Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HILTON HOTEL, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 18/08/92
Tajuk/Title : PERASMIAN KONGRES EKONOMI CINA
MALAYSIA KEDUA
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Gabungan
Dewan-dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia
kerana menjemput saya untuk berucap dan seterusnya
merasmikan Kongres Ekonomi Cina Malaysia Kedua ini.
2. Kita telah meggariskan Wawasan 2020 sebagai satu cita-
cita dan matlamat rakyat Malaysia untuk maju ke hadapan
supaya setanding dengan negara-negara maju yang lain dalam
semua bidang. Ini memerlukan usaha dan kerjasama daripada
semua golongan rakyat dan di antara rakyat dengan Kerajaan.
Segala sumber dan tenaga perlu digembleng sepenuhnya bagi
mencapai cita-cita ini.
3. Jika rekod pencapaian kita pada masa yang lepas boleh
dijadikan petanda, saya yakin kita mampu mencapai matlamat
tersebut. Sejak mencapai kemerdekaan 35 tahun yang lalu,
Malaysia telah menghadapi berbagai-bagai masalah dan cabaran
dalam usaha untuk menyatupadukan rakyat serta
mempertingkatkan kedudukan ekonomi dan sosial mereka. Kita
bukan sahaja secara amnya dapat mengatasi masalah-masalah
dan cabaran-cabaran tersebut tetapi telah juga berjaya
mencapai satu tahap kemajuan yang tinggi dalam hampir semua
bidang. Ini telah meletakkan negara kita di antara negara-
negara termaju di kalangan negara-negara membangun. Malahan
di dalam beberapa aspek, pencapaian Malaysia adalah lebih
baik daripada sesetengah negara maju di dunia. Ini
merupakan satu hakikat yang patut dibanggakan oleh semua
rakyat Malaysia.
4. Dari segi politik, kedudukan negara kita adalah stabil.
Rakyat telah sedar bahawa politik perkauman yang bercorak
"confrontational" yang diamalkan pada masa-masa lepas tidak
memberi apa-apa faedah, bahkan boleh mengancam keselamatan
rakyat dan meruntuhkan negara. Kini apa yang lebih
dipentingkan ialah semangat kerjasama dan toleransi di
antara kaum yang dapat menjamin kestabilan dan kemajuan
negara. Ini adalah asas dan "prerequisite" bagi mencapai
objektif Wawasan 2020 dan juga "survival" Malaysia sebagai
negara yang merdeka. Kita telah lihat bagaimana negara-
negara lain pecah dan hancur disebabkan sikap masing-masing
kaum mementingkan diri sendiri tanpa mengira kepentingan
golongan lain dan negara keseluruhannya. Sikap tamak atau
"selfish" seperti ini akhirnya merugikan semua pihak dan
tidak harus diamalkan di Malaysia yang sedang berusaha untuk
membangun secara lebih pesat kerana telah tertinggal jauh di
belakang.
5. Dari segi ekonomi, pencapaian Malaysia adalah lebih
ketara. Sejak tahun 1970, purata ekonomi Malaysia telah
berkembang pada kadar hampir 7 peratus setahun. Mulai tahun
1988, kadar pertumbuhan ini telah meningkat lebih daripada 8
peratus. Jika kadar pertumbuhan ini dapat dikekalkan,
harapan kita untuk menjadi sebuah negara maju dalam tahun
2020 adalah amat cerah sekali.
6. Di dalam proses pembangunan ini, struktur ekonomi
Malaysia telah mengalami perubahan ke arah menjadi sebuah
negara perindustrian. Kalau dahulu ekonomi Malaysia digelar
sebagai "rubber and tin economy", kini sektor industri
pembuatan merupakan sektor yang terpenting yang menyumbang
lebih 28 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
berbanding dengan sektor pertanian sebanyak 18 peratus.
Pada tahun 2000, sumbangan sektor pembuatan atau "manufac-
turing" dijangka meningkat kepada 38 peratus. Eksport
barang-barang kilang telah menggantikan barang pertanian dan
perlombongan sebagai eksport utama Malaysia dan kini
menyumbang 65 peratus kepada jumlah eksport negara. Ini
dijangka meningkat kepada 81 peratus dalam tahun 2000.
7. Kemajuan pesat ini telah dicapai dengan adanya dasar-
dasar Kerajaan yang liberal dan berorientasikan pertumbuhan
yang menggalakkan penyertaan swasta serta pelaburan asing
dalam pembangunan negara.
8. Cabaran yang Malaysia akan hadapi di masa-masa hadapan
akan menjadi bertambah rumit lagi dengan perubahan dalam
ekonomi dan perdagangan dunia yang sedang berlaku sekarang.
