Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA (PWTC)
Tarikh/Date : 06/11/92
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
PENDAHULUAN
___________
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita mengadakan sekali
lagi Perhimpunan Agung parti kita, UMNO, mengikut
perlembagaan parti.
2. Saya, bagi pihak parti dan Majlis Tertinggi UMNO,
mengucapkan selamat datang kepada ketua-ketua dan wakil-
wakil parti-parti komponen Barisan Nasional, para tetamu,
para perwakilan dan pemerhati sekalian yang hadir di
Perhimpunan yang mulia ini. Semoga Perhimpunan kita pada
hari ini mendapat restu dan petunjuk Allah Subhanahu wa
Ta'ala.
PENCAPAIAN UMNO DAN MASA DEPAN BUMIPUTERA
_________________________________________
3. Tiga puluh lima tahun dahulu Malaysia telah mencapai
kemerdekaan. Perjuangan menuntut kemerdekaan ialah
perjuangan untuk menebus maruah bangsa. Tidak ada bangsa
yang tidak merasa terhina jika dijajah oleh bangsa lain.
4. Hari ini hampir semua bangsa di dunia sudah bebas
daripada penjajahan secara fizikal. Namun masih ada yang
terhina pada pandangan umum. Sebabnya ialah bangsa-bangsa
ini gagal memaju dan menjayakan bangsa dan negara mereka
setelah merdeka. Sebaliknya ada yang menjadi lebih mundur
dari semasa mereka dijajah.
5. Kegagalan bangsa-bangsa yang sudah merdeka untuk
mencapai kemajuan tidak dapat tidak membawa kehinaan kepada
mereka. Mereka ini mungkin marah dan mengungkit bahawa
semua manusia adalah sama dan harus dihormati sebagai
manusia. Tetapi hakikatnya ialah kelemahan atau kegagalan
sesuatu bangsa tetap menyebabkan dunia umumnya dan bangsa-
bangsa yang maju khasnya memandang rendah kepada mereka.
Jika kerana kelemahan, mereka terpaksa mengemis dan memohon
bantuan, mereka bukan sahaja akan dihina tetapi juga akan
hilang kebebasan yang diperolehi melalui kemerdekaan
daripada belenggu penjajahan.
6. Sebenarnya kemerdekaan negara sahaja kadang-kala tidak
mencukupi untuk menentukan kejayaan sesuatu bangsa itu.
Demikianlah dengan orang Yahudi yang menumpang di negara-
negara Eropah. Mereka lebih berpengaruh dan berkuasa di
negara mereka bermastautin dan secara kolektif di dunia
semata-mata kerana mereka cekap dalam berbagai-bagai bidang.
Demikian juga dengan beberapa bangsa lain yang berpindah
dari negara asal mereka ke negara lain. Ada yang berjaya
sehingga menjadi presiden negara tumpangan mereka.
7. Orang Melayu dan Bumiputera telah berjaya mencapai
kemerdekaan. Berlainan daripada sesetengah bangsa yang
mencapai kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua, orang
Melayu dan Bumiputera di Malaysia berjaya menerima dan
mengamalkan sistem politik dan pentadbiran yang terasing
daripada sistem asal mereka. Walaupun pada tahun 1969
pertelingkahan kaum berlaku, tetapi umumnya politik dan
pentadbiran yang dikuasai oleh orang Melayu di Malaysia
lebih baik daripada sebelum merdeka.
8. Di zaman British, pentadbiran tidak diasaskan kepada
demokrasi. Kuasa pentadbiran kolonial tidak boleh dicabar.
Apa sahaja yang diputuskan oleh pemerintah kolonial terpaksa
diterima. Dengan itu pemerintahan dan pentadbiran menjadi
mudah. Namun kejayaan pemerintahan kolonial daripada segi
pembangunan dan kemajuan negara adalah jauh lebih rendah
daripada pencapaian Malaysia setelah merdeka.
9. Kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat
dalam bidang politik, pentadbiran dan ekonomi, sedikit
sebanyak menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera lebih
dihormati sekarang daripada di zaman penjajah. Tetapi
maruah orang Melayu belum dipulihkan sepenuhnya. Pencapaian
orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang ilmu, perniagaan,
perusahaan, teknologi moden dan rekacipta masih di peringkat
yang rendah. Dengan itu, dunia masih tidak memberi kredit
yang sewajarnya kepada orang Melayu dan Bumiputera terhadap
kejayaan negara Malaysia.
10. Peningkatan pencapaian orang Melayu dan Bumiputera
dalam bidang-bidang yang mereka masih tertinggal bukanlah
sesuatu yang mustahil. Jika mereka boleh mencapai kemajuan
dalam pelbagai bidang ke tahap sekarang, tidak ada sebab
mengapa mereka tidak boleh melonjak ke hadapan lagi. Yang
diperlukan ialah resolusi, komitmen dan ketegasan. Tidak
ada faktor fizikal atau mental semulajadi yang boleh
menghalang pencapaian lebih tinggi orang Melayu dan
Bumiputera.
11. Kita telah membentuk Wawasan 2020 yang menentukan tahap
kemajuan yang perlu dicapai oleh negara pada tahun 2020,
iaitu 28 tahun dari sekarang. Kita bimbang pencapaian
Bumiputera dengan bukan Bumiputera pada tahun 2020 tidak
akan seimbang. Kita khuatir jurang di antara Bumiputera dan
bukan Bumiputera mungkin menjadi lebih luas. Malaysia yang
bertaraf maju tidak akan bermakna kepada orang yang
ketinggalan, yang masih berada di tahap tamadun abad ke-20.
12. Persoalan yang kita hadapi ialah apakah oleh kerana
kekhuatiran ini kita harus gugurkan matlamat kita atau kita
lambatkannya, atau kita bentuk wawasan yang lebih rendah dan
lebih mudah dicapai? Malangnya pendekatan-pendekatan ini
tidak akan dapat mengatasi masalah kita yang bukan
disebabkan oleh prestasi kemajuan negara, tetapi oleh
ketidakseimbangan pembangunan antara rakyat Malaysia
daripada berbagai-bagai keturunan. Di masa yang sama dunia
tidak akan menunggu kita. Justeru itu, jika kita rendahkan
sasaran dan matlamat kita, kita hanya akan ketinggalan dalam
masyarakat dunia tanpa mencapai matlamat mengimbangkan
kedudukan kaum dalam negara.
13. Ada yang mungkin menganggap ini sebagai satu dilema
yang tidak mempunyai harapan untuk diatasi. Anggapan ini,
selain daripada mencerminkan kurangnya kepercayaan kepada
diri sendiri, juga tidak tepat. Dilema ini hanya menjadi
dilema kerana kita bersikap negatif. Jika kita sanggup
menghadapi masalah kita secara positif dan sanggup pula
mengatasi apa-apa kelemahan yang ada kepada diri kita,
dilema ini tidak akan menjadi dilema lagi. Rintangan yang
kita hadapi adalah besar tetapi dengan pendekatan yang
tersusun dan gigih, kita boleh mengatasinya.
14. Orang Melayu dan Bumiputera bernasib baik kerana dalam
arena politik mereka masih kuat dan boleh melindungi
kepentingan mereka. Kita masih mempunyai kuasa politik.
Kuasa politik merupakan satu tongkat bagi orang yang tempang
dalam bidang-bidang lain. Tetapi kita tidak harus
bergantung kepada kuasa politik selama-lamanya untuk
mencapai kemajuan. Mereka yang menggunakan tongkat
sepanjang masa akan menjadi semakin lemah kerana anggota
mereka tidak digunakan sepenuhnya dan akan hilang upaya.
