Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	TAMAN PERTANIAN INDERA MAHKOTA, 
			KUANTAN, PAHANG DARUL MAKMUR 
Tarikh/Date 	:	06/08/92 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN HARI PELADANG, 
			PENTERNAK DAN NELAYAN 
			KEBANGSAAN 1992 



     Saya  merasa  sukacita  dan  bersyukur  ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala kerana dapat sekali lagi hadir  bersama-
sama dengan wakil-wakil peladang, penternak dan nelayan dari
seluruh negara sempena Perayaan Hari Peladang, Penternak dan
Nelayan Kebangsaan 1992.

2.   Perjumpaan  kita di negeri Pahang Darul Makmur kali ini
membawa erti yang besar kerana  tahun  ini  merupakan  tahun
bermulanya  pelaksanaan  perancangan  pembangunan  pertanian
negara seperti yang digariskan dalam Rangka Rancangan Jangka
Panjang Kedua.

3.   Tema "Wawasan Memajukan Pertanian" pada tahun ini  amat
tepat  sekali.    Ianya  adalah  selaras dengan wawasan kita
untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.   Memandangkan
sektor pertanian adalah salah satu sektor yang penting dalam
ekonomi  negara,  maka  adalah  wajar  kita  mempunyai  satu
wawasan untuk memajukannya dengan lebih  berkesan.    Dengan
adanya  satu  wawasan  yang jelas dan dibentuk dengan teliti
saya yakin sektor pertanian akan dapat  dimajukan  ke  suatu
tahap yang lebih tinggi dan canggih.

4.   Berbagai-bagai  cabaran  pasti  kita hadapi dalam usaha
kita mencapai matlamat wawasan memajukan  sektor  pertanian.
Tahun  2020  akan  merupakan  era  kehidupan yang berasaskan
kemajuan sains dan teknologi.   Ini sudah  tentu  memerlukan
satu  perubahan  yang  kritikal  dalam cara hidup, pemikiran
serta sikap kita di  samping  kemampuan  untuk  bersaing  di
dalam  pasaran  terbuka.    Ia memerlukan satu kekuatan yang
jitu dan profesionalisme yang tinggi  supaya  tenaga  setiap
lapisan peladang, penternak dan nelayan dapat digemblengkan.
Kemajuan bidang pertanian ini juga memerlukan kekuatan dalam
bidang  ekonomi  yang  merangkumi  perdagangan dan kekukuhan
kewangan di samping kestabilan politik yang berterusan.

5.   Untuk menempuh tahun 2020, para peladang, penternak dan
nelayan akan menghadapi cabaran yang besar kerana  perubahan
amalan  perdagangan  antarabangsa,  perlindungan pasaran dan
persaingan daripada negara-negara  yang  mengeluarkan  hasil
dan  barangan  pertanian yang sama.  Masalah ini tidak boleh
dipandang  ringan  kerana  sektor  pertanian  masih  menjadi
sumber  pendapatan  utama  kepada  sebahagian besar penduduk
negara, terutama mereka yang di luar bandar.  Lebih  penting
lagi ialah sektor ini membekalkan makanan kepada negara.

6.   Pertumbuhan  sektor  pertanian  negara  pada tahun lalu
kekal di  paras  empat  peratus  seperti  pada  tahun  1990.
Dengan itu, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam
Negeri  Kasar  (KDNK)  terus  merosot  kepada  17.2  peratus
daripada 18.8 peratus pada tahun  sebelumnya.    Pertumbuhan
sektor  pertanian  yang kurang menggalakkan ini membayangkan
masa hadapan sektor pertanian negara  akan  dipenuhi  dengan
pelbagai cabaran.

