Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PETALING JAYA (PJ) 
Tarikh/Date 	: 	27/10/92 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA PERASMIAN KILANG OPTICAL 
			COMMUNICATION ENGINEERING SDN.BHD. 



 
    Saya  mengucapkan  terima kasih kepada pihak pengurusan
Optical Communication Engineering Sdn. Bhd.  (OPCOM)  kerana
menjemput  saya ke majlis pagi ini dan seterusnya merasmikan
kilang OPCOM.  Saya juga mengucapkan tahniah kepada syarikat
OPCOM kerana komitmennya terhadap  bidang-bidang  yang  amat
bermakna  kepada masa hadapan negara, khususnya dalam bidang
telekomunikasi dan perkilangan.
2.   Kedua-dua bidang ini boleh diandaikan sebagai kuku  dan
kulit.     Pertumbuhan  satu-satunya  tidak  sempurna  tanpa
sumbangan yang lain.  Begitu juga dengan bidang perkilangan.
Kemajuannya tidak akan berjalan dengan lancar jika kemudahan
infrastruktur asas tidak disediakan pada tahap yang  selaras
dengan   kehendak   penggunanya.     Kini,  kemajuan  sektor
perkilangan negara kita telahpun mencapai tahap  yang  boleh
dibanggakan serta dikagumi oleh negara-negara membangun yang
lain.
3.   Satu-satunya   punca   kejayaan   negara   kita   ialah
keprihatinan   Kerajaan    terhadap    pembangunan    sistem
infrastruktur  yang  lengkap  lagi menyeluruh.   Ini selaras
dengan hasrat Kerajaan untuk melihat rakyat Malaysia,  tidak
kira  sama  ada  di  bandaraya  mahupun  di kampung-kampung,
menikmati  kemudahan-kemudahan  asas  ini.      Satu-satunya
petunjuk  negara  maju  ialah kewujudan sistem infrastruktur
asas yang lengkap yang boleh digunakan  oleh  semua  lapisan
masyarakat serta pengendalian yang cekap dan teratur.  Tidak
ada  maknanya  kita  berbangga  dengan tahap kemajuan sektor
perkilangan yang tinggi kalau keperluan asas seperti bekalan
tenaga lektrik,  air,  pengangkutan  dan  perhubungan  tidak
dimajukan  seiring.    Pembangunan  negara  yang  menyeluruh
memerlukan pembangunan yang seimbang  bagi  semua  sektornya
ataupun sekurang-kurangnya perbezaannya tidak begitu ketara.
Kita   harus   pastikan  supaya  sektor  luar  bandar  tidak
ketinggalan begitu jauh ke belakang.  'Development lag' yang
besar  akan  menjejaskan  usaha-usaha  Kerajaan  mempastikan
pencapaian keadilan sosial dalam program-programnya.
4.   Bidang  telekomunikasi  memainkan  peranan yang penting
bagi masa depan negara kerana dunia kini  sering  berkembang
ke  arah  'globalisation'.    Implikasi yang nyata berikutan
dengan perkembangan ini ialah  konsep  zon  masa  yang  juga
telah  berubah.    Perubahan  ini,  yang  dibawa  oleh  arus
modenisasi berasaskan  kepada  perhubungan  teknologi  dalam
bidang  telekomunikasi, akan mempengaruhi dan membentuk cara
hidup manusia sejagat dalam abad ke-21.    Ini  adalah  satu
hakikat  yang  kita  harus  terima sekiranya kita mahu terus
maju.
5.   Telekomunikasi merupakan satu  bidang  yang  merangkumi
kehidupan  seharian  kita  melalui  alatnya yang asas, iaitu
telefon.  Kita akui bahawa tanpa alat  itu,  kehidupan  kita
akan  menjadi  kurang  efektif  dan bertambah rumit.   Untuk
maju, kita seharusnya menerima perubahan.
6.   Kemajuan teknologi dalam  bidang  telekomunikasi  telah
memperkenalkan  optik  gentian (optic fibre) dan kabel optik
gentian (optic fibre  cable),  yang  akan  dikeluarkan  oleh
syarikat OPCOM.
