Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 10/11/92
Tajuk/Title : SEMPENA HARI KELUARGA
KEBANGSAAN 1992
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama menyambut Hari
Keluarga Kebangsaan pada tahun ini.
2. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga
kerana berpeluang merayakan satu hari yang khusus ditujukan
kepada semua ahli keluarga. Kita juga harus berbangga
kerana pengiktirafan kepada keluarga ini jelas membuktikan
bahawa di samping menikmati kemajuan ekonomi yang pesat,
kita tidak lupa kepada aspek-aspek sosial, terutamanya nilai
dan budaya hidup berkeluarga.
3. Sistem keluarga sebagai institusi dan asas masyarakat
perlu dikekal dan diperkukuhkan kerana keluarga ialah
penerima dan penyumbang kepada pembangunan negara. Kekuatan
dan keutuhan sesuatu keluarga dapat mempengaruhi dan
menjamin kestabilan sesuatu masyarakat. Lantaran itu,
segala perubahan dan perkembangan yang berlaku di peringkat
keluarga sudah pasti akan memberi kesan di peringkat
masyarakat dan negara.
4. Institusi keluarga juga merupakan asas yang amat pent-
ing kepada pembentukan masyarakat sesebuah negara kerana ia
berfungsi dan memainkan peranan utama untuk melahir dan
mewujudkan generasi yang bakal menentukan nasib bangsa dan
tanahairnya. Sesebuah keluarga, terutamanya ibu bapa,
adalah pencorak kehidupan anak-anak sama ada akan menjadi
manusia yang berguna atau sebaliknya. Ini adalah selaras
dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud setiap anak
itu dilahirkan dengan fitrah dan ibu bapanya yang akan
menjadikan ia baik, tidak baik ataupun cemerlang.
5. Perangkaan 1990 menunjukkan kira-kira 38 peratus
daripada jumlah penduduk negara ini terdiri daripada
golongan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun. Peratusan ini
jelas menunjukkan bahawa golongan ini merupakan sebilangan
besar daripada penduduk Malaysia yang berjumlah hampir 18
juta.
6. Ini bermakna negara kita mempunyai penduduk yang masih
muda dan mereka ini merupakan potensi serta aset besar yang
perlu dipupuk dan dibangunkan dengan sistematis dan
terancang kerana mereka boleh menyumbang ke arah kemajuan
dan kegemilangan negara di masa hadapan.
7. Sehubungan dengan itu, ibu bapa sebagai pembimbing dan
pendidik utama haruslah sentiasa peka dan prihatin terhadap
cabaran dan harapan dalam membentuk anak-anak supaya dapat
mencapai tahap kecemerlangan yang diidamkan. Peranan ibu
bapa mendidik anak-anak bukan sahaja sekadar meningkatkan
kecemerlangan tetapi juga yang lebih penting adalah
pembangunan anak secara menyeluruh agar ia berupaya membesar
menjadi seorang yang berkebolehan, berperibadi mulia dan
hidup sebagai insan kamil.
8. Masyarakat masakini sering menghadapi berbagai-bagai
cabaran dalam membentuk sebuah keluarga yang aman dan
harmoni. Perubahan budaya hidup yang pesat dan pengaruh me-
dia massa serta persekitaran luaran, sedikit sebanyak,
memberi kesan yang negatif terhadap pembangunan keluarga.
9. Di sini saya ingin menekankan tentang pentingnya kita
mengkaji peranan institusi keluarga yang akan membawa negara
ini kepada satu tahap kemajuan yang mencabar. Sekiranya
kita mengamati pengalaman negara-negara yang telah membangun
atau apa yang dikenali sebagai negara maju, proses
transformasi struktur ekonomi sering diiringi dengan
perwujudan ciri-ciri individualisma yang kurang sihat
seperti sikap egoistik, mementingkan diri sendiri,
membelakangkan keluarga dan masyarakat, dan sifat tidak peka
kepada keadaan sekeliling. Dengan ini institusi perkahwinan
dan keluarga juga runtuh dan didikan awalan tidak lagi dapat
diadakan bagi kanak-kanak.
10. Justeru itu, bagi mengatasi gejala-gejala negatif ini
usaha-usaha perlu dilakukan untuk melengkapkan masyarakat
kita meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta
kebolehan mereka mewujudkan ahli keluarga yang sihat,
berkualiti dan produktif. Dalam hubungan ini, ibu bapa
sebagai pendidik utama anak-anak perlu mempelajari kaedah
bagi menangani situasi dan masalah-masalah yang dihadapi
oleh anak-anak. Strategi komunikasi yang menjalinkan
hubungan yang rapat dengan anak-anak, di samping menumpukan
penekanan ke atas cara-cara perubahan tingkah laku, perlulah
dipelajari, dihayati dan dipraktikkan dengan penuh
kesungguhan.
11. Apabila segala masalah tersebut dapat diatasi, ibu bapa
bolehlah memberi tumpuan khusus ke arah membentuk
keperibadian, perwatakan serta daya intelek anak-anak. Di
dalam usaha kita mengejar kemajuan, kita mahukan rakyat
Malaysia yang bertanggungjawab, bertimbang rasa, taat,
sopan, berdaya tahan, matang dan penyayang. Kualiti-kualiti
unggul inilah yang boleh membawa kecemerlangan kepada
generasi akan datang.
12. Mewujudkan satu masyarakat cemerlang merupakan impian
kita bersama. Hasrat tersebut merupakan salah satu cabaran
yang terkandung dalam Wawasan 2020 di mana kita menekankan
cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang
maju, mempunyai keyakinan pada diri sendiri, berbangga
dengan apa yang telah dicapai serta gigih menghadapi semua
cabaran. Masyarakat sedemikian rupa mestilah mempunyai
ciri-ciri kecemerlangan yang disanjung oleh dunia.
13. Dengan itu tema Perayaan Hari Keluarga Kebangsaan tahun
ini iaitu "Anak Cemerlang Negara Gemilang" adalah sesuai.
Aspek-aspek pembentukan keluarga khususnya di peringkat
kanak-kanak, ciri-ciri penyayang dan bertimbang rasa mesti
dipupuk di peringkat awal.
14. Sempena Perayaan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun
ini, saya berharap setiap ibu bapa mengambil berat kepada
pembangunan anak-anak mereka daripada segi emosi, fizikal,
rohaniah, mental dan sosial agar mereka kelak akan dapat
menyumbang kepada kesejahteraan dan kecemerlangan keluarga,
masyarakat dan negara.
15. Semoga usaha-usaha murni ini diberkati Allah Subhanahu
wa Ta'ala dan akan sentiasa diteruskan serta mendapat
sokongan daripada semua pihak.
Terima kasih.
|