Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN TUN ISMAIL, PWTC,
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 28/07/92
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PERBADANAN
USAHAWAN NASIONAL BERHAD (PUNB)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak
Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menjemput saya ke
Majlis ini dan seterusnya melancarkan Perbadanan Usahawan
Nasional Berhad (PUNB).
2. Majlis hari ini besar ertinya kepada masyarakat
Bumiputera terutama usahawan-usahawan Bumiputera. Dengan
tertubuhnya PUNB, satu lagi program khas diwujudkan untuk
membantu Bumiputera bergiat dengan lebih kemampuan untuk
berjaya di dalam sektor perdagangan dan perindustrian.
3. Penubuhan PUNB sekali lagi membuktikan kesungguhan dan
komitmen Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan
Bumiputera yang berdayamaju. Ianya adalah selaras dengan
usaha untuk mewujudkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera atau MPPB yang bukan sahaja berdaya
maju tetapi juga boleh menghadapi persaingan di pasaran
terbuka di negara ini.
4. Semenjak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) berbagai-
bagai program dan kemudahan telah disediakan oleh Kerajaan
untuk membantu Bumiputera berjaya di dalam bidang
perdagangan dan perindustrian. Berbagai-bagai badan amanah
seperti MARA, UDA dan PNB ditubuhkan untuk membolehkan
Bumiputera memainkan peranan yang cergas dan bermakna di
dalam bidang korporat. Beribu-ribu juta ringgit sudah
diperuntukkan untuk menolong Bumiputera menyertai bidang
perdagangan dan perindustrian. Beberapa tabung seperti
Tabung Pemulihan Usahawan dan Tabung Usahawan Baru
diwujudkan juga untuk membantu usahawan Bumiputera. Namun
usaha membentuk MPPB masih belum mencapai tahap yang
digariskan.
5. Kita tidak menafikan bahawa DEB telah dapat melahirkan
sebilangan usahawan Bumiputera yang berjaya. Tetapi pada
keseluruhannya pencapaian Bumiputera dalam sektor
perdagangan dan perindustrian adalah masih rendah.
Berbanding dengan wang yang sebegitu besar yang dibelanjakan
bagi melahirkan usahawan Bumiputera hasilnya adalah tidak
setimpal. Asas perniagaan kebanyakan ahli-ahli perniagaan
dan usahawan Bumiputera bukan sahaja masih kecil dan
terbatas, tetapi mereka juga sering gagal kerana tidak dapat
bersaing dengan jayanya dalam pasaran terbuka. Bahkan
apabila Bumiputera diberi perlindungan pun ramai yang gagal.
6. Pada mulanya pendapat masyarakat Bumiputera bahawa
tidak adanya penyertaan Bumiputera dalam bidang perusahaan
dan perniagaan hanyalah kerana mereka tidak mempunyai modal.
Sebelum merdeka lagi, pemerintahan kolonial telah
memperuntukkan modal sebanyak lima juta ringgit untuk RIDA
atau Rural Industrial Development Authority bagi membolehkan
Bumiputera mengatasi masalah modal.
7. RIDA kemudian ditukar menjadi MARA dan peruntukan yang
lebih besar turut disediakan. Tetapi bagi mereka yang
mendapat bantuan modal atau pinjaman MARA, kejayaan yang
bermakna tidak tercapai. Walaupun peluang-peluang istimewa
diadakan oleh Kerajaan, modal yang dipinjamkan masih tidak
membawa kejayaan.
8. Masalahnya ialah kerana umum berpendapat siapa sahaja
boleh berniaga jika ia berminat. Bahawa peniaga perlu
memiliki pengetahuan yang khusus tidak menjadi pendapat
umum. Bahawa pengetahuan ini boleh dikuasai melalui latihan
dan tidak sahaja melalui pengalaman juga tidak dianggap
sebagai satu kenyataan.
9. Oleh sebab pandangan inilah apabila DEB dilancarkan
ramai yang memasuki bidang perniagaan dan perusahaan tanpa
mempunyai apa-apa persiapan. Asalkan sahaja lesen atau
kontrak didapati, modal boleh diperolehi dan perniagaan
boleh disertai. Walaupun ada yang berjaya melalui proses
yang tidak teratur ini, namun lebih ramai mereka yang bukan
sahaja gagal tetapi mengalami nasib yang lebih buruk, iaitu
daripada seorang yang tidak berhutang kepada seorang yang
berhutang. Ramai juga yang menjadi bankrap. Jauh daripada
maju ke hadapan, mereka sebenarnya telah berundur ke
belakang. Dengan ini ekonomi Bumiputera turut terjejas.
