Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 10/12/92 Tajuk/Title : SEMPENA PERASMIAN KURSUS PENDAKWAH NEGARA DI INSTITUT TADBIRAN AWAM NEGARA (INTAN) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana atas limpah kurniaNya dapat kita berkumpul di majlis pagi ini untuk merasmikan Kursus Pendakwah Negara. 2. Di masa yang sama kita harus lebih bersyukur kerana kita dilahirkan sebagai orang Islam. Kerapkali kita anggap ini sebagai kejadian semulajadi dan kerana itu kita biasanya tidak perlu insaf dan bersyukur. Tetapi inilah nikmat yang terbesar yang kita perolehi. Kita nikmatinya kerana lebih kurang 700 tahun dahulu pendakwah Islam telah datang ke pantai kita dan melalui cara dakwah yang bijak, mereka telah berjaya mengalih kepercayaan kita supaya memeluk agama Islam. Saya kurang yakin orang Melayu di zaman itu akan memeluk agama Islam jika dakwah yang dijalankan di zaman itu lebih tertumpu kepada berdakwah di kalangan mereka yang sudah Islam seperti yang dijalankan di zaman ini. 3. Di samping kita bersyukur kerananya, kita juga harus teliti akan cara mereka berdakwah di zaman dahulu. Berdakwah di kalangan orang yang sudah Islam biasanya lebih mudah daripada berdakwah kepada orang yang belum Islam. Sebaliknya orang Islam dikehendaki menyebar ajaran Islam bukan sahaja di kalangan orang Islam, tetapi juga di kalangan orang bukan Islam. Jika tidak, bagaimanakah Islam boleh berkembang di kalangan mereka yang bukan Arab dan yang bukan berada di Mekah atau Madinah? Walaupun kekecewaan lebih mungkin berlaku dalam usaha berdakwah di kalangan bukan Islam, ia masih menjadi tanggungjawab orang Islam. 4. Perkembangan Islam berjalan dengan pesat dalam abad- abad pertama dan kedua selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w. Selepas itu usaha untuk mengembangkan Islam agak berkurangan. Keadaannya tidaklah seperti agama-agama lain yang mempunyai rancangan serta pendakwah khas untuk mengembang agama mereka sehingga ke tempat-tempat yang terpencil seperti di kepulauan Pasifik. 5. Dalam sejarah perkembangan agama, tidak ada faktor yang lebih berkesan untuk menarik penganut baru daripada kejayaan nyata penganut yang sedia ada. Jika orang Arab dan India Muslim yang datang ke tanahair kita terdiri daripada pengemis miskin yang tidak berpengetahuan, sudah tentu mereka tidak mungkin dapat mengembangkan agama Islam. Dalam masyarakat Melayu pada zaman itu, raja sahaja yang boleh menentukan sama ada agama baru diterima atau ditolak. Pengemis yang jahil dalam selok-belok duniawi dan tidak pintar tidak mungkin mempengaruhi raja, bahkan tidak mungkin mendekati istana. Justeru itu, pendakwah Islam dari Arab dan India adalah terdiri daripada saudagar yang berjaya yang dapat mendekati dan mempengaruhi raja. Masa yang lama diperlukan untuk melakukan hubungan ini serta memperkenalkan kejayaan duniawi orang yang beragama Islam. Setelah raja dan penasihat-penasihatnya kagum dengan kejayaan peniaga- peniaga ini dan mempunyai hubungan rapat dengan mereka baharulah mereka berpeluang untuk menceritakan mengenai agama Islam dan kebaikannya. 6. Di zaman ini keadaan berbeza. Peranan raja tidak lagi seperti dahulu. Namun kejayaan nyata pendakwah-pendakwah dan umat Islam umumnya masih mempunyai peranan yang penting. Jika umat Islam merupakan masyarakat yang mundur dan miskin dan tidak berjaya, minat orang bukan Islam untuk mendengar keterangan pendakwah berkenaan dengan agama Islam tetap berkurangan. Dalam keadaan ini, hanya mereka yang terdesak atau mempunyai masalah jiwa yang kerap mendekati dan memeluk Islam. 