Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC,
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 25/08/92
Tajuk/Title : SEMPENA HARI WANITA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa
Penganjur Hari Wanita kerana menjemput saya dan isteri ke
Majlis sempena Hari Wanita tahun ini. Kepada semua kaum
wanita saya ucapkan selamat menyambut Hari Wanita.
2. Semenjak lebih dua dekad kita telah melihat peningkatan
perjuangan untuk hak wanita di seluruh dunia. Memangpun
perjuangan hak ini mempunyai sebab dan asas-asas yang wajar.
3. Di zaman dahulu, wanita dianggap sebagai orang suruhan
milik lelaki dengan taraf yang hanya baik sedikit daripada
hamba. Di sesetengah masyarakat ibu dipandang lebih rendah
daripada anak lelaki mereka sendiri.
4. Dengan perubahan zaman hak wanita semakin diiktiraf.
Tetapi mereka masih tidak setaraf dengan lelaki. Justeru
itu, ada di antara aktivis wanita di Barat yang tidak puas
hati dan ingin persamaan dengan lelaki dalam semua aspek
hidup dalam masyarakat.
5. "Women's Lib" dijadikan slogan oleh aktivis-aktivis
wanita. Mereka berlumba-lumba untuk mengenalpasti semua
perbezaan di antara wanita dengan lelaki yang perlu
disamakan.
6. Sementara banyak perjuangan mereka adalah tepat dan
adil, ada banyak juga yang merosakkan masyarakat, terutama
di Barat. Di sana, persamaan dengan lelaki diusahakan
sehingga meruntuhkan moral dan maruah masyarakat.
7. Demikian, jika suami tidak taat kepada isteri maka
isteri juga tidak perlu taat kepada suami. "Morality"
dahulu menekankan pentingnya suami tidak menipu isteri dan
"vice versa" tetapi sekarang apa yang dikehendaki bukanlah
"marital fidelity" tetapi falsafah "anything you can do, I
can do". Dengan itu perkahwinan runtuh sehingga akhirnya
institusi perkahwinan itu sendiri dianggap tidak penting.
Akibatnya ialah institusi keluarga turut runtuh dan diganti
dengan "single parent family" dalam mana anak sudah tidak
tahu siapa ayahnya, dan kadang-kadang si bapa memelihara
anak yang tidak kenal ibunya.
8. Juga dalam percubaan mencari persamaan dengan lelaki
sifat-sifat fizikal kewanitaan cuba diganti dengan sifat-
sifat fizikal lelaki. Wanita cuba membina badan supaya
mempunyai "muscles" serupa lelaki. Mereka mengangkat berat
supaya membesarkan otot-otot mereka. Akhirnya mereka tidak
lagi berbadan wanita. Sebaliknya mereka sudah tidak banyak
berbeza daripada segi fizikal dengan lelaki. Dengan itu
tingkah-laku dan sifat-sifat kewanitaan mereka turut hilang
dan diganti dengan manusia yang bukan lelaki dan bukan
perempuan dan bukan juga maknyah. "Gender" atau jenis yang
keempat ini sudah ramai di Barat.
9. Saya bukan "male chauvinist" tetapi saya bersyukur
kerana keterlaluan yang kita lihat di Barat tidak menular ke
negara ini. Kaum wanita di Malaysia memang menuntut hak
yang saksama tetapi tidak sehingga ingin menukar jenis dan
rupa dan menggugurkan sifat-sifat kewanitaan mereka. Di
Malaysia, wanita ingin kekal sebagai wanita. Hanya yang
mereka mahu ialah diri mereka dihormati dan diberi tempat
yang wajar dalam masyarakat.
10. Institusi perkahwinan dan kekeluargaan di Malaysia
terselamat. Dengan ini "moral values and ethics" tidak
runtuh. Masyarakat yang tidak mempunyai "moral value" yang
tinggi tetap akan mengalami masalah sosial dan keresahan
sepanjang masa. Masyarakat tanpa "morality" bukan sahaja
tidak mungkin maju tetapi juga yang sudah maju pun akan
balik menjadi mundur.