Kemelesetan ekonomi yang dihadapi oleh negara-negara maju
pada masa ini telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada
ekonomi kita daripada segi perdagangan dan pelaburan. Dalam
suku pertama tahun ini kadar pertumbuhan eksport Malaysia
telah menurun kepada 4 peratus berbanding dengan 20.6
peratus pada suku pertama tahun lepas. Ini kerana
permintaan negara-negara maju bagi barang-barang eksport
Malaysia telah berkurangan disebabkan kelembapan ekonomi
negara-negara berkenaan. Bilangan projek-projek pelaburan
yang diluluskan juga telah berkurangan kepada 159 bernilai
$8.6 ribu juta berbanding dengan pelaburan yang diterima
pada suku pertama tahun 1991 sebanyak 286 projek bernilai
$15.8 ribu juta. Pelaburan dari Jepun dan Taiwan khususnya
telah menurun dengan banyak akibat daripada masalah ekonomi
mereka.
9. Kebuntuan di dalam Perundingan Perdagangan Dunia di
bawah Pusingan Uruguay akan meningkatkan lagi sentimen
"protectionist" di kalangan negara-negara maju dan
mempercepatkan lagi penubuhan blok-blok perdagangan seperti
NAFTA, Kesatuan Eropah (EC) dan beberapa lagi di Amerika
Latin. Akibatnya negara kecil seperti Malaysia yang banyak
bergantung kepada dagangan luar akan terjejas kerana pasaran
bagi eksport kita semakin tersekat.
10. Dalam pada itu, kemunculan negara-negara bekas Sosialis
di Eropah Timur dan bekas Soviet Union sebagai negara-negara
ekonomi pasaran atau "market economy" adalah satu unsur baru
di dalam perkembangan ekonomi dunia yang akan memberi
cabaran dan juga peluang-peluang kepada Malaysia. Dengan
perubahan ini, banyak pelaburan asing yang kini mengalir ke
Malaysia dan ASEAN dijangka mengalih ke negara-negara
tersebut. Ini bermakna bahawa Malaysia terpaksa "compete"
secara hebat dengan negara-negara berkenaan untuk terus
menarik pelabur-pelabur dari negara-negara maju dengan
menawarkan peluang-peluang yang lebih baik dan memperbaiki
lagi iklim pelaburan yang ada.
11. Kerajaan akan meneruskan dasar liberal dan terbuka yang
ada sekarang untuk memberi peluang seluas-luasnya kepada
sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Jentera dan prosedur Kerajaan akan diperkemaskan lagi untuk
memudahkan pihak swasta menjalankan urusan mereka dengan
licin dan cekap. Usaha Kerajaan akan ditujukan ke arah
menambah dan memperbaiki lagi infrastruktur fizikal,
mempergiatkan aktiviti latihan teknikal dan perindustrian
bagi menambah bilangan pekerja mahir untuk sektor industri,
dan mempercepatkan pemindahan teknologi menerusi aktiviti
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Di peringkat
perdagangan antarabangsa pula, Kerajaan akan menambahkan
usaha untuk menerokai pasaran-pasaran baru di Afrika,
Amerika Latin, Indo-China, negara-negara Eropah Timur dan
Commonwealth of Independent States (CIS) di samping
meningkat dan mempelbagaikan eksport ke pasaran-pasaran
tradisional. Untuk tujuan ini, Kerajaan telah menubuhkan
MALTRADE baru-baru ini yang akan menjadi Agensi utama di
dalam usaha penggalakkan eksport negara.
12. Kita harus berbangga bahawa pada tahun lepas Malaysia
telah mencapai kejayaan yang cemerlang sebagai pengeksport
yang kedua puluh empat terbesar di kalangan negara-negara
pengeksport terbesar dunia. Malaysia merupakan negara ASEAN
yang pertama selain daripada Singapura yang telah mencapai
tahap ini dan ia jelas menunjukkan kemampuan dan daya
bersaing keluaran dan industri tempatan di pasaran
antarabangsa. Cabaran di masa depan ialah bagi kita
memperluas dan mempelbagaikan keluaran eksport bagi
merangkumi lebih banyak barangan yang canggih dan mempunyai
nilai ditambah yang tinggi supaya prestasi eksport kita
dapat dikekalkan. Ini bermakna pengeluar dan pengeksport
kita hendaklah meningkatkan teknologi dan kualiti keluaran
mereka, dan juga produktiviti pekerja-pekerja supaya mereka
akan menjadi lebih berdaya saing. Usaha yang lebih agresif
juga hendaklah diambil untuk mencari pasaran baru. Dalam
hal ini peranan Dewan-Dewan Perniagaan adalah penting untuk
menyelaras dan menggembleng tenaga dan usaha ahli-ahlinya
untuk menyokong dan menambah usaha-usaha yang dibuat oleh
Kerajaan ke arah mempertingkatkan lagi sektor perdagangan
dan perindustrian. Mereka perlu juga membuat inisiatif
sendiri untuk menerokai aktiviti-aktiviti baru dan tidak
hanya menunggu tindakan daripada Kerajaan.
