Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL RIVERSIDE MAJESTIC
KUCHING SARAWAK
Tarikh/Date : 24/08/92
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG PARTI
PESAKA BUMIPUTERA BERSATU SARAWAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera kepada hadirin semua.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Parti Pesaka
Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) kerana kesudiannya
menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan perhimpunan
agung PBB ini.
2. Setiap kali PBB mengadakan perhimpunannya saya telah
hampir tidak ketinggalan dijemput bersama dan ini amatlah
saya hargai kerana ia merupakan satu kehormatan kepada saya
sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan membawa erti yang
besar yang parti-parti komponen Barisan Nasional bergerak
dalam perpaduan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
3. Negeri Sarawak atau lebih dikenali sebagai 'Bumi
Kenyalang' telah membangun dengan begitu pesat terutama
dalam tempoh satu dekad yang lalu. Kemajuan yang dicapainya
adalah mengkagumkan jika dilihat kepada saiz negeri Sarawak
yang hampir sama besar dengan Semenanjung Malaysia. Malahan
adalah sukar untuk mempercayai bagaimana Sarawak dapat
membangun dengan pesat kawasannya yang sebegitu luas di
samping terpaksa pula menghadapi banyak faktor penghalang
seperti masalah pengangkutan, keadaan alamnya yang mencabar
serta bilangan penduduknya yang kecil dan terpencil. Tetapi
itulah kenyataan. Sarawak dapat membangun dengan sempurna
walaupun terdapat halangan-halangan seperti yang disebutkan
tadi.
4. Pembangunan infrastruktur seperti jalanraya, jambatan,
pelabuhan dan lapangan terbang dapat dilaksanakan mengikut
rancangan, sementara kemudahan-kemudahan asas seperti
bekalan eletrik dan air, klinik dan sekolah sudah pun banyak
dinikmati oleh penduduk negeri ini. Program-program ekonomi
seperti perindustrian, perhutanan, pelancongan dan pertanian
turut dijalankan dan terus dipertingkatkan untuk mengukuhkan
lagi kedudukan ekonomi negeri ini dan menaikkan lagi taraf
hidup penduduk Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
5. Kemajuan yang dicapai oleh Sarawak selama ini ternyata
adalah hasil daripada usaha yang bersungguh-sungguh oleh
Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Barisan Nasional Sarawak
dan ditunjangi oleh PBB, untuk membawa rakyat keluar
daripada belenggu kemiskinan dan kemunduran. Kemajuan ini
juga adalah hasil daripada adanya semangat kerjasama yang
ditunjukkan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional
Sarawak untuk membangunkan penduduk negeri ini supaya tidak
ketinggalan untuk turut sama menikmati hasil-hasil
pembangunan selepas kemerdekaan negara.
6. Semangat setiakawan dan muafakat yang menjadi amalan
parti-parti komponen Barisan Nasional Sarawak, iaitu PBB,
SUPP dan SNAP selama ini telah memudahkan usaha-usaha
pembangunan di negeri ini dilaksanakan oleh Kerajaan dengan
licin dan lancar tanpa bimbang akan diganggu-gugat oleh
tekanan-tekanan politik atau pertelingkahan oleh mana-mana
pihak.
7. Amalan perkongsian kuasa yang menjadi pegangan Barisan
Nasional sejak waktu Perikatan lagi, iaitu sebelum negara
mencapai kemerdekaan, telah terus menjamin kestabilan
politik negara ini dan membolehkan penduduk berbilang kaum
mendapat layanan yang adil dan saksama dalam semua bidang,
baik ekonomi, sosial, budaya mahupun politik. Pendekatan
ini telah dapat mengelakkan daripada tercetusnya
persengketaan di antara kaum dalam menghadapi isu-isu yang
menyentuh soal untung nasib dan masa depan kaum masing-
masing. Ini ialah kerana semua masalah dapat diselesaikan
secara rasional melalui rundingan dalam parti. Pertentangan
secara terbuka atau melulu bagi mengatasi sesuatu masalah
bukanlah cara atau budaya Barisan Nasional. Public debate
tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah atau
mencapai apa-apa hasil kerana cara ini sering menyebabkan
perasaan yang tidak dapat dikawal. Amalan tradisi
perkongsian kuasa ini hendaklah dikekalkan agar politik
negara terus stabil dan rakyat dapat hidup aman dan selamat.
