Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANK NEGARA MALAYSIA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	21/01/93 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA PERASMIAN PERSIDANGAN 
			ISLAM DAN PERINDUSTRIAN 



 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
wa  Ta'ala kerana atas limpah kurniaNya dapat kita berkumpul
di majlis pagi ini untuk merasmikan  Persidangan  Islam  dan
Perindustrian.
2.   Tajuk  persidangan  ini,  iaitu Islam dan Perindustrian
pada sesetengah orang Islam mungkin dianggap ganjil.  Apakah
ada industri Islam, atau industri yang bercorak  Islam  atau
apakah  industri-industri  yang  kita ketahui dan kita biasa
dengannya  boleh  diIslamkan?     Selama  ini   kita   tidak
mengambilkira  mengenai industri sebagai sebahagian daripada
sumbangan kepada agama Islam, atau kepada  umat  Islam  atau
kepada  amalan  agama Islam.   Kita berpendapat bahawa tanpa
industri kita boleh menjadi orang Islam, bahkan orang  Islam
yang  baik.   Sebenarnya di zaman Nabi Muhammad s.a.w. tidak
pun ada industri seperti yang kita ketahui sekarang,  tetapi
Islam  dapat  diperkenal dan diperkembangkan.   Justeru itu,
apa perlunya kita mengaitkan industri dengan Islam?   Bahkan
apa perlunya industri?
3.   Kita   sering   memandang   industri   sebagai  sejenis
perniagaan semata-mata.  Kita menganggap perniagaan  sebagai
satu  usaha  untuk  mencari  keuntungan  yang  berlebihan di
dunia.   Lanjutan daripada  itu  kita  menganggap  pengusaha
industri  sebagai  manusia  yang  tamak  yang  hanya menumpu
kepada kehidupan mewah, yang  mana  ini  biasanya  dikaitkan
dengan  hidup  tanpa agama.  Kita juga percaya bahawa setiap
usaha mencari harta kekayaan tentu ada  melibatkan  penipuan
dan penyelewengan.  Justeru itu, kita menganggap semua jenis
industri  sebagai tidak Islam atau memesongkan kita daripada
membuat apa yang kita takrifkan sebagai ibadat dalam Islam.
4.   Tetapi jika kita mengkaji  industri  daripada  kacamata
Islam yang sebenar, kita tentu akan mengakui bahawa industri
itu  adalah  satu  khidmat  kepada masyarakat, kadang-kadang
khidmat yang amat penting.    Sementara  khidmat  ini  boleh
membawa  keburukan  jika  disalahgunakan,  khidmat  ini juga
berguna dan penting bagi agama dan amal ibadat dalam Islam.
5.   Di zaman sebelum ada industri percetakan umpamanya, al-
Quran  terpaksa  ditulis  dengan  tangan.    Untuk  ini  pun
industri  membuat  kertas  diperlukan  jika  daun tidak mahu
digunakan sebagai  bahan  tulisan.    Oleh  kerana  al-Quran
terpaksa  ditulis dengan tangan maka bilangannya sudah tentu
tidak banyak.  Kemungkinan semua salinan yang dimiliki  oleh
sesuatu   masyarakat   termusnah   akibat   peperangan  atau
malapetaka atau  kebakaran  amatlah  besar.    Justeru  itu,
diwajibkan  penghafalan  al-Quran supaya teks al-Quran tidak
akan hilang kerana kejadian-kejadian yang disebutkan tadi.
6.   Apabila alat pencetak dicipta, ada ulama membuat  fatwa
bahawa  mencetak  al-Quran adalah ditegah oleh agama.  Fatwa
ini  dipengaruhi  juga  oleh  penulis  yang   khuatir   mata
pencarian mereka akan terhapus jika al-Quran dicetak.
