Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGUNAN RESIDENSI
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 07/07/92
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN MEMORIAL TUNKU
ABDUL RAHMAN PUTRA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran Memo-
rial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada pagi ini.
2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih
kepada Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Sarji, Ketua Setiausaha
Negara selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Memorial Tunku
Abdul Rahman, yang telah sudi menjemput saya untuk
menghadiri majlis ini. Saya juga mengambil kesempatan ini
untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan
kepada semua pihak yang telah berusaha serta memberi
kerjasama dan sokongan untuk melaksana dan menjayakan projek
ini.
3. Keagungan sesuatu bangsa itu ditentukan oleh
kepentingan yang diberikan pada sejarah. Sejarah merupakan
suatu khazanah yang amat bernilai. Sejarah adalah gedung
pengalaman. Bangsa yang agung adalah bangsa yang menempah
sejarah dan yang mahu mempelajari daripada sejarah. Sesuatu
bangsa yang tidak mempelajari daripada sejarah akan terus
melakukan kesalahan berkali-kali yang akan berakhir dengan
keruntuhan bangsa itu. Daripada sejarah kita menghargai
kehormatan diri kita. Daripada sejarah juga kita dapat
menginsafi kedudukan kita di dalam sejarah kemanusiaan dan
alam semesta. Sejarah akan memberi kita tenaga dan landasan
di dalam menempa dan membentuk tamadun baru.
4. Pada hari ini, kita akan merasmikan Memorial Yang
Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj.
Saya merasa bangga kerana negara kita dapat menghargai
sumbangan, jasa dan bakti pemimpin besar negara ini. Memo-
rial ini akan dapat melengkapkan khazanah sejarah negara
yang telah bermula dengan pelancaran memorial Tun Abdul
Razak sepuluh tahun yang lalu. Detik-detik peristiwa
perjuangan kemerdekaan bangsa yang akhirnya telah
membolehkan pengisytiharan kemerdekaan sehinggalah membawa
kepada penubuhan Malaysia akan terpapar di Memorial ini.
Ciri-ciri demokrasi negara kita seperti yang kita amalkan
sekarang ini telah dibentuk, diolah dan diperkukuhkan
melalui detik-detik sejarah negara yang bermula dengan
pengisytiharan kemerdekaan. Memahami sejarah Yang Teramat
Mulia Almarhum Tunku adalah memahami sejarah perjuangan
kemerdekaan bangsa Malaysia.
5. Sepertimana yang kita ketahui, Yang Teramat Mulia
Almarhum Tunku menerajui pemerintahan negara dari tahun 1955
sehingga tahun 1970 sebagai Ketua Menteri dan Perdana
Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia.
Memorial Tunku ini akan menempatkan semua warisan berkaitan
Tunku dan nilai-nilai yang diserapkan oleh kepimpinan
Almarhum Tunku di dalam kehidupan rakyat Malaysia. Memorial
ini akan memainkan peranan penting sebagai pusat
penyelidikan mengenai negarawan yang dikasihi dan dihormati
dan yang banyak menyumbangkan bakti kepada negara dan
rakyat. Memorial ini juga akan menjadi pusat perolehan
bahan yang aktif mengenai Almarhum Tunku, dan juga sebagai
pusat pameran dan aktiviti-aktiviti yang akan menghidupkan
sejarah negara ini termasuk waktu kepimpinan Almarhum Tunku.
6. Pemilihan bangunan Residensi sebagai pusat kompleks Me-
morial ini amat sesuai sekali. Bangunan ini menjadi tempat
kediaman Almarhum Tunku di antara tahun 1956 hingga ke tahun
1970 semasa beliau menjadi Ketua Menteri dan kemudiannya
Perdana Menteri. Banyak peristiwa telah berlaku di dalam
bangunan ini. Di sinilah sebahagian besar daripada
perbincangan-perbincangan, keputusan-keputusan dan tindakan-
tindakan yang mempengaruhi serta menentukan sejarah negara
telah dibuat. Mungkin ada di antara hadirin di majlis ini
dapat mengenang kembali liku-liku sejarah untuk mengingati
semula detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting yang
berlaku di Residensi ini.
