Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	 DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	18/01/93 
Tajuk/Title  	: 	SEMASA MEMBENTANGKAN RANG 
			UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN
			(PINDAAN) 1993 



 Tuan Yang di-Pertua,
    Saya   mohon   mencadangkan  iaitu  Rang  Undang-Undang
bernama Suatu Akta untuk meminda Perlembagaan dibacakan kali
yang kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
     Izinkan saya memperkenal dan mengulas Akta  yang  telah
saya sebutkan tadi.
2.   Ketika  negara  menuntut kemerdekaan, pemimpin-pemimpin
negara yang telah mendapat  kemenangan  besar  dan  sokongan
padu dalam Pilihanraya Umum tahun 1955 telah membuat pilihan
supaya  sistem  pemerintahan  di  negara  ini  ialah  sistem
Demokrasi Berparlimen  atau  'Parliamentary  Democracy'  dan
Raja Berperlembagaan atau 'Constitutional Monarchy'.
3.   Sistem  ini  dipilih kerana semasa negeri-negeri Melayu
diperintah melalui sistem  feudal  dengan  kuasa  di  tangan
Raja,   negeri-negeri   Melayu   adalah   begitu  lemah  dan
pentadbirannya berada dalam keadaan  kucar-kacir.    Negeri-
negeri    ini    tidak   dapat   menentukan   keamanan   dan
menguatkuasakan undang-undang.  Akibatnya negeri-negeri  ini
terpaksa  meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing
seperti Cina, Siam dan Barat.  Akhirnya semua negeri  Melayu
ditakluki  oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan
British  melalui  perjanjian  di   antara   Raja-Raja   yang
memerintah dengan pihak Kerajaan British.
4.   Selepas  Perang  Dunia Kedua, Raja-Raja Melayu berharap
apabila British mentadbir semula  kedudukan  mereka  sebagai
Raja  yang  berada  di bawah nasihat pegawai-pegawai British
akan dikembalikan.   Negeri-negeri Melayu akan  sekali  lagi
diperintah  oleh  British  walaupun tidak seperti Singapura,
Pulau Pinang dan Melaka, di mana British berkuasa penuh.
5.   Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri  Semenanjung,
mereka   juga   bersedia   menerima   pemerintahan  di  mana
keMelayuan  negeri-negeri  Melayu   diakui   oleh   British,
walaupun   pentadbiran   dikuasai   hampir  sepenuhnya  oleh
British.  Namun ada pendapat di  kalangan  sebilangan  orang
Melayu  bahawa  negeri-negeri  Melayu  sepatutnya dibebaskan
daripada pemerintahan kolonial British sama sekali.
6.   Orang  Melayu  hanya  sedar  akan  kemungkinan   mereka
diketepikan  dan  menjadi  pengemis di negeri mereka sendiri
apabila Raja-Raja Melayu tunduk kepada ugutan MacMichael dan
menandatangani   perjanjian   baru   dengan   British   yang
menyerahkan  negeri-negeri Melayu terus kepada British untuk
diperintah sebagai tanah jajahan takluk British sama seperti
Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.
7.   Oleh  kerana   begitu   mudah   Raja-Raja   menyerahkan
Singapura,  Pulau  Pinang  dan  Pangkor  kepada penjajah dan
kemudiannya menyerah pula negeri-negeri Melayu, maka  rakyat
tidak  lagi  boleh  menerima sistem yang memberi kuasa hanya
kepada Raja dan rakyat tidak diberi  peranan  apa-apa  dalam
politik negara.  Lagi pun selepas Perang Dunia Kedua, Sistem
Raja  berkuasa  penuh  sudah menjadi lapok di seluruh dunia.
Di merata-rata tempat Sistem Beraja ditamatkan  terus.    Di
mana  ia  dikekalkan,  kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan
atau  undang-undang  asas  negara.    Justeru  itu,   semasa
Persekutuan  Tanah  Melayu  menuntut  kemerdekaan, pemimpin-
pemimpin rakyat telah  mengkaji  sistem-sistem  pemerintahan
dengan   mengambilkira   sejarah  negeri-negeri  Melayu  dan
sistem-sistem pemerintahan lain.
Tuan Yang di-Pertua,
8.   Sistem pemerintahan lama  negeri-negeri  Melayu  adalah
sistem feudal di mana Raja berkuasa penuh tanpa Perlembagaan
yang  ditulis.   Sistem feudal ini ditentukan oleh adat yang
sering dimanipulasikan dengan sewenang-wenangnya oleh  pihak
berkuasa.  Jika pihak yang berkuasa melampaui adat, pegawai-
pegawai  istana  atau rakyat sukar untuk menegur dan membuat
sebarang dakwaan.   Tetapi apabila keadaan  menjadi  terlalu
buruk,    kemungkinannya    ialah   adat   diketepikan   dan
pemberontakan berlaku.  Tetapi cara ini tetap membawa  kesan
yang   buruk   tanpa   menjamin  bahawa  pemberontakan  akan
memperbaiki keadaan.
9.   Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di
bawah  suatu  Perlembagaan  yang  menentukan  kedudukan  dan
peranan  Raja.    Dengan  cara  ini  Raja  tidak  lagi boleh
bertindak  dengan  sewenang-wenangnya.    Kuasa  Raja   akan
ditentukan   oleh  Perlembagaan,  iaitu  undang-undang  asas
negara.   Namun ada Raja  yang  sanggup  menyerahkan  negeri
sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.
10.  Namun  semasa sistem Raja Berperlembagaan digubal untuk
Persekutuan   Tanah   Melayu,   yang   ketika   itu   menuju
kemerdekaan,  penggubal-penggubal perlembagaan masih percaya
Raja-Raja akan  patuh  bukan  sahaja  kepada  yang  tersurat
tetapi juga yang tersirat di dalamnya -- iaitu semangat yang
terdapat dalam Perlembagaan.
11.  Di  zaman  penjajahan British, oleh kerana mereka boleh
menaik atau menurunkan  Raja,  maka  Raja  menerima  nasihat
pemerintah   kolonial.      Perkara   ini  dimasukkan  dalam
perjanjian di antara pihak British dengan  Raja-Raja  Melayu
di  mana  nasihat  'British Resident' atau 'British Adviser'
mesti dipohon dan dipatuhi  oleh  Raja  melainkan  berkenaan
agama Islam dan adat istiadat Melayu.  Bagi British, nasihat
yang  mesti  dipatuhi oleh Raja tidaklah ganjil kerana dalam
sistem Kerajaan di Britain, 'King' atau 'Queen' mereka mesti
menerima nasihat Kerajaan.  Jika tidak, Raja akan diturunkan
dari takhta.   Oleh itu apabila King  Edward  VIII  berkeras
untuk berkahwin dengan seorang janda, baginda terpaksa turun
dari  takhta  atas  nasihat  Kerajaan,  walaupun  tidak  ada
peruntukan khusus untuk tindakan ini.   Yang  dikuatkuasakan
bukan  undang-undang  tetapi kepentingan politik negara, dan
Raja-Raja British memang akur kepada politik negara.   Sebab
itulah  sebelum pun Parlimen British memutuskan supaya Queen
Elizabeth membayar cukai pendapatan, Baginda  sendiri  baru-
baru  ini membuat keputusan untuk membayar cukai pendapatan.
Perlembagaan  British,  walaupun  tidak  bertulis,  dipatuhi
daripada segi semangat dan adat.