Tongkat hanya berguna dan harus diguna untuk mengatasi
kelemahan yang sementara. Apabila sudah pulih, tongkat
mesti dilepaskan dan kita berdiri atas kaki sendiri. Dengan
itu keupayaan kita akan meningkat dan mengimbangi kaum-kaum
lain. Dengan perkataan lain walaupun Bumiputera mempunyai
kuasa politik, mereka tidak harus bergantung selama-lamanya
kepada kuasa ini untuk mencapai kemajuan.
15. Tongkat juga boleh patah. Ini dapat dilihat pada tahun
1987 di waktu mana kuasa politik orang Melayu hampir hilang.
Ada antara orang Melayu yang begitu tamak sehingga sanggup
bersubahat dengan orang lain untuk menghancurkan kuasa
politik kaum bangsa mereka sendiri. Alhamdulillah, tindakan
itu gagal dan kuasa politik orang Melayu dan Bumiputera
dapat dipulihkan semula. Tetapi dapatkah kita pastikan
bahawa ketamakan kuasa ini tidak akan menyebabkan
berulangnya peristiwa 1987? Apakah kita boleh yakin bahawa
kali ini tongkat orang Melayu tidak akan patah dan terus
hilang?
16. Memandangkan kepada hakikat ini, usaha-usaha
meningkatkan keupayaan orang Melayu dan Bumiputera dalam
bidang-bidang bukan politik menjadi amat penting. Bidang-
bidang yang dimaksudkan bukan sahaja ekonomi, tetapi juga
penguasaan ilmu dan teknologi moden.
BERFIKIRAN BESAR DAN REALISTIK
______________________________
17. Selama 20 tahun kita telah menggunakan strategi bantuan
kepada Bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kita
telah mencapai kejayaan tetapi tidak sepenuhnya seperti yang
dirancangkan. Sementara itu keadaan persekitaran alam
ekonomi sudah jauh berubah. Hari ini kita hidup di zaman
gergasi. Manusia kerdil tidak mungkin berjaya dalam
masyarakat gergasi. Dan ini ternyata sekali dalam bidang
perniagaan dan perusahaan.
18. Di zaman dahulu, di waktu mana bilangan penduduk di
Malaysia tidak ramai, perniagaan dan perusahaan tidak perlu
besar. Pasaran-pasaran kecil dan terhad di kampung-kampung
dan bandar-bandar kecil hanya memerlukan bekalan yang
sedikit yang boleh diusahakan oleh orang perseorangan atau
keluarga, kadang-kadang secara sambilan. Pembahagian kerja
atau 'division of labour' tidak diperlukan oleh perniagaan
kecil kerana hampir semua kerja, daripada persiapan hingga
kepada penjualan, boleh dibuat oleh individu atau
keluarganya sahaja. Organisasi perniagaan dalam bentuk
syarikat dengan pengurus, pemodal, pekerja, penjual, agen
dan lain-lain tidak perlu.
19. Tetapi hari ini keadaan sudah jauh berubah. Bukan
sahaja bilangan penduduk sudah meningkat dan bandar-bandar
menjadi lebih besar tetapi perhubungan di antara satu tempat
dengan satu tempat yang lain, baik dalam negara ataupun
dalam dunia, sudah begitu mudah sehingga pasaran yang terhad
kepada tempat tinggal hampir tidak wujud lagi. Hanya bagi
beberapa jenis perniagaan runcit sahaja yang perniagaan
secara kecil-kecilan masih boleh hidup.
20. Perniagaan yang lain perlu mengambilkira pasaran yang
luas dan ramai. Jumlah pengeluaran dan bekalan mestilah
mencukupi untuk memenuhi permintaan yang lebih besar. Di
samping itu kos perlu diturunkan melalui 'economies of
scale'. Bagi tujuan ini modal yang besar diperlukan untuk
sistem pengeluaran dan pemasaran. Hasil pelaburan tidak
akan diperolehi sehingga beberapa tahun, dan ini bermakna
modal masih diperlukan untuk pengurusan sebelum hasil
diterima. Pemodal, rakan mereka dan keluarga mereka tidak
mencukupi untuk menjalankan perniagaan besar. Orang lain
mesti diupah untuk kerja-kerja tertentu. Penyeliaan yang
cekap diperlukan. Kerapkali pengurusan profesional terpaksa
diambil. Semua ini menambahkan kerumitan dan risiko
perniagaan. Sementara keuntungan mungkin lebih besar,
kerugian juga mungkin boleh jadi lebih besar. Jika tersilap
langkah atau tidak cekap, peniaga boleh menjadi muflis,
suatu keadaan yang lebih buruk dan terhina daripada keadaan
sebelum berniaga.
21. Kata pepatah Inggeris, 'No risk, no gain', iaitu tidak
ada keuntungan bagi yang tidak sanggup menghadapi risiko.
Dan risiko perniagaan yang besar tetap besar.
22. Apakah kerana takut risiko ini kita harus kekal dengan
perniagaan kecil-kecilan? Malang bagi kita, dalam dunia
gergasi, perniagaan kecil-kecilan tidak mungkin hidup lama
dan menampung saraan yang meningkat bagi individu dan
masyarakat. Sama ada disukai atau tidak, Bumiputera perlu
memasuki perniagaan dan perusahaan yang besar untuk
mengimbangkan pembangunan Bumiputera dengan bukan
Bumiputera.
23. Risiko boleh dikurangkan jika seseorang itu sanggup
bersabar serta membuat kajian yang teliti. Bekerja sebagai
kakitangan bergaji terlebih dahulu boleh membekalkan
seseorang itu dengan pengetahuan yang diperlukan. Pembelian
saham dalam syarikat di mana kita bekerja juga boleh
membantu. Demikian juga sistem francais yang akan
diperkenalkan oleh Kerajaan dalam perniagaan-perniagaan
tertentu boleh menjayakan penyertaan tanpa risiko yang
terlalu tinggi.
24. Hakikatnya ialah orang Melayu dan Bumiputera perlu
membentuk budaya baru yang lebih sesuai dengan iklim
perniagaan zaman ini yang mempunyai lebih risiko dan
kecanggihannya. Pendekatan dahulu di mana Bumiputera
dibantu secara perseorangan untuk menjadi peniaga dan
pengusaha kecil yang hanya mampu memperolehi sedikit
pendapatan tidak boleh lagi diamalkan oleh Kerajaan.
Pendekatan yang lebih sesuai ialah membantu syarikat dan
pelabur Bumiputera yang berpotensi dan berdaya maju berniaga
atau berusaha secara besar-besaran.
25. Namun bantuan Kerajaan tidak boleh berasaskan semata-
mata kepada rancangan perniagaan yang besar. Kemampuan
daripada segi modal, pengalaman dan perancangan yang lebih
teratur perlu diambilkira. Berfikiran besar atau 'Think
Big' memang slogan yang tepat di zaman ini. Tetapi
berfikiran besar perlu diiringi dengan kemampuan modal yang
besar, kejujuran dan amanah, kecekapan mengurus dan
pengalaman yang boleh meyakinkan pelanggan dan institusi
kewangan. Pengusaha yang dahulu memohon lesen untuk sebuah
teksi, tetapi hari ini memohon seratus buah tidak boleh
dikatakan sudah menyerap budaya 'Think Big'.