7. Memandangkan rapatnya Residensi ini dengan Almarhum
Tunku, adalah bersesuaian Residensi ini dihayati sebagai Me-
morial Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, iaitu sebagai
satu tinggalan sejarah yang penting bagi memperingati
Almarhum Tunku sebagai seorang tokoh, pejuang dan negarawan
tanah air kita dan Bapa Kemerdekaan. Memorial ini akan
menempatkan segala rupa benda yang berkaitan dengan Almarhum
Tunku di dalam bentuk asal sepertimana ketika Almarhum Tunku
mendiami residensi ini.
8. Bagi keluarga Almarhum Tunku tentulah banyak yang
menjadi kenangan pahit manis di Residensi ini. Sesuai
dengan majlis pada pagi ini, izinkan saya mengucapkan
setinggi terima kasih kepada keluarga Almarhum Tunku yang
telah dengan ikhlas hati menyerahkan segala khazanah dan
bahan sejarah Almarhum Tunku untuk dijadikan bahan pameran
Memorial ini. Sumbangan bahan-bahan tersebut adalah tidak
ternilai daripada segi sejarah.
9. Projek Memorial ini adalah satu usaha Kerajaan dan
rakyat untuk memperingati seorang bekas Perdana Menteri.
Usahasama ini bukanlah untuk mendewa-dewakan seorang tokoh
negara tetapi sebaliknya untuk memperlihatkan kepada rakyat,
khususnya kepada generasi akan datang, tentang perjuangan,
pengorbanan, harapan serta aspirasi seorang pemimpin
terhadap negara, bangsa dan agama. Adalah penting bagi
seluruh rakyat dan setiap generasi menginsafi perjuangan dan
pengorbanan bagi membina dan memelihara kedaulatan dan
kemakmuran negara.
10. Sebagai seorang pewaris kepada perjuangan Almarhum
Tunku izinkan saya mengulas sedikit mengenai sumbangan yang
terbesar yang dibuat oleh Yang Teramat Mulia kepada negara.
11. Hari ini Malaysia terkenal kerana pembangunannya yang
amat pesat. Pembangunan ini dibolehkan kerana negara
berbilang kaum ini aman dan tenteram. Walaupun ini dianggap
perkara biasa sekarang, tetapi di waktu Malaysia mencapai
kemerdekaan ramai yang meramalkan bahawa Malaysia akan
hancur kerana kaum-kaum di Malaysia akan bersengketa dan
bermusuh-musuhan antara satu sama lain apabila penjajah
meninggalkan negara ini. Ramai juga yang berkata bahawa
orang Melayu akan menindas kaum lain dan akan merampas harta
mereka.
12. Tetapi semua ramalan ini tidak menjadi kenyataan.
Walaupun pada tahun 1969 rusuhan kaum telah berlaku, tetapi
ia dapat dibendung dan keadaan keselamatan dipulihkan semula
dalam jangkamasa yang pendek.
13. Kerjasama antara kaum ini adalah hasil utama usaha
Almarhum Tunku. Walaupun UMNO dan MCA bermusuh dan orang
Melayu tidak bersahabat dengan orang Cina, tetapi Tunku
menerima baik cadangan kerjasama UMNO/MCA dalam penubuhan
Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Dari
permulaan ini Almarhum Tunku telah membentuk satu jenis
kerjasama politik antara kaum yang unik melalui Parti
Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC.
14. Konsep Parti Perikatan ini dilanjutkan ke Sabah dan
Sarawak apabila Malaysia ditubuhkan. Konsep ini diteruskan
lagi dengan penerimaan parti pembangkang ke dalam Barisan
Nasional.
15. Hari ini kita lihat di mana-mana sahaja di seluruh
dunia permusuhan dan peperangan berlaku di antara kaum-kaum
yang tinggal di sesuatu negara. Sudah banyak negara yang
dipecah-pecahkan menjadi negara kecil kerana permusuhan
ketat antara kaum. Dalam proses ini beribu-ribu yang mati
dan cedera. Namun belum lagi berakhir rusuhan kaum dan
perpecahan negara.
