Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 09/09/92
Tajuk/Title : MAJLIS PERHIMPUNAN SAMBUTAN
MAULIDUR RASUL 1413H
PERINGKAT KEBANGSAAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dua belas Rabiul Awal adalah tarikh amat penting bagi
umat Islam. Bermula dari sinilah dunia telah beralih dari
kegelapan kepada sinar yang terang benderang dan penuh
harapan. Kita patut bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa
Ta'ala kerana tarikh itu dapat disambut dan dikenang di
negara kita. Kita juga harus bersyukur kerana negara kita
dikurniakan keamanan dan keharmonian, yang mana ini adalah
suatu keistimewaan yang tidak mudah dicapai dalam dunia
Islam.
2. Dalam rangka kita mengambil dan melaksana hikmah yang
terkandung dalam upacara memperingati tarikh kelahiran
junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. ini, tepatlah
rasanya, jika kita memanfaatkannya sebagai usaha
meningkatkan kesedaran kita terhadap perjuangan yang
dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Walaupun Baginda adalah
rasul pilihan Tuhan, tetapi perjuangannya tidaklah mudah.
Usaha dan ketekunan yang gigih diperlukan daripadanya
sebelum Baginda berjaya menyampaikan ajaran Islam.
3. Menurut ajaran Islam, melaksana dan menyelesaikan
tugas-tugas yang bersifat duniawi seperti usaha menegakkan
kesejahteraan dan mencapai kecemerlangan adalah tugas yang
menjadi tanggungjawab semua umat Islam, lebih-lebih lagi
bagi para pemimpin, pentadbir dan ketua-ketua masyarakat
yang diamanahkan oleh rakyat. Namun begitu, kejayaan tidak
akan dapat dicapai jika tidak mendapat kerjasama dan
sokongan yang padu daripada seluruh masyarakat. Oleh itu,
matlamat untuk mencapai kecemerlangan dalam kerja-kerja kita
perlulah diutamakan oleh setiap seorang dari kita.
4. Bagi kita umat Islam, Nabi Muhammad S.A.W. adalah
contoh yang unggul dan terbaik untuk kita teladani. Akhlak,
kepimpinan dan kewibawaan Baginda tidak ada tolok
bandingnya. Baginda seharusnya menjadi sumber inspirasi
kepada kita untuk mencapai kecemerlangan dalam semua usaha
kita.
5. Sifat-sifat kenabian baginda iaitu sidiq (yakni benar),
amanah, tabligh (yakni menyampaikan) dan fatanah (yakni
bijaksana) merupakan ciri-ciri penting untuk mencapai
kecemerlangan. Pemimpin-pemimpin masyarakat, pentadbir,
golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlulah
berusaha memiliki sifat-sifat ini dan mencontohi tingkah
laku Rasulullah dalam setiap tindak-tanduk mereka. Jika
empat sifat ini dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan
seharian kita, saya percaya kita dan masyarakat kita akan
berupaya mencapai kecemerlangan dalam semua bidang kehidupan
seperti yang dicita-citakan. Nilai-nilai mulia yang
Kerajaan terapkan dalam pentadbiran negara adalah
berdasarkan kepada nilai-nilai yang disebutkan itu.
6. Kita mestilah sentiasa sedar bahawa setiap kejayaan
yang ingin dicapai hendaklah melalui pemilikan sifat-sifat
mulia ini dan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal
rasa jemu dan putus asa. Tiada kejayaan dan kemenangan yang
dapat dicapai dengan mudah tanpa adanya kedua-dua perkara
tersebut. Dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W. pun
tiada kejayaan yang diperolehi oleh Baginda dan para sahabat
Baginda melainkan melalui usaha-usaha perancangan,
perundingan dan pelaksanaan yang tersusun, dan bersungguh-
sungguh. Segala harapan dan cita-cita mestilah disertai
dengan perancangan, usaha dan ikhtiar.
