Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PLAZA TOLJALAN DUTA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/01/93
Tajuk/Title : PERASMIAN LEBUHRAYA BARU
LEMBAH KLANG
Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Lebuhraya
Malaysia dan PLUS yang telah menjemput saya untuk berucap
dan seterusnya merasmikan Lebuhraya Baru Lembah Klang.
2. Majlis ini adalah satu lagi peristiwa penting dalam
perkembangan penswastaan lebuhraya di negara ini. Pembukaan
bahagian Bukit Lanjan - Jalan Duta yang kita saksikan pagi
ini menandakan siapnya Lebuhraya Baru Lembah Klang. Mulai
hari ini, perhubungan di antara Ibu Kota Kuala Lumpur dengan
Pelabuhan Klang dan Lapanganterbang Antarabangsa Subang yang
dirancang semenjak tahun 1988 akan bertambah mudah dan
cepat.
3. Pembukaan pagi ini mencerminkan sebahagian daripada
hasrat Kerajaan untuk menyediakan rangkaian jalanraya yang
baik kepada pengguna-pengguna jalanraya di negara ini.
Projek Lebuhraya Utara - Selatan termasuk Lebuhraya Baru
Lembah Klang yang telah diswastakan adalah tunggak ke arah
memenuhi cita-cita tersebut. Projek Lebuhraya Utara-Selatan
merupakan projek kerjaraya terbesar dalam sejarah negara
kita dan manfaatnya kini sudah mula dirasai oleh rakyat
dalam persiapan untuk melangkah ke ambang abad ke-21.
4. Jalanraya memainkan peranan penting dalam pembangunan
negara kita. Jalanraya bukan sahaja digunakan untuk membawa
hasil mahsul ke bandar dan pelabuhan untuk dieksport tetapi
turut membantu mengeratkan hubungan antara rakyat di negara
ini. Dengan adanya jalanraya mereka boleh menjelajah kemana-
mana sahaja dalam negara dengan mudah dan cepat.
5. Pada akhir tahun 1980an, Malaysia dapat berbangga
kerana mempunyai rangkaian jalanraya yang lengkap. Sebelas
buah negeri dan Wilayah Persekutuan saling berhubungan
melalui empat laluan utama, iaitu Jalanraya Persekutuan 1,
2, 3 dan 4. Di Sabah dan Sarawak terdapat juga rangkaian
jalanraya yang baik yang sedang dipertingkatkan lagi.
Bagaimanapun, rangkaian jalanraya yang ada hari ini tidak
mampu lagi menampung keperluan negara akibat pertumbuhan
ekonomi yang pesat dan pertambahan penduduk.
6. Jumlah penduduk negara kita telah meningkat daripada
13.7 juta orang dalam tahun 1980 kepada 18 juta dalam tahun
1990. Jumlah ini dijangka mencapai 22.7 juta menjelang
tahun 2000. Kadar pertumbuhan ekonomi negara pula meningkat
kira-kira lapan peratus setahun semenjak lewat tahun 1980an.
Sekiranya segala pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia
Keenam (RM6) berjalan lancar, kita yakin pertumbuhan
sebanyak 7.6 peratus antara tahun 1990 dan 1995 yang
diharapkan akan dicapai.
7. Adalah penting kita mengemblengkan usaha agar selari
dengan tahap pertumbuhan pesat ekonomi negara. Rangkaian
lebuhraya yang baik adalah faktor penting yang akan membantu
menjadikan Malaysia sebuah pusat pelaburan dan pelancongan
utama di rantau ini.
8. Hasil kajian yang dijalankan pada tahun 70an mendapati
keseluruhan objektif negara ini boleh dicapai dengan adanya
rangkaian jalanraya yang lebih cepat dan selamat.
9. Dalam perancangan negara, kita telah pun mempunyai
wawasan. Mengadakan rangkaian lebuhraya menghubungkan
negara ini dari utara ke selatan, bermula dari sempadan
negara Thai hingga ke Singapura melalui Tambak Johor, adalah
sebahagian daripada wawasan itu. Dalam proses mengadakan
rangkaian lebuhraya ini kita juga akan mengeratkan lagi
hubungan setiakawan di samping mewujudkan satu 'common mar-
ket' yang lebih luas. Lebuhraya Utara - Selatan akan
menjadikan wawasan tersebut satu kenyataan.
