Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WISMA MCA, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 15/08/92
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG
TAHUNAN MCA
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MCA kerana terus berpegang kepada semangat Barisan Nasional
dengan sekali lagi menjemput saya sebagai Pengerusinya untuk
berucap dan merasmikan Perhimpunan Agung MCA ini.
Perhimpunan yang diadakan setiap tahun ini adalah penting
kerana di samping membolehkan pemimpin-pemimpin parti
bertemu muka dengan para wakil, ianya juga memberi peluang
kepada pemimpin-pemimpin parti daripada semua lapisan
membincangkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan
kepentingan tempatan, parti dan negara.
2. Saya merasa gembira kerana hubungan dan kerjasama
antara parti-parti komponen Barisan Nasional amatlah baik.
Di kalangan pemimpinnya terdapat persefahaman yang tinggi
dan perasaan yang mendalam bahawa kita semua adalah satu
keluarga. Persefahaman yang tinggi ini perlu diperluaskan
juga kepada ahli-ahli biasa parti-parti komponen kerana ia
boleh mengukuhkan lagi Barisan Nasional serta terus membantu
menstabilkan politik negara. Saya percaya kerjasama dan
hubungan rapat antara anggota parti-parti komponen Barisan
Nasional tetap akan membantu kita menghadapi cabaran-cabaran
akan datang, terutama sekali dalam usaha kita mencapai
matlamat Wawasan 2020.
3. Hasil daripada corak kerjasama dan cara pemerintahan
Barisan Nasional, negara kita kini berada di tahap
kestabilan dan pembangunan yang amat membanggakan. Dalam
keadaan kestabilan ini kadar pertumbuhan ekonomi kita terus
meningkat dan membolehkan Kerajaan menumpukan usaha ke arah
meninggikan taraf hidup rakyat. Pada hari ini tiada siapa
boleh menafikan bahawa taraf hidup kita adalah lebih tinggi
dan jauh lebih baik daripada kebanyakan negara membangun.
Kemakmuran yang dinikmati oleh semua rakyat Malaysia pada
hari ini ialah kerana ekonomi negara masih pesat berkembang
walaupun kebanyakan negara di dunia, yang maju dan yang
membangun, mengalami pertumbuhan yang lembab.
4. Lebih penting ialah kekayaan yang diwujudkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional telah dapat diagih-agihkan dengan
adil dan saksama. Bagi masyarakat Cina peluang untuk
berniaga dan menjalankan kegiatan-kegiatan ekonomi yang lain
adalah terbuka luas bagi mereka yang sanggup berusaha dengan
gigih. Mungkin ini jugalah sebabnya masyarakat perniagaan
pada hari ini tidak berapa "bising" terhadap Kerajaan kerana
wujudnya banyak peluang perniagaan. Hakikat bahawa ekonomi
kita sedang mengalami pertumbuhan yang menggalakkan dapat
dilihat dengan kejayaan MCA memungut derma berjuta-juta
ringgit untuk Kolej Tunku Abdul Rahman dalam masa yang
singkat. Dalam keadaan ekonomi yang maju rakyat biasanya
lebih bermurah hati.
5. Kejayaan kita membangunkan ekonomi negara adalah kerana
wujudnya kerjasama dan perpaduan yang semakin erat di
kalangan semua kaum di semua peringkat. Justeru itu, bagi
menjamin pembangunan ekonomi yang pesat ini berterusan
amatlah penting kita sentiasa berusaha meningkatkan lagi
kerjasama dan mengukuhkan perpaduan di kalangan kita semua.