10. Kegagalan yang terbesar ialah Bumiputera sebagai
peniaga dan pengusaha masih tidak diterima sepenuhnya oleh
masyarakat. Mereka terpaksa bergantung kepada kontrak
Kerajaan dan keistimewaan-keistimewaan tertentu. Orang awam
termasuk Bumiputera sendiri masih mengelak mereka jika ada
kontrak sendiri yang hendak diberi. Ini adalah kerana
kemampuan mereka masih diragui.
11. Kita boleh bersedih, bahkan marah kerana ketidak-
percayaan masyarakat terhadap kebanyakan peniaga dan
pengusaha Bumiputera. Kita mungkin berpendapat bahawa
adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memaksa supaya
peniaga dan pengusaha Bumiputera diterima atau diberi kuota.
Tetapi pendekatan ini hanya menunjukkan bahawa Bumiputera
tidak mungkin mampu mengatasi kelemahan mereka. Anggapan
ini amat menghinakan.
12. Sebenarnya kemampuan Bumiputera dalam apa juga bidang
adalah sama dengan bukan Bumiputera. Yang diperlukan ialah
mengenal pasti akan sebab-sebab mereka lemah dan gagal.
Setelah melihat bahawa peluang dan modal sahaja tidak
mencukupi untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh
Bumiputera, kita harus mengenal pasti kelemahan-kelemahan
lain.
13. Nilai-nilai mulia yang dipegang oleh kita menjadi
faktor yang penting dalam mencapai kejayaan dalam bidang
perniagaan dan perusahaan. Di antaranya ialah amanah dan
perasaan bertanggungjawab, terutama terhadap apa yang
dipertanggungjawab kepada kita. Jika ini dipandang ringan
maka berbagai-bagai kesulitan akan dihadapi. Sebaliknya
mereka yang beramanah dan bertanggungjawab akan mudah
memperolehi kredit, kontrak dan bekalan.
14. Sebarang latihan untuk usahawan dan peniaga tidak akan
membawa apa-apa hasil jika tekanan kepada nilai-nilai mulia
seperti itu tidak diberi perhatian. Kecekapan pengurusan
semata-mata tanpa amanah boleh digunakan untuk melakukan
jenayah dan penipuan. Harus diingat bahawa apabila
seseorang Bumiputera melakukan sesuatu yang tidak
bertanggungjawab atau beramanah, kesannya akan dirasai oleh
seluruh kaum Bumiputera. Memang ini tidak adil tetapi
kenyataan hidup tidak selalunya adil.
15. Perkara yang kedua yang harus ditekankan ialah
kesabaran. Mereka yang ingin kaya cepat akan ditimpa nasib
yang malang jika mereka berniaga. Perniagaan harus tumbuh
perlahan-lahan. Keuntungan bukan hanya untuk dibelanjakan
tetapi untuk dilabur semula bagi membesarkan perniagaan atau
untuk "hari hujan".
16. Sebenarnya untuk perniagaan yang besar, kerugian pada
tahun-tahun awalan adalah perkara biasa. Juga semasa
memulakan perniagaan, keuntungan tidak akan diperolehi.
Kadang-kadang beberapa tahun akan berlalu dengan modal
dibelanja tanpa apa-apa pendapatan. Tanpa kesabaran dan
keyakinan terhadap masa depan, perniagaan besar tidak
mungkin diusahakan. Kerana tidak sabar dan kurang yakin
Bumiputera sering menjual lesen, saham dan kontrak untuk
keuntungan serta-merta. Yang membeli dan sanggup menunggu
akan dapat keuntungan yang berkali-ganda lebih besar.
17. Jelas sekali bahawa mereka yang ingin kaya cepat tidak
sesuai dalam kebanyakan perniagaan yang mempunyai "gestation
period" yang panjang. Selagi sifat ingin kaya cepat ini
berleluasa di kalangan Bumiputera, selama itulah mereka akan
gagal mendapat bahagian mereka dalam ekonomi negara. Mereka
yang kaya cepat tidak akan kaya lama, kerana mereka tetap
tidak berkebolehan mengurus kekayaan mereka. Harta mereka
akan luput dan hilang sebelum pun satu generasi berlalu.
18. Masalah yang ketiga yang menyebabkan ramai Bumiputera
gagal ialah kerana kelemahan dalam bidang pengurusan.