7. Mungkin kita akan berkata bahawa penerimaan Islam oleh bukan Islam atau kehormatan mereka terhadap agama Islam tidak penting asalkan kita amalkan ajaran Islam. Tetapi sikap ini sudah menunjukkan bahawa kita tidak mengamalkan ajaran Islam kerana sebahagian daripada tanggungjawab orang Islam ialah mengembangkan agama mereka. Lebih daripada itu sikap tidak mempedulikan pandangan rendah orang bukan Islam terhadap Islam memperlihatkan sikap tidak bersyukur kita kepada pendakwah-pendakwah dahulu yang telah berjaya memikat hati nenek moyang kita. Walau apapun, orang Islam terutamanya pendakwah Islam, tidak boleh memandang ringan penghinaan agama Islam oleh orang bukan Islam. Sama ada mereka memeluk agama Islam atau tidak, mereka harus faham dan menghormati agama Islam. 8. Hari ini jelas orang bukan Islam tidak menghormati agama Islam. Ini bukan disebabkan oleh agama Islam itu sendiri, tetapi oleh kerana sikap dan pencapaian umat Islam yang tidak menepati ajaran Islam. Di merata-rata tempat amalan umat Islam jauh berbeza daripada ajaran Islam. Demikianlah bezanya amalan mereka sehingga bukan sahaja mereka tidak bersaudara di antara mereka seperti yang dituntut oleh Islam, tetapi juga mereka sanggup menghalang usaha menyelamat saudara mereka yang kebuluran kerana lebih mengutamakan rebutan kuasa untuk puak masing-masing. Ada di antara mereka yang mencuri makanan yang dihulurkan oleh orang bukan Islam untuk saudara mereka yang kebuluran. Jika pendakwah Islam betul-betul berjaya mengembangkan ajaran Islam yang sebenar, semua ini tidak akan berlaku. Bahawa ianya berlaku sekarang bermakna dakwah Islamiah kurang berkesan atau tidak tertumpu kepada ajaran Islam sepenuhnya. Dan kerana ianya berlaku maka agama Islam tercemar dan terhina bersama orang Islam. 9. Usaha menjayakan masyarakat Islam sehingga mereka mampu mencipta dan mengeluar barangan yang canggih dan berkualiti dan dengan itu bebas daripada bergantung kepada orang lain tidak boleh dianggap sebagai terasing daripada mengembangkan agama Islam, iaitu berdakwah. Orang Islam yang menjayakan usaha-usaha seperti ini tidak boleh dicap sebagai orang yang sudah lupa kepada agama atau ibadat-ibadat tertentu. Sebenarnya mereka akan lebih mampu beribadat, kerana jika mereka mampu baharulah mereka dapat mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji. Bahkan jika mereka terlalu miskin sehingga tidak berbaju seperti keadaannya di Somalia, ibadat sembahyang dan puasa pun tidak akan dapat dilakukan. Benarlah kemiskinan itu adalah hampir kepada kekufuran. Betapa tidak? Jika sudah begitu miskin seperti rakyat Somalia dan rakyat di beberapa lagi negara Afrika dan Asia, kekecewaan yang amat sangat akan melanda jiwa hingga iman mereka juga akan tergugat. 10. Justeru itu usaha membangunkan rakyat Islam juga termasuk dalam ertikata dakwah. Usaha ini perlulah dikaitkan dengan agama Islam. Umat Islam yang hanya inginkan kekayaan dan kejayaan untuk memenuhi nafsu tidaklah boleh dikatakan beribadat. Tetapi mereka yang mengejar kejayaan tanpa melupakan agama dan tanggungjawab mereka kepada agama dan umat Islam, adalah mereka yang beribadat dalam ertikata yang luas. 11. Sekarang ini pendakwah Islam lebih berminat untuk mengislamkan yang sudah Islam. Memandangkan bahawa ramai orang Islam terpaksa berhijrah ke negara-negara bukan Islam dan ada yang mungkin terpisah daripada agama mereka, minat untuk mengukuhkan pegangan orang Islam seperti ini kepada agama mereka memang tepat dan menjadi perkara yang penting bagi pendakwah Islam. 