13. Saya sukacita bahawa tumpuan Kongres ini ialah untuk
membincangkan peranan yang patut dimainkan oleh masyarakat
Cina Malaysia di dalam memajukan ekonomi negara dan mencapai
cita-cita Wawasan 2020. Masyarakat Cina mempunyai
pengalaman dan pengetahuan yang luas dan mendalam dalam
lapangan perniagaan. Mereka dikatakan mempunyai kebolehan
yang unik, untuk "menghidu keuntungan" atau "to smell pro-
fits", dan dengan itu dapat merebut peluang-peluang yang
timbul dengan cepat. Kebolehan pengurusan dan
"entrepreneurship" yang tinggi serta sokongan daripada
keluarga dan persatuan membolehkan mereka menghadapi cabaran
dan risiko untuk terus maju dan bersaing. Di samping itu,
tabiat berjimat cermat dan menyimpan untuk masa hadapan
adalah satu tradisi masyarakat Cina yang baik yang dapat
membantu di dalam perniagaan mereka.
14. Sifat-sifat seperti ini amatlah penting untuk berjaya
di dalam ekonomi pasaran seperti Malaysia. Semangat ingin
berjaya dan berdikari membolehkan kita bersaing dan merebut
peluang-peluang yang timbul daripada pembangunan ekonomi.
Di sini masyarakat Melayu dan Bumiputera yang lain patut
mempelajari sifat-sifat kaum Cina yang sihat ini jika mahu
berjaya di dalam perniagaan.
15. Dasar Pembangunan Nasional bertujuan untuk
mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di samping mengwujudkan
peluang yang lebih adil kepada semua pihak. Ini sahajalah
cara yang sesuai bagi menentukan kestabilan dan perpaduan
negara di masa hadapan. Selaras dengan dasar ini Kerajaan
akan terus berusaha membantu kaum Bumiputera supaya
setanding dengan bukan Bumiputera di dalam lapangan
perdagangan dan perindustrian. Tetapi tumpuan akan diberi
kepada pengwujudan pengurus-pengurus dan pengusaha-pengusaha
yang berpengetahuan, cekap, berinisiatif, berdikari, boleh
mengenalpasti, mendiri dan menguruskan projek-projek serta
dapat bersaing di pasaran terbuka. Dalam perkataan lain,
Kerajaan mahukan satu masyarakat perniagaan dan
perindustrian Bumiputera yang berdayamaju, berdayasaing,
dinamik dan progresif diwujudkan setanding dengan masyarakat
lain supaya ia sama-sama dapat menyumbang secara berkesan ke
arah pencapaian matlamat Wawasan 2020.
16. Saya harap masyarakat Cina Malaysia tidak akan salah
anggap perkara ini sebagai satu ketidakadilan atau "injus-
tice" kepada mereka. Sebaliknya mereka hendaklah menerima
perkara ini secara positif, sebagai satu usaha dan langkah
ke arah kestabilan politik yang akan membawa kebaikan jangka
panjang kepada negara, dan dengan itu memberikan segala
kerjasama yang wajar untuk menjayakannya. Ekonomi negara
yang berkembang pesat memberikan banyak peluang. Tidak
sesiapa akan rugi jika peluang-peluang ini diagihkan untuk
mengimbangkan pembangunan kaum-kaum di Malaysia.
17. Saya berharap Kongres ini akan juga membincangkan cara-
cara meningkatkan usahasama di antara Bumiputera dan bukan
Bumiputera. Ini merupakan langkah yang berkesan ke arah
mencapai integrasi ekonomi dan menghapuskan pengenalan kaum
dengan fungsi ekonomi, di samping membantu usahawan
Bumiputera memasuki bidang perniagaan dengan berkesan.
Interaksi seperti ini akan menghapuskan syak wasangka di
antara kedua-dua pihak dan akan mengurangkan perasaan
perkauman yang tebal. Orang-orang Melayu dan Bumiputera
hendaklah menggunakan usahasama seperti ini sebagai satu
cara untuk mempelajari selok-belok perniagaan dan bukan
untuk kaya cepat. Orang-orang Cina pula hendaklah
menganggap rakan usahasama Melayu mereka sebagai "equal and
real partners" dan bukannya sebagai alat ataupun "front"
untuk mendapatkan kemudahan Kerajaan. Saya yakin dengan
sikap positif seperti ini banyak projek usahasama akan dapat
diwujudkan dengan jayanya.
18. Pembangunan ekonomi yang berkekalan dalam negara
berbilang kaum seperti Malaysia tidak boleh diasaskan
semata-mata kepada faktor ekonomi sahaja. Ianya hendaklah
dilihat dalam konteks pembinaan negara di mana kejayaannya
akan diukur daripada sejauh mana ia telah menyumbang ke arah
pembangunan nasional. Hanya melalui keadilan ekonomi
sahajalah akan dapat kita mencapai objektif Wawasan 2020
sepenuhnya.
19. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres
Ekonomi Cina Malaysia Kedua.
|