26. Mereka yang terpengaruh dengan sentimen dan nostalgia
cara hidup yang tradisional akan menangis. Tetapi
hakikatnya ialah perubahan ini tidak dapat dielakkan.
Mereka yang tidak sanggup menerima kenyataan dan tidak
mengikuti aliran zaman akan ketinggalan. Sebaliknya,
kejayaan lebih mungkin bagi mereka yang sanggup menerima
kebenaran dan sanggup pula menyesuaikan diri dan pendekatan
dengan kenyataan ini.
27. Sebagai contoh dalam industri getah kita lihat
bagaimana pekebun kecil tidak mampu bersaing dengan ladang-
ladang besar. Walaupun keluasan dua pertiga daripada ladang
getah di Malaysia adalah milik pekebun kecil, tetapi hanya
satu pertiga sahaja pengeluaran getah negara adalah daripada
mereka. Dua pertiga lagi pengeluaran getah adalah daripada
ladang-ladang besar. Malaysia tidak mungkin menjadi
pengeksport getah, kelapa sawit dan koko yang besar jika
tidak kerana ladang-ladang yang besar. Sebab itulah
Kerajaan mengadakan FELDA untuk menentukan peneroka mendapat
manfaat daripada ladang yang diuruskan sebagai ladang besar.
Jika peneroka diberi tanah 10 ekar untuk diusahakan sendiri
sebagai pekebun kecil, kemiskinan peneroka pasti tidak akan
dapat diatasi.
28. Masanya sudah tiba untuk orang Melayu dan Bumiputera
menerima semua ini. Selagi kita berfikir dan berusaha
secara kecil-kecilan, selama itulah kita akan miskin dan
mundur. Tetapi ini tidak bermakna tiap seorang daripada
kita akan mengadakan perusahaan dan perniagaan gergasi.
Majoriti daripada kita akan terus bekerja makan gaji dan
terlibat dengan beberapa jenis perniagaan yang masih boleh
diusahakan secara kecil-kecilan. Bagi kumpulan ini pun
penyertaan dalam dunia gergasi boleh dilakukan melalui
pembelian saham. Daripada kalangan ini juga akan ada
beberapa orang yang, kerana kecekapan dan usaha, akan maju
sehingga akhirnya memiliki sebahagian besar saham syarikat-
syarikat gergasi ini. Bumiputera yang hari ini memiliki dan
mengurus syarikat-syarikat gergasi sebenarnya berasal
daripada kalangan mereka ini. Harus diingat, dahulu tidak
ada langsung syarikat gergasi milik Bumiputera. Jadi yang
ada hari ini tentulah berasal daripada kalangan Bumiputera
yang dahulunya tidak berada atau kurang berada.
29. Dengan cara ini akan wujudlah syarikat-syarikat besar
Bumiputera yang berdaya maju dalam bidang-bidang seperti
pertanian, perikanan, perladangan, pengangkutan, pemakanan,
pembinaan, perdagangan, pelancongan, perhotelan, perubatan,
penerbangan, pembuatan, percetakan dan pasaraya. Sebenarnya
jenis perniagaan adalah banyak dan Bumiputera perlu memasuki
semua jenis perniagaan secara tersusun, teratur dan besar-
besaran. Tidak harus ada sesiapa yang berasa kecewa kerana
sudah ada syarikat-syarikat yang besar dalam sesuatu bidang.
Masukilah bidang lain yang tidak kurang penting bagi
sesebuah ekonomi yang canggih. Adalah tidak bijak menumpu
kepada bidang-bidang yang sudah disertai oleh ramai
Bumiputera.
30. Seperti yang telah saya sebutkan tidak semua perniagaan
dikuasai oleh syarikat gergasi. Melalui sistem francais,
peniaga persendirian yang bermodal sendiri yang mencukupi
boleh memiliki dan menguruskan kedai sendiri. Hari ini pun,
perniagaan minyak petrol boleh dimiliki oleh individu secara
francais. Perniagaan jenis francais ini boleh dikembangkan
ke bidang-bidang lain.
31. Bagi perniagaan kecil yang tidak difrancaiskan
pembaharuan perlu dibuat supaya sesuai dengan zaman. Kedai
pondok berbumbung plastik di tepi jalan yang tidak disewa
perlu digantikan dengan kedai yang lebih tegap milik sendiri
atau yang disewa. Konsep kos tetap atau 'fixed cost' dan
kos pengendalian atau 'operating cost', mesti diterima oleh
Bumiputera. Konsep lama, iaitu modal hanya untuk barangan
yang hendak dijual tanpa apa-apa 'overhead' perlu dibuang.
Konsep inilah yang menyebabkan perniagaan Bumiputera tidak
dapat membesar.
32. Masyarakat Bumiputera perlu menerima perubahan dalam
sistem ekonomi moden. Penerimaan ini tidak seharusnya
secara pasif dengan hanya menunggu ianya datang menggolek.
Penerimaan ini perlu diikuti dengan persediaan daripada segi
pengetahuan dan lebih penting lagi pembentukan budaya yang
sesuai yang boleh memberi hasil yang sewajarnya kepada
mereka. Penerimaan juga bermakna kesanggupan menerima dan
menyokong dasar dan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan
dalam usaha mengimbangkan pembangunan Bumiputera dengan
bukan Bumiputera. Kerajaan boleh membentuk sesuatu dasar
dan mengambil tindakan supaya tidak membiarkan Bumiputera
kekal sebagai peniaga kerdil dalam dunia yang dikuasai oleh
syarikat gergasi. Tetapi akhirnya tindak-balas atau 're-
sponse' dan kesanggupan Bumiputera sendiri yang akan
menentukan mereka dapat membuat peralihan yang diperlukan.
Di sini ingin saya menarik perhatian bahawa ramai bukan
Bumiputera sudah pun meninggalkan sistem perniagaan keluarga
atau 'family business' untuk mengamalkan sistem korporat
besar dunia moden.
33. Kerajaan akan merangka strategi dan membuat persiapan
secara terperinci untuk memandu Bumiputera supaya dapat
beralih daripada perniagaan dan perdagangan dunia lama
kepada perniagaan dan perdagangan gergasi. Bumiputera
sendiri perlu sedar atau disedari akan perlunya perubahan
pendekatan ini dan bersedia untuk menghadapi cabaran.
Alhamdulillah sudah ada Bumiputera yang telah membuat
peralihan kepada perdagangan gergasi ini dengan jayanya.
Tetapi sebelum kita mencapai matlamat Wawasan 2020 peralihan
ini mestilah menyeluruh dan seimbang dengan perkembangan
dalam masyarakat bukan Bumiputera. Kerajaan yakin dan tahu
pendekatan yang diperlukan. Tetapi untuk mencapai kejayaan,
Bumiputera sendiri mestilah sanggup berubah dan menerima
pendekatan yang diperlukan.
ILMU DAN TEKNOLOGI MODEN
34. Dalam usaha mengimbangkan kedudukan Bumiputera dengan
bukan Bumiputera, peningkatan penguasaan ilmu dan teknologi
moden oleh Bumiputera adalah diperlukan. Memandangkan
bahawa dalam masyarakat bukan Bumiputera penglibatan lelaki
dan wanita adalah sama, pengasingan wanita dalam bidang ilmu
dan teknologi, terutama dalam masyarakat Melayu akan
menyebabkan pengimbangan sukar dicapai.