12. Tetapi terdapat juga orang yang membuat kriteria sendiri berkenaan dengan Islam dan membuat penilaian terhadap keislaman orang lain mengikut penilaian mereka. Orang ini tidak berpegang kepada apa yang diterima oleh agama Islam sebagai penentuan iman orang Islam. Dengan ini mereka kerap menidakkan keislaman orang lain atau kerajaan- kerajaan tertentu dan terus mengambil tindakan menentang mereka, kadang-kadang melalui keganasan. Hasilnya umat Islam berpecah dan kerajaan-kerajaan negara Islam menjadi lemah. Bagi gerakan ekstremis Islam ini, tidak adanya kemajuan di negara-negara Islam yang setanding dengan negara bukan Islam tidak mengapa. Kononnya kemajuan di dunia tidak penting. Yang penting ialah amalan-amalan yang dituntut oleh mereka mengikut tafsiran ekstremis mereka. 13. Sebenarnya secara tidak langsung puak ekstremis ini menjadi alat kepada musuh Islam. Percubaan mereka untuk menjatuhkan kerajaan negara-negara Islam dengan menggunakan kekerasan hanya berjaya melemahkan negara-negara ini dan menyekat kemajuan. Dengan itu, negara-negara ini tidak mampu bersaing dengan negara-negara maju bukan Islam. Negara-negara Islam ini menjadi semakin mundur dan terpaksa bergantung kepada negara-negara bukan Islam sehingga hilang kebebasan. Jika puak ekstremis ini berjaya menggulingkan kerajaan yang sedia ada dan mengambilalih pemerintahan pun, keadaan negara tidak juga akan menjadi lebih baik. Biasanya negara yang diperintah oleh puak ekstremis ini lebih mundur dan lebih tidak mampu bersaing atau menentang dengan berkesan negara-negara bukan Islam. Mereka juga boleh diperalatkan oleh musuh Islam untuk melemahkan lagi masyarakat dan dunia Islam. 14. Sebab itulah hari ini apabila satu masyarakat Islam diserang oleh musuh bukan Islam, tidak ada satupun negara Islam yang mampu membuat apa-apa untuk menolong masyarakat berkenaan. Gabungan semua negara Islam juga tidak mampu membuat apa-apa. Semuanya begitu lemah dan begitu bergantung atau terikat dengan negara-negara asing sehingga mereka kaku. Kita bersedih, kita mengeluh dan kita menyalahkan musuh-musuh Islam. Tetapi orang Islam tidak boleh menganggap diri mereka tidak bersalah. Sebenarnya mereka lebih bersalah daripada orang lain. 15. Apakah kena mengena semua ini dengan kursus dakwah? Seperti yang saya telah sebutkan, tumpuan pendakwah hari ini ialah untuk meningkatkan pengetahuan orang Islam mengenai ibadat-ibadat tertentu untuk diri sendiri semata-mata sebagai persediaan kononnya untuk akhirat. Tidak banyak perhatian diberi kepada pembentukan peribadi Islam dan pencapaian mereka di dunia yang boleh memuliakan Islam dan menjadikan orang Islam orang yang dihormati dan disegani oleh masyarakat lain. Pembangunan orang Islam dan negara Islam juga tidak dianggap sebagai sebahagian daripada perkembangan agama Islam, iaitu sebagai sebahagian daripada tugas berdakwah. 16. Justeru itu, penjelasan tentang keadaan sebenar umat Islam hari ini adalah penting kerana tanggungjawab untuk membentuk peribadi Islam secara menyeluruh tidak dapat diasingkan daripada dakwah Islamiah. Dakwah Islamiah dalam bentuk sekarang kepada orang-orang Somalia atau Bosnia tidak bermakna kepada mereka. Dalam keadaan mereka berada sekarang tidak ada ibadat yang dapat dilakukan oleh mereka jika mempertahankan diri tidak dianggap sebagai ibadat. Mereka perlu dipulih daripada segi fizikal sebelum soal iman, akidah serta ibadah tertentu dapat diamalkan oleh mereka. Hakikatnya ialah oleh kerana umat Islam seluruh dunia begitu lemah, mereka tidak terdaya memulihkan saudara seagama mereka. Dan ini adalah kerana pembentukan peribadi umat Islam yang dipertanggungjawabkan kepada pendakwah- pendakwah Islam terhad kepada perkara-perkara yang tidak mengutamakan pembangunan mental, fizikal, pengetahuan duniawi dan kecekapan mereka. 