Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 14/09/92
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM RASMI SEMPENA
MERAIKAN PRESIDEN NAMIBIA TUAN
YANG TERUTAMA DR SAM NUJOMA
Dengan rasa penuh gembira saya mengalu-alukan kunjungan
Tuan Yang Terutama selaku Presiden Namibia yang merdeka dan
ahli-ahli rombongan yang pertama kali melawat Malaysia
secara rasmi. Walaupun ini merupakan lawatan rasmi pertama
Tuan Yang Terutama, perhubungan kita sudah lama wujud
semenjak perjuangan Tuan Yang Terutama mendapatkan
pembebasan. Kali pertama saya dapat berjumpa dengan Tuan
Yang Terutama sebagai Presiden Republik Namibia ialah di
Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Negara Komanwel (CHOGM) di
Harare pada tahun 1991 dan sekali lagi baru-baru ini di
Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di
Jakarta.
2. Walaupun negara kita terletak jauh antara satu sama
lain, rakyat Malaysia telah mengikuti dengan penuh prihatin
perjuangan rakyat Namibia, di bawah kepimpinan Tuan Yang
Terutama yang bijaksana, untuk membebaskan Namibia daripada
cengkaman kolonialisma. Sudah lebih satu abad rakyat Tuan
Yang Terutama mengalami penghinaan daripada penindasan dan
diskriminasi. Walaupun begitu bersungguh-sungguh pihak
kolonial memaksa rakyat Tuan Yang Terutama menyerah diri,
semangat mereka begitu cekal menentang musuh negara. Harga
yang mereka terpaksa bayar dalam perjuangan penentangan
mereka itu adalah tinggi dan sungguh menyiksakan dan kesan-
kesan daripada sistem lama itu masih terus kekal hingga ke
hari ini. Perjuangan pembebasan Tuan Yang Terutama
merupakan satu inspirasi yang tetap kekal di ingatan semua
kerana Tuan Yang Terutama berjuang bukan untuk mencapai
kemerdekaan politik semata-mata tetapi untuk kemenangan
prinsip-prinsip moral yang tinggi -- hak seseorang manusia
untuk berdiri sama rata.
3. Dengan pencapaian kemerdekaan dua tahun yang lalu
negara Tuan Yang Terutama telah memasuki era baru dalam
sejarahnya. Ianya, saya pasti, merupakan satu era yang pal-
ing menarik dan mencabar kepada para pemimpin dan rakyat
Namibia ketika Tuan Yang Terutama berusaha mengukuhkan dan
memberi makna kepada kemerdekaan yang dicapai itu.
Sepertimana pengalaman kami sendiri, tugas ini adalah amat
berat. Tetapi kami amat berpuas hati terhadap usaha-usaha
besar yang dilakukan oleh kerajaan Tuan Yang Terutama dalam
membawa kemajuan ekonomi dan sosial di Namibia. Oleh kerana
peninggalan warisan kolonial, Tuan Yang Terutama terpaksa
menghadapi keperluan untuk membetulkan ketidakseimbangan
yang begitu ketara dalam pendapatan, pendidikan, peluang-
peluang ekonomi, pemilikan tanah, dan mendapatkan kemudahan-
kemudahan asas dan perkhidmatan di kalangan rakyat Tuan Yang
Terutama. Pendekatan Tuan Yang Terutama dalam menghadapi
masalah-masalah ini amatlah bijak dan baik untuk dicontohi.
Ini dapat dibuktikan dengan tiadanya tentangan dan kekerasan
yang lazimnya berlaku dalam pemindahan kuasa Kerajaan.
Penyusunan semula masyarakat tidak semestinya dipengaruhi
oleh pengalaman silam yang penuh kepahitan.
4. Namibia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber-
sumber asli dan justeru itu mempunyai ciri-ciri yang
diperlukan untuk berjaya di bidang ekonomi. Adalah
mencukupi untuk setiap orang berkongsi secara adil. Kita
tidak ragu-ragu bahawa melalui dasar-dasar yang cermat yang
digubal oleh kerajaan Tuan Yang Terutama, Namibia akan
berjaya mengatasi kesulitan-kesulitannya sekarang akibat
kemarau yang teruk melanda negara Tuan Yang Terutama.
5. Malaysia akan terus menyumbang mengikut kemampuannya
terhadap usaha-usaha pembangunan yang sedang dijalankan di
Namibia. Terdapat banyak persamaan dalam keadaan di antara
Malaysia dengan Namibia. Kita sama-sama adalah negara
membangun yang berbilang kaum yang sedang berusaha mencapai
pertumbuhan ekonomi dengan saksama. Usaha mencapai
perpaduan di kalangan rakyat kita daripada pelbagai asal
keturunan adalah satu-satunya faktor penting dalam
menentukan kejayaan usaha-usaha pembangunan kita, kerana di
situlah letaknya asas di mana kita menaruh harapan untuk
membina sebuah negara yang maju dan makmur.