8. Hasil daripada kestabilan negara ini, usaha-usaha
membangunkan negara telah dapat dijalankan dengan sempurna
dan lancar. Dengan itu juga rakyat berbilang kaum dapat
mengecapi nikmat yang banyak yang tidak mungkin dihasilkan
jika perebutan berlaku sehingga menjejaskan keamanan dan
kestabilan negara.
9. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada terhadap
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, baik dari dalam
negeri mahupun dari luar, yang cuba hendak menggugat
kestabilan politik dan keamanan negara kita. Sudah ada
tanda-tanda yang menunjukkan ramai pihak yang mula cemburu
terhadap kejayaan dan kemajuan yang dicapai oleh negara
seperti di bidang ekonomi, terutamanya dalam perindustrian,
serta perjuangan kita dalam hal-hal perdagangan, alam
sekitar, hak asasi manusia, demokrasi dan kepentingan
negara-negara Selatan di forum-forum antarabangsa.
10. Berbagai-bagai usaha dibuat oleh pihak-pihak seperti
badan-badan bukan Kerajaan, gabungan-gabungan kesatuan
sekerja antarabangsa dan pertubuhan tempatan dan asing,
untuk merosakkan nama baik Malaysia dan menjejaskan
pertumbuhan ekonomi kita. Isu-isu seperti hak asasi
manusia, kebebasan mengambil tindakan perusahaan, soal alam
sekitar, pembalakan, demokrasi dan kaum Penan telah
dijadikan asas untuk menentang Malaysia. Pihak-pihak ini
cuba mempengaruhi negara-negara yang berkawan baik dengan
kita supaya menjauhi Malaysia dan yang mempunyai hubungan
perdagangan dengan kita supaya jangan membeli barangan
eksport kita. Tujuan mereka ialah untuk meletak kita di
bawah telunjuk jari mereka.
11. Malah usaha Malaysia untuk menubuhkan EAEC atau
Perundingan Ekonomi Asia Timur demi kepentingan ekonomi dan
perdagangan penduduk di rantau ini mendapat tentangan pihak
tertentu. Ini semua adalah bukti cubaan-cubaan yang sedang
dibuat untuk tidak mahu melihat Malaysia berjaya menjadi
sebuah negara maju dengan rakyat menikmati taraf hidup yang
setanding dengan mereka.
12. Kita berasa bersyukur melihat Sarawak berada dalam
keadaan aman dan dapat membangun dengan pesat walaupun
terdapat sedikit-sebanyak halangan terhadap usaha-usahanya
itu. Kejayaan Sarawak hari ini adalah hasil daripada dasar
"politik pembangunan" atau "politics of development" yang
menjadi pegangan dan perjuangan Barisan Nasional Sarawak
selama ini. Dasar itu yang menjadi asas kekuatan politik
kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Haji Abdul Taib
Mahmud telah terbukti berkesan dan berjaya dalam membawa
kemajuan dan kemakmuran kepada penduduk Sarawak.
13. Keadaan ini haruslah dipelihara oleh penduduk Sarawak
agar mereka dapat menikmati pembangunan yang berterusan.
Sebaliknya negeri yang tidak menerima konsep kerjasama dan
berkongsi nikmat, tetapi mengutamakan kepentingan satu kaum
sahaja, akhirnya tidak akan mendapat apa-apa. Dengan
terganggunya pembangunan, kaum yang ingin merebut semua bagi
diri mereka sahaja tidak akan mendapat lebih daripada
bahagian mereka. Tetapi ini tidak mungkin berlaku jika
mereka sanggup berkongsi.
14. Ada anggapan yang mengatakan bahawa Sarawak ketinggalan
kira-kira 10 tahun jika dibandingkan dengan negeri-negeri di
Semenanjung daripada segi pembangunannya. Negeri ini
dikatakan tidak akan dapat mengejar atau tidak boleh
setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung kerana
jika mereka bergerak selangkah Sarawak akan hanya dapat
mengekori selangkah dari belakang dan jika mereka bergerak
30 tahun ke hadapan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020,
Sarawak tidak akan terdaya mengejar sejauh 30 tahun itu.