Sungguhpun rakyat berbilang kaum di negara ini hidup aman
damai dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain,
kita sentiasa perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap
pihak-pihak tertentu, terutama parti-parti lawan yang ingin
melihat kita berpecah belah. Kita tidak boleh bersaing atau
compete dengan mereka yang ekstrim daripada segi perkauman
atau menyalahgunakan agama. Kita lihat bagaimana DAP begitu
menentang apabila orang Cina memeluk agama Islam tetapi
tidak mengambil kisah tentang penukaran agama orang Cina
kepada agama Kristian, umpamanya. Tentangan terhadap
perkara ini adalah sebahagian daripada sikap pemimpin-
pemimpin DAP yang tidak suka kepada agama Islam dan orang
Melayu. Parti-parti bukan Melayu dalam BN tidak harus
berlumba dengan DAP dalam hal ini. Tidak ada paksaan dalam
Islam. Islam tidak menyuruh sesiapa memeluk agama Islam
melalui paksaan atau penipuan. Mereka harus menerima Islam
secara rela hati. Jika mereka ditipu atau dipaksa, mereka
sebenarnya bukan Islam dan pengembalian mereka ke pangkuan
agama asal adalah masalah peribadi mereka. Justeru itu,
tidak ada sebab mengapa kita harus terperangkap dengan
perkara yang sengaja diada-adakan oleh DAP. Demikian juga
dengan hukum hudud yang digunakan oleh PAS untuk cuba
memerangkap UMNO. "Hukum hudud" PAS dan hukum hudud Islam
bukanlah perkara yang sama. UMNO tetap tidak akan menyokong
hukum "hudud PAS".
6. Perpaduan yang wujud di negara kita adalah, antara
lain, berasaskan kepada pembangunan yang memastikan bahawa
nikmat kekayaan yang diperolehi oleh setiap kaum adalah adil
dan saksama. Pengalaman di negara ini jelas menunjukkan
bahawa adalah tidak mustahil bagi kita mencapai pembangunan
pesat semasa melaksanakan pengagihan kekayaan yang saksama.
Kerajaan tidak menghalang masyarakat Cina memajukan
perniagaan atau menyekat mereka daripada mendapat
pendidikan. Tetapi mereka sendiri hendaklah sedar akan
pentingnya mengambilkira pembahagian hasil ekonomi negara
secara samarata antara kaum. Dalam hal ini mereka harus
menerima penyertaan kaum bukan Cina secara berkesan dan
aktif dalam perniagaan mereka.
7. Prinsip berkongsi ini merupakan asas penting kepada
jalinan dan ikatan yang kuat di kalangan parti-parti
komponen BN. Dalam hal ini perlu ditekankan bahawa
kestabilan politik serta keharmonian kaum mempunyai hubungan
rapat dengan pembangunan ekonomi dan sosial negara. Oleh
itu, kaum Cina tidak harus teragak-agak memberi sokongan
mereka kepada Kerajaan Barisan Nasional. Pengalaman di
masa-masa yang lalu menunjukkan bahawa sekiranya kaum Cina
bersatu dan menyokong Barisan Nasional, maka kita akan dapat
mencapai cita-cita membangunkan negara dengan lebih cepat.
Agihan kekayaan kepada kaum-kaum secara saksama dalam
ekonomi yang maju tidak akan mengurangkan jumlah hasil yang
didapati oleh tiap-tiap kaum. Oleh yang demikian, sokongan
kepada Barisan Nasional tetap akan menjadikan masa depan
masyarakat Cina lebih cerah lagi.
8. Kerjasama antara parti-parti komponen Barisan Nasional
adalah kritikal untuk menentukan kejayaan negara di masa-
masa akan datang. Tidak ada golongan atau coalition parti
di dunia yang lebih berjaya daripada Barisan Nasional yang
sekarang berusia 37 tahun. Justeru itu, janganlah kita
musnahkan keistimewaan ini yang menjadi ciri penting Barisan
Nasional. Janganlah kita take for granted prinsip kerjasama
yang telah kita usahakan selama ini. Sebaliknya kita patut
menyuburkan lagi kerjasama dan persefahaman ini.
9. Jika kita melihat ke belakang kita akan dapati program-
program pembangunan negara telah memberi manfaat kepada
semua kaum, seperti Cina, India dan Bumiputera. Kita dapati
kesan pembangunan adalah positif dan kini jumlah golongan
termiskin semua kaum telah menurun. Mutu kesihatan rakyat
kian meningkat dan perkara-perkara seperti kadar kematian
bayi dan kadar kematian ibu menunjukkan aliran menurun. Apa
yang jelas dan patut disedari oleh semua ialah pelaksanaan
dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan
Nasional bukanlah memberi manfaat kepada Bumiputera semata-
mata, tetapi telah memanfaatkan keseluruhan rakyat Malaysia.