7.   Di  antara  masalah pertanian ialah penghijrahan tenaga
muda  dari  luar  bandar  ke  bandar  kerana  mereka   lebih
terpelajar  dan  industri  pembuatan memberi pendapatan yang
lebih tinggi serta kerja yang selesa kepada  mereka.    Kita
boleh   mengatasi   masalah  kekurangan  tenaga  ini  dengan
mengambil pekerja asing tetapi ini akan  menimbulkan  banyak
masalah  di  masa  depan.    Kita  juga  boleh  mengurangkan
pengeluaran hasil tani dan bergantung  kepada  import  untuk
bekalan  makanan kita.   Tetapi di waktu kecemasan kita akan
kekurangan makanan.

8.   Di  mana-mana  negara  yang  mengalih  kepada  industri
pembuatan  untuk  pertumbuhan  ekonomi,  masalah  kekurangan
tenaga pekerja dalam  sektor  pertanian  terpaksa  dihadapi.
Pendekatan  negara-negara industri ialah dengan menggantikan
tenaga manusia dengan jentera.  Bukan sahaja  jentera  boleh
menggantikan  tenaga manusia, tetapi ia juga kerapkali lebih
cekap.    Tetapi  untuk  beralih  kepada  jentera  pertanian
perubahan dalam cara-cara pertanian terpaksa dibuat.

9.   Sekarang  ini memang jentera-jentera sudahpun digunakan
sekian lama dalam bidang  pertanian  di  Malaysia.    Tetapi
kecekapan  yang  tinggi  tidak  diperolehi  kerana cara-cara
pengurusan  masih  untuk  pertanian  secara   kecil-kecilan.
Dengan  itu,  jentera  yang  terbaik  tidak  dapat digunakan
dengan cekap.  Sawah padi, kebun buah-buahan dan kebun sayur
masih  kecil  dan  dimiliki  oleh  orang  perseorangan  yang
biasanya  kekurangan  modal.    Sistem  pengurusan ala estet
besar tidak dapat diadakan.

10.  Kita tahu bahawa ladang getah  dan  kelapa  sawit  yang
besar  mengeluarkan hasil yang lebih tinggi bagi setiap satu
hektar daripada ladang kecil.  Sebenarnya luas  estet  getah
yang  besar  jika dijumlahkan hanya setengah sahaja daripada
jumlah luasnya estet-estet pekebun kecil.  Sebaliknya jumlah
pengeluaran getah oleh estet besar adalah sekali ganda lebih
daripada jumlah semua getah yang dikeluarkan  oleh  pekebun-
pekebun  kecil.    Oleh itu, adalah tidak mustahil penanaman
padi, buah-buahan dan sayur-sayuran boleh  memberikan  hasil
yang  lebih  tinggi  jika  diusahakan  secara  estet  besar-
besaran.

11.  Hakikatnya ialah lambat laun anak penanam padi, pekebun
sayur, buah-buahan,  penternak  dan  nelayan  akan  mendapat
pelajaran  tinggi  dan  tidak  lagi  berminat  untuk bekerja
sebagai buruh tani di kebun, di sawah dan  di  laut.    Yang
lain  akan  lebih suka bekerja di kilang-kilang yang mungkin
lebih selesa serta memberi  pendapatan  yang  lebih  tinggi.
Dengan ini tidak dapat tidak, pertanian secara kecil-kecilan
di  atas  tanah  milik  keluarga terpaksa dihentikan.   Akan
bertambahlah tanah-tanah terbiar.   Di  samping  itu  negara
terpaksa  mengimport  semua makanan.  Walaupun pekerja asing
digunakan, estet besar lebih mampu  mengurus  pekerja  asing
daripada  petani  kecil yang biasanya menggunakan pekerja di
masa-masa tertentu sahaja.

12.  Akan sampai satu ketika pilihan terpaksa dibuat.   Jika
kita   masih   ingin  bertani,  lebih  baiklah  kita  terima
kemungkinan perubahan mulai sekarang dan membuat  persediaan
yang diperlukan.  Sepertimana bandar-bandar kita sudah tidak
lagi  terhad  kepada  deretan  kedai  satu  atau dua tingkat
tetapi dipenuhi dengan bangunan pencakar langit, begitu juga
akhirnya kawasan luar  bandar  akan  bertukar  wajah  kepada
kampung-kampung  yang tersusun di pinggir ladang-ladang yang
luas milik koperasi atau syarikat perladangan.