10. Berkat kerjasama dan persefahaman yang terjalin antara
Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS
serta kelancaran kerja pembinaan, PLUS telah pun mengumumkan
bahawa Lebuhraya Utara - Selatan akan siap 14 bulan lebih
awal daripada jadual iaitu pada bulan Mac, 1994. Apabila
siap kelak rakyat Malaysia boleh menggunakan keseluruhan
lebuhraya ini dari Bukit Kayu Hitam di Kedah hingga ke
Singapura melalui Tambak Johor. Perjalanan hanya akan
mengambil masa tidak lebih daripada lapan jam, iaitu hampir
separuh daripada masa perjalanan melalui rangkaian jalanraya
yang sedia ada.
11. Negara turut mendapat faedah daripada Lebuhraya Utara -
Selatan. Kawasan yang dahulunya sukar dilalui kini telah
berubah, bandar-bandar baru telah mula muncul, peluang
pekerjaan terbuka luas dan taraf hidup masyarakat
berhampiran juga kian meningkat.
12. Sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah
negara maju, kita mesti mempunyai daya saing yang tinggi.
Walaupun saingan daripada negara-negara jiran di rantau ini
kian meningkat, kedudukan negara ini sebagai sebuah pusat
pelaburan dan pelancongan utama mesti dikekalkan. Lebuhraya
Utara - Selatan merupakan pelaburan penting demi pembangunan
negara di masa depan.
13. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperingati
diri kita akan keperluan sistem jalanraya yang mengenakan
bayaran tol. Sebelum kita mengadakan sistem ini pengguna
jalanraya hanya dikehendaki membayar cukai jalan dan cukai
petrol. Jika kita ingin mengadakan sistem jalanraya yang
lebih baik kita boleh juga membiayainya melalui kenaikan
cukai jalan dan petrol. Tetapi cara ini bermakna pemilik
kereta yang tidak menggunakan lebuhraya akan membiayai atau
"subsidise" pengguna lebuhraya yang secara relatif hanya
sedikit sahaja. Ini tidaklah adil kepada majoriti pemilik
kenderaan. Dengan mengadakan sistem tol yang dibayar semasa
pemilik kenderaan menggunakannya sahaja, maka beban
pembinaan dan penyelenggaraan lebuhraya dipikul hanya oleh
mereka yang menggunakannya sahaja. Ini adalah lebih adil.
14. Dalam pada itu saya ingin mengingatkan pengguna bahawa
Kerajaan memberi subsidi kepada pembinaan lebuhraya ini
untuk mengurangkan kos keatas pengguna. Pihak PLUS yang
mengambilalih lebuhraya yang dibina sebelum penswastaan
tidak dikenakan bayaran kos sepenuhnya. Jika kos sebenar
lebuhraya yang diserahkan kepada PLUS dikenakan, maka tol
yang lebih tinggi perlu dikenakan kepada pengguna untuk
menjadikan sistem jalanraya ini "viable". Sebenarnya
pengguna tidak membayar kos sepenuhnya penggunaan jalanraya.
Sebahagian daripada bayaran ini dibebankan kepada Kerajaan.
15. Seperkara lagi ialah hakikat bahawa kos binaan dan
penyelenggaraan jalanraya meningkat sepanjang masa. Dalam
keadaan ini tidak dapat tidak bayaran tol akan dinaikkan
dari semasa ke semasa. Namun sebenarnya tol di Malaysia
adalah lebih rendah daripada kebanyakan negara lain. Ada
negara yang mengenakan bayaran hingga satu ringgit bagi satu
kilometer. Walaupun perjalanan melalui lebuhraya dikenakan
bayaran, tetapi kerapkali pengguna boleh menggunakan jalan
alternatif. Terpulanglah kepada pengguna untuk
membandingkan antara belanja petrol dan kos kerosakan kereta
serta masa dengan keselesaan daripada penggunaan jalan yang
dikenakan tol. Di samping itu, cukai pendapatan oleh
syarikat lebuhraya akan dipulangkan balik kepada masyarakat
melalui lain-lain pembiayaan kemudahan rakyat yang diuruskan
oleh Kerajaan.
16. Justeru itu, pengguna lebuhraya yang dikenakan tol
harus sedar bahawa bayaran yang dibuat adalah untuk kebaikan
mereka dan negara.
17. Dengan mengingati semua pihak akan hakikat ini, saya
dengan lafaz 'Bismillahirrahmanirrahim' dengan sukacitanya
merasmikan Lebuhraya Baru Lembah Klang.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|