35. Pendapat bahawa tempat wanita hanyalah sebagai suri
rumah akan melumpuh separuh daripada tenaga orang Melayu.
Sebenarnya pencapaian wanita Melayu dan bakat mereka adalah
sama dengan lelaki. Sumbangan mereka adalah diperlukan
dalam usaha mengimbangi pencapaian antara kaum.
36. Penguasaan ilmu dan teknologi moden bukanlah suatu
perkara yang mustahil dicapai oleh Bumiputera. Seperti juga
dalam bidang-bidang lain, orang Melayu dan Bumiputera
memiliki bakat daripada segi mental dan fizikal. Yang
diperlukan ialah kesanggupan menggunakan bakat ini
sepenuhnya.
37. Kita hanya perlu melihat bagaimana pekerja dari negara
jiran daripada rumpun bangsa yang sama yang sanggup bekerja
keras dan menghadapi bermacam-macam tekanan. Hasilnya bukan
sahaja upahan yang diterima meningkat tetapi juga penguasaan
berbagai-bagai kecekapan. Dengan kecekapan ini, prestasi
mereka meningkat dan khidmat mereka menjadi begitu penting
sehingga mereka dapat dengan lebih bebas menentukan nasib
mereka. Tidak syak lagi bahawa jika mereka diberi peluang,
mereka akan menguasai kecekapan dalam bidang-bidang yang
lebih canggih dan bernilai tinggi.
38. Apakah bezanya mereka dengan kita? Daripada segi
fizikal dan mental tidak ternampak perbezaan. Tetapi
daripada segi budaya kerja, jelas terdapat perbezaan. Dan
perbezaan inilah yang menentukan prestasi mereka berbanding
dengan kita.
39. Sebenarnya yang membezakan suatu bangsa dengan bangsa
yang lain bukanlah keturunan atau rumpun bangsa, atau warna
kulit atau negara atau wilayah. Yang membezakan bangsa
ialah budaya, iaitu jumlah semua nilai hidup yang dipegang
dan diamal oleh bangsa-bangsa berkenaan. Dan budayalah yang
menentukan pencapaian sesuatu bangsa.
40. Jika kita berpendapat bahawa penguasaan ilmu dan
teknologi moden adalah penting untuk memajukan orang Melayu
dan Bumiputera, maka perlulah kita membentuk budaya yang
sesuai dengan matlamat ini. Budaya yang dimaksudkan di sini
ialah penilaian yang tinggi kepada penguasaan ilmu dan
teknologi yang canggih dan relevan serta menyanjung tinggi
tabiat kuat belajar dan bekerja.
41. Jika masyarakat Bumiputera memiliki budaya ilmu dan
budaya kerja seperti ini, insya-Allah, penguasaan ilmu dan
teknologi moden akan tercapai dan akan membantu usaha
mengimbangkan kedudukan kaum dan pembangunan negara ke arah
pencapaian Wawasan 2020.
42. Kerajaan boleh menyediakan kemudahan untuk penguasaan
ilmu dan teknologi moden oleh Bumiputera serta membantu
membentuk budaya yang diperlukan. Tetapi sekali lagi
akhirnya kesedaran dan penerimaan Bumiputera terhadap
analisa dan pendekatan yang disarankan ini yang akan
menentukan segala matlamat tercapai.
ISLAM DAN CABARAN KINI
43. Umat Islam hari ini berada dalam keadaan yang amat
tenat. Di beberapa negara Islam di Afrika, ratusan ribu
berada dalam keadaan kebuluran sehingga 300 orang
dianggarkan meninggal dunia setiap hari di Somalia dan ramai
pula bagaikan mayat bernyawa. Peperangan yang dahsyat
berlaku di antara negara-negara Islam di Asia Barat, dengan
beribu-ribu dibunuh dan dicederakan oleh orang Islam sendiri
dan oleh orang bukan Islam yang dijemput untuk membantu
orang Islam berperang sesama sendiri.
44. Wilayah Islam di Palestin masih tidak dapat ditebus dan
kemungkinan orang Islam yang ramai dapat menebus wilayah
yang dikuasai oleh orang Yahudi yang sedikit tidak
ternampak. Sebaliknya penebusan dengan bersyarat hanya
boleh dilakukan jika kuasa-kuasa Barat menolong dan
mengizinkannya.
45. Negara-negara Islam di Asia Tengah yang sekarang bebas
daripada penaklukan Rusia berada dalam keadaan kucar-kacir,
miskin dan tidak terdaya untuk mentadbirkan diri sendiri.
Di Asia, keadaan dalam kebanyakan negara Islam tidak
sempurna. Di Selatan Asia orang Islam dibunuh oleh
pemberontak. Ada orang Islam yang terlalu miskin sehingga
terpaksa meminta-minta daripada kuasa-kuasa asing. Dan ada
pula orang Islam yang dihalau keluar dari negara-negara di
mana mereka telah bermastautin beratus-ratus tahun. Ada
yang telah disiksa dan dibunuh, dipaksa makan makanan yang
haram dan dipisahkan daripada agama Islam.
46. Di Afghanistan, setelah bertahun-tahun berperang untuk
menjatuhkan Kerajaan yang menolak agama Islam dan memeluk
fahaman ateis Komunis, pasukan-pasukan Mujahidin berperang
pula sesama sendiri. Setelah ramai yang terbunuh dan cedera
dalam peperangan pembebasan, ramai lagi orang awam, kanak-
kanak dan orang tua terbunuh di Kabul kerana rebutan kuasa
sesama sendiri.
47. Kerana kecewa dengan penjajahan Inggeris dan Perancis
di Asia Barat, ramai orang Islam yang berhijrah ke Amerika
Utara dan Amerika Latin. Ada antara pelarian ini yang telah
menggugurkan agama Islam dan memeluk agama lain.
48. Di Eropah, kebanyakan orang Albania yang dahulunya
Islam telah menolak Tuhan dan menjadi penganut terkuat
ideologi Komunis. Di Bosnia-Herzegovina pula, negara Islam
yang tunggal di Eropah, pembebasan daripada cengkaman
Yugoslavia tidak membawa hasil seperti di Slovenia dan
Croatia. Seperti kita semua tahu, orang Serb dan Serbia
dengan sewenang-wenangnya telah dan sedang menyerang Bosnia-
Herzegovina dengan mengurungi, menyiksa dan membunuh Muslim
Bosnia daripada anak dalam buaian hingga kepada yang
terlentang sakit dan tua. Dan Kosovo, wilayah Yugoslavia
yang diduduki oleh orang Islam keturunan Albania, menunggu
giliran untuk disembelih.
49. Inilah nasib orang Islam di mana-mana sahaja hari ini.
Tetapi daripada segi fizikal dan mental, daripada segi
sumber kekayaan dan daripada segi bilangan, umat Islam
bukanlah daif. Satu per lima daripada umat manusia di dunia
adalah orang Islam. Negara-negara Islam besar dan amat kaya
dengan sumber alam. Demikianlah keadaannya seolah-olah
Tuhan memberi minyak hanya kepada negara-negara Islam
sahaja. Kekayaan daripada punca ini pun sudah cukup untuk
membiayai segala-gala yang diperlukan untuk pertahanan dan
keselamatan orang Islam dan untuk membolehkan beberapa
daripada negara Islam menjadi kuasa besar di dunia.