Pengurusan adalah satu ilmu yang perlu dipelajari sepanjang
masa. Ini adalah kerana tidak ada sesuatu pendekatan atau
cara yang tetap mustajab bagi mengatasi persaingan dalam
arena perniagaan. Namun ilmu pengurusan boleh menolong
mengurangkan kesan buruk daripada persaingan, bahkan dalam
kebanyakan kes boleh mengatasinya.
19. Bidang pengurusan mempunyai prinsip-prinsip yang tidak
berubah. Penelitian secara mendalam, mengambil berat
terhadap kos, berjimat cermat, bertanggungjawab, bertekun
dan fikiran yang terbuka; semua ini tidak berubah dalam apa
pun jenis perniagaan atau perusahaan, di mana-mana dan dalam
apa-apa zaman. Jika prinsip-prinsip ini dipegang dan
diamalkan bersungguh-sungguh, kemungkinan kerugian berlaku
dapat dikurangkan jika tidak dihapuskan sama sekali.
20. Menyedari akan pentingnya kecekapan pengurusan,
Kerajaan telah menubuhkan sebuah universiti khusus untuk
disiplin pengurusan. Di zaman moden ini pengurusan sudah
menjadi lebih canggih. Ia adalah satu seni serta sains yang
perlu di pelajari secara teratur, walaupun mereka yang
mendapat ijazah belum layak untuk mengurus tanpa penyeliaan.
Pengalaman diperlukan juga. Lebih lama pengalaman, lebih
tinggi kecekapan mengurus.
21. Di kalangan Bumiputera ramai yang berpendapat bahawa
jika mereka sudah dilatih untuk membuat sesuatu barang maka
mereka sudah mampu menjadi pengusaha sendiri. Pendapat ini
adalah salah. Orang yang boleh membuat sesuatu barangan
belum pasti boleh berniaga. Ia boleh bekerja dalam bidang
itu sahaja. Ini adalah kerana ia tidak mempunyai kecekapan
mengurus, satu disiplin yang lain sama sekali daripada
pembuatan. Bahawa setelah bekerja dalam sesuatu perusahaan,
seseorang tukang boleh menjadi pengurus yang cekap, ini
tidak bermakna semua yang dilatih dalam bidang pembuatan
mampu mengurus. Pengurusan adalah aspek yang penting dalam
perniagaan moden dan kecekapan mengurus hanya boleh didapati
daripada pengalaman di bawah pengurus lain atau daripada
pelajaran yang disusuli dengan pengalaman.
22. Sebarang usaha untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan
dan Perindustrian Bumiputera tidak akan membawa apa-apa
hasil selagi tekanan tidak diberi kepada kenyataan-kenyataan
yang telah saya sebutkan. Ramai yang mungkin berpendapat
bahawa tidak perlu kita sebut perkara-perkara ini kerana ia
menghina dan melemahkan semangat. Biasanya tumpuan
diberikan kepada apa yang perlu dibuat oleh Kerajaan, oleh
agensi-agensinya seperti MARA, UDA, PKEN, oleh bank, bukan
Bumiputera dan lain-lain pihak. Tetapi pengalaman telah
menunjukkan bahawa walau apapun faktor asing dibaiki atau
diatasi, selagi kemampuan pengusaha Bumiputera daripada segi
sifat dan sikap serta juga ilmu dan kecekapan perniagaan
tidak sesuai atau tidak ada, segala usaha akan gagal.
Kenyataan mesti dikenalpasti dan diterima kerana hanya
selepas itu baharulah pembetulan dapat dibuat. Tanpa
pembetulan hasil tidak mungkin dicapai, sekurang-kurangnya
tidak dengan memuaskan.
23. PNB telah ditugaskan membentuk Perbadanan Usahawan
Nasional Berhad (PUNB) sebagai satu lagi pendekatan untuk
mewujudkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam proses
mengimbangkan ekonomi antara kaum. Saya bangga kerana saya
difahamkan bahawa sambutan Bumiputera terhadap usaha ini
amatlah menggalakkan. Lebih ramai yang meminta untuk
menyertai program PUNB daripada yang mampu diterima oleh
PUNB. Yang gagal tidak perlu kecewa. Yang berjaya
menyertai harus ingat bahawa penerimaan mereka merupakan
langkah yang kecil sahaja ke arah kejayaan. Yang lebih
penting ialah kesabaran dan ketekunan menyerap ilmu dan
nilai-nilai yang telah disebutkan tadi. Insya-Allah, jika
segala tunjuk-ajar dan syarat-syarat dipatuhi, mereka akan
berjaya.
24. Dengan kata-kata ini dan dengan doa dan harapan yang
penuh, saya melancarkan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad,
dengan rasminya.
|