Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR HILTON (K.L)
Tarikh/Date : 22/08/92
Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN ULANGTAHUN KE-25 MIDA
Saya mengucapkan terima kasih kepada MIDA kerana sudi
menjemput saya dan isteri saya ke Jamuan Ulangtahun ke-25
MIDA pada malam ini. Biasanya ulangtahun ke-25 dianggap
sebagai pengukur yang penting dalam kewujudan sesebuah
institusi. Sudah tentu, ulangtahun ke-25 ini adalah penting
bagi MIDA dan negara. Ini kerana tahun-tahun yang sudah
berlalu itu pasti telah menyumbang kepada kematangan dan
keberkesanan MIDA.
2. Oleh itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada MIDA
kerana perayaan Jubli Peraknya. Sememangnya MIDA telah
berkembang dengan mantap. Secara fizikalnya, MIDA yang pada
mulanya beroperasi dari satu tingkat di Bangunan Koperasi
Polis, kini beroperasi dari beberapa tingkat di Wisma
Damansara. Pada satu hari nanti MIDA pasti akan beroperasi
dari bangunannya sendiri. Saya gembira melihat ramainya
ahli sektor swasta yang hadir pada majlis malam ini.
Sebagai sebuah agensi Kerajaan yang menyediakan perkhidmatan
kepada sektor pembuatan, sudah tentu perhubungan kerja yang
rapat akan lahir di antara MIDA dengan sektor swasta.
Tetapi jelas yang perhubungan tersebut kini berkembang
hingga kepada perhubungan sosial.
3. Hubungan saya dengan MIDA bermula pada 1970an semasa
saya menjadi Pengerusi FIMA. Apabila kemudiannya saya
dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian
perkenalan itu menjadi satu perhubungan yang lebih kukuh.
Banyak sekali lawatan galakan pelaburan ke luar negeri yang
telah saya laksanakan di bawah strategi MIDA yang semakin
sofistikated. Usaha galakan seumpama itu adalah perkara
yang agak luar biasa pada masa itu. Tidak banyak negara
membangun mempunyai keupayaan itu. Tetapi usaha-usaha
galakan itu ternyata telah berhasil kerana kita dapat
melihat adanya peningkatan yang pesat dalam pelaburan asing
di Malaysia. Pada hari ini, operasi dan strategi MIDA telah
diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa dan beberapa negara
luar, dan MIDA juga sering diminta meminjamkan pakar-
pakarnya untuk membantu menubuhkan agensi-agensi yang serupa
di negara-negara lain.
4. Dengan MIDA mencapai usia 25 tahun, ia harus merasa
bangga dengan beberapa pencapaiannya yang cemerlang dan
perkhidmatannya yang pelbagai dan bermutu yang diberikannya
selama itu. Paras pelaburan dalam sektor pembuatan kini
adalah bukti prestasi MIDA dalam melaksanakan
tanggungjawabnya sebagai penggalak dan penyelaras pelaburan-
pelaburan perindustrian di Malaysia. Kita tahu pembangunan
perindustrian di negara kita adalah hasil daripada dasar-
dasar yang pragmatik yang disokong oleh perkhidmatan-
perkhidmatan yang baik dari MIDA. Sebagai sebuah
organisasi, MIDA sudah lama berjaya daripada segi
kecanggihannya, semangat berpasukan dan perkhidmatan-
perkhidmatan yang bermutu. MIDA juga memberikan maklumbalas
kepada Kerajaan yang membolehkan dasar-dasar dan insentif
baru dirangkakan dalam usaha negara untuk sentiasa
mendahului negara-negara lain dalam persaingan untuk
mendapatkan modal dan teknologi asing.
5. Kejayaan mana-mana usaha atau organisasi akan banyak
bergantung kepada gabungan pelbagai faktor seperti
persekitaran operasinya, prinsip-prinsip pengurusan yang
mantap, kakitangan yang berdedikasi yang faham dengan
objektif-objektif pertubuhan, kemudahan dan perkhidmatan
yang ditawarkannya dan keinginan untuk berjaya. Kejayaan
MIDA adalah disebabkan oleh gabungan sihat faktor-faktor
yang tersebut ini. Bagaimanapun, untuk memikul
tanggungjawab yang bertambah berikutan adanya cita-cita
negara untuk mencapai taraf maju, MIDA mesti sentiasa
mengikuti perkembangan-perkembangan yang berlaku di dalam
pasaran dan mengubahsuai pendekatannya mengikut perkembangan
itu. Untuk tujuan ini, profesionalisme kakitangan MIDA
hendaklah sentiasa dinilai dan ditingkatkan. Adalah tidak
mencukupi lagi bagi MIDA untuk mengharapkan pilihan yang
baik apabila mengambil kakitangan yang baru. Adalah perlu
sekali bagi MIDA mengadakan latihan-latihan yang relevan
untuk mendapatkan kemahiran dan profesionalisme yang
diperlukan bagi kakitangannya.
