Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MUKTAMAR, PUSAT ISLAM 
			MALAYSIA, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	12/09/92 
Tajuk/Title  	: 	MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN TAHUNAN 
			KUB KE-12 


 
    Saya   mengucapkan  terima  kasih  kepada  Jawatankuasa
Penganjur kerana menjemput saya pada pagi ini dan seterusnya
merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Usaha
Bersatu (KUB) ke-12 ini.
2.   Kini  lebih  daripada  setahun  berlalu  semenjak  kita
melancarkan  semula  KUB  untuk  memberi  nafas  baru kepada
koperasi ini  di  samping  mengusahakan  kempen  menambahkan
bilangan ahli.
3.   Pergerakan  koperasi  merupakan satu dimensi penting di
dalam  proses  pembangunan  negara.    Di  bidang  pertanian
misalnya  kaum  tani menggemblengkan tenaga melalui koperasi
pertanian  demi  mempertingkatkan  penjualan  hasil   mereka
dengan lebih cekap.  Juga koperasi pengguna ditubuhkan untuk
memanfaatkan  ahli-ahlinya  mendapatkan  bahan  makanan pada
harga borong.   Perkembangan koperasi di  era  perindustrian
yang  pesat  haruslah  sejajar  dengan  keadaan,  selera dan
kehendak masyarakat yang semakin canggih.
4.   Kita  dapati  bahawa   apabila   prinsip-prinsip   yang
mendorongkan    pembentukan    dan    pembangunan   koperasi
dipraktikkan dengan bersungguh-sungguh dan jujur, pergerakan
koperasi tidak mungkin pupus.  Prinsip asas  koperasi  ialah
satu  pergerakan  oleh  pengguna untuk pengguna.  Sekelompok
masyarakat menggemblengkan sumber-sumber mereka yang  terhad
untuk  melepasi cengkaman orang tengah dan menjaminkan harga
dan pulangan yang  lebih  baik,  atau  pinjaman  yang  lebih
murah,  untuk ahli-ahlinya.   Koperasi pada lazimnya bermula
dengan tujuan yang baik.
5.   Tujuan koperasi bukan  untuk  mencari  keuntungan  yang
besar tetapi untuk mengurangkan kos sara hidup ahli-ahlinya.
Secara  tidak  langsung  pengurangan  kos kepada ahli adalah
sama dengan  keuntungan.    Keuntungan  yang  didapati  oleh
koperasi adalah suatu bonus.
6.   Sejarah  pergerakan  koperasi  dan  penutupan  Koperasi
Pengambilan Deposit (KPD) merupakan salah satu  babak  hitam
di  dalam  pembangunan koperasi di Malaysia.  Pengalaman itu
tidak patut dilupakan dan dibiarkan berulang.  Saya  percaya
kegagalan  KPD  masih  tidak  lekang  daripada ingatan kita.
Enam tahun dahulu Bank Negara terpaksa membekukan  harta  24
KPD  yang  mengalami  keadaan  kewangan  yang runcing kerana
pengurusan  yang  tidak  cekap,  kekurangan  pengalaman  dan
profesionalisme,  tindakan  yang  kurang  bijak dan di dalam
banyak kes, rasuah yang nyata.   Banyak  KPD  diletakkan  di
bawah  kuasa  penerima  dan  beberapa  pemimpin  yang  korup
dipenjarakan.
7.   Kehidupan ramai orang habis musnah dan  ramai  keluarga
hilang  semua  simpanan  yang  mereka kumpulkan dengan susah
payah.  Hampir 600,000 penyimpan hilang lebih  daripada  1.5
billion ringgit.  Kerajaan telah mengetatkan peraturan untuk
memastikan  perkara  yang  sama tidak berulang lagi.  Tetapi
soalnya  ialah  mengapa  penyelewengan  sedemikian  berlaku?