Jika begini keadaannya sampai bila pun Sarawak tidak akan
setaraf dengan rakan-rakan negerinya yang lain. Anggapan
ini mungkin benar jika ia mengambil kira yang Sarawak
menyertai Malaysia agak lambat sedikit. Tetapi ia juga
mungkin tidak benar jika ia mengambil realiti negeri itu
sekarang.
15. Sesiapa pun tidak boleh menafikan yang Sarawak sudah
membangun dengan lebih pesat dalam bidang-bidang tertentu.
Seseorang yang pernah datang ke negeri ini 10 tahun lalu
jika ia datang semula hari ini sudah pasti akan terkejut
dengan kemajuan yang dicapai oleh Sarawak, bukan sahaja
daripada segi fizikal tetapi juga dalam semua bidang.
Malahan dalam beberapa aspek tertentu negeri ini adalah
lebih maju berbanding dengan sesetengah negeri di
Semenanjung seperti dalam industri pelancongan, perhutanan
dan industri petro-kimia. Pembangunan berlaku di segenap
pelusuk Sarawak termasuk di pedalaman. Malahan masyarakat
Penan yang tidak dihasut supaya menolak pembaharuan, sudah
mencapai pembangunan yang tidak berbeza dengan kaum-kaum
lain.
16. Oleh itu, anggapan yang mengatakan bahawa Sarawak akan
tetap ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain
menjelang tahun 2020 adalah salah. Saya percaya penduduk
negeri ini mempunyai keupayaan dan sumber kekayaan yang
diperlukan untuk mengejar negeri-negeri di Semenanjung dan
mengambil bahagian dalam mencapai matlamat Wawasan 2020.
Malah saya yakin Sarawak boleh mendahului negeri-negeri lain
jika rakyat negeri ini berusaha bersungguh-sungguh dan
memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri. Tanda-tanda
awal sudah pun ada. Setiap tahun sejak beberapa tahun lalu,
Sarawak terus membelanjakan lebih $1,000 juta untuk
membangunkan negeri ini dan jumlahnya semakin meningkat
setiap tahun.
17. Saya sendiri pernah melawat ke beberapa tempat di
negeri ini seperti di Bahagian Miri, Limbang, Bintulu dan
banyak tempat lain dan melihat sendiri rancangan dan projek
pembangunan yang dijalankan. Ternyata kerajaan negeri
memberikan tumpuan yang sama rata dalam melaksanakan
program-program pembangunannya dan tidak ada pilih kasih
terhadap mana-mana kawasan atau mana-mana kaum. Orang-orang
Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu dan lebih 20
kaum lain yang ada di Sarawak diberi perhatian dan peluang
yang sama oleh kerajaan Barisan Nasional Sarawak untuk
menikmati kekayaan sumber negeri ini.
18. Yang boleh menghalang pembangunan dan pembahagian
kekayaan secara sama rata ialah perkembangan pendapat yang
disemai oleh orang asing bahawa kehidupan tradisional dalam
hutan lebih baik daripada kehidupan secara moden. Mereka
ingin melihat Sarawak kekal di zaman batu supaya kaum-kaum
di Sarawak dapat dijadikan sebagai "museum pieces" dari
zaman purba yang boleh dikaji untuk tesis antropologi.
Sudah tentu jika rakyat Sarawak kekal dalam keadaan ini,
Sarawak akan terus ketinggalan dan tidak akan dapat membantu
Malaysia mencapai taraf negara maju yang boleh bersaing
dengan negara-negara Barat. Justeru itu, rakyat Sarawak
harus menolak dakyah orang asing bahawa kononnya hidup ala
zaman batu adalah lebih bahagia dari kehidupan moden. Orang
Sarawak yang menyokong pendapat orang asing ini adalah
mengkhianati kaum dan bangsanya sendiri.