7.   Oleh  kerana  fatwa  ini, buat beberapa abad ramai umat
Islam bahkan guru-guru agama dan pegawai-pegawai agama tidak
dapat  memiliki  al-Quran  atau  membacanya.      Sebaliknya
kemudian, apabila fatwa menegah percetakan al-Quran ditolak,
umat  Islam  begitu  mudah  memiliki dan mempelajari ajaran-
ajaran Islam yang terdapat di dalam al-Quran.    Dengan  ini
pengetahuan tentang ajaran agama Islam meningkat di kalangan
umat  Islam.    Hari  ini  kita tidak terfikir sesiapa boleh
membuat fatwa melarang mencetak  al-Quran.    Tetapi  akibat
daripada  pandangan  yang silap, fatwa ini dibuat.  Demikian
juga dengan industri.  Kerana pandangan  terhadapnya  silap,
maka  ianya  tidak  mendapat  tumpuan  dan sokongan daripada
sudut keagamaan.
8.   Demikian  kesan  baik  kepada  Islam   daripada   suatu
industri,   iaitu  industri  percetakan.    Benar,  industri
percetakan  boleh  membawa  keburukan  --  umpamanya  dengan
mencetak  bahan  lucah.    Tetapi  yang salah bukan industri
percetakan.  Yang salah ialah  orang  yang  mengusahakannya.
Jika semua ciptaan baru dalam industri ini dibuat oleh orang
Islam yang sedar bahawa industri adalah suatu khidmat kepada
masyarakat,  maka  mungkin  mereka  dapat mencipta cara-cara
bagi mencegah penyalahgunaan industri ini.   Umpamanya  jika
kepakaran  dalam  bidang merekabentuk dan mengeluarkan alat-
alat percetakan dimiliki hanya oleh orang Islam, maka mereka
akan  dapat  membekalkannya  dengan  bersyarat  atau   tidak
membekalkannya  langsung kepada orang yang diketahui berniat
buruk.  Demikianlah apabila negara-negara  Islam  dibekalkan
dengan senjata oleh orang lain, penggunaan senjata ini tidak
lagi bebas, tetapi adalah bersyarat.
9.   Tanpa  industri  banyak  lagi  ibadat  sukar dilakukan.
Industri   penenunan   kain   penting   untuk   kesempurnaan
bersembahyang,  bahkan  untuk menutup aurat. Pesawat terbang
hasil  ciptaan  dan  usaha   industri   'aero-space'   telah
membolehkan  lebih  ramai orang Islam menunaikan fardu haji.
Industri pembinaan membolehkan kita berjemaah di masjid yang
boleh menampung bilangan  umat  Islam  yang  semakin  ramai.
Pendekata  tidak  ada  industri  yang  tidak memberi khidmat
kepada umat Islam dalam amal  ibadat  dan  kehidupan  secara
Islam.
10.  Satu  kewajipan  bagi  masyarakat  Islam  ialah membuat
persediaan untuk pertahanan.  Di zaman Nabi alat  peperangan
bermaksud kuda dan pedang.  Dan di zaman Nabi memang pun ada
industri membuat pedang dan menternak kuda perang.
11.  Persediaan  untuk  pertahanan  di  zaman ini memerlukan
industri pertahanan yang sesuai dengan teknologi  pertahanan
moden.  Segala ciptaan, pengeluaran dan perbekalan alat-alat
pertahanan  ini  adalah kewajipan bagi mereka yang berpegang
kepada ajaran al-Quran.  Industri pertahanan amatlah penting
bagi umat Islam.   Tetapi kerana umat  Islam  tidak  memberi
tekanan  kepada  industri,  maka  industri  pertahanan  yang
canggih tidak dapat diadakan.    Yang  perlu  diingat  ialah
industri  senjata  tidak boleh wujud tanpa beribu-ribu jenis
industri lain.  Bermacam-macam ilmu dan  keupayaan  industri
diperlukan   untuk   mencipta   dan   mengeluarkan  senjata,
kenderaan darat, laut dan udara, bahkan angkasa lepas.
12.  Hari  ini  kita  lihat  dengan   sedihnya   pembunuhan,
penyiksaan  dan  pencabulan wanita dilakukan terhadap ribuan
orang Islam di Bosnia.   Tidak  ada  suatu  pun  yang  boleh
dibuat  oleh seribu juta orang Islam kerana tidak ada negara
Islam  yang  berkemampuan  daripada  segi  ketenteraan  yang
canggih  dan  kuat.  Ini  semua  berpunca daripada pandangan
serong  terhadap  industri  dan  anggapan  bahawa   kemajuan
industri  tidak  ada  kena-mengena dengan Islam.   Pengusaha
industri  tidak  dimuliakan  oleh  masyarakat   Islam   atau
diiktiraf sebagai penyumbang kepada kesejahteraan Islam.