50. Tetapi mengapakah orang Islam begitu daif dan
ketinggalan dalam semua segi sehingga mereka tidak
diendahkan oleh sesiapa dan mudah diperalat dan
dipermainkan? Mengapakah orang lain boleh dengan cara
terbuka membunuh dan menyiksa orang Islam tanpa takut kepada
balasan oleh orang Islam atau negara-negara Islam lain?
Apakah benar pembunuhan orang Islam oleh orang Islam tidak
dapat dielakkan kerana sudah ditakdirkan?
51. Jika dikaji sejarah Islam, yang membawa malapetaka
kepada mereka bukanlah agama mereka tetapi kecenderungan
orang-orang tertentu antara mereka mentafsirkan agama Islam
mengikut kepentingan diri. Mereka tidak berpegang kepada
ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. walaupun
berkenaan dengan perkara-perkara yang jelas.
52. Agama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. hanya
satu sahaja. Tetapi hari ini agama Islam tidak lagi satu.
Bermacam-macam kepercayaan dan ajaran yang dibawa oleh
orang-orang tertentu sudah membahagi-bahagikan Islam kepada
berpuluh-puluh bentuk kepercayaan yang kerapkali
bertentangan di antara satu sama lain. Dengan itu, umat
Islam terkeliru, mempercayai bermacam-macam ajaran,
berpecah-belah dan bermusuh-musuhan sesama sendiri.
53. Dari awal-awal lagi, apabila wafat sahaja Rasullulah
s.a.w. ajaran Islam berkenaan dengan persaudaraan di
kalangan umat Islam diketepikan kerana kepentingan mereka
yang ingin merebut kuasa. Ada yang mendakwa diri mereka
sebagai 'nabi' dan ada yang ingin menjadi khalifah sehingga
sanggup berkomplot, membunuh dan berperang. Untuk
menghalalkan perbuatan mereka di sisi agama, ada sahaja
antara pentafsir agama yang sanggup membuat bermacam-macam
tafsiran, membentuk hukum atau mencipta hadis. Al-Quran dan
ayat-ayat di dalamnya dijadikan alat sehingga ada yang
menyucuk mushaf di hujung tombak semasa berperang untuk
mengelirukan musuh yang seagama.
54. Rasulullah s.a.w. menekankan pentingnya umat Islam
tidak berpuak-puak, terlalu taksub dan setia kepada suku
kaum mereka sehingga sanggup membelakangkan saudara seagama.
Tetapi umat Islam selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w. telah
kembali kepada cara hidup yang lama, iaitu dengan berpuak-
puak dan bermusuh-musuhan antara suku-suku kaum walaupun
sebab-sebab permusuhan sudah dilupai.
55. Yang dimaksudkan dengan puak Assabiyah ialah mereka ini
yang terlalu mengutamakan suku kaum atau puak mereka
sehingga tidak ada lagi kesetiaan kepada umat Islam atau
agama.
56. Sehingga sekarang ini pun kesetiaan keterlaluan kepada
sesuatu kumpulan terdapat dalam politik orang Islam.
Apabila mereka sudah setia kepada seseorang pemimpin atau
sesuatu kumpulan politik, mereka tidak lagi menyoal baik-
buruk atau betul-salahnya seseorang itu atau sesuatu yang
dilakukan oleh pemimpin atau kumpulan mereka. Mereka
memihak dan bersetia kepada pemimpin dan kumpulan mereka
secara membuta tuli, walaupun jelas apa yang dilakukan oleh
pemimpin dan kumpulan mereka adalah bertentangan dengan
ajaran Islam. Jika ada antara mereka orang yang menegur
atau meninggalkan kumpulan mereka kerana sedar akan
kesalahan yang dilakukan, orang ini akan dikecam hebat.
Sebaliknya jika pemimpin mereka melakukan sesuatu yang
salah, mereka masih terus menerima pandangan pemimpin
tersebut walaupun mereka melihat dengan mata sendiri
pemimpin itu tidak patuh kepada ajarannya sendiri. Mereka
mendakwa bahawa mereka bertaklid kepada 'tok guru' mereka
yang lebih mengetahui tentang cara-cara mengatasi dosa yang
ia lakukan. Bagi mereka adalah penting mereka berpegang
kuat kepada guru pemimpin mereka atau kumpulan mereka walau
apapun kesalahan yang dilakukan. Inilah golongan Assabiyah
yang dibentuk oleh orang tertentu untuk menjayakan cita-cita
sendiri. Bahawa pengwujudan kumpulan Assabiyah ini adalah
bertentangan dengan ajaran Islam tidak dihiraukan. Bahawa
ia memecah dan melemahkan umat Islam tidak diambil peduli.
57. Dalam proses mengekalkan kesetiaan kepada pemimpin dan
kumpulan, agama digunakan sepenuhnya. Tidak ada sesuatu
yang dibuat yang tidak dikaitkan dengan kononnya kehendak
agama. Apabila sesuatu yang dibuat bertentangan dengan
agama, maka ditafsir dan diciptakan berbagai-bagai ajaran
serta hadis untuk menghalalkan apa yang dibuat itu.
Demikian permusuhan antara umat Islam dihalalkan kerana
kononnya yang dimusuhi sudah tidak Islam. Dengan mudahnya
mereka mengkafirkan orang Islam yang menentang mereka demi
kepentingan pemimpin mereka. Dengan sewenang-wenangnya
mereka mencemar kemuliaan masjid untuk menyebar dakyah
kumpulan mereka. Memang dalam Islam politik tidak boleh
diasingkan daripada agama tetapi yang dimaksudkan ialah
politik Islam dan bukan politik parti yang mengutamakan
kumpulan dan matlamat pemimpin tertentu, iaitu politik
Assabiyah.
58. Dengan kembalinya umat Islam kepada amalan berpuak-
puak, maka kekayaan mereka dan ramainya bilangan mereka
sudah tidak berkesan lagi. Mereka lebih asyik bermusuh-
musuhan sesama sendiri sehingga mereka menjadi lemah dan
mudah ditindas oleh musuh-musuh Islam.
59. Kejayaan orang Islam di dunia dikatakan bertentangan
dengan ajaran Islam. Dunia kononnya adalah untuk orang
kafir. Kebahagiaan bagi orang Islam hanyalah di akhirat.
Justeru itu orang Islam tidak perlu mencari kebahagiaan di
dunia. Mereka dikehendaki menghabiskan masa di dunia untuk
mengamalkan ibadat tertentu yang dicipta oleh mereka ini
sebagai bekalan untuk akhirat. Bahawa dengan ini orang
Islam menjadi lemah dalam berbagai-bagai ilmu dan kebolehan
sehingga mereka dan agama mereka dihinakan tidak mengapa.
Bahawa dengan ini orang Islam menjadi lemah sehingga tidak
dapat mempertahankan diri atau menolong orang Islam lain
juga tidak mengapa. Yang perlu ialah pengamalan formula
tertentu ciptaan mereka untuk kebahagiaan di akhirat.
Antaranya ialah mendengar syarahan agama yang berbau politik
parti yang disampaikan oleh pemimpin mereka.
60. Ilmu pengetahuan dihadkan kepada tafsiran dan hukum-
hakam agama yang dipilih khas oleh mereka. Ilmu-ilmu lain
ditakrif sebagai sekular dan tidak harus dikejar. Dengan
ini orang Islam bukan sahaja menjadi lemah tetapi juga
keliru tentang agama Islam dan menjadi jahil sehingga mudah
dikuasai oleh orang yang berkepentingan ini.
