Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : LOT 10, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 10/07/92
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PAMERAN "BELIA
DALAM PEMBINAAN NEGARA"
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pemuda MCA kerana
menjemput saya untuk merasmikan Pameran "Belia Dalam
Pembinaan Negara" hari ini.
2. Pameran ini adalah wajar memandangkan kaum belia turut
memainkan peranan penting dalam pembinaan negara. Melalui
pameran seperti ini orang ramai, khasnya belia dapat
mengetahui dengan lebih mendalam dan dekat sumbangan,
peranan dan kegiatan-kegiatan belia dalam pembangunan
negara. Fungsi mereka sebagai belia pembina negara atau
penggerak kemajuan akan dapat dilihat dengan jelas melalui
pameran ini.
3. Belia merupakan golongan yang paling aktif dalam
masyarakat dan bilangan mereka adalah hampir separuh
daripada jumlah penduduk negara kita. Sejak kemerdekaan,
belia negara kita telah turut sama berperanan dan menyumbang
kepada proses pembinaan dan pembangunan negara. Sumbangan
ini meliputi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi,
sosial, budaya atau pendidikan.
4. Belia merupakan asas sebenar atau tulang belakang
kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara.
Oleh itu usaha-usaha hendaklah terus ditumpukan kepada
peningkatan keupayaan dan kecekapan mereka. Ini amat perlu
memandangkan cabaran masa hadapan yang akan ditempuh oleh
para belia adalah lebih hebat dan canggih yang memerlukan
satu persiapan atau persediaan diri yang hebat. Negara kita
sudah pasti akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan
tekanan dari dalam dan luar yang boleh menentukan maju
mundurnya proses pembangunan dan kemajuan negara.
5. Tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan
adalah agak sukar bagi belia untuk mengharungi kesulitan
kehidupan masa depan apatah lagi hendak memajukan negara.
Ini boleh menjejaskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan
yang hendak dicapai selaras dengan matlamat menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
6. Sebagai langkah pertama ke arah persediaan itu, sikap
lama para belia harus ditukar atau disesuaikan mengikut
keperluan zaman. Mereka tidak boleh lagi bergantung semata-
mata kepada orang lain seperti Kerajaan untuk mendapatkan
sesuatu. Para belia harus mempunyai sikap berdikari dalam
segala usaha mereka. Mereka harus mempunyai matlamat hidup
yang jelas, cita-cita tinggi untuk maju, disiplin diri dan
berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan. Pendekata
sikap-sikap yang negatif seperti takut menghadapi risiko,
tidak toleran, kekurangan minat terhadap sesuatu yang boleh
mendatangkan faedah, tidak suka bekerjasama dan mementingkan
diri sendiri hendaklah dikikis dan dibuangkan.
7. Langkah kedua ialah meningkatkan ilmu pengetahuan para
belia. Di era letupan informasi sekarang ini para belia
tidak dapat tidak harus mengikuti pelbagai perkembangan
maklumat dan ilmu yang berlaku dalam kehidupan seharian
mereka. Kemajuan pesat yang berlaku dalam berbagai-bagai
bidang seperti industri pembuatan, penyelidikan dan
pembangunan, pendidikan moden, komputer, komunikasi,
pengangkutan, seni bina dan sains dan teknologi, tidaklah
boleh dipandang sepi oleh para belia. Ilmu-ilmu dalam
pelbagai bidang ini harus dicari dan dipelajari oleh belia-
belia negara. Golongan belia harus sedar tanpa ilmu yang
tinggi mereka tidak akan dapat ke mana atau membawa negara
ke mercu kejayaan pada masa depan.
8. Para belia juga perlu menambahkan kemahiran mereka.
Kemahiran atau kepakaran ini mesti dimiliki oleh golongan
belia di segenap lapangan usaha dan kegiatan. Tanpa
kemahiran ini belia-belia kita tidak akan dapat menjalankan
atau mengendalikan apa-apa tugas yang memerlukan kecekapan,
kepandaian dan kepakaran mereka.
9. Kesemua langkah-langkah ini boleh dicapai melalui
teknik-teknik atau cara-cara latihan dan pembelajaran
seperti latihan sambil bekerja, lawatan sambil belajar,
kursus dan bengkel, ceramah, seminar, 'apprenticeship' dan
sebagainya. Inilah peranan yang harus dan boleh dimainkan
oleh persatuan-persatuan belia dalam melengkapkan anggota-
anggota mereka untuk menjadi penggerak negara.