12.  Oleh  kerana  Raja-Raja  Melayu di zaman kolonial telah
mematuhi  nasihat,  maka  dipercayai  bahawa  masalah   Raja
bertindak di luar undang-undang tidak akan berlaku.
13.  Penggubal   undang-undang   dan  pengasas  pemerintahan
Persekutuan  Tanah  Melayu   yang   merdeka   juga   percaya
peruntukan  bahawa  Raja  tidak  boleh  didakwa  di mahkamah
hanyalah sebagai petanda kemuliaan Raja  dan  bukan  sebagai
hak   untuk   melakukan  jenayah.    Sudah  tentu  penggubal
Perlembagaan dan pengasas kemerdekaan negara tidak bermaksud
peruntukan ini memberi hak kepada Raja untuk  membelakangkan
undang-undang civil dan criminal.  Raja Berperlembagaan atau
Constitutional  Monarchy  tidak  pernah memberi keistimewaan
atau privilege kepada Raja untuk melakukan jenayah.   Tetapi
jika  Raja  tersalah  semasa  menjalankan  tugas rasmi, Raja
adalah bebas daripada  tuduhan.    Ini  adalah  kerana  yang
bertanggungjawab dan boleh didakwa ialah Kerajaan.
14.  Dalam  usaha  menentang Malayan Union dan mengembalikan
negeri-negeri Melayu dan negeri-negeri Selat kepada  'status
quo  ante'  iaitu keadaan sebelum Perang Dunia Kedua, rakyat
telah  memainkan  peranan  yang   penting   walaupun   tidak
diperuntukkan  oleh  undang-undang.    Adalah  jelas  kepada
rakyat pada masa itu bahawa Raja tanpa sokongan rakyat mudah
dikuasai oleh pihak penjajah dan pihak-pihak lain.   Justeru
itu,  rakyat  perlu diberi hak dalam politik dan pentadbiran
negara.   Peranan rakyat mestilah  ditentukan  oleh  undang-
undang.
15.  Memandangkan   hakikat   ini  dan  sekali  lagi  dengan
mengambil contoh dari Britain, Persekutuan Tanah Melayu yang
merdeka memilih sistem Demokrasi Berparlimen.   Rakyat  akan
melantik  wakil  mereka  ke  Dewan  Rakyat  dan  Dewan-Dewan
Undangan Negeri yang menjadi penggubal  utama  undang-undang
dan   dasar-dasar  negara.    Ini  menentukan  rakyat  boleh
memainkan peranan mereka dengan tertib dan tersusun.
16.  Tetapi sekali lagi mengikut sistem di Britain,  undang-
undang  hanya  menjadi sah setelah ditandatangani oleh Raja.
Di Britain, ini tidak  menjadi  masalah  kerana  Raja  tidak
mungkin  menolak nasihat Jemaah Menteri.  Tetapi di Malaysia
perkataan nasihat, yang penggubal perlembagaan percaya  akan
mempunyai  makna  yang  sama  seperti di Britain dan juga di
zaman penjajah, tidak ditafsirkan dengan jelas.    Oleh  itu
pihak Raja boleh menolak nasihat Kerajaan.
17.  Jika  Kerajaan diakui terdiri daripada wakil-wakil yang
dipilih oleh rakyat untuk menentukan rakyat berkuasa, tetapi
nasihat Kerajaan berkemungkinan tidak diterima, ini  bererti
Demokrasi  Berparlimen tidak wujud dan rakyat tidak berkuasa
sepenuhnya.   Dalam perkara-perkara  tertentu  bukan  sahaja
persetujuan  Yang  di-Pertuan  Agong diperlukan, tetapi juga
persetujuan Majlis Raja-Raja.
18.  Walaupun wakil rakyat bebas bercakap dalam Dewan Rakyat
dan Dewan-Dewan Undangan Negeri  mengenai  apa  juga  tajuk,
tetapi  mereka  tidak  boleh menyentuh diri Raja-Raja kerana
sebarang kritikan atau teguran terhadap Raja boleh  ditakrif
sebagai  hasutan  dan  mereka  boleh  didakwa  di bawah Akta
Hasutan.  Peruntukan ini adalah hasil  pindaan  yang  dibuat
pada  tahun 1971.   Sebelum ini, teguran terhadap Raja boleh
dibuat di dalam dewan.   Di  Britain  dan  di  negara-negara
lain, ahli-ahli Parlimen bebas menegur atau mengkritik Raja.
Adalah  jelas  bahawa  menegur  dan  mengkritik  Raja  tidak
menghapus kedaulatan Raja.
19.  Sementara halangan ke atas teguran ini  dikatakan  akan
memelihara   kemuliaan   Raja,  tetapi  apabila  Raja  tidak
ditegur, maka ia tidak akan sedar akan kesalahan yang  telah
dilakukannya.    Dengan  itu, mungkin lebih banyak kesalahan
akan dilakukan dan kesalahan ini mungkin akan menjadi  lebih
serius.    Ini bukan sahaja akan mencemarkan kemuliaan Raja,
bahkan juga  boleh  menimbulkan  kebencian  rakyat  terhadap
Raja.    Tidaklah  benar  jika  dikatakan  larangan terhadap
mengkritik Raja akan memelihara kemuliaan Raja.   Sebenarnya
kemuliaan Raja akan tercemar kerana larangan ini.
20.  Dengan  kemungkinan  Raja  menolak  nasihat serta bebas
daripada teguran dan sebarang tindakan keadilan,  maka  Raja
sebenarnya  bukan  Raja  Berperlembagaan lagi tetapi menjadi
Raja mutlak.  Sekali lagi Demokrasi Berparlimen tidak  wujud
kerana  tidak  ada tindakan undang-undang yang boleh diambil
terhadap Raja yang tidak menerima  nasihat  Kerajaan  rakyat
dan melakukan kesalahan.
21.  Pada  tahun  1983, tindakan telah diambil untuk meminda
Perlembagaan supaya sekurang-kurangnya kuasa Yang di-Pertuan
Agong menolak rang undang-undang yang dilulus oleh  Parlimen
dibatalkan.    Usaha  ini  berjaya  tetapi tidak sepenuhnya.
Yang diluluskan akhirnya ialah kuasa Yang  di-Pertuan  Agong
menolak  rang  undang-undang  Parlimen  dikurangkan  sedikit
dengan  mengadakan  peruntukan  baru  bahawa  Baginda  boleh
merujuk   balik   kepada   Parlimen   jika   Baginda  enggan
menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh
Parlimen.  Jika Parlimen meluluskannya sekali lagi, sama ada
dengan pindaan atau tidak, maka rang undang-undang itu  akan
menjadi  undang-undang  yang  sah  dalam  jangkamasa 30 hari
(Perkara 66(4) Perlembagaan) walaupun  tidak  ditandatangani
oleh Yang di-Pertuan Agong.
22.  Tetapi  kelulusan  secara  ini  terhad  kepada perkara-
perkara  yang  tidak  menyentuh  hak-hak  dan  keistimewaan-
keistimewaan    Raja-Raja.      Untuk   meminda   peruntukan
Perlembagaan  yang  menyentuh  Raja-Raja,  Majlis  Raja-Raja
perlu memberi persetujuan.
23.  Di  peringkat  negeri,  tidak ada pindaan dibuat kepada
Perlembagaan negeri.   Dengan itu  tidak  ada  undang-undang
yang  boleh  diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja.  Ini
bermakna kuasa Raja-Raja di  negeri-negeri  mengatasi  kuasa
Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat.