61. Sebab inilah maka hari ini orang Islam bukan sahaja
berpuak-puak dan bermusuh-musuhan sesama sendiri, tetapi
juga mereka begitu jahil tentang ajaran Islam yang sebenar
dan dalam ilmu-ilmu yang diperlukan bagi membangun,
mempertahan dan menyelamatkan orang Islam. Sebab inilah
orang Islam tidak mampu mentadbir negara mereka dengan baik.
Mereka juga tidak dapat mempergunakan kekayaan mereka serta
bilangan mereka yang ramai untuk memelihara dan
mempertahankan diri mereka. Yang mereka tahu ialah
membazirkan kekayaan dan hidup dengan terlalu mewah.
62. Jika ada mana-mana pihak yang sedar akan hakikat ini
dan menyuarakannya, mereka akan diserang habis-habisan.
Mereka akan dituduh sebagai tidak berpengetahuan agama dan
kafir. Mereka akan dikecam kerana tidak mematuhi ajaran
puak tertentu ini yang didakwa sebagai ajaran Islam. Mereka
akan dituduh mengutamakan dunia dan tidak akhirat. Bahawa
setiap kali kita berdoa kita meminta kebahagiaan di dunia
dan di akhirat tidak diambilkira oleh mereka. Mereka
langsung tidak memperdulikan kebahagiaan bagi umat Islam di
dunia, walaupun mereka sendiri mengejar keselesaan hidup dan
kuasa di dunia.
63. Mereka ini begitu fanatik dengan kepercayaan mereka
sehingga sanggup menolak bulat-bulat kenyataan yang terdapat
di hadapan mereka. Demikian juga jika jelas dan terang umat
Islam tidak mendapat kebahagiaan di dunia, mereka akan
berkata bahawa kebahagiaan yang dimaksudkan bukanlah
kebahagiaan yang nyata. Justeru itu mereka sanggup
membiarkan umat Islam menjadi lemah, mundur dan tidak
berpengetahuan sehingga mereka ditindas, disiksa dan dihina
oleh orang lain kerana kononnya ini tidak bermakna
kebahagiaan di dunia tidak dicapai oleh umat Islam. Oleh
kerana fanatiknya orang yang percaya kepada ajaran ini, maka
mereka sanggup mempercayai yang hitam itu putih dan yang
buruk itu baik kerana guru mereka berkata demikian. Hati
mereka sudah ditutup rapat sehingga mereka enggan mendengar
pendapat orang lain, walaupun ianya tepat dengan ajaran
Islam dan benar.
64. Oleh kerana ajaran mereka ini dan keinginan mereka
melihat umat Islam kekal dalam kejahilan dalam bidang-bidang
yang mereka sendiri tidak berpengetahuan, maka hari ini umat
Islam berada dalam keadaan yang amat menyedihkan. Yang
diutamakan oleh mereka ialah umat Islam yang lemah dan tidak
berpengetahuan yang mudah diperalatkan bagi tujuan mereka
merebut kuasa. Bahawa kuasa ini tidak dapat digunakan untuk
kebahagiaan dan pembangunan umat Islam tidak sedikitpun
mencuit hati kecil mereka.
65. Sejarah telah membuktikan bahawa di bawah kepimpinan
pemimpin-pemimpin Islam yang berwibawa, bijak dan
berpengetahuan, umat Islam dapat mendirikan tamadun yang
tinggi. Di zaman kegemilangan Islam, bukan sahaja kajian
yang mendalam dibuat berkenaan hukum-hakam Islam yang
menyentuh segala bidang dunia dan akhirat, tetapi juga ilmu-
ilmu sains, perubatan, pentadbiran, undang-undang,
pertahanan, pelayaran dan berbagai-bagai lagi dikaji dan
diterokai sehingga orang Islam mendahului orang lain di
dunia. Kerana ilmu-ilmu ini dan semangat keIslaman yang
tulin dan kukuh, wilayah Islam dapat diperluaskan sehingga
menjadi satu empayar yang terbesar di dunia.
66. Kemampuan ini masih ada di kalangan umat Islam. Hanya
yang diperlukan ialah mereka dibebaskan daripada belenggu
ajaran yang menekankan akhirat tanpa diimbangi dengan
tekanan terhadap kebahagiaan di dunia.
67. Apabila kita berkata Malaysia ingin menjadi kuasa dunia
supaya boleh menolong orang Islam yang ditindas seperti di
Bosnia, ada orang Islam tertentu di negara ini ketawa dan
mempermainkan cita-cita kita. Mereka lebih rela melihat
orang Islam mati kebuluran atau disembelih oleh musuh
daripada berusaha melengkapkan diri untuk membela umat Islam
dan umat manusia. Bagi mereka, apa yang diperlukan ialah
hanya berdoa kepada Tuhan supaya menyelamatkan orang Islam.
Bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib orang Islam melainkan
mereka sendiri berusaha mengubahkannya dilupakan sama
sekali.
68. Pendirian UMNO terhadap agama Islam adalah jelas. UMNO
berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar. UMNO tetap akan
mengimbangi dunia dan akhirat. Islam memberi banyak
kelonggaran dalam semua yang dituntut oleh Islam. Ajaran
Islam mengambilkira keadaan sekeliling dalam pelaksanaan
sesuatu yang diwajibkan oleh agama.
69. Kelonggaran ini boleh menyelamatkan agama Islam dan
orang Islam dalam apa juga keadaan dan di mana juga mereka
berada. 'Fanaticism' bukan sebahagian daripada ajaran
Islam. 'Fanaticism' yang boleh meletakkan orang Islam dan
agama Islam dalam keadaan bahaya dan mungkin musnah adalah
bertentangan dengan ajaran Islam.
70. Sebaliknya, kesederhanaan adalah cara yang dituntut
oleh Islam. Kesederhanaan boleh menyelamatkan Islam bahkan
ianya boleh mengembang dan memperkuatkan umat Islam.
71. Justeru itu, UMNO tidak akan menjadi fanatik tetapi
sebaliknya akan bersikap sederhana dan pragmatik. UMNO akan
berusaha meningkatkan kemampuan dan pencapaian orang Islam
dalam semua bidang. Tanpa melupakan akhirat, UMNO akan
berusaha melengkapkan orang Islam dengan segala-gala ilmu
yang diperlukan untuk dunia moden ini.
72. UMNO akan bersahabat dengan yang bukan Islam yang tidak
bermusuh dengan orang Islam. UMNO akan bekerjasama dengan
mereka. Penerimaan orang bukan Islam ke dalam UMNO tidak
menjejaskan perjuangan UMNO untuk Islam. Ini bukanlah kali
pertama yang orang Islam berganding bahu dengan bukan Islam
untuk mencapai sesuatu matlamat yang mulia.
73. Demikian juga dengan Wawasan 2020. Mereka yang ingin
kononnya kepada wawasan akhirat harus ingat bahawa jika
orang Islam sudah kecewa sehingga meninggalkan agama, orang
Islam dibunuh beramai-ramai, orang Islam dimusnahkan oleh
bom nuklear dan bilangan orang Islam berkurangan kerana ini
-- tidak akan ada wawasan akhirat bagi mereka yang tidak
dilahirkan dan tidak beragama Islam. Sesungguhnya kejayaan
di dunia tidak menghalang kebahagiaan di akhirat.
74. Orang yang sengaja menghalang orang Islam daripada
mencapai kejayaan di dunia, yang cuba mengelirukan orang
Islam berkenaan Wawasan 2020, dan yang menyarankan wawasan
akhirat sebenarnya bersubahat dengan musuh-musuh Islam.
