Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 08/12/92
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN TUAN
YANG TERUTAMA KHAMTAY SIPHANDONE
PERDANA MENTERI REPUBLIK
DEMOKRATIK RAKYAT LAOS
Saya bersama-sama isteri saya dengan sukacitanya
mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama dan Puan
Siphandone serta ahli rombongan ke Malaysia. Kami berasa
bangga pada malam ini kerana dapat meraikan Tuan Yang
Terutama dalam kunjungan yang pertama ke Malaysia.
2. Sungguhpun Malaysia dan Laos adalah dua negara jiran
dan telah mengadakan hubungan diplomatik semenjak tahun 1966
namun hubungan dua hala antara kedua-dua negara hanya
berkembang semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kunjungan Tuan Yang Terutama kali ini melambangkan permulaan
satu era baru dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Dengan adanya hasrat dan tekad bersama untuk menegakkan
kemerdekaan, keamanan dan kestabilan, kita akan dapat
meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara rakyat dan
memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
Meskipun lawatan Tuan Yang Terutama adalah singkat, namun
ianya memberi peluang untuk kita berdua berkenal-kenalan dan
memupuk hubungan kerja yang baik.
3. Pada petang tadi kita telah berkesempatan untuk
bertukar-tukar fikiran berkenaan pelbagai perkara hubungan
dua hala, isu-isu serantau dan antarabangsa. Perbincangan
itu sungguh bermanfaat. Saya sesungguhnya percaya bahawa
memang ada skop untuk memantap dan mengeratkan lagi hubungan
antara Malaysia dan Laos. Peluang dan potensi untuk
meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam
pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan dan
kebudayaan adalah luas. Usaha ini boleh kita pertingkatkan
dari sekarang.
4. Dalam beberapa bulan yang lalu Malaysia dan Laos telah
mencapai kemajuan dalam hubungan dua hala. Kedua-dua buah
negara telah menaikkan taraf perwakilan diplomatik ke
peringkat Duta Besar dan melantik Duta Besar masing-masing
bermastautin di kedua-dua ibu negara.
5. Ini dengan sendirinya mencerminkan keazaman kita untuk
bersama-sama menjalin hubungan yang lebih rapat lagi. Saya
berasa gembira mendapati lebih ramai rakyat Malaysia kini
melawat Laos. Sebahagian daripada mereka begitu aktif
mencari peluang perniagaan dan pelaburan di sana. Saya
berharap rakyat Laos juga akan membuka langkah yang sama dan
datang melawat Malaysia untuk meneliti peluang-peluang yang
ada di sini. Kedua-dua negara patut menggalakkan perjalinan
hubungan yang lebih rapat di peringkat rakyat jelata.
6. Pada hari ini Malaysia dan Laos telah menandatangani
tiga perjanjian iaitu Perjanjian Perkhidmatan Udara,
Perjanjian Perlindungan Pelaburan dan Perjanjian Kerjasama
Ekonomi, Saintifik dan Teknikal. Ini akan menjadi asas yang
baik bagi meningkatkan kerjasama yang merangkumi pelbagai
bidang di masa hadapan. Saya berharap perjanjian-perjanjian
ini akan menjadi penggerak kepada hubungan kerjasama ekonomi
yang baik antara Malaysia dan Laos.
7. Malaysia telah mengikuti dengan penuh minat
perkembangan-perkembangan positif yang berlaku di Laos.
Pelaksanaan dasar yang memberi penekanan kepada ekonomi
pasaran bebas pada mulanya mungkin menimbulkan beberapa
kerumitan. Walau bagaimanapun, saya yakin Laos akan berjaya
mengatasi masalah-masalah yang timbul dan mencapai objektif
yang dicita-citakan. Saya difahamkan bahawa beberapa
kejayaan telahpun dicapai semenjak Kerajaan Laos
melaksanakan polisi ini. Malaysia pula sebagai sebuah
negara jiran sentiasa bersedia bekerjasama dan berganding
bahu dengan Laos dalam bidang-bidang di mana Malaysia
mempunyai pengalaman, kepakaran dan kemampuan selaras dengan
komitmen kami terhadap usaha-usaha meluaskan lagi kerjasama
Selatan-Selatan.
8. Lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia sebenarnya tepat
pada masanya. Negara-negara di Asia Tenggara secara
individu ataupun secara bersama sedang dalam proses
menangani perubahan-perubahan yang sedang berlaku di arena
politik dan ekonomi antarabangsa. Justeru itu persefahaman,
semangat setiakawan, pengukuhan persahabatan dan kerjasama
di rantau ini perlu digalak dan ditingkatkan lagi. Kita
mesti sanggup menyelesaikan sebarang masalah secara aman dan
mengelakkan diri kita daripada mengambil tindakan-tindakan
yang boleh membawa akibat buruk kepada keamanan di rantau
ini. Sekarang adalah peluang yang sesuai bagi negara-negara
di Asia Tenggara berusaha secara bersama untuk membangun dan
menikmati kesejahteraan dalam suasana aman dan stabil yang
berkekalan.