13.  Bidang pertanian juga akan diperluaskan.   Jika  dahulu
kita  hanya  menanam  padi,  kelapa dan getah, sekarang kita
juga menanam kelapa sawit dan koko.   Di masa  hadapan  kita
akan  menanam  buah-buahan, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan
menternak lembu, bebiri, rusa, arnab dan lain-lain  binatang
secara  estet  besar-besaran.    Di laut tangkapan ikan akan
dibuat oleh bot besar di laut dalam.

14.  Kawasan luar bandar akan berubah wajah.    Mungkin  ada
yang    akan   kesal   kerana   kehilangan   kampung-kampung
tradisional.  Tetapi sebenarnya perubahan sudah pun  berlaku
semenjak  getah  dibawa  ke  Malaysia.    Negara  yang terus
mengekalkan cara hidup lama  akan  ketinggalan,  miskin  dan
merana.    Kita  boleh  lihat  negara-negara seperti ini dan
pemandangannya   amat    menyedihkan.        Kampung-kampung
tradisional   kita,  sebenarnya  kerapkali  dipenuhi  dengan
pondok-pondok yang  tempang,  kotor  serta  tidak  mempunyai
kemudahan-kemudahan  moden.    Lukisan  rumah kampung dengan
pohon kelapa dan bulan mengambang memang cantik dan menarik.
Tetapi untuk tinggal di rumah yang cantik seperti  di  dalam
lukisan  ini adalah suatu penyiksaan dan tidak sesuai dengan
zaman moden ini.  Namun ciri-ciri yang baik daripada kampung
boleh dikekalkan dalam kampung yang lebih tersusun  di  mana
akan  dihuni  oleh  sebilangan kecil sahaja penduduk di masa
hadapan.

15.  Petani di zaman  akan  datang  perlu  terdiri  daripada
orang-orang   yang   terpelajar  dan  lebih  terlatih  dalam
penggunaan alat-alat moden dan cekap dalam bidang pengurusan
estet.  Kebanyakan akan memiliki saham dalam syarikat  besar
mengikut  nilai  tanah  dan  harta  mereka.   Mereka mungkin
bekerja dalam estet  mereka  atau  bekerja  di  lain  tempat
kerana  tenaga  manusia  yang  diperlukan  akan berkurangan.
Bahkan pengurusan ladang mereka akan  dibuat  oleh  pengurus
profesional, mungkin daripada kalangan anak-anak mereka.

16.  Inilah Wawasan Pertanian kita.  Masa yang lebih panjang
mungkin diperlukan.  Berbagai-bagai rintangan dan kekecewaan
akan diharungi dalam perjalanan ke arah wawasan ini.  Bangsa
yang  cekap ialah bangsa yang sanggup menerima kenyataan ini
dan membuat persiapan untuk mengelak dari berlakunya terlalu
banyak peristiwa yang mendukacitakan.

17.  Langkah pertama  dan  yang  terpenting  untuk  mengelak
peristiwa-peristiwa  yang  tidak  diingini  berlaku  terlalu
kerap ialah dengan menentukan sikap kita.  Biasanya  sebelum
sesuatu perubahan diterima, bantahan dan bangkangan terpaksa
dihadapi.    Kebanyakan  daripada  bantahan dan halangan ini
disebabkan  oleh  keraguan  dan  kecenderungan  untuk  hidup
dengan  keadaan  yang  biasa.    Ini adalah sifat semulajadi
manusia.  Malangnya tentangan dan halangan ini hanya merumit
dan melambatkan proses perubahan.    Akhirnya  akan  berlaku
juga  perubahan.    Sebaliknya  jika  sikap sanggup menerima
perubahan dipupuk, maka perubahan akan berlaku secara  lebih
licin  dan  tersusun serta mendatangkan lebih banyak manfaat
dengan lebih cepat.  Mereka yang  berhempas-pulas  menentang
perubahan  tidak akan berjaya kerana akhirnya perubahan akan
berlaku  juga.    Hanya  kerugian  sahaja  yang   diperolehi
daripada sikap tidak sanggup menerima perubahan ini.

