Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA (PWTC)
Tarikh/Date : 01/08/92
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN KEMPEN PUBLISITI
TAHUN MELAWAT MALAYSIA 1994
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat
Dato' Sabbaruddin Chik kerana menjemput saya untuk
merasmikan Pelancaran Kempen Publisiti Tahun Melawat
Malaysia 1994 pada malam ini.
2. Sejak beberapa tahun yang lalu, sektor pelancongan
bukan sahaja telah mendapat perhatian besar Kerajaan dan
swasta yang terlibat, tetapi juga orang ramai dan media
massa tempatan yang banyak memperkatakan mengenai
perkembangan yang berlaku dalam bidang pelancongan serta
potensinya. Walaupun pelancongan di Malaysia boleh
dikatakan baru berkembang berbanding dengan negara-negara
lain di rantau ini, tumpuan yang diberi kepada sektor
pelancongan sekarang membuktikan bahawa masyarakat Malaysia
semakin sedar mengenai peranan penting yang boleh dimainkan
oleh pelancongan di dalam pembangunan ekonomi negara.
Kesedaran ini perlu bagi membolehkan sektor ini mendapat
sokongan dan penglibatan sepenuhnya pengusaha-pengusaha dan
penyertaan rakyat secara langsung dan tidak langsung.
3. Kemajuan yang telah dicapai setakat ini tentunya
memberi perangsang kepada kita untuk meningkatkan usaha
memajukan lagi sektor ini. Faedah-faedah yang telah
dinikmati oleh mereka yang mengambil peluang daripada
perkembangan sektor pelancongan seperti penyediaan kemudahan
penginapan, makanan, pengangkutan, barang-barang cenderamata
dan lain-lain perkhidmatan kepada pelancong-pelancong asing
dan tempatan akan menggalakkan lebih ramai lagi pengusaha
dan peniaga melibatkan diri dalam industri ini.
4. Pelancongan di Malaysia masih mempunyai potensi yang
besar untuk tumbuh dengan pesat. Jika dibandingkan dengan
beberapa negara lain di mana pelancongan sudah menjadi
sektor utama dalam struktur ekonomi mereka, pelancongan di
Malaysia masih menjadi penyumbang ketiga besarnya kepada
tukaran asing negara. Bilangan mereka yang terlibat di
dalam sektor ini masih lagi rendah. Selain daripada tempat-
tempat tertentu yang dibanjiri oleh pelancong dan pelawat
terutamanya semasa musim cuti sekolah, masih banyak lagi
kawasan pelancongan dan tempat lain yang menarik yang boleh
diperkenalkan.
5. Memandangkan pelancongan boleh memainkan peranan
sebagai penggerak utama kepada peningkatan mutu hidup rakyat
dan pendapatan negara, pihak Kerajaan akan terus memberi
galakan serta sokongan untuk membolehkan sektor pelancongan
berkembang maju.
6. Itulah sebabnya selepas dinilai hasil-hasil daripada
pelaksanaan program Tahun Melawat Malaysia 1990 yang sungguh
menggalakkan, pihak Kerajaan telah memutuskan supaya
diulangi program penggalakan pelancongan yang bersepadu di
peringkat kebangsaan supaya prestasi pelancongan yang telah
dicapai itu dapat dikekalkan dalam tahun-tahun akan datang.
Tahun Melawat Malaysia '94 sebagai susulan kepada Tahun
Melawat Malaysia 1990 akan memastikan adanya kesinambungan
dalam usaha negara untuk mempromosikan Malaysia supaya
menjadi destinasi pelancongan yang benar-benar terkenal.
7. Warisan budaya dan seni yang terdapat di negara ini
merupakan keistimewaan yang boleh ditawarkan kepada
pelancong-pelancong asing. Kekayaan kebudayaan Malaysia
yang dihasilkan oleh penduduknya yang berbilang kaum serta
suasana keharmonian masyarakat Malaysia yang terjalin hasil
daripada persefahaman dan usaha kita semua, sememangnya
mempesonakan orang asing apabila mereka melawat negara ini.