Banyak  pengajaran  berguna  boleh  ditimba  dengan merenung
kembali  kesilapan  masa  lampau  dan   memusatkan   kembali
perhatian  kita  kepada  prinsip-prinsip koperasi yang boleh
menentukan kejayaan.
8.   Prestasi KUB pula harus  dinilai  semula.    Pada  awal
tahun  1980an  KUB dan anak-anak syarikatnya mempunyai harta
sebanyak 1.4 billion ringgit.  Tetapi di  dalam  tahun-tahun
kebelakangan,  KUB mengalami pergurusan yang lemah hinggakan
pada  tahun  lepas,  tahun  KUB  dilancarkan  semula,  harta
Kumpulan   KUB  merosot.    Di  samping  itu,  Kumpulan  KUB
mempunyai kerugian terkumpul sebanyak 95  juta  ringgit  dan
tanggungan sebanyak 120 juta ringgit.
9.   Jelas  sekali bahawa perniagaan dan politik tidak boleh
dicampur aduk secara  langsung.    Tugas  dan  tanggungjawab
politik  ialah menyediakan prasarana dan kemudahan-kemudahan
lain supaya  perniagaan  dan  ekonomi  dapat  tumbuh  dengan
sihat.  Ada pihak yang berpendapat bahawa jika kuasa politik
dapat  digunakan  oleh  mereka  maka  keuntungan  besar akan
diperolehi.  Justeru itu peniaga sering meminta ahli politik
yang  berkuasa  supaya  menyalahgunakan  kuasa  mereka  bagi
kepentingan  peniaga  tertentu.   Jika ini berlaku, akhirnya
akan rosaklah ekonomi negara dengan  dilanda  oleh  kegiatan
rasuah yang meluas.
10.  Saya  berharap pemimpin-pemimpin KUB yang berwajah baru
akan  muncul  di  barisan  hadapan  pergerakan  koperasi  di
Malaysia.   Inilah masanya bagi Bumiputera yang jujur tampil
ke depan untuk memegang teraju kepimpinan di dalam  KUB  dan
menjadikannya  sebuah  pertubuhan yang kukuh dan mampu bukan
sahaja untuk menarik ahli-ahli Bumiputera tetapi  juga  kaum
bukan Bumiputera.
11.  Saya  percaya ahli-ahli pengarah KUB yang baru memiliki
kecekapan  ikhtisas.    Tetapi  saya  ingin  menyeru  kepada
pengarah-pengarah supaya sentiasa mengikuti perkembangan dan
aliran  terkini  di  dalam  pembangunan ekonomi dan di dalam
industri  dan  pasaran  kewangan.    Jika  kita  menyalahkan
kemelesetan  ekonomi  di  dalam  tahun-tahun  1985  dan 1986
sebagai salah satu sebab utama  kegagalan  KPD,  kita  bukan
sahaja  memilih  jalan keluar yang mudah tetapi juga membuat
suatu  penilaian  yang  salah.    Banyak  negara   mengalami
kemerosotan  ekonomi  yang  lebih  teruk  daripada  Malaysia
tetapi pergerakan koperasi mereka  tetap  kukuh.    Terdapat
koperasi  di Malaysia yang berjaya mengharungi zaman meleset
dan masih berjalan dengan baik masa kini.
12.  Memang  benar  jika  dikatakan   bahawa   semua   orang
menghadapi  masalah di dalam zaman meleset.  Tetapi koperasi
yang gagal ialah koperasi yang membuat  pelaburan  di  dalam
sektor  yang  tidak tepat pada masa itu seperti hartanah dan
bangunan dan terlibat dengan anak syarikat  atau  perniagaan
yang   mengalami   kerugian  atau  yang  gagal  menghasilkan
pendapatan.  Pelaburan hendaklah setakat yang mampu  sahaja.
Demi untuk mengejar keuntungan yang cepat, ada pula koperasi
yang  terlibat  di  dalam urusan kewangan yang kompleks yang
sebenarnya merupakan urusniaga di atas kertas sahaja.