6. Dengan adanya usaha pesat ke arah perindustrian dan
objektif negara untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya
menjelang tahun 2020 dengan dibantu sebahagian besarnya oleh
pelaburan-pelaburan swasta dalam pelbagai sektor ekonomi,
terdapat keperluan untuk mengenalpasti strategi-strategi
pelaburan yang kritikal yang boleh membawa negara ke arah
itu. MIDA tidak seharusnya berpuas hati dengan kejayaannya
sehingga kini tetapi mestilah terus berusaha memimpin sektor
pembuatan ke arah mencapai Wawasan jangka panjang bagi
pertumbuhan negara. Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh kita
hari ini adalah lebih kompleks. Dengan semakin banyak
negara menukarkan sistem ekonomi mereka daripada sistem
terancang pusat atau centrally planned economy, kepada
pasaran bebas dan perusahaan persendirian atau
entrepreneurship, semakin banyak pesaing-pesaing baru telah
muncul. Sesetengah pesaing ini boleh menawarkan buruh yang
mahir dan murah serta rajin dan berdisiplin. Kelebihan
persaingan yang dimiliki oleh Malaysia sudah tidak ada lagi
kepada kita. Malah kita sekarang menghadapi kekurangan
pekerja dan dalam keadaan seperti ini upah pekerja sudah
tentu akan meningkat. Kecuali kita merangka strategi-
strategi baru, Malaysia tidak akan lagi begitu menarik
kepada pelabur-pelabur.
7. Sudah tentu kita harus mencari industri-industri yang
kurang keperluan buruh. Tetapi pengalaman lalu menunjukkan
kos buruh yang rendah sahaja adalah tidak kritikal sama
sekali. Kos buruh kita memang sentiasa lebih tinggi
berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini. Apa
yang penting kepada pelabur-pelabur sama ada tempatan atau
asing ialah kecekapan pentadbiran dan suasana politik yang
sesuai untuk kejayaan sistem ekonomi bebas.
8. Ahli-ahli politik bertanggungjawab terhadap suasana
politik. Tetapi ahli-ahli pentadbiran di semua peringkat
mesti sentiasa terus memperbaiki perkhidmatan dan kecekapan
mereka. "Red tape" mestilah dikurangkan. Syarat-syarat
pelaburan mestilah tidak banyak dan mesti dinyatakan dengan
jelas. Setelah ini dilakukan, penggunaan budi bicara oleh
ahli-ahli pentadbiran hendaklah dikurangkan jika tidak boleh
diketepikan sama sekali. Jika projek-projek yang
dicadangkan telah memenuhi syarat-syarat yang diperlukan,
kelulusan hendaklah diberikan secara otomatik dan dengan
segera.
9. Untuk mengurangkan bebanan kerja dan laporan-laporan
yang memakan masa panjang dan meleret-leret, borang-borang
yang mudah diisi hendaklah digunakan. Angka-angka hendaklah
digunakan dan diillustrasikan dengan geraf-geraf. Lukisan-
lukisan dan model-model hendaklah digunakan untuk memberikan
gambaran yang jelas mengenai projek-projek yang berkenaan.
Persembahan-persembahan projek hendaklah mengikut format
yang tetap. Pegawai-pegawai yang bertanggungjawab daripada
agensi-agensi lain harus menghadiri persembahan-persembahan
itu. Jika keputusan-keputusan tidak dapat dibuat dengan
segera, maka satu tempoh yang tetap, mungkin seminggu
sahaja, hendaklah diberikan.
10. Apa-apa sahaja yang boleh menyumbang kepada kecekapan
termasuk penggunaan komputer secara meluas hendaklah
dilakukan. Perisian komputer yang boleh menyediakan data-
data yang diperlukan mestilah direkabentuk.
11. Adalah penting diingatkan bahawa tidak ada sebarang
keputusan yang tidak cacat. Semua keputusan adalah pilihan
daripada beberapa "alternatives" yang "imperfect". Kecuali
keputusan itu jelas tidak sesuai, jawatankuasa-jawatankuasa
pegawai tidak harus merasakan mereka tidak bijak. Yang
penting sekali ialah mempelajari daripada keputusan-
keputusan yang lalu. Akan sampai waktunya kesilapan-
kesilapan akan dapat dikurangkan walaupun ianya tidak dapat
dihapuskan sama sekali. Tetapi tidak membuat keputusan atau
keputusan yang lewat adalah lebih teruk daripada keputusan
yang buruk.
12. Silver is not grey. Ulangtahun ke-25 ini menggambarkan
kematangan dan bukannya separuh umur dan beruban. Pada usia
25 tahun, pengalaman banyak diperolehi tetapi adalah jauh
daripada mencukupi. Sebenarnya tidak seseorang pun dapat
memperolehi semua pengalaman yang perlu dilalui. Proses
pembelajaran mestilah berterusan. Pada usia 25 tahun,
kekuatan masih ada dan keupayaan mempelajari dengan pantas
masih wujud.
13. Oleh itu MIDA harus merayakan Jubli Peraknya dengan
perasaan puas hati atas pencapaian-pencapaiannya tetapi
harus bersedia untuk belajar dan meningkatkan kejayaannya.
Saya yakin MIDA akan berjaya pada masa depan, jika tidak
lebih, sekurang-kurangnya sama seperti pada masa lalu.
14. Dengan ini, saya dengan sukacitanya mengucapkan selamat
menyambut perayaan Ulangtahun ke-25 kepada MIDA dan
mengucapkan agar MIDA akan lebih maju apabila kakitangan
MIDA menyambut Jubli Emas akan datang dengan Perdana Menteri
yang lain pula.
|