Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STESEN KERETAPI KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 11/09/92
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PELANCARAN
KORPORATISASI KERETAPI TANAH MELAYU
Saya mengucapkan terima kasih kerana menjemput saya
untuk merasmikan pelancaran Syarikat KTM Berhad berikutan
dengan korporatisasi Keretapi Tanah Melayu yang telah
berkuatkuasa pada 1 Ogos 1992. Saya percaya dalam tempoh
sebulan ini, banyak perubahan dan pembaharuan telah
diperkenalkan oleh pihak syarikat bagi menjamin kejayaan
korporatisasi ini, terutamanya dalam menjadikan KTM Berhad
sebagai sebuah syarikat yang berdaya maju.
2. Pada saat pelancaran KTM Berhad ini, suka saya
mengimbas kembali pencapaian dalam pelaksanaan dasar
penswastaan semenjak ianya dilancarkan pada pertengahan
tahun 1983. Matlamat utama dasar penswastaan ialah untuk
meningkatkan kecekapan dan mutu khidmat yang boleh diberi
oleh beberapa perkhidmatan yang, mengikut tradisi dianggap
sebagai tanggungjawab Kerajaan. Pada asalnya Kerajaan
memasuki bidang khidmat atau "utility services" kerana
dipercayai ia tidak akan membebankan rakyat memandangkan
adanya elemen "cross subsidy" melalui cukai-cukai yang
dipungut daripada punca lain. Kemudian pihak sosialis
berpendapat jika sesuatu usaha dimiliknegarakan maka
keuntungan sepenuhnya dan tidak semata-mata cukai akan
diperolehi oleh Kerajaan dan ini dapat diagihkan kepada
rakyat melalui berbagai-bagai khidmat dan subsidi.
3. Sebenarnya teori sosialis ini tidak tepat. Segala-gala
yang dimiliknegarakan oleh Kerajaan tidak mendatangkan
keuntungan tetapi sebaliknya memerlukan bantuan wang
daripada Kerajaan. Oleh kerana perusahaan besar sudah
dimiliknegarakan dan rugi, cukai Kerajaan ke atas perniagaan
dan perusahaan sendirian juga berkurangan. Dengan ini,
pembiayaan khidmat miliknegara tidak dapat diberi kerana
Kerajaan tidak dapat menambah cukai.
4. Di negara komunis di mana perniagaan sendiri atau
swasta ditegah sama sekali, keadaan menjadi lebih buruk.
Walaupun kos khidmat tidak tinggi tetapi ianya buruk dan
tidak dapat memenuhi permintaan rakyat. Jauh daripada
menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa, mereka menjadi
lebih miskin. Hanya pemimpin komunis sahaja yang hidup
mewah.
5. Selepas hampir dua abad baharulah hakikat yang sebenar
berkenaan dengan sosialis dan komunis diakui. Tetapi dalam
masa itu semuanya sudah rosak dan memerlukan masa yang
panjang untuk dipulihkan semula.
6. Kita di Malaysia, walaupun menolak komunisma dan
sosialisma, tetapi tertarik juga dengan konsep perusahaan
milik negara. Tetapi tujuan kita bukanlah kerana percaya
kepada sosialisma, tetapi untuk melakukan "social engineer-
ing" terhadap masyarakat yang tidak seimbang ekonominya.
Malangnya kebanyakan daripada usaha dan perniagaan yang
dimiliknegarakan tidak membawa keuntungan, dan dengan itu
tidak berjaya mengatasi masalah ketidakseimbangan antara
kaum.
7. Hari ini kita beralih kepada penswastaan sebagai
pendekatan yang boleh menguntungkan semua pihak. Walaupun
pada mulanya kakitangan agensi yang hendak diswastakan
menentang pendekatan ini, tetapi hari ini mereka telah sedar
bahawa penswastaan menguntungkan mereka. Di samping itu
orang ramai pula dapat menikmati khidmat yang lebih baik.
8. Bagi Kerajaan, penswastaan berjaya mengurangkan
perbelanjaan pengurusan. Bilangan pekerja Kerajaan dapat
dikurangkan dan sebaliknya pendapatan Kerajaan dapat
dinaikkan melalui cukai korporat ke atas khidmat yang
diswastakan yang memperolehi keuntungan. Dengan ini
Kerajaan lebih mampu membiayai bahagian pembangunan yang
tidak dapat diswastakan, membayar gaji kakitangannya yang
meningkat dan juga memberi subsidi di mana perlu. Jelaslah
bahawa penswastaan menguntungkan semua pihak dan negara,
baik daripada segi kewangan mahupun daripada segi kualiti
khidmat.
