Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : BAYAN LEPAS, PULAU PINANG (P.P) Tarikh/Date : 28/08/92 Tajuk/Title : SEMPENA ULANGTAHUN KE 20 ROBERT BOSCH (MALAYSIA) SDN. BHD. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Robert Bosch (Malaysia) Sdn. Bhd. di atas kejayaannya semenjak bertapak di Bayan Lepas dua puluh tahun lalu. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan syarikat ini kerana menjemput saya dan juga isteri saya untuk bersama-sama merayakan ulangtahun ke 20 syarikat ini di Malaysia dan seterusnya merasmikan bangunan "Research and Developmentnya" yang baru. 2. Jika kita bandingkan jangkamasa dua puluh tahun ini dengan usia syarikat induk Robert Bosch yang "dilahirkan" di Stuttgart, Jerman pada tahun 1886, iaitu lebih seratus tahun dahulu maka mungkin jurang perbezaannya terlalu luas. Sebaliknya pula, jika kita mengambil nilai jualan keluaran syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Robert Bosch (Robert Bosch Group), jumlahnya pada tahun 1992 sebanyak M$53 ribu juta melebihi pendapatan kebanyakan negara-negara Dunia Ketiga. 3. Dalam hal ini, saya rasa penilaian yang lebih bermakna lagi daripada segi sumbangan secara 'direct' ataupun 'indi- rect' sesebuah syarikat asing kepada negara yang menjadi tuan rumah, hendaklah disukat daripada dua perspektif, iaitu daripada sudut kuantitatif dan kualitatif. 4. Sumbangan-sumbangan kuantitatif syarikat Robert Bosch di Bayan Lepas ini jika dilihat dari sudut luaran adalah besar sekali. Dari permulaannya sebagai pengeluar 'exposure meter' dan '8mm cinecamera' dengan hanya 26 orang pekerja dalam bangunan kilang seluas 4,000 meter persegi, kini ianya telah berjaya membesar kepada 3,500 orang pekerja serta lima blok bangunan baru yang meliputi kawasan pengeluaran seluas 38,500 meter persegi. Di dalam jangkamasa dua puluh tahun, syarikat ini juga berjaya mempelbagaikan barang-barang keluarannya kepada pengeluaran 'car stereo systems' terutama sekali untuk PROTON dan juga pasaran dunia dan barangan seperti modal kawalan elektronik dan modul kawalan lampu bagi kereta nasional kita. Sumbangan dan pencapaian ini harus menjadi contoh kepada syarikat-syarikat asing lain. 5. Tetapi jika diteliti dari sudut dalaman, iaitu daripada aspek kualitatif yang saya maksudkan tadi, ternyata sumbangan syarikat ini bukan setakat memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk tempatan, tetapi lebih daripada itu ialah kegigihan usahanya untuk terus meningkatkan sumbangannya dalam pelbagai kemahiran kepada negara supaya kehadirannya di Malaysia memberi lebih makna. Tuan-tuan dan puan-puan, 6. Sebagai salah satu daripada sepuluh syarikat terbesar di Jerman, Robert Bosch memiliki 'corporate culture' yang matang dan memegang kepada tradisi R & D yang telah lama berkembang. Hakikat ini amat jelas sekali memandangkan peruntukan untuk R & D Kumpulan Robert Bosch bagi tahun 1991 adalah sebanyak M$3.4 ribu juta bersamaan 6.38 peratus jumlah nilai jualan keseluruhannya - satu angka yang menakjubkan. Mungkin bagi kita ianya satu perkara yang agak sukar untuk difahami tetapi sebagai 'major player' di dalam dunia pembuatan barangan canggih antarabangsa, syarikat ini memahami bahawa untuk menandingi pesaing-pesaing mereka, perbelanjaan bagi R & D adalah satu pelaburan jangka panjang yang amat penting dan dimestikan. 