24.  Peruntukan-peruntukan  ini  tidak  menjadi masalah jika
tidak ada tentangan  pendapat  di  antara  Raja-Raja  dengan
Dewan-Dewan  Undangan,  atau  tidak ada perbuatan yang salah
yang dilakukan oleh Raja-Raja, atau tidak  ada  adat  Melayu
yang  tidak  suka  memburukkan  hubungan  dengan  Raja-Raja.
Malangnya oleh  kerana  Menteri-Menteri  Besar  dan  Perdana
Menteri adalah orang Melayu yang enggan bermasam muka dengan
Raja,   maka   apabila   Raja  membuat  sesuatu  yang  tidak
sepatutnya dilakukan, tidak ada teguran yang  berkesan  yang
dibuat.   Jika ada pun, keengganan Raja mengambil berat akan
teguran penasihat-penasihat  rasmi  ini  tidak  mendatangkan
apa-apa tindakan kepada Raja.
25.  Justeru   itu  dalam  sejarah  Malaysia  yang  merdeka,
tindakan  Raja-Raja  dan  pihak-pihak  yang  berlindung   di
belakang  Raja  yang  melampaui  hak  dan keistimewaan Raja,
semakin lama semakin serius.  Kemungkinannya ialah  ia  akan
menjadi  lebih serius lagi di masa-masa hadapan.  Jika tidak
ada pindaan undang-undang,  seperti  yang  dicadangkan  ini,
tidak syak lagi bahawa perkara-perkara yang lebih buruk akan
berlaku  yang  mana  ini  akan  menyebabkan  institusi  Raja
dibenci oleh rakyat.  Bukanlah mustahil jika satu hari kelak
tuntutan dibuat untuk menghapuskan Sistem Beraja sama sekali
walau apa pun yang diperuntukan oleh Perlembagaan.
26.  Justeru itu  pindaan  yang  dicadangkan  ini  bertujuan
mengelak  atau  menghalang  daripada  meningkatnya  perasaan
benci kepada Raja yang boleh membawa kepada  tuntutan  untuk
menghapuskan  Sistem  Beraja.    Pindaan  ini  adalah  untuk
menyelamatkan   Raja-Raja   sendiri    dan    sistem    Raja
Berperlembagaan.      Untuk  memperkuatkan  lagi  peruntukan
Perlembagaan  bagi  mengekalkan  Sistem  Beraja,  peruntukan
dibuat supaya sebarang syor atau cadangan untuk menghapuskan
Sistem  Beraja  akan  ditakrif sebagai hasutan dan tertakluk
kepada Undang-Undang Hasutan.
27.  Pindaan ini tidak  menyentuh  keistimewaan-keistimewaan
yang diberi kepada Raja-Raja.  Raja-Raja akan terus bertaraf
Raja,  dan  kemudahan-kemudahan  yang disediakan kepada Raja
dan keluarga di-Raja mengikut Perlembagaan dan undang-undang
akan diteruskan.
28.  Untuk menentukan  sistem  Raja  Berperlembagaan  benar-
benar  berkesan,  maka  tiga  pindaan  perlu  dibuat  kepada
Perlembagaan Persekutuan.   Yang  pertama  ialah  peruntukan
Perlembagaan  berkenaan  dengan kekebalan Raja-Raja daripada
sebarang tindakan  undang-undang  seperti  dalam  Fasal  (1)
Perkara  32  yang mana selepas perkataan "mahkamah" ditambah
perkataan "tetapi hanya berkenaan dengan  apa-apa  jua  yang
dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya dalam
perjalanan  atau  yang  berupa  sebagai  perjalanan  fungsi-
fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis".    Ini
bermakna  tidak  ada  tindakan  mahkamah  yang boleh diambil
terhadap Raja dalam menjalankan tugas rasminya.
29.  Kekebalan Raja atau  Sovereign  Immunity  adalah  suatu
prinsip  feudal  -- satu konsep kononnya 'The King can do no
wrong'.  Mengikut Dr. Hogg dalam bukunya 'Liability  of  the
Crown'  konsep ini berasas kepada alasan bahawa seorang Raja
tidak boleh didakwa dalam mahkamahnya sendiri.   Alasan  ini
sudah  lama  dipersoal  dan ditolak oleh pakar-pakar undang-
undang di Eropah seperti  Adams  yang  merasakan  tidak  ada
keraguan  bahawa  feudal  lords  diletak  di  bawah mahkamah
mereka sendiri -- 'No doubt at  all  of  the  subjection  of
feudal lords to their own courts'.
30.  Di  bawah Government of India Act 1935 Governor General
atau Governor adalah  kebal  hanya  semasa  melakukan  tugas
rasmi.
31.  Di  Amerika  Syarikat,  tuntutan  Presiden Nixon supaya
dianya dikecualikan daripada suatu peruntukan  undang-undang
telah ditolak oleh Supreme Court.
32.  Di England, Queen tidak boleh ditangkap dan penangkapan
sesiapa  tidak  boleh  dibuat  dalam  kawasan istana.   Juga
dakwaan terhadap Queen tidak boleh dibuat dalam mahkamah.
33.  Tetapi dalam satu kertas yang  membincangkan  Constitu-
tional Law of India, di bawah Crown Proceedings Act bagi En-
gland   peruntukan   asal   telah   dipinda   supaya  'Civil
proceedings by and against the Crown' boleh dibuat.   Dengan
ini   perbezaan  'proceedings'  terhadap  'Crown'  disamakan
dengan rakyat.
34.  Di dalam kertas  yang  sama  disebutkan  bahawa  adalah
menjadi  'fundamental general rule' bahawa 'His Majesty can-
not sanction any act forbidden by the law'.  Apabila Baginda
tidak boleh sanction, Baginda dengan sendirinya tidak  boleh
berbuat  sesuatu  yang salah.  Dengan ini, maka 'His Majesty
is under and not above the laws, (and) that he is  bound  by
them equally with his subjects'.
35.  Peruntukan  dalam  Perlembagaan-perlembagaan  Sepanyol,
Belgium, Norway, Denmark, Sweden  dan  Luxembourg,  semuanya
memberi  immunity  kepada Raja hanya dalam menjalankan tugas
rasmi sebagai Raja.   Sebarang kesalahan  dalam  menjalankan
tugas rasmi akan dipikul oleh Kerajaan atau Menteri.
36.  Tidak    ada    peruntukan   khusus   dalam   mana-mana
Perlembagaan  negara-negara  Eropah  yang  memberi  immunity
kepada  Raja  apabila  melakukan perbuatan yang tidak rasmi.
Namun Raja-Raja negara-negara berkenaan masih diiktiraf  dan
berdaulat.   Mereka terus menjadi sovereign dan tidak hilang
sovereignty mereka.   Pendapat bahawa Raja  hanya  berdaulat
jika Raja boleh melakukan jenayah dengan sewenang-wenangnya,
tidak  disokong  oleh amalan-amalan di negara-negara lain di
zaman ini.  Bahkan di zaman dahulu pun  Raja  kerap  dihukum
apabila  melakukan kesalahan.   Demikian dengan Charles I di
England dan Louis XVI di France.
37.  Hanya   dalam   Perlembagaan   Malaysia   sahaja   yang
diperuntukkan  secara  khusus bahawa di bawah Artikel 181(2)
bahawa 'no proceedings whatsoever shall be  brought  in  any
court  against  the  Ruler of a State in his personal capac-
ity'.