11. Walaupun kita bersyukur kerana "Women's Lib" di
Malaysia tidak keterlaluan, tetapi kehidupan di Malaysia
sekarang ini tidak lagi sama seperti di zaman sebelum
pertumbuhan ekonomi yang tinggi, perindustrian secara besar-
besaran dan kemudahan pelajaran tinggi yang meluas.
Perubahan-perubahan ini tetap mempunyai kesan terhadap
kehidupan individu dan keluarga dalam masyarakat. Sudah
tentu ia mempunyai kesan terhadap cara hidup dan "value sys-
tem" kaum wanita.
12. Walaupun kebanyakan daripada perubahan cara hidup
menguntungkan kaum wanita dan masyarakat keseluruhannya dan
kita tidak harus menolak pertumbuhan ekonomi dan pemodenan,
tetapi kesan yang negatif daripada perubahan memerlukan
pendekatan secara lebih tersusun dan berilmiah.
13. Hari ini ramai beliawanis bekerja di kilang-kilang yang
jauh dari kampung halaman dan kawalan keluarga. Tanpa
panduan dan penyeliaan akan ada beliawanis yang terlibat
dengan kegiatan yang tidak diingini. Walaupun mereka yang
terlibat ini tidak ramai sekarang tetapi mereka perlu diberi
perhatian. Jika tidak cara hidup mereka yang segelintir ini
boleh merebak dan menjadi budaya baru bagi kumpulan ini.
14. Yang diperlukan ialah penglibatan mereka dalam
kegiatan-kegiatan yang sihat seperti sukan dan kelab, "in-
door games", kelas-kelas agama dan sosial, dan lain-lain
yang boleh memenuhi masa lapang mereka tanpa membosankan.
Untuk ini badan-badan sosial wanita yang berminat dengan
kerja-kerja sukarela boleh memainkan peranan. Kilang juga
boleh memberikan kemudahan yang diperlukan. Kita tidak
ingin memberi sebab kepada mereka yang berkepentingan
menghalang beliawanis kita daripada bekerja di kilang kerana
tenaga mereka amat diperlukan untuk perindustrian dan
pembangunan negara. Bebanan ibu bapa mereka juga dapat
dikurangkan dengan kegiatan dan penyeliaan oleh badan-badan
kebajikan. Di samping itu mereka akan lebih mengetahui akan
cara-cara hidup dalam dunia moden ini dan akan menguasai
kecekapan dan pengetahuan yang mana ini akan menjadikan
mereka warganegara yang lebih mampu bersaing dengan bangsa-
bangsa asing.
15. Bagi wanita yang sudah berumahtangga, konflik mereka
ialah di antara memelihara anak dan rumahtangga dengan
tarikan bekerja untuk menambah pendapatan. Mereka yang
berkelulusan tinggi tetapi tidak bekerja selepas
berumahtangga akan merugikan perbelanjaan berpuluh-puluh
ribu ringgit untuk mendapat ilmu yang bukan sahaja berharga
bagi diri mereka tetapi juga diperlukan oleh negara.
16. Tetapi masalah sekarang ialah semakin ramai anak yang
tidak mendapat pemeliharaan dan didikan oleh ibu yang
bekerja. Kadang-kadang anak-anak ini terletak di bawah
jagaan pembantu rumah yang mungkin terdiri daripada orang
asing. Anak-anak ini akan menyerap budaya asing dan mungkin
juga bahasa ibunda pun akan hilang atau lemah.
17. Besar kemungkinan mereka akan menjadi "disoriented",
tidak dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat Malaysia.
Mereka sudah tentu tidak akan mengecapi kesayangan ibu,
sesuatu yang amat penting bagi membentuk psikologi mereka.
Anak yang tidak merasai kesayangan ibu tidak akan dapat
memahami tanggungjawab terhadap anak mereka kemudian. Anak
seperti ini tidak terkawal, mungkin tidak berdisiplin dan
mudah terlibat dengan kegiatan yang tidak diingini, seperti
penagihan dadah.