7.   Dengan  tertubuhnya  syarikat ini, ianya sekaligus akan
membawa Malaysia setapak  lagi  ke  arah  pencapaian  status
negara  maju.    Sungguhpun  sistem kabel optik gentian mula
digunakan bagi tujuan telekomunikasi di Malaysia sejak 1985,
penggunaannya adalah secara terhad,  dengan  wujudnya  hanya
182  laluan serta melibatkan perbelanjaan sebanyak M$70 juta
ringgit hingga penghujung tahun 1991.  Untuk jangkamasa tiga
tahun akan datang 300  laluan  sistem  kabel  optik  gentian
dijangka  dilancarkan  oleh Syarikat Telekom Malaysia Berhad
yang menelan belanja antara M$100 juta ringgit hingga  M$130
juta  ringgit.    Jika  dibandingkan  dengan  jumlah  jualan
keluaran kabel optik gentian sedunia sebanyak berpuluh  ribu
juta  ringgit,  amat  jelas  sekali  bahawa projek ini bukan
sahaja akan membuka peluang untuk membekal keperluan negara,
tetapi juga untuk pasaran dunia, khususnya rantau Asia  yang
mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan.
8.   Oleh  kerana  ciri-cirinya  yang unik seperti keupayaan
pemancaran yang tinggi, tiada gangguan  'electromagnet'  dan
mempunyai sifat-sifat kimia dan mekanikal yang stabil, serta
keupayaan  untuk  membawa  10,000  kali  ganda saluran suara
berbanding dengan kabel 'coaxial' biasa, kabel optik gentian
diramalkan menjadi sebahagian besar rangkaian gelombang luas
masa  hadapan.    Ada  kemungkinan  besar   juga   ia   akan
menggantikan penggunaan kabel komunikasi yang ada sekarang.
9.   Justeru  itu,  penubuhan  projek  ini adalah tepat pada
masanya kerana selain daripada mendatangkan  faedah  ekonomi
seperti pelaburan modal dan membuka peluang pekerjaan, ianya
akan  memperkenalkan  teknologi  baru  dan  juga mendedahkan
proses pengeluaran termoden  kepada  bidang-bidang  industri
lain di negara ini.
10.  Sepertimana  yang saya pernah nyatakan, salah satu cara
untuk meningkatkan dan memperbaiki lagi  daya  saing  sektor
pembuatan    Malaysia    di   pasaran   antarabangsa   ialah
menitikberatkan pengeluaran barangan-barangan  yang  canggih
dan  mengandungi  nilai  ditambah yang tinggi.   Dengan cara
demikian,  barang-barang  keluaran   tersebut   akan   dapat
diintegrasikan  dengan keperluan pasaran negara-negara maju.
Hasrat  ini  akan  hanya  tercapai  jika   syarikat-syarikat
pengeluar  mempunyai  komitmen  untuk meneroka bidang-bidang
seperti  bahan-bahan  termaju   (advanced   materials)   dan
teknologi  maklumat  (information technology).  Kedua-duanya
ada kaitan rapat dengan optik gentian.
11.  Unsur-unsur 'synergy' ini akan mendorong lagi penubuhan
projek-projek berteknologi tinggi dan berdaya  maju.    Oleh
itu  saya  berharap  para  usahawan  tempatan dapat mengkaji
dengan lebih teliti bidang-bidang tersebut.   Dalam hal  ini
Kerajaan  akan  sentiasa  memberi sokongan sewajarnya kepada
permohonan-permohonan bagi penubuhan projek seumpama ini.
12.  Saya mengucapkan 'selamat maju  jaya'  kepada  Syarikat
ini  di  dalam  usahanya  merintis  bidang yang agak baru di
negara ini.  Saya yakin dengan usaha yang gigih dan semangat
yang kuat, syarikat ini akan menempuh  kejayaan  di  samping
memperkenalkan   teknologi  dan  proses  pengeluaran  kepada
industri-industri lain yang berminat.
13.  Dengan ini saya dengan sukacita merasmikan  kilang  Op-
tical Communication Engineering Sdn. Bhd.
                          
 
 



 
Google