38.  Almarhum  Tunku  Abdul  Rahman  Putra  al-Haj,  Perdana
Menteri  pertama negara ini, pernah menulis bahawa kekebalan
atau immunity ini tidak 'satisfactory'  kerana  'Raja  boleh
membunuh   tanpa  sebarang  tindakan  terhadapnya'.    Kesan
peruntukan Artikel 181(2) ini amatlah  luas.    Oleh  kerana
Perlembagaan-Perlembagaan Persekutuan dan Negeri adalah juga
undang-undang,  Artikel  181(2)  sebenarnya membenarkan Raja
melanggar Perlembagaan.   Sebab itu apabila  Raja  berniaga,
walaupun  dilarang oleh Perlembagaan, tidak ada apa-apa yang
boleh dibuat oleh Kerajaan.    Yang  di-Pertuan  Agong  juga
tidak boleh didakwa dalam mana-mana mahkamah.  Tetapi Majlis
Raja-Raja  boleh  melucutkan jawatannya.  Sebaliknya sebagai
Raja, Artikel 181(2) akan melindunginya.
39.  Jika  Malaysia  ingin  menjadi   sebuah   negara   yang
mengamalkan  Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,
kekebalan   yang   diberikan   kepada   Raja-Raja   perlulah
dihapuskan.   Oleh kerana Perlembagaan di negara-negara yang
mengamalkan  Sistem  Raja  Berperlembagaan   tidak   memberi
kekebalan   kepada   Raja-Raja   mereka,   maka  penghapusan
kekebalan Raja-Raja Melayu  tidak  akan  menjejaskan  sover-
eignty  atau  kedaulatan  mereka.   Di zaman moden ini hanya
kerana Raja tidak boleh melakukan jenayah  dengan  sewenang-
wenangnya  tidak  akan  menjejaskan  taraf Raja, terutama di
dalam  sebuah  negara  yang  mengamalkan  sistem   Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
40.  Untuk menentukan bahawa penghapusan kekebalan berkesan,
dua  lagi peruntukan dalam Perlembagaan perlu dipinda.  Yang
pertama ialah  berkenaan  dengan  peruntukan  dalam  Artikel
63(2)  yang  melindungi  seseorang  yang  mengambil bahagian
dalam  perbahasan  di  Parlimen  atau   Jawatankuasa   Dewan
daripada  disoal  dalam  mahkamah,  telah  dipinda  di bawah
Artikel 63(4) jika dianya menyentuh peruntukan Akta Hasutan.
Peruntukan ini dibuat pada tahun 1971.  Ini bermakna teguran
terhadap Raja boleh dibuat sebelum  1971  tanpa  menjejaskan
kedaulatan  Raja.    Justeru itu membenar semula wakil-wakil
rakyat mengkritik Raja yang bersalah tidaklah menidakkan hak
atau keistimewaan asli Raja-Raja.
Pindaannya Perkara 63 selepas Fasal(4) berbunyi:-
     "(5)  Walau apa pun Fasal (4) tidak seorang  pun  boleh
     dikenakan  apa-apa  prosiding  dalam mana-mana mahkamah
     berkenaan dengan apa-apa  jua  yang  dikatakan  olehnya
     tentang  Yang  di-Pertuan  Agong  atau  seseorang  Raja
     semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-
     mana    satu    Majlis    Parlimen    atau    mana-mana
     jawatankuasanya    kecuali    jika    ia   menganjurkan
     penghapusan kedudukan Berperlembagaan  Yang  di-Pertuan
     Agong sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan atau
     kedudukan Berperlembagaan Raja sesuatu negeri, mengikut
     yang mana-mana yang berkenaan".
Perkara  72  Perlembagaan  Persekutuan adalah dipinda dengan
memasukkan selepas Fasal (4) Fasal yang berikut:-
     "(5)  Walau apa pun Fasal (4) tiada seorang  pun  boleh
     dikenakan  apa-apa  prosiding  dalam mana-mana mahkamah
     berkenaan dengan apa-apa  jua  yang  dikatakan  olehnya
     tentang Raja mana-mana Negeri semasa mengambil bahagian
     dalam apa-apa prosiding Dewan Undangan mana-mana Negeri
     atau   mana-mana   jawatankuasanya   kecuali  jika  dia
     menganjurkan penghapusan  kedudukan  Raja  itu  sebagai
     Raja Berperlembagaan Negeri itu".
41.  Tafsiran  yang  dibuat  mengenai  hasutan terhadap Raja
dalam Perlembagaan adalah begitu  luas  sehingga  tidak  ada
apa-apa pun teguran yang boleh dibuat di dalam Parlimen oleh
ahli-ahli  Dewan Rakyat atau Dewan Undangan.  Dengan itu me-
dia juga tidak berpeluang untuk melapor.  Teguran yang boleh
dibuat hanyalah oleh penasihat Raja secara tertutup.    Jika
teguran ini tidak berkesan tidak ada apa-apa lain yang boleh
dibuat.
42.  Sebenarnya  ketiga-tiga Perdana Menteri dahulu, sebagai
penasihat kepada  Raja-Raja,  telah  pun  menegur  Raja-Raja
berkali-kali  semasa  mereka berkhidmat.   Saya tahu teguran
ini  dibuat  kerana  perkara  ini  telah  dilaporkan   dalam
mesyuarat  Jemaah  Menteri  dan  juga  Majlis Tertinggi UMNO
berkali-kali.
43.  Allahyarham Tun Hussein  Onn,  semasa  menjadi  Perdana
Menteri,  pernah  dalam  ucapan  bertulis di suatu mesyuarat
Majlis Raja-Raja, yang dihadiri hanya  oleh  Duli-Duli  Yang
Maha  Mulia  atau  wakil-wakil mereka sahaja, menegur dengan
kerasnya perbuatan Raja-Raja yang tidak harus dilakukan.
44.  Tetapi semua teguran  ini  tidak  berkesan.    Perkara-
perkara   yang   disentuh   terus   dilakukan  juga,  bahkan
ditingkatkan.  Apa yang tidak pernah dibuat di zaman British
dan pada  tahun-tahun  awalan  Malaysia  merdeka,  dilakukan
dengan semakin ketara dan meluas.
45.  Walaupun hampir semua Perdana Menteri dan Menteri Besar
melaporkan  kepada  Majlis  Tertinggi UMNO akan masalah yang
dihadapi oleh mereka tetapi orang  ramai  tidak  diberitahu.
Justeru  itu,  orang  ramai  tidak  mengetahui  masalah yang
dihadapi oleh Kerajaan.   Sebahagian besar  daripada  mereka
terus  percaya  bahawa  sistem Raja Berperlembagaan berjalan
dengan baik dengan Raja menghormati segala peruntukan  dalam
Perlembagaan.    Hanya sebilangan kecil daripada rakyat yang
mengetahui dan mereka ini memang tidak  senang  hati  dengan
perbuatan   Raja-Raja.     Tetapi  mereka  ini  tidak  dapat
menyuarakan pandangan dan perasaan mereka ini kerana  adanya
Akta Hasutan.
46.  Akta  Hasutan  dan  peruntukan berkenaan dengan hasutan
terhadap  Raja-Raja   dalam   Artikel   63(4)   Perlembagaan
menghalang   rakyat   daripada   mendapatkan   maklumat  dan
menyuarakan pendapat mereka.   Mereka hanya  dapat  bercakap
sesama  sendiri sahaja.  Pemimpin-pemimpin politik, termasuk
pemimpin-pemimpin Kerajaan, memang mendengar  dan  menyedari
akan   pandangan   dan   kemarahan  sebilangan  rakyat  yang
mengetahui perbuatan Raja.    Demikianlah  kemarahan  mereka
sehingga  ada,  terutama  di  kalangan  generasi  muda, yang
menganggap Sistem Beraja sudah ketinggalan zaman.