18.  Dalam  perjalanan  kita  ke  arah Wawasan Pertanian ini
kita  boleh  mencontohi  pengalaman   nelayan-nelayan   yang
tinggal   di  pulau-pulau  yang  menjadi  pusat  pelancongan
semenjak beberapa tahun ini.  Nelayan-nelayan ini adalah  di
antara  golongan  yang termiskin di negara kita.  Masa depan
mereka  kelihatan  amat  gelap.    Tetapi  apabila  industri
pelancongan  berkembang maju nelayan yang tidak berpelajaran
pun ternampak peluang dari industri ini.    Selain  daripada
bekerja  di  hotel-hotel,  mereka  mendirikan  chalet mereka
sendiri  dan  menjadikan  bot  ikan   mereka   sebagai   bot
pelancong.    Pendapatan  mereka berlipat ganda berkali-kali
sehingga industri tangkapan ikan terjejas.

19.  Pendekatan untuk menghadapi masalah ini bukanlah secara
memaksa  nelayan   terus   menangkap   ikan   secara   lama.
Pendekatan  yang  sesuai  ialah  dengan menggunakan bot yang
lebih  besar   untuk   menangkap   ikan   di   laut   dalam.
Kemungkinannya   ialah  nelayan  laut  dalam  akan  mendapat
pendapatan yang lebih baik.   Tetapi  perubahan  sikap  yang
radikal diperlukan kerana nelayan laut dalam terpaksa berada
di  lautan berminggu-minggu bahkan berbulan-bulan.  Dapatkah
kita  mengubah  sikap  nelayan?    Jika  tidak,  kita   akan
kekurangan  ikan  atau  bergantung  kepada orang asing untuk
mendapatkan bekalannya.

20.  Demikianlah walaupun modal dan  kemudahan  ada,  tetapi
jika   sikap   tidak   disesuaikan,   perubahan  tidak  akan
mendatangkan sebarang hasil.  Perubahan tetap  akan  berlaku
di  negara  kita sama ada kita mengejar sesuatu wawasan atau
tidak.  Tetapi jika kita sudah pastikan wawasan kita, adalah
lebih mudah bagi kita membuat persiapan semangat, sikap  dan
material yang lebih berkemungkinan berjaya.

21.  Wawasan  Memajukan  Pertanian  adalah  selangkah  dalam
persiapan kita semua --  peladang,  penternak,  nelayan  dan
Kerajaan  --  untuk  meningkatkan  keupayaan  kita  mencapai
matlamat murni ini.   Hari Peladang, Penternak  dan  Nelayan
berguna  untuk  menyediakan semua di dalam sektor ini supaya
bersama-sama berganding bahu dengan mereka di dalam  sektor-
sektor  lain  dalam  usaha menjadikan Malaysia sebuah negara
maju. Hari ini juga memberi  kesedaran  dan  kefahaman  akan
peranan  yang  perlu  kita  mainkan untuk menjayakan Wawasan
2020.

22.  Insya-Allah jika kita sedar dan faham, matlamat Wawasan
Pertanian akan tercapai dan negara maju yang  dicita-citakan
akan menjadi kenyataan.

23.  Saya  berdoa  kita  semua  akan memperolehi kejayaan ke
arah ini.

24.  Dengan  lafaz   Bismillahirahmanirrahim   saya   dengan
sukacitanya  merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan
Kebangsaan 1992 ini.

 
 



 
Google