7. Oleh itu saya amat bangga sekali syarikat ini telah dari awal lagi menitikberatkan aspek R & D dan kini mempunyai 30 orang jurutera tempatan yang mampu merekabentuk alat-alat stereo kereta dan lain-lain barang elektronik berkaitan yang setanding mutunya dengan keluaran Bosch di Jerman. Saya difahamkan syarikat Bosch telah membelanjakan M$5 juta bagi mengemaskini dan memodenkan peralatannya di sini agar setanding dengan yang ada di Jerman dan juga dalam jangkamasa dua tahun ini, jumlah jurutera tempatan akan bertambah kepada 60 orang. Syabas saya ucapkan! 8. Di dalam usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan sektor perkilangan sebagai jentera penggerak utama ke arah matlamat tersebut, kita harus sentiasa mengikuti perkembangan dan sofistikasi dunia yang pesat berubah. Malaysia berjaya menduduki tahap kemakmuran yang ada sekarang berasaskan berbagai-bagai faktor yang mana kombinasinya memberikan kita banyak kelebihan sehingga menarik pelabur-pelabur asing dari seluruh dunia untuk datang ke sini. 9. Justeru itu, kita harus sedar bahawa berikutan rombakan yang ketara dalam 'scenario' geo-politik dunia sejak robohnya Tembok Berlin dan berpecahnya Soviet Union serta negara-negara Pakatan Warsaw, kedudukan kita dalam abad ke 21 kelak mungkin tidak begitu selesa. Saingan untuk modal dan pelaburan asing akan menjadi lebih sengit dengan wujudnya lokasi yang mungkin lebih kompetitif daripada segi kos pengeluaran, seperti di Vietnam, China, negara-negara Eropah Timur, Mexico dan negara-negara Amerika Latin. 10. Oleh itu, kita perlu memikirkan strategi dan pendekatan yang baru terhadap pendekatan lama - pelaburan asing. Tidak dapat dinafikan bahawa pelaburan asing memainkan peranan yang penting di dalam proses pembangunan ekonomi negara kita, pada mulanya sebagai penyumbang modal tambahan dan juga sebagai "catalyst" kepada pelaburan tempatan. Pelaburan asing telah membawa bersamanya teknologi dan proses baru yang secara langsung mengubah struktur ekonomi ke arah aktiviti-aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi daripada hanya mengeluar bahan mentah. 11. Perkataan-perkataan yang sering kedengaran kini ialah "networking" dan "symbiotic relationships" yang pada dasarnya ialah kerjasama yang lebih bermakna, lebih berfokus dan membawa implikasi perlunya wujud tahap input teknologi, sistem, R & D dan 'Human Resources Development" yang hebat. 12. Robert Bosch menyedari hakikat ini lebih awal kerana negara-negara maju mampu mengambil tindakan sedemikian pada masa permulaan. Pada hemat saya jika kita mahu mencapai matlamat Wawasan 2020, tidak ada jalan lain melainkan melalui jalan yang sama, iaitu dengan menumpukan perhatian yang lebih kepada aspek teknologi, sistem, R & D dan "Human Resources Development". Sebagai sebuah negara "pengimport" teknologi, Malaysia memerlukan saluran-saluran yang efektif bagi tujuan pemindahan teknologi. Jika proses pemindahan itu berkesan, kemungkinan kita dapat mengurangkan jurang teknologi yang kini wujud antara Malaysia dengan negara- negara maju adalah baik. 13. Oleh itu, saya berharap agar agensi-agensi Kerajaan seperti SIRIM dan MIMOS khususnya, serta syarikat-syarikat tempatan yang lain amnya, melipatgandakan usaha masing- masing dalam bidang R & D agar usaha itu dapat memenuhi kehendak negara menjelang abad ke-21. 14. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Robert Bosch (Malaysia) Sdn. Bhd. terhadap sumbangannya kepada negara kita dan saya harap usahanya itu dapat memberangsangkan syarikat-syarikat lain untuk mencontohinya. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan bangunan baru Research and Development Syarikat Bosch ini. Sekian dan selamat merayakan ulangtahun ke-20.