8. Saya perhatikan juga bahawa sejak diadakan Tahun
Melawat Malaysia 1990, kegiatan-kegiatan kebudayaan dan
kesenian semakin meningkat mutunya dan dapat menarik
peserta-peserta dan penonton-penonton yang lebih ramai.
Penghebahan kegiatan-kegiatan ini nampaknya lebih tersusun
dengan adanya Kalendar Aturcara Tahunan yang diedarkan
kepada orang ramai. Perkembangan ini adalah selaras dengan
usaha-usaha untuk menghidup semula dan memajukan kegiatan
kebudayaan dan kesenian yang pada satu masa hampir luput.
Tidaklah dapat dinafikan bahawa industri pelancongan telah
menyumbang secara langsung kepada perkembangan seni budaya
Malaysia. Hari ini ia tidak lagi menjadi hanya bahan kajian
sejarah tetapi sudah menjelma sebagai sesuatu yang hidup
subur dan mampu menyumbang kepada pembentukan identiti
bangsa dan negara.
9. Pelancongan dalam negeri seharusnya juga menjadi asas
pertumbuhan dan perkembangan industri pelancongan. Di
samping menawarkan "alternative" kepada penduduk tempatan
untuk beristirehat, berekreasi dan mengenali negara sendiri,
industri pelancongan yang bergantung kepada permintaan
pelancong-pelancong tempatan adalah lebih kukuh
kedudukannya. Ini kerana pelancongan dalam negeri dapat
mengurangkan kesan-kesan daripada masalah yang menjejaskan
pergerakan pelancong-pelancong asing seperti ancaman
peperangan, kemerosotan ekonomi serta pendapatan yang
mungkin menyekat keupayaan orang asing untuk melancong.
10. Justeru itu, dalam memajukan sektor pelancongan
penekanan yang sama hendaklah diberikan kepada penggalakkan
pelancongan dalam negeri di samping menarik pelancong-
pelancong asing. Kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan
keupayaan dan citarasa pelancong-pelancong tempatan,
umpamanya kadar bayaran dan taraf penginapan yang berlainan
daripada yang ditawarkan untuk pelancong-pelancong asing
haruslah disediakan. Ini adalah kerana sementara pelancong
asing biasanya terdiri daripada mereka yang berpendapatan
tinggi, pelancong tempatan terdiri daripada semua lapisan
masyarakat.
11. Sejak akhir-akhir ini perhatian semakin tertumpu kepada
soal-soal mengenai pembangunan yang boleh menimbulkan kesan
buruk kepada alam semulajadi, termasuk yang disebabkan oleh
pembangunan pelancongan. Dalam hubungan ini, perluasan
aktiviti pelancongan sering memerlukan kawasan-kawasan baru
diterokai untuk dijadikan tempat tumpuan pelancongan. Oleh
yang demikian, seperti juga projek-projek lain yang
melibatkan pembangunan fizikal, projek-projek pelancongan
sedikit sebanyak tentunya akan membawa kesan kepada kawasan
berkenaan. Misalnya, pembukaan kawasan perhutanan atau
pembinaan infrastruktur dan lain-lain kemudahan di pulau-
pulau kecil untuk pembangunan pelancongan tentunya akan
mengubah kawasan tersebut dan persekitarannya.
12. Saya percaya semua pihak sama ada rakyat yang mengikuti
perbincangan-perbincangan mengenai perubahan alam sekitar,
mahupun pengusaha-pengusaha pelancongan, menyedari tentang
perlunya mengimbangkan kemajuan sektor pelancongan yang
melibatkan pembangunan fizikal dengan keperluan melindungi
dan mengekalkan keadaan alam sekitar yang asli.