47.  Tetapi oleh kerana Akta Hasutan dan  larangan  terhadap
mengkritik  Raja,  Raja  tidak  mendengar  dan tidak percaya
kepada  penasihat  mereka   apabila   maklumat   disampaikan
berkenaan  kegelisahan  rakyat.   Raja dan keluarga-keluarga
di-Raja  nampaknya  berpendapat  bahawa  semua  ini   adalah
ciptaan  penasihat-penasihat  Raja  untuk menakutkan Baginda
atau untuk merebut hak Raja.
48.  Dalam keadaan ini Raja  bukan  sahaja  akan  meneruskan
amalan-amalan  yang tidak disenangi atau disukai oleh rakyat
tetapi  juga  akan  melakukan  perkara-perkara  yang   lebih
dibenci oleh rakyat.  Jika trend ini tidak disekat, perasaan
rakyat  terhadap  Raja  tentu akan meluap dan menjadi begitu
buruk sehingga pada suatu masa nanti  rakyat  mungkin  tidak
lagi  dapat  membendung  perasaan  mereka.    Perasaan  yang
diluahkan dalam surat-surat kepada akhbar  sebenarnya  sudah
lama wujud.
49.  Dengan  izin  Tuan  Yang  di-Pertua, saya ingin membaca
petikan daripada satu rencana yang dihantarkan kepada akhbar
The Straits Times pada tahun 1946 oleh seorang tokoh  Melayu
yang   terkemuka,  apabila  British  mencadangkan  penubuhan
Malayan Union.   Tokoh ini kemudian  memegang  jawatan  yang
tinggi  dalam  Kerajaan.    Rencana ini tidak disiarkan oleh
akhbar Straits Times tetapi ia disampaikan kepada saya baru-
baru ini oleh penulis.
50.  Penulis ini menyatakan, dengan izin,  'All  intelligent
Malay  leaders ought now seriously to give most profound and
careful thought to the question whether the time has not ar-
rived when the Malay Royalty (I mean the  Sultan  and  Raja)
should gracefully withdraw themselves altogether'.
51.  Jika  pandangan  seperti ini sudah ada pada tahun 1946,
apakah ia tidak mungkin wujud semula pada  tahun  1993  jika
Raja-Raja   tidak  dihalang  daripada  melakukan  perbuatan-
perbuatan yang tidak diingini?
52.  Perlindungan dan keistimewaan yang diberi  kepada  Raja
bertujuan  meletakkan  Raja di tempat yang tinggi dan mulia.
Perlindungan dan keistimewaan ini bukanlah untuk membolehkan
Raja melakukan apa sahaja termasuk jenayah.  Raja yang sedar
dan faham akan maksud sebenar peruntukan ini  akan  sentiasa
memelihara  daripada  mencemar  diri  dalam  perbuatan  atau
berkelakuan  yang  tidak  baik  dan   tidak   disukai   oleh
masyarakat.    Raja  yang  sedar  akan tahu bahawa perbuatan
tidak menghiraukan perasaan dan  pandangan  masyarakat  akan
menyebabkan   rakyat  akhirnya  menyingkirkan  Raja,  bahkan
menghapuskan Sistem Beraja.  Inilah yang berlaku di  negara-
negara lain yang sekarang menjadi republik.
53.  Di   Malaysia  lindungan  yang  diberi  amatlah  tebal.
Kekebalan Raja daripada undang-undang dan larangan  terhadap
teguran,  walaupun hanya oleh ahli-ahli Dewan-Dewan Undangan
yang   dipertanggungjawabkan   untuk    mentadbir    negara,
mengasingkan Raja daripada dunia sebenar.  Dalam keadaan ini
perbuatan  dan  tingkah-laku  Raja  akan menjadi lebih buruk
sepanjang masa.  Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang.
54.  Justeru itu,  adalah  penting  Ahli-Ahli  Dewan  diberi
semula  hak menegur Raja dalam perbahasan mereka.  Tanpa hak
ini Ahli-Ahli Dewan tidak akan  berjaya  mengamalkan  sistem
Demokrasi  Berparlimen  dan  tidak  akan  dapat  membuktikan
bahawa rakyatlah yang berkuasa dalam sistem ini.  Tanpa  hak
ini, yang berkuasa ialah Raja dan bukan rakyat.
55.  Dengan adanya larangan terhadap menegur Raja, Ahli-Ahli
Dewan  sebenarnya  tidak dapat memelihara Institusi Raja dan
Sistem Beraja.    Justeru  itu,  kebebasan  Ahli-Ahli  Dewan
berucap  dalam  Dewan  tidak harus disekat oleh Akta Hasutan
seperti yang diperuntukan di bawah Artikel 63(4) dan  72(4).
Dengan  ditambah  Artikel  63(5)  dan  72(5) Ahli-Ahli Dewan
bukan  sahaja  boleh  memelihara  kedudukan   Raja,   tetapi
institusi   Raja   Berperlembagaan   akan   dilindungi  oleh
Perlembagaan secara jelas, kerana disebut di  dalam  Artikel
63(5)  dan  72(5)  bahawa pengecualian daripada Akta Hasutan
tidak   termasuk    penganjuran    'penghapusan    kedudukan
Berperlembagaan  Yang  di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama
Negara bagi Persekutuan atau kedudukan Berperlembagaan  Raja
sesuatu negeri'.
Tuan Yang di-Pertua,
56.  Perkara  yang  kedua  yang boleh menidakkan penghapusan
kekebalan Raja-Raja apabila melakukan sesuatu yang melanggar
undang-undang dalam suatu urusan yang tidak rasmi  ialah hak
pengampunan Raja seperti yang  diperuntukkan  dalam  Artikel
42.   Dengan peruntukan ini, Raja boleh mengampunkan dirinya
sendiri  jika  ia  dihukum  salah  oleh   mahkamah   setelah
kekebalan  daripada  tindakan  undang-undang  ditarik balik.
Ini bermakna penarikan kekebalan tidak  bermakna  dan  tidak
berkesan.
57.  Justeru  itu,  Kerajaan bercadang supaya Perkara 38 dan
42 Perlembagaan Persekutuan dipinda seperti  dalam  Fasal(2)
Perkara 38 dan Fasal(12) Perkara 42.
     Fasal  (2)  Perkara  38 Perlembagaan Persekutuan adalah
     dipinda -
     (a)  dengan menggantikan koma di hujung  perenggan  (c)
          dengan koma bernoktah; dan
     (b)  dengan    memasukkan,   selepas   perenggan   (c),
          perenggan yang berikut:
          "(d) memberi  ampun,  reprief  dan  respit,   atau
               meremitkan,   menggantung   atau  meringankan
               hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12)  Perkara
               42,".