75. Wawasan 2020 bukan sahaja secocok dengan agama Islam
tetapi juga sebenarnya adalah untuk memelihara dan memajukan
agama Islam. Justeru itu, UMNO akan berjuang untuk
menjayakan Wawasan 2020 sebagai sebahagian daripada
perjuangannya untuk agama Islam. Hanya negara Islam yang
kuat yang mempunyai penduduk Islam yang berkebolehan dalam
berbagai-bagai bidang yang boleh menolong mempertahankan
agama dan umat Islam. Insya-Allah, Malaysia akan memenuhi
hasrat ini walaupun ada orang Islam di negara ini yang cuba
menggagalkannya.
DEMOKRASI - PRINSIP DAN AMALAN
76. Alhamdulillah, demokrasi di Malaysia berjalan dengan
baik. Sistem pemerintahan yang kita pinjam ini bukanlah
sistem yang mudah yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja.
Banyak negara yang mencapai kemerdekaan bersama dengan kita
gagal mengamalkan demokrasi. Akhirnya mereka beralih kepada
sistem satu parti atau pemerintahan kuku besi. Negara-
negara Komunis yang baru-baru ini beralih kepada demokrasi
sedang menghadapi masalah besar. Kegagalan mengamalkan
demokrasi telah memecah dan membahagi-bahagikan negara
mereka kepada beberapa negara kecil. Dan negara kecil,
hasil perpecahan ini, pula menghadapi masalah politik yang
tidak stabil dan tuntutan oleh puak minoriti untuk
mendirikan negara mereka sendiri. Dengan itu peperangan
tercetus di beberapa negara dan ramai yang terbunuh,
sementara kerosakan yang dialami amatlah teruk. Sehingga
kini sengketa mereka masih belum selesai kerana sistem
demokrasi dianggap memberi kebebasan untuk sesiapa sahaja
menuntut apa sahaja yang dianggap oleh mereka sebagai hak
yang kononnya demokratik.
77. Keadaan di Yugoslavia adalah yang paling teruk sekali.
Persekutuan Yugoslavia sudah berpecah kepada beberapa negara
kecil yang berperang sesama sendiri. Yugoslavia sebagai
sebuah negara sudah tidak wujud lagi. Demikian juga dengan
Czechoslovakia yang sekarang menjadi dua buah negara, iaitu
Czech dan Slovak.
78. Tidak ternampak nikmat yang diperolehi oleh rakyat
negara-negara baru ini setelah memilih sistem demokrasi.
Mereka juga tidak mendapat apa-apa hasil daripada sistem
pasaran bebas yang dikatakan membawa kekayaan kepada negara
Barat. Yang nyata ialah mereka sekarang miskin dan terletak
di bawah telunjuk kuasa asing yang dahulu bermusuh dengan
mereka.
79. Mungkin kerana terpengaruh dengan aliran ini, ada juga
di Malaysia kumpulan yang ingin memecahkan negara kepada
negara kecil. Apabila dituduh, mereka menyangkal inilah
niat mereka. Tetapi dengan membuat tuntutan supaya disemak
semula perhubungan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan
Negeri, menuntut supaya diadakan 'referendum' dan mengadakan
rancangan-rancangan tertentu untuk mengambilalih peranan
keselamatan, tidakkah ini menunjukkan percubaan untuk keluar
dari Malaysia?
80. Malaysia adalah sebuah negara yang aman, tetapi
janganlah digugat keamanan ini dengan membakar perasaan
kesukuan dan kenegerian. Sekali kewarasan fikiran diganti
dengan emosi, amatlah sukar bagi mereka yang membangkitkan
perasaan ini meredakan keadaan.
81. Mereka fikir orang asing akan mempertahankan tindak-
tanduk mereka. Mereka menceritakan kononnya Kerajaan
Persekutuan menindas mereka kerana mereka beragama Kristian.
Semua ini adalah untuk mendapatkan simpati dan bantuan jika
mereka mengambil tindakan yang dilarang.
82. Mereka percaya kita tidak akan mengambil tindakan
kerana kita takut kepada kawan-kawan mereka di luar negara.
Saya ingin menasihatkan mereka bahawa kawan-kawan mereka
ini, yang mendakwa sebagai jaguh mempertahankan hak asasi
dan kebebasan puak minoriti, sudah tidak ada kredibiliti
atau moral lagi. Mereka mendakwa mereka berhak campurtangan
dalam hal ehwal mana-mana negara jika didapati hak asasi
manusia tidak dihormati. Tetapi apakah yang kita lihat di
Bosnia?
83. Hak asasi manusia dicabul dengan begitu kejam dan
terbuka di Bosnia, tetapi jaguh-jaguh dunia ini enggan
mengambil sebarang tindakan yang berkesan. Mereka hanya
berpekik "Jangan, Jangan" sementara berpuluh-puluh ribu
orang Islam dan Croat Kristian dibunuh.
84. Kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak memecah-
belahkan negara kita. Kita akan mempertahankan kebebasan
dan hak kita. Malaysia adalah negara yang merdeka. Segala
masalah berkenaan pembentukannya sudah diselesaikan sebelum
Malaysia ditubuhkan. Sesiapa yang cuba bersubahat dengan
orang asing untuk mencabul kemerdekaan negara ini, adalah
penderhaka kepada negara. Justeru itu, janganlah bermain
dengan api.
85. Jika Barisan Nasional tidak dapat memerintah mana-mana
negeri di Malaysia, ini tidak mengapa. Kita terima
keputusan yang demokratik oleh rakyat. Tetapi janganlah
mana-mana pihak atau mana-mana negeri cuba mengancam
persekutuan negara ini. Tanggungjawab Kerajaan Pusat adalah
jelas. Ia akan mempertahankan persekutuan dan kemerdekaan
negara ini dengan apa juga cara.
86. Dalam UMNO juga demokrasi berjalan dengan baik. Tetapi
kita harus ingat bahawa demokrasi bukan untuk demokrasi.
Demokrasi adalah alat dan cara pemerintahan yang lebih mampu
memberi keadilan kepada rakyat daripada sistem-sistem yang
lain. Sistem demokrasi secocok dengan Islam. Khalifah-
khalifah Al-Rashidin pun dipilih secara demokratik. Tetapi
sistem sahaja tidak menjamin kejayaan sesuatu pemerintahan.
Pemimpin dan rakyat harus faham akan cara-cara untuk
mendapatkan kebaikan daripada sistem demokrasi ini.
87. Pada tahun 1987 UMNO telah melalui sejarah hitam.
Kerana ingin merebut kepimpinan parti, emosi dan wang telah
dipergunakan oleh pihak tertentu. Yang diutamakan bukan
kebaikan parti dan perjuangannya tetapi ketamakan individu.
Perasaan telah dibakar sehingga ahli-ahli parti berpecah dan
bermusuhan sesama sendiri. Dan apabila keputusan dibuat,
pihak yang gagal tidak mahu menerima keputusan tersebut.
Lalu UMNO diseret ke mahkamah dan UMNO dihukumkan haram.
Apabila UMNO Baru ditubuhkan untuk menggantikan UMNO yang
telah diharamkan, pihak tertentu ini telah menubuhkan parti
serpihan dan bersubahat pula dengan parti lawan untuk
menjatuhkan UMNO Baru. Demikian hasilnya apabila demokrasi
disalah-erti dan disalah-gunakan.
