Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : TURF CLUB (TC), KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 15/09/92 Tajuk/Title : SEMPENA PELANCARAN PROJEK PEMBANGUNAN PUSAT BANDARAYA KUALA LUMPUR Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama di majlis pelancaran projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan projek ibu pejabat PETRONAS ini. 2. Projek pembangunan yang besar lagi menarik ini, iaitu untuk mewujudkan sebuah bandaraya di tengah-tengah bandaraya di Kuala Lumpur, seharusnya menjadi kebanggaan kita. Projek ini merupakan satu usaha kebangsaan yang penting, yang akan membawa kita setapak lagi ke arah mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. 3. Malaysia kini sudah 35 tahun merdeka dan dalam jangkamasa ini telah mencapai banyak kemajuan. Malaysia merupakan satu-satunya negara di kalangan negara-negara membangun yang telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat di samping berjaya mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat dan mempunyai suasana politik yang stabil. Keadaan seperti ini membuka banyak peluang bagi rakyat Malaysia memperolehi kemahiran yang luas dengan cara bekerja bersungguh-sungguh dan gigih untuk meningkatkan produktiviti di negara ini. Malaysia juga memperlihatkan tahap teknologi yang canggih dan sesuai dengan taraf pembangunannya. Kita tidak lagi berada di tahap "producer of raw commodities" malahan Malaysia kini telah beralih ke tahap ekonomi yang dicirikan oleh peningkatan pengeluaran 'value added' dan perkhidmatan. 4. Dalam konteks ini, prestasi ekonomi Malaysia telah menyebabkan ramai yang menganggap Malaysia sebagai 'role model' bagi negara-negara membangun. Ini wajar kerana Malaysia kaya dengan sumber-sumber asli di samping mempunyai rakyat yang berkebolehan dan berkeyakinan untuk berjaya dan maju. Kita mempunyai Wawasan 2020 yang menggariskan satu arah tujuan untuk membolehkan kita berusaha menggorak langkah ke tahap negara maju. Ini dapat dilaksanakan dalam jangkamasa yang lebih singkat sekiranya semua rakyat sanggup bekerjasama untuk berusaha bagi negara. 5. Pusat Bandaraya Kuala Lumpur merupakan satu-satunya "visionary development". Ia merupakan asas-asas penting yang kukuh lagi simbolik. Melaluinya Malaysia menyediakan satu asas penting bagi menentukan supaya Kuala Lumpur dibangunkan sebagai satu bandar yang berpotensi menjadi satu metropolis yang utama di peringkat antarabangsa. 6. Pembangunan Pusat Bandar Kuala Lumpur memanglah tidak boleh dinafikan satu usaha yang paling besar daripada sektor swasta. Ia juga satu pembangunan real-estate antara terbesar di dunia. Oleh yang demikian saya ucapkan syabas kepada pengusaha-pengusaha yang terlibat yang sanggup menghadapi cabaran ini dalam mengusahakan projek tersebut. Antara lain projek ini tentu sekali memerlukan sumber-sumber manusia dan ini memberi peluang yang baik bagi mempertingkatkan lagi tahap kemahiran rakyat kita. 7. Di samping itu pembangunan ini adalah juga simbolik kerana ia mencerminkan komitmen kita kepada kejayaan dan kecemerlangan Pusat Bandar Kuala Lumpur. Lebih penting ia memperlihatkan satu identiti yang menyerlahkan satu budaya yang berbilang kaum. Oleh itu pembangunan Pusat Bandar Kuala Lumpur meletakkan kita di satu tahap yang sesuai di samping menyediakan kita melangkah ke hadapan di dalam menempuhi abad yang ke 21. Ini adalah satu tunjang pembangunan yang kita semua harus berasa bangga. 8. Dalam hal ini adalah penting kita menentukan supaya asas-asas infrastruktur yang penting dibina selaras dengan perancangan penubuhan satu metropolis yang terkenal di peringkat antarabangsa. Pembangunan yang melambangkan ciri- ciri budaya Malaysia ini berpotensi menarik lebih ramai lagi pelancong ke negara kita. 9. Saya harap projek seperti ini dapat dicontohi oleh semua pihak di sektor swasta. Ini adalah kerana projek ini mencerminkan usahasama gabungan di antara agensi Kerajaan dengan sektor swasta. Dengan menggunakan idea-idea yang inovatif dan kreatif, sektor swasta boleh merancangkan satu- satu idea itu menjadi kenyataan. Kerajaan pula akan memberi segala sokongan dan galakan demi menentukan supaya suasana pelaburan adalah sesuai. Penyediaan rangkaian infrastruktur yang cekap adalah dasar Kerajaan dan ini sememangnya penting dalam usaha-usaha untuk menentukan pembangunan fizikal negara. 10. Dengan kerjasama di antara Kerajaan dan pihak swasta, Malaysia akan lebih berjaya melahirkan pembangunan yang dapat memanfaatkan rakyatnya dan juga generasi yang akan datang. 11. Saya berasa bangga kerana PETRONAS mengambil 'lead role' dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur ini. Dengan pengalaman PETRONAS yang luas dan mendalam dalam melaksanakan projek-projek teknologi canggih, mereka lebih berupaya melaksanakan projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur ini dengan lebih bermutu. 12. Daripada segi teknologi, saya difahamkan salah satu aspek 'master plan' ini ialah pengenalan kepada konsep 'dis- trict air conditioning' yang menggunakan gas cecair asli atau 'liquified natural gas'. Ini selaras dengan dasar Kerajaan menggalakkan penggunaan gas cecair asli sebagai sumber tenaga. Gas cecair asli merupakan satu 'fuel' yang bersih dan negara kita mempunyai sumber cecair ini yang banyak. Oleh itu adalah diharapkan penggunaan cecair ini akan memanfaatkan kita semua. 13. Semasa Tahun Melawat Malaysia 1990, Malaysia berjaya menimbulkan kesedaran kepada orang ramai di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bahawa Malaysia adalah satu destinasi pelancongan yang penting. Dengan kempen dan usaha-usaha yang gigih kita dapat meningkatkan bilangan pelancong di negara kita. Menjelang tahun 1998 dengan 'Com- monwealth Games' ditumpu kepada Kuala Lumpur maka ini sudah tentu akan menjadi tarikan yang lebih besar. Pada ketika itu saya yakin fasa pertama pembangunan kompleks ini akan siap untuk diduduki. 14. Saya berharap Pusat Bandaraya Kuala Lumpur akan memperkenalkan piawaian atau standard yang baru dan tinggi dalam reka bentuk, kejuruteraan dan pembinaan. Adalah diharapkan bahawa ia akan menggunakan teknologi yang terbaru di samping menghayati keperluan manusia sebagai pengguna penting, sistem komunikasi dan sebagainya. 15. Dengan itu, saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dan seterusnya melancarkan projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan projek ibu pejabat PETRONAS.