Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KANGAR, PERLIS
Tarikh/Date : 04/01/93
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN TILAWAH AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN KE-35
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita
mengadakan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi
kali yang ke-35 pada malam ini. Majlis ini memainkan
peranan yang penting kerana di samping memperdengarkan ayat-
ayat suci al-Quran serta tafsirannya, juga berjaya
mengumpulkan umat Islam di negara ini dalam suasana
keagamaan dan persaudaraan yang dapat merapatkan lagi
barisan ummah.
2. Umat Islam di Malaysia seharusnya bersyukur kerana
dengan izin Allah Subhanahu wa Ta'ala kita semua dapat hidup
dalam keadaan aman damai. Keadaan ini membolehkan kita
bukan sahaja membuat amal ibadat kita dengan sempurna,
tetapi juga dapat mengadakan majlis-majlis agama tanpa
gangguan dan sekatan. Keadaan ini berbeza sekali dengan
nasib yang menimpa saudara-saudara Islam kita di kebanyakan
tempat di dunia ini, di mana mereka dibunuh, diseksa, tidak
bebas mengamalkan ibadat dan menghadapi berbagai-bagai
kesulitan seperti kebuluran dan pengusiran dari wilayah
mereka. Justeru itu, umat Islam di negara ini harus insaf
dan sedar bahawa mereka sangat bernasib baik. Masyarakat
yang insaf dan bersyukur akan lebih tenang, lebih aman, dan
lebih mungkin menambah nikmat yang diperolehi.
3. Dalam ketenangan inilah negara ini mampu membangun
sektor-sektor sosial dan ekonominya sehingga kehidupan
rakyat menjadi lebih bahagia. Keadaan ini pula membolehkan
kita menyempurnakan amal ibadat mengikut kehendak agama
kita.
4. Pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan telah
mengakibatkan bidang perniagaan atau perdagangan berkembang
dengan pesat. Banyak peluang untuk mencari kehidupan yang
sempurna wujud untuk rakyat yang sanggup berusaha dan
bekerja keras. Dalam hubungan ini, ada disebut di dalam
hadis bahawa 9/10 daripada punca rezeki itu adalah daripada
perniagaan atau perdagangan. Selain daripada itu kita yang
menjadikan sunnah Rasul sebagai panduan hidup tentu sedar
bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang peniaga yang
berjaya. Kejayaannya disebabkan oleh kesanggupan Baginda
bekerja dengan kuat dan ikhlas semasa berniaga. Jika sunnah
Rasul menjadi panduan kita maka kita haruslah memasuki
bidang perniagaan dan perusahaan dengan tekun dan jujur
seperti Nabi.
5. Umat Islam diperintah supaya sentiasa berusaha dengan
gigih dalam mencari rezeki dan meningkatkan taraf hidup
mereka. Allah berfirman dalam surah al-Jumaah ayat 10 yang
bermaksud:
"Kemudian setelah selesai sembahyang, (iaitu sembahyang
Jumaat) maka bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk
menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang
kamu hajati dari limpah kurnia Allah".
Ini bererti bahawa pada hari Jumaat pun kita tidak disuruh
beristirahat semata-mata. Kita harus bekerja mencari
rezeki.
6. Memandangkan kurangnya kesungguhan umat Islam di
Malaysia mencari rezeki yang diredai Allah Subhanahu wa
Ta'ala, maka tema Majlis Tilawah al-Quran pada kali ini
ialah "Wawasan Memajukan Ummah". Tema ini tepat pada
masanya kerana pada masa ini kita giat memperkatakan tentang
Wawasan 2020. Wawasan memajukan ummah bermaksud bahawa
sesuatu umat yang inginkan kejayaan dan kemajuan mestilah
mempunyai wawasan yang jelas.
7. Wawasan negara kita Malaysia ialah untuk menjadi sebuah
negara maju menjelang tahun 2020. Bagaimanapun, dengan
hanya mempunyai wawasan sahaja tidak menentukan ianya akan
menjadi kenyataan. Ciri-ciri dan sifat-sifat tertentu
adalah diperlukan. Sekali lagi Nabi Muhammad s.a.w. boleh
menjadi contoh. Kejujuran dan kegigihan Baginda menyebabkan
Baginda menjadi peniaga yang berjaya. Oleh itu, bagi umat
Islam kualiti yang lebih utama untuk berjaya dalam bidang
perniagaan dan perusahaan ialah kegigihan dan kejujuran.