13. Tidak semestinya sesuatu projek pembangunan itu akan
membawa kesan yang buruk sahaja kepada alam sekitar. Dengan
perancangan yang rapi kita boleh melaksanakan pembangunan
sektor pelancongan yang "manageable", iaitu memperkembangkan
aktiviti pelancongan ke tahap yang tidak menjejaskan keadaan
alam semulajadi. Oleh yang demikian, pelaksanaan projek-
projek pembangunan hendaklah dirancang supaya sesuatu
kawasan tersebut dijamin tidak tercemar semasa pembinaannya
atau akibat daripada bertambahnya bilangan pengguna-pengguna
di kawasan itu. Pengusaha industri pelancongan tentu sedar
bahawa pelancong asing terutamanya tidak datang untuk
melihat bangunan yang terdapat di seluruh dunia, tetapi
mereka ingin menikmati keindahan alam semulajadi yang sudah
tidak ada lagi di negara mereka. Jika pengusaha memusnahkan
kecantikan persekitaran Malaysia, terutama di pusat-pusat
peranginan, dayatarik negara akan hilang dan pelancong asing
tidak akan berminat untuk datang.
14. Perkembangan sektor pelancongan seperti juga bagi
sektor-sektor lainnya bergantung kepada setakat mana pihak
swasta dapat menyambut sepenuhnya peluang yang disediakan
oleh pihak Kerajaan. Dalam tindakan mereka memperluaskan
perniagaan dan meraih keuntungan daripada perkembangan
pelancongan, mereka perlu bertindak sepakat dan sehaluan
dengan matlamat Kerajaan dalam bidang ini. Pihak swasta
perlulah sentiasa berusaha memperbaiki kemudahan-kemudahan
dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelancong-pelancong.
Harga-harga bagi perkhidmatan yang dikenakan kepada
pelancong-pelancong perlulah berpatutan dan tidak dinaikkan
dengan sewenang-wenangnya hanya disebabkan oleh permintaan
yang terlalu tinggi. Mereka perlu bersama-sama menentukan
supaya imej negara ini sebagai satu destinasi pelancongan
terus meningkat demi faedah mereka sendiri dan demi
kepentingan negara.
15. Seperti juga dalam semua usaha, kita perlu mengutamakan
keperluan jangka panjang. Kita akan rugi akhirnya jika kita
anggap pelancong hanya sebagai punca kekayaan kita yang
perlu diperah habis-habisan secepat mungkin. Jika ini
menjadi pendekatan kita, industri ini tidak mungkin tumbuh
dan menolong meningkatkan pendapatan kita dan hasil negara
secara berkekalan. Sepertimana kita tidak ingin melawat
negara yang mempunyai penduduk yang tamak dan memberi
layanan yang buruk kepada kita, begitu juga pelancong asing
tidak akan berminat melawat negara kita jika kita anggap
mereka sebagai lembu tenusu yang harus diperah hingga
kering. Janganlah kita fikir mereka akan ke sini sekali
sahaja dan tidak perlu dilayan dengan baik kerana mereka
tidak akan datang lagi. Layanan yang buruk tetap akan
sampai ke telinga pelancong lain dan mereka ini juga mungkin
tidak akan melancong ke sini.
16. Sebenarnya kita tidak akan rugi jika kita beri layanan
yang baik, sama ada kepada pelancong asing atau pelancong
tempatan. Setiap yang baik tetap akan membawa balasan yang
baik. Justeru itu, mereka yang terlibat dalam industri
pelancongan dan semua rakyat Malaysia hendaklah memberi
layanan yang baik kepada pelancong kerana secara langsung
dan tidak langsung kita semua memperolehi manfaat
daripadanya.
17. Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan untuk
memajukan Malaysia dengan menyumbangkan usaha dan tenaga
kepada program Tahun Melawat Malaysia '94.
18. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen
Publisiti Tahun Melawat Malaysia '94 dengan rasminya.
|