18. Namun masalah ini tidak boleh diatasi dengan pendekatan
yang mudah, iaitu ibu harus tinggal di rumah untuk mendidik
anak. Sebenarnya peranan wanita dalam masyarakat begitu
penting sehingga kita tidak boleh mengasingkan wanita
daripada masyarakat umum. Mereka bukan sahaja dikehendaki
terus mengguna sebarang ilmu atau kecekapan yang ada pada
mereka dalam membantu negara bersaing dengan negara asing
yang mengguna tenaga wanita dengan sepenuhnya, tetapi wanita
juga dikehendaki memainkan peranan yang besar dalam bidang
sosial dan politik.
19. Jelas sekali dalam masyarakat Malaysia moden, tradisi
lama di mana semua wanita menjadi ibu dan suri rumah, dan
lelaki menjadi "bread winner", tidak dapat dikembalikan.
Dilema kita ialah kedua-dua pilihan mempunyai kesan yang
tidak baik.
20. Selain daripada mengadakan "creche" di tempat kerja,
mungkin satu "solution" bagi mengatasi dilema ini ialah
dengan menghidupkan semula sistem "extended family".
Penduduk bandar biasanya terputus hubungan dengan anggota
keluarganya yang lain. Jika dahulu datuk atau nenek ada
untuk menjaga cucu, atau pun adik atau kakak yang tinggal
bersama boleh menjaga anak yang ditinggal, hari ini di
bandar-bandar, mereka yang sudah berkahwin hidup berasingan
daripada ibu bapa dan keluarga lain. Dengan itu tidak akan
ada sesiapa di rumah apabila suami isteri keluar bekerja
atau mempunyai urusan di luar. Jika mereka mempunyai anak
kecil, masalah akan timbul. Sebaliknya, jika amalan tinggal
bersama dengan ibu bapa dikembalikan masalah ini mungkin
berkurangan.
21. Sudah tentu "there is a price to pay". Sebabnya "noth-
ing is free in this world". Ibu mertua tidak seburuk
seperti yang selalu digambarkan dalam drama atau cerita di
televisyen atau filem atau buku novel terutama dari barat.
22. Kita berhasrat menjadi negara maju. Telah diterangkan
negara maju yang dimaksudkan bukanlah semata-mata negara
yang kaya, berteknologi tinggi, kukuh dan kuat. Kita ingin
negara maju yang antara lain mempunyai rakyat yang bermoral
tinggi dan yang berpegang kepada nilai-nilai yang mulia.
23. Wanita terlibat secara langsung dengan pengekalan dan
pemupukan nilai-nilai mulia ini daripada buaian lagi. Tidak
mungkin wanita memainkan peranan ini jika mereka tidak sedar
atau tidak faham masalah yang akan timbul dalam perjalanan
kita menuju ke taraf negara maju.
24. Peranan wanita dalam masyarakat bukan harus
dikurangkan, tetapi sebaliknya harus ditingkatkan. Kaum
lelaki perlu akui bahawa dalam bidang pelajaran dan
perniagaan prestasi wanita kadang-kadang lebih tinggi
daripada lelaki. Mereka harus iktiraf hakikat ini dengan
memberi tempat yang sewajarnya kepada wanita. Mereka yang
layak dinaikkan pangkat tidak sepatutnya disekat hanya
kerana mereka wanita. Demikian juga pengadilan oleh lelaki
terhadap mereka hendaklah adil dan saksama. Bahawa wanita
Malaysia tidak "militant" tidak seharusnya dijadikan peluang
bagi lelaki mengambil kesempatan daripadanya.
25. Kita hanya tinggal 28 setengah tahun sahaja lagi untuk
menjadi negara maju. Kita sudah merdeka 35 tahun dan kita
dapati tempoh itu tidaklah begitu panjang. Sekarang tempoh
yang kita ada lebih pendek dan banyak perkara yang perlu
dilakukan oleh kita dalam menghayati sifat-sifat kewanitaan
yang sihat supaya kejayaan tidak akan memusnahkan "charac-
ter" masyarakat kita.
26. Justeru itu kaum wanita bersama kaum lelaki mestilah
memandang serius peranan masing-masing, merenung pendekatan
yang bijak untuk menyelamatkan masyarakat Malaysia yang
sedang menuju ke arah kemajuan ini.
27. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari
Wanita kepada kaum wanita seluruh negara.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|
|