Namun nilai-nilai moral yang lain tidak boleh dilupakan.
8. Dengan memiliki ciri-ciri yang disebutkan di atas,
masyarakat Islam di negara ini akan dapat mengambil bahagian
dalam proses kemajuan dan menjadi satu umat yang maju
setanding dengan bangsa dan kaum lain. Dengan itu akan
terpulihlah imej agama Islam dan umat Islam yang telah
hilang semenjak zaman kegemilangan Islam beratus tahun
dahulu.
9. Umat Islam yang mundur dalam ilmu-ilmu duniawi yang
ditekankan oleh Islam sama seperti yang ditekankan kepada
ilmu akhirat tidak mungkin memajukan Islam seperti yang
ianya telah maju dahulu. Oleh itu selaras dengan tema
Wawasan Memajukan Ummah, adalah wajar umat Islam di negara
ini berusaha menghayati ajaran Islam yang sebenar yang
menuntut supaya kita mengejar kemajuan dunia bersama dengan
kebahagiaan di akhirat. Wawasan 2020 yang akan meletakkan
rakyat Malaysia sebagai rakyat yang maju adalah menepati
ajaran Islam. Harus diingat bahawa yang dituntut bukan
kekayaan semata-mata, kerana banyak negara Islam yang kaya
raya. Yang dituntut ialah kemajuan ilmu, kecekapan dan
kebolehan menguruskan harta kekayaan supaya kita dapat
melindungi Islam daripada dihina seperti yang kita lihat
sekarang.
10. Dalam penguasaan ilmu, umat Islam di negara ini masih
ditahap yang rendah terutama di bidang-bidang perdagangan,
perusahaan, sains dan teknologi, walaupun disedari bahawa
bidang-bidang ini perlu untuk pembangunan negara dan
kejayaan Wawasan. Kita jelas tidak mempelajari daripada
sejarah kegemilangan Islam di abad-abad yang lalu di mana
penguasaan ilmu-ilmu sains dan teknologi telah meletakkan
negara dan umat Islam di tempat yang tinggi di mata dunia.
11. Umat Islam seharusnya tidak menjadi pengguna sahaja.
Mereka hendaklah berusaha menjadi pencipta dan pengeluar
berbagai-bagai keperluan hidup yang mereka beli dan guna
sekarang. Umat Islam yang hanya tahu menggunakan barangan
orang lain akan mudah dikuasai oleh pembekal.
12. Walaupun Islam menegaskan bahawa kemiskinan adalah
hampir kepada kekufuran, ramai di kalangan umat Islam yang
percaya bahawa umat yang miskin lebih kukuh iman mereka.
Justeru itu sebarang usaha untuk menjayakan orang Islam di
dunia dianggap tidak penting, bahkan bertentangan dengan
agama. Tidak hairanlah jika kita dapati di seluruh dunia
tidak ada satu pun masyarakat Islam atau negara Islam yang
maju daripada segi ekonomi atau kecekapan dalam bidang
pembuatan dan pemasaran. Yang kaya antara negara Islam
hanyalah yang dikurniakan sumber kekayaan oleh Tuhan. Dan
mereka ini pun bergantung kepada pihak lain untuk
mengeluarkan kekayaan ini. Kerapkali setelah sumber
kekayaan ini dikeluarkan, mereka tidak berjaya
menguruskannya secara yang mendatangkan manfaat sepenuhnya
kepada diri sendiri atau umat Islam lain. Kerapkali juga
kekayaan ini digunakan untuk permusuhan sesama orang Islam
sendiri.