     Perkara  42  Perlembagaan  Persekutuan  adalah  dipinda
     dengan memasukkan, selepas Fasal (11), Fasal-Fasal yang
     berikut:
          "(12)  Walau apa pun apa-apa jua  yang  terkandung
          dalam  Perlembagaan  ini,  jika  kuasa-kuasa  yang
          tersebut dalam Perkara ini -
          (a)  kena dijalankan oleh  Yang  di-Pertua  Negeri
               sesuatu  Negeri  dan  dikehendaki  dijalankan
               berkenaan dengan dirinya atau isterinya, anak
               lelakinya atau anak perempuannya, kuasa-kuasa
               itu hendaklah dijalankan oleh  Ketua  Menteri
               bagi  Negeri  itu yang bertindak atas nasihat
               Lembaga  Pengampunan  yang  ditubuhkan   bagi
               Negeri  itu  di  bawah  Perkara  ini dan yang
               hendaklah dipengerusikan olehnya;
          (b)  dikehendaki dijalankan berkenaan dengan  Yang
               di-Pertuan  Agong,  Raja sesuatu Negeri, atau
               Konsortnya,    mengikut    mana-mana     yang
               berkenaan,    kuasa-kuasa    itu    hendaklah
               dijalankan   oleh   Majlis   Raja-Raja    dan
               peruntukan-peruntukan  yang berikut hendaklah
               terpakai:
               (i)  apabila menghadiri  mana-mana  prosiding
                    di  bawah  Fasal  ini,  Yang  di-Pertuan
                    Agong tidak boleh disertai oleh  Perdana
                    Menteri  dan  Raja-Raja lain tidak boleh
                    disertai  oleh   Menteri-Menteri   Besar
                    mereka;
               (ii) sebelum   membuat  keputusannya  tentang
                    apa-apa  perkara  di  bawah  Fasal  ini,
                    Majlis  Raja-Raja hendaklah menimbangkan
                    apa-apa pendapat bertulis  yang  mungkin
                    telah   diberikan   oleh  Peguam  Negara
                    tentang perkara itu;
          (c)  dikehendaki dijalankan oleh  Yang  di-Pertuan
               Agong  atau  Raja  sesuatu  Negeri  berkenaan
               dengan anak lelakinya atau anak perempuannya,
               mengikut  mana-mana  yang  berkenaan,  kuasa-
               kuasa  itu  hendaklah  dijalankan  oleh  Raja
               sesuatu Negeri  yang  dinamakan  oleh  Majlis
               Raja-Raja  dan  Raja  itu hendaklah bertindak
               mengikut  nasihat  Lembaga  Pengampunan  yang
               relevan yang ditubuhkan di bawah Perkara ini.
     (13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal (12), Yang
     di-Pertuan  Agong  atau  Raja  Negeri  yang  berkenaan,
     mengikut mana-mana yang berkenaan, dan Yang  di-Pertua-
     Yang  di-Pertua  Negeri  tidak  boleh  menjadi  anggota
     Majlis Raja-Raja".
58.  Dengan pindaan ini Raja tidak  boleh  mendengar  rayuan
dan   mengampun   dirinya  sendiri.    Jika  ada  Raja  atau
Konsortnya yang merayu pengampunan,  maka  Majlis  Raja-Raja
akan mendengar dan memutuskan kes berkenaan.
59.  Raja  juga  tidak  boleh mendengar rayuan dan mengampun
anaknya.  Majlis Raja-Raja akan melantik seorang  Raja  lain
untuk mendengar dan memutuskan rayuan pengampunan anak Raja.
60.  Dengan pemansuhan kekebalan Raja-Raja daripada tindakan
undang-undang,  kecuali  ketika  menjalankan tugas rasminya,
adalah  dipercayai  Raja  tidak  akan  melakukan  perbuatan-
perbuatan  yang boleh didakwa di mahkamah.  Dengan ini, Raja
akan dihormati rakyat.
61.  Pemansuhan sekatan yang  dikenakan  terhadap  Ahli-Ahli
Parlimen  dan  Dewan-Dewan Undangan Negeri oleh Akta Hasutan
akan  mengelakkan  Raja-Raja  daripada  melakukan   sebarang
perbuatan yang mungkin menarik teguran ahli-ahli dewan-dewan
berkenaan.
62.  Pemansuhan kuasa mengampun diri sendiri akan menjadikan
tindakan undang-undang lebih berkesan.
63.  Tujuan   sebenar   pindaan-pindaan   ini  bukan  kerana
Kerajaan  ataupun  rakyat  ingin  mengheret   Raja-Raja   ke
mahkamah  dengan sewenang-wenangnya.  Tujuannya ialah supaya
Raja-Raja  akan  menghindarkan   diri   daripada   melakukan
perbuatan  yang  boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.
Oleh itu, Raja akan lebih dihormati.
64.  Harus diingat bahawa penghormatan rakyat terhadap  Raja
tidak  boleh  ditentukan  oleh undang-undang.   Dengan izin,
'Respect must be earned'.    Mengadakan  undang-undang  yang
menakutkan  rakyat  tidak  akan  membawa 'respect'.   Dengan
kesedaran Raja boleh dihadapkan ke mahkamah, Raja tentu akan
mengelak daripada melakukan perbuatan yang akan  menyebabkan
rakyat tidak menghormati Raja.  Dengan itu, Institusi Beraja
akan lebih dihormati dan lebih berkekalan.
65.  Bagi  menguatkan  usaha  mengekalkan  Raja  dan  Sistem
Beraja,  sebarang  syor  atau  desakan  menghapuskan  Sistem
Beraja  adalah  ditafsirkan sebagai hasutan dan akan didakwa
di bawah Akta Hasutan.
Tuan Yang di-Pertua,
66.  Saya berasa  amat  sedih  kerana  pada  hari  ini  saya
terpaksa  mengemukakan kepada Dewan yang mulia ini satu Rang
Undang-undang  untuk  meminda  Perlembagaan  yang   sedikit-
sebanyak mencemar nama baik Raja dan Institusi Raja.  Dengan
hati   yang  berat  saya  telah  mengemukakan  dan  mengulas
pindaan-pindaan yang dicadangkan ini.
67.  Kerajaan membuat keputusan untuk  meminda  Perlembagaan
bukannya  tanpa  sebab.   Sebenarnya seperti yang telah saya
katakan, Kerajaan telah mengelak  daripada  membuat  pindaan
ini  semenjak daripada mula kita mencapai kemerdekaan.  Kita
mengelak kerana ingin  menjaga  maruah  Raja-Raja.    Tetapi
pendekatan  secara  ini tidak meredakan keadaan.  Sebaliknya
keadaan menjadi lebih buruk.
68.  Akhirnya dengan berlakunya insiden Raja memukul  rakyat
dan  sebelum  ini  satu  lagi insiden di mana anak Raja juga
memukul  rakyat,  Kerajaan  tidak  dapat  memandang   ringan
kejadian-kejadian ini tanpa menjejaskan kredibiliti Kerajaan
sebagai pemerintah yang bertanggungjawab.
69.  Kerajaan   terpaksa   membuat   pendirian  tegas  untuk
melindungi rakyat daripada dianiaya oleh Raja.  Sudah  tentu
pendirian  ini  tidak  dibuat kerana dua insiden ini sahaja.
Sebelum ini terdapat banyak insiden di mana Raja  menganiaya
rakyat,  Raja  menyalahi  undang-undang  civil dan criminal,
Raja menyalahgunakan wang serta harta Kerajaan  dan  negara,
Raja menekan dan menganiaya pegawai-pegawai.
70.  Insiden  di Johor hanyalah dengan izin, 'the straw that
broke the camel's back'.   Reaksi rakyat  terhadap  insiden-
insiden ini jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak lagi dapat
menerima dan 'tolerate' perbuatan seperti ini.
Tuan Yang di-Pertua,
71.  Memang   ada  orang  tertentu  yang  seolah-olah  ingin
memberi kuasa dan mempertahankan Raja apabila Raja melakukan
jenayah.   Mereka cuba  memesongkan  fikiran  rakyat  dengan
menuduh   bahawa   Kerajaan  bercadang  menghapuskan  Sistem
Beraja.