10. Jelas sekali belia negara generasi kini akan menentukan
halacara pembangunan dan corak kepimpinan negara masa akan
datang. Di samping ilmu pengetahuan, sikap dan kemahiran
yang diperlukan, golongan belia harus juga mempunyai sikap
dan nilai yang positif seperti toleran, sanggup bertolak
ansur, rela berkorban, taat setia dan cinta kepada negara.
Nilai-nilai ini boleh disemai dan diterapkan kepada belia
oleh persatuan-persatuan mereka melalui program-program
membina diri dan semangat.
11. Suatu gejala yang tidak sihat yang kini melanda para
belia negara kita ialah sikap suka mengagung-agungkan budaya
dan nilai hidup secara barat. Sebagai negara yang sedang
membangun, kita banyak mempelajari dan menyerapkan nilai-
nilai barat yang positif ke dalam kehidupan kita. Tetapi
malangnya ramai belia negara kita sekarang suka menerima apa
sahaja dari barat, tanpa mengira sama ada nilai-nilai itu
baik ataupun boleh memberi kesan buruk kepada kita.
Perkara-perkara seperti budaya 'rock', berambut panjang dan
memakai subang telinga bagi lelaki, penagihan dadah dan
kegiatan tidak bermoral telah meningkat dan menjadi amalan
sesetengah belia kita. Belia-belia seperti ini tidak akan
menolong menjayakan generasi baru yang bakal memimpin
negara. Nilai-nilai hidup belia yang kurang sihat ini
hendaklah dibanteras supaya ia tidak akan menggugat keutuhan
warisan budaya kita. Wawasan 2020 bertujuan melahirkan
satu masyarakat yang bermoral, beretika dan bebas daripada
sebarang pengaruh seperti kehidupan yang terlalu bebas
sehingga apa sahaja sanggup dibuat tanpa mengambilkira kesan
baik atau buruk.
12. Kerajaan sentiasa memberi galakan kepada belia-belia
untuk bergerak cergas dalam persatuan-persatuan belia.
Adalah diharapkan melalui pameran ini kesedaran belia
negara, terutama belia Cina dapat ditingkatkan supaya lebih
aktif dalam aktiviti-aktiviti belia peringkat kebangsaan dan
yang melibatkan belia pelbagai kaum.
13. Interaksi antara belia berbilang kaum adalah sangat
penting dalam usaha kita melahirkan sebuah bangsa Malaysia
yang bersatu padu. Ke arah pencapaian matlamat ini adalah
lebih baik sekiranya kita dapat mengurangkan persatuan-
persatuan belia yang berasaskan atau beridentitikan kaum.
Budaya kaum termasuk bahasa tidak akan hilang hanya kerana
kita merapatkan hubungan antara kaum. Jika semasa muda
belia diasingkan kerana kaum maka sudah tentu perpaduan kaum
bagi orang dewasa tidak akan tercapai. Salah satu matlamat
Wawasan 2020 ialah untuk melahirkan satu negara bangsa
Malaysia yang bersatu padu. Inilah peranan yang harus
dimainkan oleh para pemimpin belia tidak kira pemimpin dari
persatuan politik, sosial, budaya dan ekonomi.
14. Kita harus sentiasa sedar dan menginsafi bahawa
matlamat akhir negara ialah untuk mencapai kestabilan
politik, perpaduan kaum dan keamanan hidup rakyat yang
berkekalan. Ini adalah asas yang paling penting yang
diperlukan untuk membawa negara memasuki era pembangunan
yang maju dalam tempoh 30 tahun ini. Kita mahu menjelang
tempoh itu masyarakat dan negara kita akan menjadi lebih
maju, matang, progresif, berteknologi tinggi dan saintifik
serta dihormati dan disanjung oleh negara-negara lain.
15. Saya berharap Pameran ini akan dapat memberi semangat
kepada golongan belia khasnya dan masyarakat umum amnya
untuk membina satu masyarakat yang maju, gemilang dan
berjaya.
16. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran
"Belia Dalam Pembinaan Negara".
|