9. Proses perdamaian di Kemboja berikutan Perjanjian
Perdamaian Paris, kini menghadapi beberapa cabaran. Saya
percaya Laos sebagai sebuah negara jiran yang bersempadan
dengan Kemboja sangat berharap agar proses perdamaian di
negara itu akan berjalan lancar dan mencapai objektifnya.
Kami di Malaysia mendukung harapan yang sama. Saya ingin
mengingat kembali kerjasama rapat antara Laos dan Malaysia
bersama-sama dengan puak-puak yang berkenaan di Kemboja dan
negara-negara lain yang terlibat dalam usaha menghasilkan
Perjanjian Perdamaian Paris berkenaan Kemboja. Kedua-dua
negara kita telah memberi sumbangan yang agak bererti
sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kedua, Persidangan
Antarabangsa berkenaan Kemboja di Paris. Kita mesti
mengakui bahawa kemajuan yang dicapai bagi memenuhi objektif
Perjanjian Paris setakat ini tidak berjalan lancar. Oleh
itu penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan di Kemboja
hanya boleh dicapai sekiranya semua puak di Kemboja memberi
kerjasama sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Peralihan PBB di
Kemboja (UNTAC) dalam melaksanakan mandat mereka serta
menghormati keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
10. Di atas semangat kejiranan dan demi keamanan,
kestabilan dan penyatuan serantau, Malaysia mengalu-alukan
keputusan Laos menandatangani Perjanjian Persahabatan dan
Kerjasama di Asia Tenggara. Kami juga menyokong penuh
keputusan ASEAN memberi status pemerhati kepada Laos dalam
mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN. Kami berharap Laos
akan dapat menjadi anggota ASEAN satu hari nanti. Kami
berpendirian Laos dan negara-negara lain di Asia Tenggara
patut diberi peluang menikmati kemajuan yang pesat mulai
dari sekarang. Ini akan membuka ruang kepada rantau ini
menjadi kawasan pertumbuhan yang lebih dinamik lagi yang
dapat memainkan peranan yang berkesan dalam sistem ekonomi
dan dagangan dunia.
11. Kami mengalu-alukan perkembangan positif di dalam arena
politik antarabangsa. Tetapi kami juga bimbang terhadap
kemunculan corak baru kerjasama serantau dan antarabangsa
yang lebih cenderung ke arah pewujudan sekatan dan kumpulan
yang eksklusif. Kita khuatir akan peraturan-peraturan baru
yang diperkenalkan yang mungkin akan membantutkan
pertumbuhan negara-negara membangun. Dalam keadaan ini,
saya percaya kerjasama yang lebih rapat antara negara-negara
membangun adalah sangat perlu. Persidangan G-15 baru-baru
ini, di mana Malaysia telah mengambil bahagian, telah
mengenalpasti bidang-bidang kerjasama yang lebih luas yang
boleh dijalankan oleh negara-negara Selatan.
12. Prospek mengembangkan kerjasama di rantau Asia Timur
bagi mengukuhkan lagi ekonomi serantau yang dinamik adalah
sangat baik. Justeru itu, cadangan Perundingan Ekonomi Asia
Timur atau 'East Asia Economic Caucus' (EAEC) akan memberi
sumbangan dan galakan yang bermakna kepada sistem
perdagangan dunia yang bebas dan terbuka. Inisiatif ini
akan mengukuhkan lagi pendekatan yang menyeluruh di kalangan
negara-negara Asia Timur dalam menghadapi isu-isu penting
yang melibatkan semua negara di rantau ini. Saya ingin
menegaskan sekali lagi bahawa EAEC adalah mekanisma
perundingan yang akan memberi peluang kepada negara-negara
di rantau Asia Timur berbincang dan menyelaras pandangan dan
pendirian mereka mengenai perkara-perkara yang berkaitan
dengan perdagangan dan perniagaan antarabangsa yang bebas.
13. Saya berharap Tuan Yang Terutama akan berasa selesa dan
gembira semasa berada di Malaysia. Kami telah berusaha
menyediakan aturcara yang diharapkan akan dapat memenuhi
kehendak Tuan Yang Terutama. Kami sedar bahawa Laos baru
saja kehilangan seorang pemimpin yang agung, Presiden
Kaysone Phomvihane yang meninggal dunia baru-baru ini. Kami
turut berdukacita di atas pemergian beliau dan kami
menyanjung tinggi kesediaan Tuan Yang Terutama dan delegasi
membuat kunjungan ke Malaysia dalam saat-saat ini demi untuk
mengeratkan lagi hubungan dua hala sebagai memenuhi hasrat
mendiang Presiden Kaysone.
|