72.  Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Barisan  Nasional
tidak   bercadang  sama  sekali  untuk  menghapuskan  Sistem
Beraja.    Ini  jelas  daripada  pindaan  yang  dikemukakan.
Sebarang  cadangan  untuk  menghapuskan  Sistem  Beraja akan
ditafsir  sebagai  hasutan  dan  Kerajaan   akan   mengambil
tindakan  di  bawah Akta Hasutan ke atas sesiapa sahaja yang
mengesyor atau bertindak untuk menghapuskan Sistem Beraja.
Tuan Yang di-Pertua,
73.  Kerajaan sedar bahawa rakyat,  khususnya  orang  Melayu
menerima  dan menyokong Institusi Raja-Raja Melayu.  Tuduhan
yang dibuat bahawa  Kerajaan  bercadang  untuk  menghapuskan
Sistem Beraja adalah kerana kepentingan politik semata-mata.
Kerajaan  yang  mewakili majoriti orang Melayu dan kaum-kaum
lain akan mematuhi kehendak rakyat dan tidak akan  melakukan
sesuatu yang tidak disukai.
74.  Oleh  kerana  jelas  majoriti  rakyat berbilang kaum di
negara ini masih menghendaki Sistem Beraja, khususnya Sistem
Raja Berperlembagaan, maka Kerajaan akan  menentukan  sistem
ini dilindungi oleh Perlembagaan.
Tuan Yang di-Pertua,
75.  Ada   pihak   yang   berpendapat   bahawa  Raja  Melayu
diperlukan  untuk  melindungi  orang  Melayu.      Peristiwa
Perjanjian  MacMichael  dan  Malayan Union jelas membuktikan
bahawa yang sanggup dan mampu melindungi orang Melayu  ialah
orang  Melayu sendiri.   Jika tidak kerana mereka bangun dan
menentang Malayan Union, hari ini orang Melayu akan  menjadi
pengemis di negeri sendiri.
76.  Percubaan  pihak  yang  cuba  menakutkan  orang  Melayu
terhadap pindaan ini adalah kerana mereka ingin  menggunakan
sentimen  kaum  untuk  kepentingan  parti  mereka.   Sejarah
mereka tidak boleh meyakinkan  kita  bahawa  mereka  ikhlas.
Mereka inilah yang telah cuba melemahkan orang Melayu dengan
memecahbelahkan  UMNO dan mengadakan kerjasama dengan pihak-
pihak tertentu yang diragui oleh orang Melayu.
77.  Apakah hanya dengan menghalang Raja daripada  melakukan
jenayah  maka  Raja  akan  hilang  kedaulatan dan tidak lagi
menjadi Raja?    Pendapat bahawa Raja  hanya  boleh  menjadi
                                                          33
Raja  jika  ia  berhak  dan  diberi  keistimewaan  melakukan
jenayah adalah bertentangan dengan konsep Raja sebagai punca
undang-undang.   Di  zaman  dahulu  di  Barat,  Raja  memang
mempunyai   hak   melakukan  jenayah.    Umpamanya  mengikut
kepercayaan kepada konsep, dengan izin, 'Droit du  seigneur'
(right  of  the  Lord) atau Hak yang di-Pertuan, Raja berhak
bermalam dahulu dengan semua pengantin baru.
78.  Tetapi di Barat pun semua  hak  ini  telah  dihapuskan.
Sebab  itu  di  negara-negara  Barat yang mengekalkan Sistem
Beraja, tidak ada kekebalan secara khusus bagi Raja.    Jika
ada  pun  sebutan  bahawa  Raja  tidak  boleh  dihadapkan ke
mahkamah, ini hanyalah formaliti sahaja.  Raja, Kerajaan dan
rakyat tahu bahawa jika  Raja  melakukan  jenayah,  ia  akan
dihadapkan   ke   mahkamah,  dan  ia  akan  diturunkan  dari
takhtanya.  Justeru itu, Raja di  negara  Barat  tidak  akan
dengan sengaja melakukan jenayah.
79.  Walaupun  jelas Raja-Raja di Barat tidak kebal atau im-
mune  daripada  tindakan  undang-undang  dan  bukan  undang-
undang,  Raja masih tetap juga Raja.  Mereka masih dihormati
dan disegani.
Tuan Yang di-Pertua,
80.  Di zaman British, Raja-Raja Melayu bukan  sahaja  tidak
kebal  tetapi  juga berada di bawah telunjuk pegawai-pegawai
British.    Mereka  boleh  dinaikkan  atau  diturunkan  dari
takhta.     Satu  daripada  ugutan  MacMichael  supaya  Raja
menandatangani Perjanjian Malayan Union  ialah  mereka  akan
diturunkan  dari  takhta  jika  mereka  tidak menandatangani
Perjanjian tersebut.
81.  Dalam keadaan sebegini pun, Raja  masih  terus  menjadi
Raja.  Rakyat tidak menuntut supaya Raja-Raja disingkir atau
Sistem    Beraja   dihapuskan   walaupun   Raja-Raja   telah
menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada penjajah.    Sayugia
diingatkan  bahawa  pada  masa  itu  Raja-Raja di Indonesia,
India dan Pakistan telah ditolak oleh rakyat  yang  menuntut
kemerdekaan.    Sebaliknya  rakyat  Malaysia, terutama orang
Melayu dan UMNO, telah berjuang  untuk  menyelamatkan  Raja-
Raja dan Sistem Beraja.
82.  Dengan  tindakan  orang  Melayu  melawan  Malayan Union
adalah jelas bahawa nasib  orang  Melayu  berada  di  tangan
rakyat  Melayu.    Keselamatan  orang  Melayu tidak terjejas
dengan  Raja  Melayu  tidak  memiliki  hak  untuk  melakukan
jenayah.  Ada pihak yang berkata dengan penghapusan hak Raja
melakukan  jenayah, maka orang Melayu tidak akan Melayu lagi
atau akan habislah keistimewaan kedudukan orang Melayu.  Ini
tidaklah benar.   Ini adalah fitnah.    Yang  akan  menjamin
Melayu   terus   Melayu   dan  hak-hak  orang  Melayu  terus
terpelihara ialah orang Melayu sendiri.   Merekalah  melalui
wakil-wakil dan Kerajaan yang mereka pilih yang mencipta dan
melaksanakan  berbagai-bagai  rancangan untuk memelihara dan
menebus maruah bangsa Melayu.
Tuan Yang di-Pertua,
83.  Seorang   Raja   telah   menyoal   kenapakah    pindaan
Perlembagaan  ini  dikaitkan  dengan  agama  Islam sedangkan
Kerajaan ini  tidak  bersetuju  dengan  pelaksanaan  undang-
undang  syarak  dan  hudud.   Menurut Baginda, Baginda sedia
menerima  hukum-hukum  Islam  tanpa  immuniti  tetapi  tidak
sanggup  menerima  undang-undang negara yang dikatakan bukan
undang-undang Islam.
84.  Sama ada direstui atau tidak  oleh  Baginda,  kedudukan
Raja-Raja  Melayu  semenjak  merdeka ditentukan oleh undang-
undang, iaitu Perlembagaan.  Undang-undang inilah juga  yang
memberi  keistimewaan-keistimewaan tertentu kepada Raja.  Di
antara keistimewaan ini  ialah  immuniti  daripada  tindakan
undang-undang.  Jika Raja sanggup menerima immuniti di bawah
undang-undang  yang  bukan  undang-undang  Islam,  kenapakah
penghapusan immuniti dalam  undang-undang  yang  sama  tidak
mahu diterima oleh Raja?