16. Sebaliknya kaum-kaum di Malaysia hidup rukun damai dan
keadaan negara selamat dan aman. Tidak syak bahawa keadaan
ini adalah hasil falsafah Almarhum Tunku yang mencipta asas
perpaduan kaum di Malaysia.
17. Walaupun kita sedang berusaha untuk mendirikan sebuah
monumen bagi Almarhum Tunku, monumen sebenar baginya ialah
negara Malaysia yang berbilang kaum yang hidup aman damai.
Tidak ada penghargaan kepada Almarhum Tunku yang lebih
daripada usaha rakyat berbilang kaum Malaysia mengekalkan
perhubungan yang harmonis antara mereka.
18. Berbanding dengan kejayaan negara Malaysia sebagai
monumen kepada Almarhum Tunku, monumen yang akan kita
dirikan hanyalah simbolik sahaja.
19. Untuk menjadikan Memorial Tunku Abdul Rahman ini
sebagai satu monumen yang boleh dibanggakan oleh rakyat dan
akan dikunjungi oleh segala lapisan masyarakat dan pelawat,
Memorial ini perlu disediakan dengan kemahiran dan kepakaran
serta peruntukan yang cukup. Ini bererti Memorial ini
memerlukan kewangan yang banyak, bukan sahaja untuk
pembinaannya tetapi juga untuk penyelenggaraannya. Kita
bersyukur bahawa berbagai-bagai lapisan rakyat dari sektor
awam dan swasta telah menyumbang untuk menjayakan projek
ini. Walau bagaimanapun memandangkan Memorial ini adalah
untuk generasi sekarang dan akan datang, Kerajaan merayu
kepada semua rakyat Malaysia untuk tampil ke hadapan
membantu menjayakan Memorial ini. Sumbangan rakyat akan
menunjukkan penghargaan kepada seorang pemimpin dan
negarawan yang disayangi dan dihormati. Sumbangan yang
diharapkan adalah sumbangan derma kepada Tabung Amanah Memo-
rial Tunku Abdul Rahman Putra. Pada masa yang sama
sumbangan bahan-bahan sejarah berkenaan dan mengenai
Almarhum Tunku akan juga dihargai.
20. Saya dimaklumkan bahawa bahan-bahan yang telah
dikumpulkan mengenai Almarhum Tunku adalah amat banyak.
Tetapi oleh sebab terhadnya bangunan dan kawasan ini, cuma
sebahagian sahaja daripada barang-barang tersebut yang dapat
dipamerkan di sini. Namum demikian saya gembira kerana
pihak Arkib Negara yang bertanggungjawab menguruskan Memo-
rial ini akan mengubahsuaikan bahan-bahan pameran mengikut
tema-tema tertentu dengan menekankan aspek-aspek penting di
dalam sejarah hidup Almarhum Tunku dari semasa ke semasa.
Justeru itu, memorial seperti ini hendaklah sentiasa hidup
dan dapat membuktikan bahawa segala sumbangan tokoh itu
berguna sepanjang zaman.
21. Saya berharap pameran yang disediakan di Memorial ini
akan menarik minat orang ramai khususnya di kalangan
generasi muda terhadap sejarah dan warisan tanah air. Kita
perlu semaikan rasa dan semangat cintakan tanah air di
kalangan anak-anak kita. Di dalam hal ini peranan bahan-
bahan bersejarah adalah amat penting bagi menyingkap
perasaan ini. Bahan-bahan di dalam Memorial ini seharusnya
akan dapat menimbulkan minat dan memberi dorongan serta
perangsang kepada generasi muda untuk berkhidmat dan
berbakti kepada negara. Sumbangan dan khidmat bakti
Almarhum Tunku dalam membangunkan negara ini tidaklah
seharusnya tinggal sebagai kenangan tetapi hendaklah menjadi
inspirasi kepada anak-anak muda untuk berazam dan bercita-
cita tinggi supaya dapat bersama-sama menyumbang untuk
negara.
22. Dengan harapan ini saya dengan nama Allah Yang Maha
Pemurah lagi Maha Mengasihi, dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan Memorial Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj.
|