7. Peristiwa Peperangan Khandak misalnya telah membuktikan
bahawa Rasulullah dan para sahabat Baginda menggunakan akal
fikiran dan bermesyuarat dengan sebaik-baiknya, merancang
dan bertindak secara kolektif melalui strategi yang betul.
Dalam peristiwa itu umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah
telah berjaya mengalahkan musuh hasil daripada usaha mereka
yang bersungguh-sungguh. Sebaliknya dalam perang Uhud oleh
kerana pasukan Baginda tidak berdisiplin, mereka kalah.
Inilah sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang harus memandu kita.
Allah telah menunjukkan dengan jelasnya betapa pentingnya
sifat-sifat yang mulia dalam menentukan kejayaan di dunia
dan di akhirat. Jika Nabi boleh kalah kerana kelemahan
pengikut-pengikut Baginda, apatah lagi kepimpinan oleh
manusia biasa.
8. Dalam kita mengharungi dan menangani arus kemajuan ini
kita tidak terlepas daripada menempuh pelbagai keadaan,
cabaran dan dugaan. Segala cabaran dan dugaan yang buruk
yang bercanggah dengan nilai-nilai moral dan pegangan agama,
kini lebih mudah berleluasa dan memecah masuk ke dalam
tembok budaya kita. Melalui peralatan-peralatan yang
canggih seperti satelit, segala apa yang berlaku di dunia
luar boleh terus dilihat di dalam rumah-rumah kita. Bagi
melawan arus ini, kita tidak lagi mampu atau boleh membuat
peraturan-peraturan untuk menyekat orang lain daripada
mengembangkan nilai-nilai dan budaya yang buruk di kalangan
kita. Penapisan dan pendinding yang boleh menjadi benteng
bagi umat Islam ialah pegangan kepada nilai-nilai yang mulia
yang boleh mengukuhkan ketahanan diri sendiri. Oleh itu,
umat Islam perlulah memiliki sifat-sifat hasil pegangan ini
kerana Allah S.W.T. menjadikan sesuatu yang buruk itu
sebagai dugaan untuk menguji hamba-hambaNya.
9. Salah satu elemen yang tidak kurang pentingnya dalam
usaha kita mencapai kesejahteraan hidup di dunia ini ialah
perpaduan di kalangan umat. Walaupun soal ini bukan perkara
baru tetapi kita mestilah sedar bahawa kegagalan kita
beroleh sesuatu kejayaan ialah kerana adanya perpecahan di
kalangan umat Islam hari ini. Kita sedang melihat bagaimana
perpecahan di kalangan umat Islam menguntungkan musuh-musuh
Islam.
10. Orang yang tidak mengutamakan perpaduan jelas
mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka hanya menonjol-
nonjolkan identiti kumpulan dan perkara-perkara yang
bersifat individualistik dan sementara. Inilah penyakit
yang sukar untuk diubati di dalam masyarakat Islam hari ini.
Jika perkara-perkara seperti ini masih menguasai kita, maka
masalah yang lebih besar tidak akan dapat diputuskan.
11. Oleh itu, sempena kita memperingati hari Maulidur Rasul
ini marilah kita bersama-sama membetulkan tekad dengan
menumpukan kepada soal-soal yang lebih utama ke arah
membangunkan kecemerlangan umat dan sekaligus mengenepikan
unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan perpaduan kita.
Setiap umat Islam juga mestilah mempunyai fikiran yang lebih
terbuka, mempunyai kemahuan yang kuat untuk maju ke depan
dan memperlengkapkan diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan yang
luas dan berdaya maju, mempunyai daya tahan serta daya saing
yang unggul. Jika umat Islam masih tidak mahu atau tidak
sanggup menyaingi arus kemajuan ini maka selama-lamanyalah
umat Islam akan lemah, akan ditindas dan mungkin dipisah
daripada agama mereka.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|
|