13. Di Malaysia sikap orang Islam tidak banyak berbeza
dengan sikap orang Islam di lain-lain negara di dunia. Jika
ada usaha untuk memajukan orang Islam di Malaysia supaya
sekurang-kurangnya setanding dengan orang lain di dalam
negara, akan ada kumpulan-kumpulan yang giat berusaha
mengembangkan ajaran anti kemajuan. Ada yang ingin balik
kepada keadaan masyarakat 1400 tahun dahulu seolah-olah
Islam adalah untuk masyarakat di zaman itu sahaja. Sunnah
yang ditekankan oleh mereka ialah yang tertumpu kepada rupa
bentuk Islam dan tidak kepada isi kandungan Islam yang kita
tahu telah berjaya membentuk umat yang sanggup menghadapi
cabaran sehingga dapat mendirikan sebuah empayar Islam yang
lebih besar dari empayar-empayar yang sebelumnya.
14. Walaupun kumpulan-kumpulan anti kemajuan ini giat
berusaha, Malaysia masih berjaya menjadi negara contoh
kepada dunia ketiga. Malaysia dianggap sebagai sebuah
negara membangun yang berjaya. Kedatangan mereka untuk
mempelajari cara-cara kita membangunkan negara membuktikan
kehormatan mereka kepada kita.
15. Demikian juga dalam dunia Islam, Malaysia dan orang-
orang Malaysia yang beragama Islam harus menjadi contoh
kepada negara-negara dan umat Islam keseluruhannya. Adalah
menjadi satu kewajipan kita untuk membuktikan bahawa Islam
adalah agama kejayaan bagi dunia dan akhirat. Untuk ini
kita harus ketepikan pandangan dan tafsiran yang sempit
terhadap ibadat, terhadap isi kandungan al-Quran dan
terhadap hadis dan sunnah Nabi. Yang menyebabkan kita
mundur dan dipandang rendah bukan al-Quran dan hadis tetapi
tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh orang-orang tertentu yang
berkepentingan sendiri.
16. Demikian ahli-ahli fikah di zaman Sepanyol berada di
bawah pemerintahan orang Islam telah terlalu ghairah dengan
perbahasan dan polemik berkenaan dengan hukum-hakam Islam,
sehingga kekuatan pemerintahan dan ketahanan wilayah-wilayah
Islam tidak diberi perhatian. Apabila Sepanyol menyerang
balas untuk menakluk semula negara mereka, negeri-negeri
Islam tidak mampu mempertahankan diri walaupun ulama pada
masa itu mendesak supaya bersungguh-sungguh mempertahankan
wilayah Islam. Akhirnya orang Islam dihalau keluar dari
Andalusia, nama yang diberi orang Arab kepada Sepanyol pada
tahun 1492, iaitu 500 tahun dahulu. Di Afrika juga mereka
tidak selamat. Akhirnya semua negara Islam di Afrika Utara
dijadikan tanah jajahan kuasa-kuasa Barat.
17. Sempena Majlis Tilawah al-Quran pada tahun ini, saya
difahamkan satu Seminar al-Quran yang bertujuan untuk
mendalami isi kandungan al-Quran dan mengukuhkan lagi
keyakinan ummah melalui penghayatan ajaran al-Quran yang
sebenar dalam kehidupan harian akan diadakan. Al-Quran
tidak bertukar tetapi di masa-masa lampau banyak tafsiran
yang dibuat yang tidak tepat dan perlu dibetulkan. Al-Quran
yang ditafsir dengan betul tidak akan menghalang kemajuan
umat sepertimana ia tidak menghalang kemajuan umat Islam
dahulu dan sudah tentu tidak akan menjadikan mereka lemah
dan dihina seperti yang berlaku sekarang.
18. Justeru itu, adalah diharapkan semua pihak akan
menjadikan al-Quran bersama hadis yang sahih sebagai panduan
hidup yang akan membimbing manusia ke arah kemajuan dan
pembangunan yang seimbang di dunia dan akhirat. Al-Quran
sepatutnya dijadikan panduan hidup dan mati dan bukan
sekadar disimpan sebagai hiasan atau diambil berkatnya
sahaja. Saya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
agar usaha murni semua pihak untuk meletakkan al-Quran di
tempat yang agung dan mulia diberkatiNya.
19. Dengan ini, saya dengan lafaz
'Bismillahirrahmanirrahim' merasmikan Majlis Tilawah al-
Quran Peringkat Kebangsaan Ke-35 dan Seminar al-Quran
Peringkat Kebangsaan yang Pertama.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|