Kemewahan dan nikmat ini tidak mungkin tercapai oleh "coali-
tion" tiruan yang lain.
10. Sungguhpun kita telah berjaya dalam bidang pembangunan
di mana MCA juga turut menyumbang, kita mestilah berwaspada
dan berhati-hati dengan taktik dan telatah parti-parti
pembangkang seperti DAP. Mereka ini sememangnya ingin
melihat kita berpecah belah dan keliru. Parti-parti
pembangkang lebih suka jika masyarakat Cina mengasingkan
diri dan tidak bekerjasama dengan kaum-kaum lain. Oleh itu
DAP sanggup membuat apa sahaja untuk menjejaskan kerjasama
di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional dan
menggunakan apa sahaja isu untuk tujuan ini. Justeru itu,
masyarakat Cina di Malaysia mestilah sentiasa berhati-hati
dan tidak terikut-ikut ataupun mudah dipengaruhi oleh
hasutan-hasutan DAP.
11. Saya percaya masyarakat Cina akan terus menyokong MCA.
MCA pada hari ini bukan sahaja lebih kukuh tetapi telah
berjaya menjaga kepentingan masyarakat Cina dalam konteks
masyarakat berbilang kaum. Sokongan ini terbukti dengan
kejayaan MCA menggembleng bantuan kewangan masyarakat Cina
terhadap Kolej Tunku Abdul Rahman. Saya belum menyaksikan
sebelum ini betapa masyarakat Cina tampil ke hadapan untuk
menyahut seruan MCA membantunya menjayakan sesuatu projek.
Sambutan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina menunjukkan
bahawa MCA kini adalah lebih diterima oleh kaum Cina.
Sebaliknya pungutan wang oleh parti lawan untuk tujuan
memburuk-burukkan negara di kalangan orang asing tidak
mendapat sambutan.
12. Kita semua mengetahui bahawa DAP tidak jujur dan
sanggup berbuat apa jua demi mencapai objektifnya. DAP
sanggup menerima PAS dan Semangat 46 sebagai rakan
sungguhpun prinsip-prinsip mereka bertentangan dengan
prinsip-prinsip parti PAS dan Semangat 46. DAP sanggup
berbuat demikian kerana ia opportunistic dalam perjuangannya
dan lebih sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan
sendiri. Sentimen orang Cina adalah alat DAP. Mereka tidak
menghiraukan kesan-kesan yang boleh timbul daripada tindakan
membakar hati orang Cina.
13. Sebenarnya parti MCA yang lebih mampu menyatupadukan
kaum Cina di negara ini. Justeru itu sepertimana yang saya
katakan tadi, saya percaya kaum Cina akan terus memberi
sokongan kepada MCA yang merupakan salah satu rakan penting
Barisan Nasional. Hanya parti Barisan Nasional sahaja yang
boleh memberi kestabilan dan kemakmuran serta menentukan
kekayaan negara diagih-agihkan secara adil dan saksama
kepada semua kaum, termasuk kaum Cina. Hanya Kerajaan
Barisan Nasional sahaja yang dapat memahami aspirasi dan
keperluan semua kaum. Yang penting disedari ialah
kestabilan politik di bawah Barisan Nasional adalah satu
kejayaan yang istimewa dan kita semua perlu mengekalkannya.
14. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa Pusat MCA kerana menjemput saya ke Perhimpunan
ini. Saya percaya banyak perkara yang akan dibincangkan
oleh para perwakilan MCA. Negara kita mengamalkan demokrasi
dan oleh itu kita bebas membincangkan apa jua perkara atau
isu. Kebebasan memerlukan sikap bertanggungjawab atau a
sense of responsibility jika kita ingin terus bebas. Oleh
itu sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan
kebudayaan, kita hendaklah sentiasa memperhitungkan
sensitiviti kaum lain serta mengambilkira kepentingan negara
dalam membincangkan sesuatu. Hanya dengan cara ini
sahajalah dapat kita mengelakkan persengketaan dan
perpecahan yang boleh memusnahkan segala-gala yang telah
kita capai.
15. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MCA bagi tahun 1992.
|