak ada niat yang lain daripada mencari
kebenaran  demi  memajukan  agama,  umat,  dan negara Islam,
agama Islam tidak akan tercemar  dengan  kajian-kajian  yang
dibuat.
36.  Sempena  perasmian  Institut  Kefahaman  Islam, Kongres
Menjelang Abad 21: Islam dan Wawasan 2020 diadakan.    Tajuk
Kongres  ini  adalah  tepat  sekali.   Negara dan umat Islam
perlu membuat persediaan untuk Abad Ke-21 iaitu hanya  lapan
tahun  lagi.    Sebagai  persediaan  untuk abad ke-21 negara
telah membentuk satu  wawasan  yang  diharap  dapat  dicapai
menjelang tahun 2020.
37.  Matlamat  negara ialah supaya pada tahun 2020 kita akan
menjadi  sebuah  negara  maju.    Takrif  maju   sudah   pun
dijelaskan.    Ia  tidak  bermakna pembangunan material yang
membelakangkan kerohanian. Matlamat kita ialah sebuah negara
yang maju daripada segi ilmu, kecekapan dan kekayaan  tetapi
yang  tidak  kehilangan  moral  dan  pegangan  kepada ajaran
agama.
38.  Malangnya  ada  pihak  yang  kononnya  menekan  wawasan
akhirat.    Sebenarnya  Kerajaan  dan  masyarakat  Islam  di
Malaysia tidak pernah mengenepikan akhirat.  Tetapi  akhirat
mesti  diimbangi  dengan dunia.   Kehidupan umat Islam dalam
kehinaan  di  dunia  tidak  akan  menjamin  kebahagiaan   di
akhirat.    Sebaliknya  mereka  yang dapat menumpukan kepada
akhirat banyak bergantung kepada kebahagiaan hidup di  dunia
ini, hasil daripada usaha pihak lain.
39.  Adalah diharapkan dalam Kongres pertamanya ini Institut
Kefahaman   Islam   akan   membuahkan   fikiran  yang  boleh
menghapuskan syak wasangka dan salah  faham  pihak  tertentu
yang  cuba  menghalang  pembangunan  umat  Islam  dan negara
Islam, Insya-Allah.
40.  Dengan doa dan harapan bahawa Institut Kefahaman  Islam
ini  dan  Kongresnya yang pertama akan mencipta sejarah baru
dalam mengembalikan zaman kegemilangan  Islam,  saya  dengan
sukacitanya   melancarkan  Institut  Kefahaman  Islam  serta
merasmikan Kongres Menjelang Abad Ke-21 : Islam dan  Wawasan
2020.
     Wabillahi    taufik    walhidayah,    wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google