88. Apakah kita yang bertungkus-lumus menghidupkan kembali
UMNO sudah mengambil iktibar daripada peristiwa ini? Saya
ingin berkata "Ya" tetapi hakikatnya ialah masih ada yang
belum. Untuk pemilihan peringkat cawangan dan bahagian,
kempen yang tidak sihat telah dijalankan. Kemudahan
Kerajaan kadang-kadang digunakan untuk mendapat sokongan
bagi diri sendiri. Lawatan-lawatan ke luar negeri dianjur
dan dibiayai untuk maksud yang sama.
89. Surat layang yang mengandungi fitnah dan butir-butir
rahsia parti telah diedarkan. Buku dicetak untuk memburuk-
burukkan pemimpin-pemimpin tertentu. Orang-orang tertentu
mencipta isu-isu yang kemudiannya digunakan oleh pengikut-
pengikut mereka untuk memburuk-burukkan usaha-usaha yang
baik untuk menjayakan bangsa sendiri. Dan wang yang banyak
masih ditaburkan untuk mendapat sokongan.
90. Saya ingin mengingatkan bahawa jika kerana terlalu
ghairah untuk mendapatkan kedudukan dalam parti, parti akan
hancur, maka kedudukan itu tidak bermakna lagi. Menjadi
pemimpin parti yang tidak bermaya tidak ada faedahnya.
91. Kita hanya mempunyai satu sahaja Presiden parti dan
satu Perdana Menteri. Walaupun kita mempunyai seratus orang
yang berbakat, cuma satu sahaja yang akan mendapat tempat
ini. Sembilan puluh sembilan lagi akan gagal. Tetapi jika
pertandingan untuk matlamat ini terlalu sengit, kejayaan
tidak membawa apa-apa erti kerana parti akan pecah dan lemah
dan Presiden mungkin tidak akan menjadi Perdana Menteri yang
berwibawa dan dihormati. Orang lain yang akan meraih
keuntungan daripada ketamakan pemimpin-pemimpin tertentu.
92. Memang ada mereka yang berpendapat bahawa jika mereka
tidak memperolehi sesuatu, calon lain juga tidak harus
memperolehinya. Mereka lebih rela orang asing mendapatnya.
Orang seperti ini sudah kita saksikan. Mereka sanggup
bekerja dengan parti lawan untuk mengalahkan parti sendiri
hanya kerana mereka tidak dapat apa yang mereka kejar.
Orang seperti ini lebih buruk daripada musuh. Mereka ini
mengkhianati perjuangan parti dari dalam.
93. Saya berharap orang jenis ini tidak ada lagi dalam
parti. Ahli-ahli parti hendaklah mengutamakan parti dan
bukan orang tertentu. Lebih kuat mereka berkempen,
terutamanya jika mereka menggunakan taktik buruk, lebih
mungkin mereka ini tidak sesuai menjadi pemimpin. Parti
yang dipimpin oleh orang seperti ini tetap akan lemah dan
merugikan semua pihak.
94. Jangan sekali-kali kita lupakan peristiwa 1987. Pada
tahun itu parti diharamkan. Jika peristiwa 1987 berlaku
sekali lagi, mungkin parti tidak akan dapat dipulihkan
semula. Dengan itu bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera
yang akan menderita, tetapi negara juga mungkin menjadi
lemah, tidak bermaruah dan dipermainkan orang.
RAJA BERPERLEMBAGAAN
95. Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1990 dan tahun
1991 soal Raja-Raja telah dibangkitkan. Ahli-ahli parti
tidak begitu senang hati dengan penglibatan Raja dalam
politik dan perniagaan. Tuduhan telah dibuat oleh pihak
tertentu bahawa ini semua adalah diusahakan oleh pucuk
pimpinan parti. Tetapi suara ahli-ahli parti tidak harus
dipandang ringan. Sebenarnya kepimpinan partilah yang
membendung perasaan dan menghalang ahli-ahli parti dan orang
ramai daripada mengkritik Raja. Sebenarnya sekatan ini
tidak sihat dan bertentangan dengan asas-asas demokrasi.
96. Saya ingin mengulangi bahawa hanya UMNO sahaja antara
parti politik Melayu yang tegas menyokong sistem
Pemerintahan Beraja. Kita memilih sistem Raja
Berperlembagaan kerana kita khuatir jika diterima Sistem
Beraja yang berkuasa penuh, kuasa ini akan disalahgunakan.
Akhirnya rakyat akan memberontak seperti yang berlaku di
banyak negara di dunia di mana Sistem Beraja digantikan
dengan sistem republik.
97. Jika kita mengkritik gerak-geri mana-mana Raja,
sebabnya ialah supaya gerak-geri yang tidak menyenangkan ini
akan dihentikan dan dengan itu sokongan terhadap Sistem
Beraja tidak akan terjejas.
98. Oleh kerana terdapat banyak teguran oleh jurucakap
parti pada Perhimpunan Agung 1991, pihak Majlis Tertinggi
telah mengambil tindakan yang sewajarnya. Antara perkara
yang dibincangkan ialah peranan Raja-Raja sebagai Raja
Berperlembagaan.
99. Rundingan-rundingan telah diadakan di antara UMNO
dengan Raja-Raja. Hasilnya ialah sebuah Perisytiharan yang
dipersetujui oleh beberapa orang Raja mengenai peranan dan
tingkahlaku Raja sebagai Raja Berperlembagaan.
Perisytiharan ini telah diumumkan kepada rakyat.
PENUTUP
_______
100. Syukur Alhamdulillah, kita bersidang pada tahun ini
dalam keadaan yang terus tenang. Kita bersyukur kerana
tidak ada malapetaka yang besar yang menimpa kita. Kita
bersyukur ekonomi negara kita terus tumbuh dengan pesat
walaupun kebanyakan negara lain mengalami kemelesetan.
101. Semua ini tentulah ada kaitan yang rapat dengan
pendekatan kita. Tetapi kita tidak harus leka dengan
kejayaan kita. Mereka yang berjaya adalah mereka yang
sentiasa berwaspada, yang bersedia untuk mengatasi cabaran
dan merebut peluang pada bila-bila sahaja.
102. Dunia sudah berubah. Sementara dalam bidang ekonomi
zaman gergasi sudah melanda kita, dalam arena politik
antarabangsa juga, gergasi tunggal sudah muncul. Dan dunia
juga sedang memperlihatkan keruntuhan akhlak dan agama di
satu pihak dan kemunculan fanatik agama dan keterlaluan
sikap di pihak yang lain.
103. Memandu negara dalam lautan ekonomi, politik dan agama
yang bergelora ini bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi
dengan izin Allah Subhanahu wa Ta'ala dan berkat
kesederhanaan UMNO, kita masih selamat.
104. UMNO sebagai parti terbesar di negara ini, yang menjadi
tulang belakang Kerajaan, memikul tanggungjawab sepenuhnya
terhadap masa depan negara. Jika negara berjaya, UMNO
berhak berbangga. Tetapi jika negara gagal, kegagalan ini
adalah kegagalan UMNO juga.
105. Pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat serta ahli-
ahli UMNO perlu sedar akan hakikat ini. Perjuangan parti
adalah lebih besar dan lebih utama daripada perjuangan mana-
mana individu dalam parti. Justeru itu belakangkanlah
kepentingan individu dan utamakanlah parti. Dengan itu
agama, bangsa dan negara kita akan selamat dan maju, insya-
Allah.
WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH, WASSALAMUALAIKUM
WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
|