Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DI HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 11/12/92
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN MUZIUM DAN
YAYASAN KEBUDAYAAN IBRAHIM HUSSEIN
Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara Ibrahim
Hussein kerana menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua
kata dan seterusnya melancarkan Muzium dan Yayasan
Kebudayaan Ibrahim Hussein.
2. Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara
Ibrahim Hussein kerana inisiatifnya menubuhkan Muzium dan
Yayasannya sendiri. Penubuhan Muzium dan Yayasan Kebudayaan
Ibrahim Hussein di Pulau Langkawi amat tepat sekali
memandangkan usaha Kerajaan untuk menjadikan Langkawi sebuah
pusat pelancongan yang terkenal. Saya yakin penubuhan
Muzium dan Yayasan ini akan membantu meningkatkan lagi imej
Langkawi khususnya dan Malaysia amnya.
3. Saudara Ibrahim Hussein memang tidak asing dalam dunia
seni lukis dan dalam karier keseniannya telah mencapai satu
kedudukan yang begitu tinggi yang membanggakan kita semua.
Melalui penglibatannya dalam bidang seni lukis beliau telah
berjaya menjalin hubungan dan persahabatan yang baik dengan
ahli-ahli seni dan artis antarabangsa. Interaksi di antara
ahli-ahli seni dan artis tempatan dan antarabangsa adalah
penting dalam usaha meningkatkan lagi daya dan imej seniman-
seniman kita serta memperkenalkan mereka kepada masyarakat
dunia antarabangsa. Saya percaya negara kita akan dapat
menggunakan hubungan dan persahabatan beliau itu bagi
memperkenalkan Malaysia amnya dan Pulau Langkawi khususnya.
4. Karya ataupun lukisan hasil artis-artis serta seniman-
seniman kita mempunyai nilai yang tinggi kerana ianya adalah
sebahagian daripada ciptaan yang mencerminkan budaya kita.
Ciptaan seperti ini merupakan satu dimensi budaya kita yang
akan dibawa daripada satu generasi ke generasi yang lain.
Ini adalah warisan tradisi kita yang mencerminkan pencapaian
masyarakat Malaysia di satu-satu masa. Justeru itu, budaya
kita penting dicorak dan dibentuk supaya benar-benar
memperlihatkan identiti negara kita yang unik dan
tersendiri.
5. Dalam konteks ini adalah penting kita menggalakkan
individu dalam masyarakat kita supaya meningkat dan
mengembangkan hasil kesenian dan budaya kita. Individu yang
kreatif di antara artis-artis tempatan harus diberi peluang
bukan sahaja untuk menghasil dan membentuk karya mereka
tetapi lebih penting mereka harus diberi tempat yang sesuai
supaya berpeluang untuk berinteraksi sesama sendiri dan di
kalangan artis dan seniman di peringkat antarabangsa.
Dengan adanya muzium ini maka akan berpeluanglah artis
tempatan yang berbakat berinteraksi dan mencari ilham dalam
bidang lukisan.
6. Negara kita sedang dalam proses menuju ke taraf negara
maju. Kemajuan negara yang kita mahukan bukan setakat
pembangunan ekonomi dan sosial sahaja, tetapi juga
perkembangan budaya yang meliputi antara lain bentuk abstrak
seperti ideologi dan artifak seperti hasil tulisan, barang-
barang dan lukisan-lukisan.
7. Justeru itu, penubuhan Muzium dan Yayasan Kebudayaan
Ibrahim Hussein seharusnya mendapat sokongan semua pihak
memandangkan ianya adalah selaras dengan cita-cita kita
untuk menjadi negara maju. Menjadi maju atau moden bukan
bererti penambahan bilangan teknokrat semata-mata, tetapi
bererti juga perwujudan bilangan artis-artis dan pakar-pakar
seni. Proses perindustrian negara kita akan lebih bermakna
sekiranya ia melibatkan semua rakyat, daripada kalangan
pentadbir sehingga kepada artis yang berbakat dan maju. Ini
penting dalam menentukan kekayaan seni dan budaya kita dan
ini akan menentukan kesinambungan budaya kita bagi generasi-
generasi akan datang.
8. Saya difahamkan bahawa melalui Yayasan Ibrahim Hussein
ini sebuah Kompleks Kesenian akan dibina di Pulau Langkawi
yang bukan sahaja akan menyimpan dan mempamerkan lukisan-
lukisan, terutama karya-karya Ibrahim Hussein sendiri,
tetapi juga akan dijadikan tempat pertemuan bagi para
seniman kebangsaan dan antarabangsa. Apabila kompleks ini
terbina kelak, maka ia pasti akan juga menjadi satu daya
tarikan pelancongan yang agak luar biasa dan memikat.
9. Perwujudan sebuah yayasan serta kompleks kesenian
seperti yang dirancangkan ini, adalah kena pada masanya,
iaitu tatkala kita sedang menuju ke arah masyarakat
perindustrian. Memang dalam perjalanan ke arah itu, kita
barangkali terlalu banyak menumpukan perhatian kepada soal-
soal ekonomi. Tetapi mungkin ini akan menjamin bidang seni
tidak diabaikan.
10. Perkembangan kesenian kita pada umumnya sudah boleh
dibanggakan. Contoh yang gemilang dalam lapangan seni lukis
dapat dilihat daripada pencapaian saudara Ibrahim Hussein
sendiri. Jikalau kita hendak mengambil tempat yang wajar di
dalam dunia moden, maka kita patutlah menggalakkan
perkembangan kesenian yang dinamik dan segar. Daripada segi
ini, kita sudah mempunyai bakat-bakat yang baik. Yang
diperlukan ialah sokongan yang tidak berbelah bagi
terutamanya daripada pihak swasta.
11. Dengan itu saya mengalu-alukan penubuhan Muzium dan
Yayasan Kebudayaan Ibrahim Hussein, dan saya menyeru agar
berbagai pihak memberikan sokongan kepada beliau. Saudara
Ibrahim Hussein telah memberikan khazanah yang tidak
ternilai yang ada pada dirinya, iaitu bakat, pengalaman dan
hubungan mesra dengan seniman antarabangsa yang telah
dipupuknya berpuluhan tahun. Kita semua patutlah
menggunakan khazanah diri beliau itu bagi kemajuan bangsa
dan negara kita.
12. Di sini kita diberi kesempatan untuk membina Malaysia
sebagai salah satu pusat interaksi kesenian antarabangsa,
tempat berkembangnya daya kreatif bagi memperlengkapi dan
memperindahkan lagi pembinaan industri dan penghidupan
peribadi kita. Kita akan dapat lakukan ini di dalam negara
kita sendiri, tanpa begitu bergantung lagi kepada
perkembangan dari luar.
13. Dengan itu saya dengan sukacitanya melancarkan Muzium
dan Yayasan Kebudayaan Ibrahim Hussein.
|