9. Berlandaskan kepada kejayaan ini, saya percaya bahawa
penswastaan KTM Berhad melalui perancangan yang lebih kemas
dan teratur akan dapat menjadi sebuah syarikat pengangkutan
yang mempunyai daya maju yang tinggi tanpa perlu bergantung
kepada Kerajaan. Malahan KTM Berhad hendaklah menjadikan
penswastaannya sebagai satu cabaran bagi meningkatkan lagi
kecekapan dan produktivitinya untuk menjamin supaya
keputusan Kerajaan mengkorporatkan KTM ini juga berjaya
seperti keputusan yang telah dibuat untuk entiti-entiti
lain. Langkah Kerajaan memperbadankan KTM adalah bertujuan
untuk menjadikannya sebagai sebuah badan korporat yang
berorientasikan komersil. Tindakan ini memulakan satu era
baru di mana KTM diberi peranan dan matlamat yang baru dan
cabaran baru untuk dihadapi. Semuanya ini memerlukan KTM
mewujudkan satu bentuk keazaman dan tekad baru untuk
berkhidmat dengan lebih cekap bagi memenuhi keperluan
pembangunan negara.
10. KTM merupakan salah sebuah agensi pengangkutan darat
yang terbesar di negara ini. Sebelum pengangkutan jalan
berkembang di Malaysia keretapilah yang menjadi pilihan
utama bagi kebanyakan rakyat. Malangnya kemudian KTM tidak
berjaya bersaing dengan pengangkutan jalan. Ini tidak
semestinya begitu. Sebenarnya keretapi mempunyai banyak
keistimewaan yang tidak ada pada pengangkutan udara dan
jalan.
11. Untuk pengangkutan udara, perjalanan pergi dan balik
dari lapangan terbang mengambil masa yang panjang.
Penumpang terpaksa berada di lapangan terbang satu jam lebih
awal. Sebaliknya melalui keretapi, penumpang boleh berjalan
dari tengah bandar ke tengah bandar destinasi tanpa perlu
menghadirkan diri terlalu awal. Sebenarnya dalam perjalanan
yang kurang dari 200 kilometer, keretapi lebih cepat
daripada kapalterbang.
12. Demikian juga dengan pengangkutan jalan yang kerapkali
penuh sesak dengan kereta, dan perjalanan terhenti-henti,
kadang-kadang sampai sejam. Keretapi dapat "right of way"
dan tidak perlu berhenti. Jadualnya tetap dan tambangnya
murah daripada penerbangan dan bagi seseorang, murah
daripada kereta sendiri.
13. Justeru itu, tabiat menggunakan keretapi boleh
dihidupkan semula. Jika stesen-stesen dibangunkan sebagai
pusat membeli-belah seperti terminal lapangan terbang,
perjalanan bukan sahaja lebih menarik tetapi khidmat
keretapi juga boleh untung.
14. Banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menambahkan
pendapatan khidmat keretapi. Bonded warehouse, inland port,
container yard dan parcel delivery service semuanya
berpotensi. Justeru itu tidak ada sebab kenapa khidmat
keretapi yang diswastakan ini tidak boleh meraih keuntungan.
Yang diperlukan ialah kegigihan dan dedikasi pengurusan dan
pekerjanya dan kesanggupan mencuba idea dan pendekatan baru
untuk meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan khidmat.
15. Pelaburan untuk menaikkan tahap sistem memang tinggi.
Keretapi Malaysia harus menggunakan kuasa letrik, double
tracking dan landasan bertingkat. Oleh kerana keperluan
pelaburan yang tinggi inilah maka Kerajaan sanggup
memindahmilik banyak harta dan tanah dengan taksiran yang
rendah. Aset ini boleh digunakan oleh KTM dan Railway As-
sets Corporation untuk membiayai pelaburan yang tinggi.
Untuk tujuan ini, KTM dan RAC harus dianggap sebagai rakan
kongsi dan bukan sebagai syarikat yang bersaing. Memang pun
aset RAC adalah sebahagian daripada KTM. Pengasingannya
ialah untuk kepentingan accounting dan urusan.
16. Saya berpendapat bahawa jika pengurusan KTMB adalah
dinamik, masa depan syarikat ini adalah cerah. Pekerja KTMB
juga perlu memainkan peranan yang penting. Seperti dengan
agensi-agensi lain yang telah diswastakan, pekerja akan
mendapat saham dalam syarikat ini. Mungkin ramai yang akan
menjual saham-saham ini. Tetapi hakikatnya ialah gaji dan
bonus bergantung kepada prestasi keuntungan syarikat.
17. Pekerja KTMB perlu bersaing dengan MAS dalam melayan
penumpang dan pelanggan KTMB. Khidmat yang baik tetap
menolong dan tidak merugikan sesiapa. Tetapi khidmat yang
buruk tetap akan merugikan.