13.  Pendek  kata  kebanyakan  koperasi  tidak  peka  kepada
selok-belok  dunia  perniagaan  dan gagal untuk mentafsirkan
petanda-petanda  ekonomi  dengan  betul.    Di   sebaliknya,
terdapat   koperasi  yang  berjaya  mengharungi  kemerosotan
ekonomi dan mempunyai kedudukan  kewangan  yang  kukuh  hari
ini.    Jadi, selain daripada pemimpin yang cekap, jujur dan
tidak bermain politik, kejayaan sesebuah koperasi bergantung
kepada kepekaan  terhadap  perniagaan.    Kepekaan  terhadap
perniagaan bermakna koperasi sepatutnya dikendalikan seperti
syarikat persendirian, iaitu membuat keuntungan dan membayar
dividen  kepada  ahli-ahli.   Kerajaan tidak akan menanggung
beban kerugian institusi kewangan, baik  koperasi,  syarikat
mahupun  badan berkanun.  Sekiranya ini dilakukan, maka kita
akan menggalakkan institusi yang tidak cekap.
14.  Kerajaan telah  menggubal  beberapa  rancangan  ekonomi
seperti  Dasar  Pembangunan  Negara  dan  Rancangan Malaysia
Keenam selaras dengan  matlamat  untuk  menjadikan  Malaysia
sebuah negara maju menjelang tahun 2020.  Satu unsur penting
di   dalam  Wawasan  2020  ialah  usaha  untuk  meningkatkan
kemampuan dan kebolehan kaum Bumiputera untuk  mengendalikan
harta  kekayaan  mereka dengan baik.  Malaysia tidak mungkin
berjaya menjadi sebuah  negara  maju  jika  kaum  Bumiputera
masih  belum  berjaya  mengendalikan  harta  kekayaan mereka
seperti kaum bukan  Bumiputera.    Dalam  hal  ini  koperasi
merupakan  satu  bidang yang baik bagi kaum Bumiputera untuk
mempelajari  cara-cara  dan   pendekatan   untuk   mengatasi
kelemahan pengurusan, pembentukan ciri-ciri keusahawanan dan
sebagainya.
15.  Apakah kunci kepada kejayaan sesebuah koperasi?  Adakah
ia  terhad  kepada  menggunakan pengaruh politik?  Pemimpin-
pemimpin  KUB  harus  sentiasa  mengenalpasti  bidang-bidang
pelaburan  yang  baru  demi untuk menentukan koperasi mereka
dapat berkembang, terus  kukuh  dan  relevan  di  dalam  era
1990an dan seterusnya.
16.  KUB  hendaklah  menceburkan  diri di bidang-bidang yang
mempunyai banyak potensi di samping memberi  peluang  kepada
mereka  yang  kurang  bernasib  baik  untuk  memajukan  diri
mereka.    Ini  sejajar  dengan  semangat   yang   mendorong
penubuhan koperasi.
17.  Penglibatan  di  dalam industri pendidikan bukan sahaja
merupakan langkah yang bijak daripada segi  kewangan  tetapi
juga   memenuhi   keperluan   pendidikan  di  kalangan  kaum
Bumiputera lepasan sekolah.  Saya harap lebih  banyak  kolej
swasta  akan  ditubuhkan  di  seluruh  negara mengikut jejak
Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) yang  menggunakan
Bahasa  Malaysia sebagai bahasa pengantar.  Namun, kefasihan
dalam bahasa Inggeris perlu diberi perhatian.
18.  Pendidikan merupakan salah satu tunjang di dalam  usaha
kita  menjadi sebuah negara yang maju.  Saya gembira melihat
kursus-kursus peringkat diploma dan sijil  diperkenalkan  di
dalam bidang-bidang perakaunan, pengurusan perniagaan, sains
komputer  dan  pengurusan pejabat.   Kursus-kursus baru yang
memenuhi keperluan ekonomi kita yang pesat  berkembang  juga
harus diperkenalkan.