17. Memandangkan hakikat ini dan memandangkan kelemahan dan kemunduran umat Islam, maka di Malaysia sekurang-kurangnya pendakwah tidak harus menghadkan tanggungjawab mereka kepada akidah, iman dan ibadat tertentu sahaja, tetapi juga kepada pembentukan sikap yang sesuai dengan penerapan ilmu-ilmu dan kecekapan yang boleh menjadikan umat Islam umat yang maju, dapat membangun, mentadbir serta mempertahankan negara dan agama dengan berkesan. Dalam semua bidang pengetahuan, harus ada orang Islam yang menjadi pakar. Demikian juga harus ada di kalangan negara-negara Islam, negara yang mampu mempertahankan umat Islam di mana sahaja. Ini juga menjadi sebahagian daripada fardu kifayah. 18. Masanya sudah tiba untuk memperluaskan semula bidang tugas pendakwah supaya sesuai dengan keadaan masa dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Sebenarnya masalah hari ini adalah kerana pendakwah dalam beberapa abad yang lepas tidak memberi perhatian kepada bidang yang lebih luas. Perkembangan Islam dari Semenanjung Arab berlaku kerana semangat yang disemaikan oleh pendakwah Islam dahulu mendorongkan umat Islam menguasai bidang-bidang pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan untuk umat Islam memperluaskan wilayah Islam dan mentadbirkannya dengan cekap. Kebolehan mereka juga menyebabkan agama Islam, umat Islam serta negara Islam dihormati. Tetapi pendakwah seperti ini sukar didapati sekarang. Itulah sebabnya yang kita harus lahirkan semula pendakwah yang seumpama ini. 19. Pendakwah sekarang perlu menghidupkan semula dakwah yang luas ini dengan menyesuaikannya dengan keadaan zaman. Sudah tentu pendakwah sendiri tidak harus menjadi masalah kepada masyarakat Islam dengan bersikap ekstrim serta memecahbelah dan mengelirukan orang Islam. Mereka tidak harus mengembangkan ajaran yang boleh melemahkan negara Islam yang sudah pun lemah di masa ini. Bukanlah menjadi tugas pendakwah untuk membuat penilaian terhadap keislaman orang-orang tertentu dengan tujuan menyerang dan menjatuhkan mereka. Sebaliknya mereka harus cuba membetulkan akidah dan iman serta amalan mereka dengan cara yang bijak supaya tidak terjadi perpecahan di kalangan umat Islam. Inilah tugas pendakwah yang sebenarnya. 20. Harapan Kerajaan terhadap kegiatan dakwah adalah tinggi. Kita ingin menjadi negara Islam yang berkemampuan mempertahankan umat Islam dan negara Islam. Sama ada kita mencapai cita-cita mulia ini atau tidak, banyak bergantung kepada fahaman dan amalan kita semasa mengamalkan ajaran Islam yang disampaikan sebahagiannya oleh pendakwah- pendakwah di negara ini. Bukan sahaja iman orang Islam tetapi maju-mundur mereka adalah juga tanggungjawab pendakwah negara. Justeru itu anggaplah tugas ini sebagai ibadat yang mulia yang tidak boleh diasaskan kepada kepentingan diri semata-mata. 21. Dengan kata-kata ini, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Kursus Pendakwah Negara Siri Pertama ini. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualakum warahmatullahi wabarakatuh.