85.  Dalam   Islam   ada  dua  prinsip  yang  dipegang  kuat
berkenaan dengan undang-undang.  Yang pertamanya ialah tidak
ada perbezaan antara umat Islam daripada segi penguatkuasaan
hukum-hukum Islam.   Raja dan  rakyat  adalah  sama  sahaja.
Immuniti  bagi  Raja adalah bertentangan dengan prinsip ini.
Menolak penghapusan  immuniti  supaya  dikekalkan  perbezaan
antara   Raja   dan   rakyat   dalam   undang-undang   tidak
mencerminkan pegangan yang kuat kepada prinsip Islam.
86.  Menerima immuniti daripada undang-undang yang dikatakan
bukan  undang-undang  Islam,  tetapi   menolak   penghapusan
immuniti   ini   dalam   undang-undang   yang  sama  amatlah
bercanggah dengan dakwaan  hanya  sanggup  menerima  undang-
undang Islam sahaja.
87.  Islam  memberi banyak kelonggaran.  Islam mengambilkira
segala  faktor  dan  keadaan  yang  dihadapi  oleh  umatnya.
Demikian   dalam   menunaikan   ibadat   pun   keadaan  alam
sekeliling,   kesihatan   individu   dan   keadaan    semasa
diambilkira.    Oleh  itu,  sembahyang boleh dilakukan tanpa
gerak badan tertentu, tanpa menghadapi kiblat,  didahulukan,
dikemudiankan atau dicantumkan, berjemaah atau berseorangan.
Rakyat Palestin yang dihalau keluar oleh Pemerintahan Zionis
boleh  sembahyang  tanpa menanggalkan kasut.   Dalam ibadat-
ibadat lain  kelonggaran  juga  diberikan.    Demikian  juga
dengan  penguatkuasaan hukum hudud.  Keadaan alam sekeliling
dan masyarakat perlu diambilkira.   Sebab itu  tidak  banyak
negara  yang  majoriti  penduduknya  terdiri  daripada orang
Islam yang melaksanakan hukum hudud.   Yang  melaksanakannya
pun tidak melaksanakan dengan sepenuhnya.
88.  Kerajaan  tidak  menolak  hukum hudud.   Pelaksanaannya
mestilah  mengambilkira  keadaan  negara  di  mana  penduduk
Islamnya  hanya  merupakan  56 peratus dan mereka masih daif
dalam  berbagai-bagai  bidang.    Pentadbiran  yang  menolak
kelonggaran  yang  diberikan  oleh  Islam  sebenarnya  tidak
mematuhi ajaran Islam.   Islam tidak  menyuruh  orang  Islam
atau Kerajaan Islam melaksanakan hukum Islam secara membuta-
tuli  sehingga  boleh  membinasakan  diri.    Sebab itu Nabi
menyuruh pengikutnya pergi ke  Habsyah  untuk  menyelamatkan
diri.      Sebab   itu   Nabi  berhijrah  ke  Madinah  untuk
menyelamatkan Islam dan perjuangan Islam.
89.  Jika keadaan  mengizinkan,  kita  akan  menguatkuasakan
hukum hudud.  Tetapi janganlah sementara kita menunggu hukum
hudud dilaksanakan, kita melakukan sesuatu yang bertentangan
dengan ajaran Islam.  Sebenarnya jenayah yang dilarang dalam
undang-undang  negara  ini  adalah  juga  yang dilarang oleh
agama Islam.  Apakah Raja berkenaan mahu kebebasan melakukan
jenayah ini hanya kerana kita belum boleh melaksanakan hukum
hudud yang melarang jenayah yang sama?
90.  Prinsip yang kedua  ialah  tidak  ada  kekebalan  dalam
Islam.  Semua hukum adalah untuk semua umat.  Raja yang mahu
dirinya  kebal  daripada undang-undang sudah tentu menentang
prinsip Islam ini.
Tuan Yang di-Pertua,
91.  Akhirnya  saya   ingin   menyentuh   mengenai   masalah
menasihati  Raja.    Seperti  yang telah saya sebutkan, Raja
dikehendaki menerima nasihat  Kerajaan.    Di  negara-negara
lain  di  mana  Sistem Beraja masih wujud walaupun tidak ada
peruntukan khusus bahawa  Raja  bertindak  mengikut  nasihat
Kerajaan,  namun  Raja  tidak  pernah bertindak bertentangan
dengan nasihat Kerajaan.   Oleh itu, perhubungan  di  antara
Raja dengan Kerajaan yang mewakili rakyat tetap baik.  Lebih
daripada  itu,  di  negara-negara  ini  Raja  dihormati  dan
disanjung tinggi oleh masyarakat.
92.  Malangnya, di Malaysia walaupun ada  peruntukan  bahawa
Raja harus bertindak mengikut nasihat Kerajaan, tetapi pihak
Raja  memegang kepada tafsiran nasihat yang diterima umum --
iaitu nasihat boleh diterima atau  ditolak.    Tafsiran  ini
adalah  salah.    Dalam  pada itu, ada pula perkara tertentu
yang Raja  menganggap  ianya  tidak  perlu  diberi  nasihat.
Dengan   ini   banyaklah   perkara   yang   dilakukan   yang
bertentangan dengan Kerajaan yang mewakili rakyat.
93.  Masalah  yang  dihadapi  hari  ini  berpunca   daripada
pendapat  bahawa  Raja boleh membelakangkan Kerajaan rakyat.
Tindakan curang yang berlaku  adalah  kerana  nasihat  tidak
dihiraukan.    Tidak adanya persetujuan terhadap pindaan ini
juga berpunca daripada keengganan Raja menerima nasihat.
94.  Jika   ini   berterusan,   maka   Kerajaan    Demokrasi
Berparlimen  tidak  dapat  wujud  sepenuhnya dan sebenarnya.
Inilah sebabnya Kerajaan membawa pindaan ini  kepada  Dewan.
Jika  proses  ini dipertikaikan, maka keputusan boleh dibuat
oleh  mahkamah.    Sebagai  Kerajaan  yang  berpegang  teguh
kepada,  dengan  izin  'rule  of law' kita akan patuh kepada
keputusan mahkamah.  Di masa yang sama,  perkara  ini  tidak
harus dilihat daripada sudut undang-undang sahaja.  Ia perlu
dilihat daripada sudut politik juga.
95.  Di  waktu  Raja menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada
British, rakyat mengambil tindakan politik untuk mendapatkan
balik negeri-negeri Melayu dan mengekalkan  Institusi  Raja.
Walaupun  daripada  segi  undang-undang  rakyat tidak berhak
kerana semua  perjanjian  dibuat  antara  British  dan  Raja
sahaja, pihak British menghormati tindakan politik rakyat.
96.  Saya  berharap  Raja-Raja  Melayu  juga  akan mengambil
iktibar daripada sejarah negara, khususnya  sejarah  Malayan
Union dan menerima kehendak politik negara.  Walaupun tanda-
tanda  menunjukkan  bahawa  Raja-Raja tidak menerima pindaan
ini, saya berharap selepas pindaan ini diluluskan oleh Dewan
Rakyat dan Dewan Negara, Raja-Raja Melayu akan menerima  dan
meluluskan undang-undang ini.
Tuan Yang di-Pertua,
     Saya mohon mencadangkan.

 
 



 
Google