18. Saya harap dan percaya perhubungan antara eksekutif dan
pekerja serta kesatuan menjadi baik. Pekerja harus diberi
suara dalam soal khidmat untuk membaikinya. Amalan bertemu
dengan kesatuan hanya apabila soal gaji timbul tidak harus
dikekalkan. Jaya atau tidaknya KTMB mempunyai kesan secara
langsung terhadap pendapatan pekerja. Dengan KTMB menjadi
syarikat swasta, bantuan kewangan daripada Kerajaan untuk
membayar gaji dan pelaburan tidak ada lagi. Nasib pekerja
dan eksekutif bergantung kepada kecekapan dan jenis khidmat
yang diberi oleh mereka. Dalam perniagaan, yang penting
ialah daya saing. Jika kerana khidmat kurang baik atau
terlalu mahal, penumpang akan memilih untuk menggunakan
jalanraya atau penerbangan. Jika kos tinggi dan keuntungan
tidak diperolehi, tidak ada pihak lain yang boleh disalahkan
melainkan KTMB sendiri apabila gaji tidak naik dan bonus
tidak diberi.
19. Saya percaya KTM Berhad dapat menampung bukan sahaja
keperluan para penumpang tren tetapi juga keperluan sektor
perindustrian. Perkhidmatan keretapi bukan sahaja tertumpu
kepada pengangkutan penumpang-penumpang sahaja tetapi lebih
penting keretapi boleh digunakan untuk membantu usaha-usaha
pembangunan sektor perindustrian, terutamanya dalam
menyediakan kemudahan pengangkutan barangan hasil
perindustrian pada kadar kos yang rendah. Oleh itu,
tindakan-tindakan hendaklah diambil untuk menjamin supaya
pengangkutan keretapi dapat memenuhi keperluan ini dengan
berkesan untuk membantu usaha-usaha pembangunan
perindustrian negara. Kejayaan keretapi memenuhi semua
keperluan baru ini akan menggalakkan pelabur-pelabur untuk
melabur dalam bidang pengangkutan keretapi.
20. Saya difahamkan bahawa di samping memberi tumpuan
kepada sistem pengangkutan rel, KTM Berhad juga sedang
berusaha untuk menerokai bidang-bidang perniagaan baru
kerana sebagai badan swasta, KTM Berhad mempunyai autonomi
pengurusan dan kebebasan untuk menarik pelabur-pelabur serta
mempelbagaikan aktiviti perniagaan. Namun begitu, sukalah
saya mengingatkan bahawa dalam melaksanakan sebarang
aktiviti perniagaan baru, KTM hendaklah peka terhadap
tanggungjawab utamanya untuk menyediakan perkhidmatan
pengangkutan yang cekap. Seelok-eloknya sebarang bidang
perniagaan baru yang akan diceburi itu hendaklah berkaitan
dengan kegiatan utama KTM supaya KTM lebih kompetitif
berbanding dengan pengangkutan lain.
21. Selaras dengan dasar Kerajaan untuk menggalakkan
pelancongan, bidang pengangkutan mempunyai masa depan yang
cerah. Oleh itu, adalah penting bagi KTM Berhad memastikan
perkhidmatan yang selesa, cekap, cepat dan bermutu. Malah
jalinan rangkaian keretapi yang menghubungi negara-negara
jiran adalah amat sesuai untuk tujuan pelancongan. Ini
disertai juga dengan rangkaian keretapi yang menghubungi
bandar-bandar utama yang boleh dieksploitasikan untuk
pergerakan penumpang yang popular.
22. Cadangan sambungan rel ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Sepang yang akan dijalankan secara penswastaan merupakan
manifestasi kepentingan peranan pengangkutan rel pada masa
hadapan. Pemilihan Malaysia sebagai negara tuan rumah
Sukan Komanwel memerlukan penyediaan kemudahan termasuk
pengangkutan diberi perhatian sewajarnya. Perkembangan-
perkembangan ini memerlukan KTM Berhad mengambil tindakan
yang segera bagi membuat persediaan untuk memenuhi keperluan
dan harapan pelanggan yang meningkat selaras dengan falsafah
perniagaan yang berorientasikan pelanggan dan digerakkan
oleh pasaran.
23. Saya yakin bahawa dengan usaha yang sedang
dilaksanakan, KTM Berhad akan dapat menyediakan satu bentuk
pengangkutan yang berkesan, dinamik dan popular. KTM perlu
memandang perkembangan yang lepas sebagai titik tolak untuk
kemajuan pada masa hadapan bagi mencapai mutu perkhidmatan
yang lebih cemerlang.
24. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran KTM Berhad.
|