19.  Pergerakan  koperasi  di  Malaysia kini mempunyai empat
juta  orang  ahli  dan  mempunyai   banyak   potensi   untuk
berkembang.    KUB hendaklah memainkan peranan yang besar di
dalam memulihkan keyakinan  ahli-ahli  di  dalam  pergerakan
koperasi.    Sungguhpun bilangan ahli KUB meningkat daripada
112,000 kepada  116,000  semenjak  kita  melancarkan  semula
koperasi  ini  pada tahun lepas, pertambahan ini agak kecil.
Kebanyakan ahli melabur kurang daripada 1,000 ringgit, malah
ada yang melabur hanya 100 ringgit.  Tabung pelaburan  masih
kecil,  kira-kira 20 juta ringgit, dan ini menyulitkan usaha
untuk mencebur diri di dalam bidang-bidang  yang  memerlukan
pelaburan  yang  tinggi.   Cabaran untuk tuan-tuan dan puan-
puan ialah untuk memberi nafas baru kepada koperasi ini.  Di
dalam zaman perubahan yang  pesat,  di  mana  komputer  yang
dianggap  canggih  pada hari ini sudah menjadi usang di hari
esok  dan  bidang-bidang  teknologi   dan   kewangan   turut
mengalami  perubahan  yang  pesat,  adakah KUB bersiap sedia
untuk menghadapi cabaran zaman perubahan?
20.  Kita berada di ambang perubahan  yang  besar  menjelang
abad   ke-21.     Apakah  prestasi  koperasi  daripada  segi
keahlian, tabung pelaburan dan  pulangan  kepada  ahli  pada
akhir-akhir  ini?   Wawasan 2020 memerlukan kecemerlangan di
dalam berbagai-bagai  bidang  untuk  memastikan  kita  dapat
memenuhi hasrat dan cita-cita rakyat Malaysia.  Ramai rakyat
Malaysia  menaruh kepercayaan kepada tuan-tuan dan puan-puan
dengan melabur di dalam KUB.  Mereka berharap tuan-tuan  dan
puan-puan akan menghormati kepercayaan tersebut.
21.  Dalam  menentukan  kejayaan, KUB harus membentuk budaya
korporat  yang  tersendiri.    KUB  perlu  matlamatnya  yang
tersendiri,  mempunyai kefahaman yang jelas mengenai peranan
yang boleh dimainkan di dalam pembangunan ekonomi  Malaysia,
dan mengatur strategi yang berkesan untuk mencapai matlamat-
matlamatnya.  Untuk melaksanakan kesemua ini, KUB memerlukan
kakitangan  yang  taat  kepada  organisasi  dan  juga kepada
perjuangan pergerakan koperasi.
22.  Hanya dengan pengurusan yang lebih  cekap  dan  khidmat
kakitangan  yang  lebih  baik  sahaja  yang  boleh  menjamin
kejayaan KUB untuk menarik lebih ramai ahli dan  menambahkan
tabung pelaburan.
23.  Budaya  korporat  yang dinamik sepatutnya menggabungkan
falsafah dan etika kerja yang  terbaik  daripada  Timur  dan
Barat.   Khususnya, KUB seharusnya menunjukkan kesetiaan dan
komitmen yang tinggi  kepada  organisasi,  dan  berpandangan
jauh  dan  mempunyai  mission yang jelas.   Ambillah risiko,
tetapi janganlah cuba meraih keuntungan  yang  cepat  kerana
selalunya  keuntungan  yang  cepat  mudah  bertukar  menjadi
kerugian yang cepat dan besar.    Pandangan  jangka  panjang
sepatutnya  tidak  hanya mengutamakan keuntungan tetapi juga
matlamat-matlamat KUB yang lain seperti menambahkan bilangan
ahli,   memajukan   pergerakan   koperasi,    dan    memberi
perkhidmatan serta memelihara kebajikan ahli.
24.  Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat
Tahunan Koperasi Usaha Bersatu Ke-12.

 
 



 
Google