19. Di samping kita meningkatkan hubungan di antara kaum di
Sarawak ini, usaha-usaha hendaklah juga terus dibuat untuk
merapatkan lagi tali silaturrahim antara penduduk negeri ini
dengan penduduk Semenanjung. Integrasi nasional antara dua
wilayah yang dipisahkan oleh Laut China Selatan ini adalah
penting demi kemajuan rakyat dan keutuhan negara. Laut yang
luas yang terbentang di antara kita tidak harus dijadikan
pemisah. Jambatan-jambatan penghubung kasih antara kedua-
dua penduduk hendaklah terus dibina dan yang sudah ada
diperkukuhkan lagi. Dengan cara ini perasaan bahawa
penduduk Sarawak dipisahkan daripada Semenanjung dapat
dihapuskan.
20. Kejayaan peniaga-peniaga Sarawak mengambilalih
perniagaan-perniagaan yang berpusat di Kuala Lumpur tidak
harus dianggap sebagai luar-biasa. Peniaga Sarawak sama
berhak dengan rakyat Malaysia yang lain untuk menguasai
kegiatan ekonomi di peringkat nasional kerana mereka juga
orang Malaysia dengan mempunyai hak yang sama. Walaupun
Sarawak masih melindungi penduduknya, hak mereka sebagai
rakyat Malaysia tidak terjejas sedikit pun. Pengalaman
menunjukkan bahawa peniaga dan pengusaha Sarawak cukup mampu
untuk bersaing dengan peniaga dari tempat-tempat lain di
Malaysia. Ini jelas terbukti dalam bidang-bidang
perhotelan, pesuratkhabaran dan perusahaan.
21. Saya juga gembira melihat hubungan di antara kerajaan
negeri dan kerajaan pusat begitu baik, mesra dan terus
kukuh. Keadaan ini adalah baik untuk penduduk Sarawak
kerana melalui hubungan yang akrab ini segala rancangan dan
projek Kerajaan Persekutuan bagi manfaat rakyat Sarawak akan
dapat dijalankan dengan sempurna tanpa gangguan seperti yang
dilihat di Kelantan baru-baru ini.
22. Kerenggangan perhubungan antara Kerajaan Persekutuan
dengan Kerajaan Negeri tidak akan membawa manfaat kepada
sesiapa. Memang tidak dinafikan bahawa ada kalanya timbul
rasa tidak puashati atau tidak sependapat di antara kedua-
dua pihak mengenai perkara-perkara tertentu. Tetapi ini
tidak bermakna ia tidak boleh diselesaikan dengan baik atau
diatasi secara perundingan. Pemerintahan oleh parti yang
sama di peringkat Persekutuan dan negeri lebih memudahkan
penyelesaian.
23. Kejayaan dan kemajuan Sarawak hari ini adalah hasil
daripada pemerintahan kerajaan Barisan Nasional Negeri yang
sentiasa mengutamakan nasib rakyat. Parti-parti komponen di
dalamnya meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada
kepentingan parti sendiri. Ini telah menyebabkan harapan dan
kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan dan kewibawaan
Barisan Nasional dalam memperjuangkan nasib mereka menjadi
begitu tinggi.
24. Justeru itu, saya menyeru parti-parti komponen Barisan
Nasional Sarawak supaya terus berusaha mengekal dan
meningkatkan lagi hubungan baik di antara satu sama lain.
Perpaduan yang erat di antara parti-parti komponen ini akan
menjamin Kerajaan Barisan Nasional dapat terus membawa
nikmat pembangunan kepada rakyat. Inilah amanah yang
diberikan oleh rakyat kepada kita.
25. Saya percaya PBB dapat memainkan peranan yang lebih
besar dalam membangunkan negeri ini. Saya juga yakin PBB
dengan anggota yang ramai dan jentera politik yang mantap di
seluruh pelusuk Sarawak, mempunyai kemampuan untuk
melaksanakan tanggungjawab yang berat ini. Dengan keazaman
yang tinggi dan cita-cita yang murni, anggota-anggota PBB
boleh membawa Sarawak menjadi negeri yang maju dan dengan
itu membantu pencapaian matlamat Wawasan 2020. Saya
berkeyakinan penuh PBB dapat memenuhi tanggungjawab ini
terutama di bawah kepimpinan Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
26. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Sarawak kali ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
|