6. Sebagai negara membangun kita terdedah kepada
perubahan-perubahan yang berlaku di arena dunia, politik dan
ekonomi. Berakhirnya perang dingin pada mulanya disambut
dengan gembira. Selepas beberapa dekad persaingan kuasa
besar yang merosakkan, masyarakat antarabangsa mempunyai
peluang yang paling baik untuk merumuskan satu orde dunia
yang adil dan saksama. Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya
sekejap sahaja. Perkembangan-perkembangan terbaru telah
menimbulkan persoalan terhadap asas-asas yang dilandaskan
oleh orde dunia baru ini. Sepatutnya apa yang harus
dipastikan ialah berlakunya keadilan dan rasa hormat
terhadap prinsip-prinsip perhubungan antarabangsa, tetapi
beberapa negara menggunakan tindakan sewenang-wenangnya dan
secara bersendirian telah mengenakan nilai-nilai dan paksaan
ke atas negara-negara lain.
7. Di bidang ekonomi, pelbagai bentuk sekatan bukan-tarif
yang telah diwujudkan mengikut cara perdagangan bebas dan
pengenalan elemen-elemen baru seperti harta intelektual,
kandungan tempatan dan cukai yang diskriminasi telah
menghalang perdagangan dunia dengan serius. Ini boleh
menyebabkan pertumbuhan ekonomi dunia menjadi perlahan yang
kemudiannya akan turut memberi kesan yang buruk kepada
ekonomi kita yang begitu terbuka dan bergantung kepada
perdagangan luar.
8. Perkembangan seumpama itu agak membimbangkan. Dividen
keamanan dan keselamatan daripada berakhirnya perang dingin
tetap tinggal satu harapan sahaja. Negara-negara yang lemah
semakin hari mendapati diri mereka dalam keadaan yang
merumitkan kerana terpaksa menyerah diri kepada versi orde
dunia baru ini dan sistem ekonomi dan perdagangan seperti
yang dianjur dan diamalkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu
di Barat.
9. Tuan Yang Terutama dan saya baru sahaja pulang daripada
Sidang Kemuncak Negara-negara Berkecuali (NAM) di Jakarta di
mana kita berpeluang berbincang pelbagai isu yang luas yang
memerlukan perhatian segera pergerakan kita. Kita
sependapat mengenai perlunya NAM mengkaji semula peranannya
dalam dunia yang mempunyai satu polar. Kita perlu
mempastikan bahawa NAM menjadi sebuah pertubuhan yang
bersatu dan segar supaya ia dapat menyumbang kepada orde
dunia yang adil. NAM mesti berusaha membentuk satu
pernyataan dan komitmen dunia yang baru untuk mengukuhkan
kerjasama ekonomi antarabangsa.
10. Namibia dan Malaysia berkongsi pandangan yang sama
dalam banyak isu antarabangsa, terutama yang berkaitan
dengan perjuangan majoriti rakyat Afrika Selatan untuk
mendapatkan pembebasan. Rasa optimis kita pada awalnya
berikutan pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh Encik
F.W. de Klerk dan kemajuan awal yang dicapai di CODESA (Con-
vention for a Democratic South Africa) kini telah hilang dan
bertukar kepada perhatian serius mengenai prospek peralihan
secara aman kepada pemerintahan majoriti. Kami menggesa
rejim Pretoria supaya mengambil tindakan segera untuk
menghidupkan proses perundingan di bawah CODESA dan berusaha
dalam tempoh yang ditetapkan ke arah mewujudkan sebuah
kerajaan sementara dan seterusnya sebuah Afrika Selatan yang
demokratik, bersatu dan tidak berbau perkauman. Kita juga
mesti menggesa orang-orang Afrika kulit hitam supaya
mengingati bahawa mereka semua telah menderita bersama-sama
dan mereka tidak harus membiarkan diri mereka menjadi alat
kepada pemerintahan kulit putih. Mereka yang berbuat
demikian hendaklah dianggap sebagai pembelot kepada
perjuangan dan demokrasi.
11. Lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia, saya pasti,
akan memberi peluang kepada Tuan Yang Terutama dan ahli-ahli
rombongan melihat kemungkinan-kemungkinan yang wujud untuk
kita bekerjasama demi faedah bersama. Perbincangan yang
akan kita adakan esok mengenai isu-isu dua hala, serantau
dan antarabangsa akan mengenalpasti bidang-bidang kerjasama
yang boleh meningkatkan lagi perhubungan antara kedua-dua
negara kita. Walaupun pada masa ini hubungan dagang antara
kedua-dua negara adalah kecil, kekayaan sumber-sumber asli
di Namibia dan kepakaran Malaysia di bidang pengeluaran
perindustrian dan usaha kita untuk mencapai kehidupan yang
lebih baik bagi rakyat kita, seharusnya membolehkan kita
untuk saling melengkapi antara satu sama lain dalam pelbagai
jurusan.
12. Saya percaya lawatan Tuan Yang Terutama dan ahli-ahli
rombongan akan membuahkan hasil dan dapat tinggal dengan
gembira di Malaysia. Aturcara yang kami telah susun untuk
Tuan Yang Terutama akan memberi gambaran tentang apa yang
Kerajaan dan rakyat Malaysia sedang usahakan dalam cita-cita
untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran. Saya berharap Tuan
Yang Terutama dan ahli-ahli rombongan akan membawa pulang
kenangan manis daripada lawatan singkat ke negara ini.
|