13.  Semasa   Turki   menjadi   kuasa  dunia  yang  menakluk
sebahagian besar  Eropah  Timur,  proses  pemodenan  tentera
Turki  terhalang  kerana  bantahan  ulama  terhadap  pakaian
seluar panjang oleh tentera.   Perkara titik-bengik  seperti
ini  dibahaskan bertahun-tahun oleh tokoh-tokoh agama semasa
serangan ke atas Empayar Turki meningkat.    Hari  ini  soal
seluar  panjang  tidak lagi menjadi masalah.  Sesiapa sahaja
boleh memakainya.   Kita tidak menjadi  tidak  Islam  kerana
memakai  seluar  Barat.    Tetapi  masa  dan  pemikiran yang
dihabiskan kerana membahaskan masalah ini  telah  menghalang
proses  pemodenan  tentera  Turki  dan  industri  pertahanan
mereka sehingga mereka kehilangan wilayah.  Sedikit sebanyak
nasib rakyat Bosnia-Herzegovina  hari  ini  disebabkan  oleh
polemik  seluar  yang  melemahkan  tentera Turki.   Akhirnya
pegawai-pegawai tentera Turki  begitu  kecewa  dengan  sikap
tokoh-tokoh   agama   sehingga   mereka  mengasingkan  agama
daripada pemerintahan.  Dengan itu terbentuklah pemerintahan
yang dikatakan 'secular'.  Ramai orang Islam  yang  mengecam
kumpulan  pegawai tentera Turki yang dipanggil "Young Turks"
kerana  kononnya  memilih  sistem  pemerintahan   'secular'.
Tetapi  sebelum  mereka  dikecam,  mereka perlu ingat bahawa
pada masa itu Kerajaan Sultan Turki  begitu  lemah  sehingga
kuasa-kuasa  Barat telah merancang untuk membahagi-bahagikan
Turki di kalangan mereka.   Hanya  tindakan  dan  keberanian
"Young  Turks"  ini  sahajalah  yang  berjaya  menyelamatkan
Turki.  Dengan itu Turki termasuk wilayahnya di benua Eropah
terselamat sebagai negara Islam.
14.  Apakah  relevannya  sejarah  Turki  dengan  Islam   dan
industri?   Relevannya ialah umat Islam kerap terpesong oleh
perkara-perkara titik-bengik sehingga terlupa  akan  masalah
dan  kewajipan  yang lebih besar.  Kita kerap menumpu kepada
isu-isu remeh-temeh, tetapi isu yang besar seperti kebolehan
umat Islam dalam industri tidak dipedulikan.  Industri  yang
diada   dan   diuruskan  semata-mata  untuk  kekayaan  tanpa
memikirkan khidmat kepada  masyarakat  memang  tidak  begitu
baik.   Tetapi pengusaha Islam boleh juga mengutamakan aspek
khidmat  kepada  masyarakat  yang   boleh   diberikan   oleh
industri.  Keuntungan boleh dinikmati tetapi keuntungan juga
perlu dibelanjakan untuk penyelidikan dan pembangunan supaya
khidmat  yang  diberi  oleh  industri itu bertambah baik dan
lebih murah.  Dengan cara melaburkan keuntungan  ini,  lebih
banyak  lagi keuntungan boleh diperolehi.  Tetapi di samping
itu, khidmat juga akan bertambah baik.   Ini tidak  bermakna
bahawa  industri  untuk orang Islam patut menjadi 'charity'.
Keuntungan yang halal  dan  berpatutan  tidak  ditegah  oleh
agama.    Tetapi aspek khidmat boleh diutamakan.  Dengan ini
industri akan lebih mudah diterima  oleh  masyarakat  Islam.
Walau  apa pun pendirian orang Islam terhadap industri, kita
harus ingat bahawa industri yang dikuasai oleh  orang  bukan
Islam walaupun tidak mempunyai tujuan agama, tetapi industri
mereka   membolehkan   mereka   menghancurkan  orang  Islam.
Lihatlah keadaan yang berlaku di Bosnia dan di Asia Barat.
15.  Industri  tetap  memainkan  peranan  sebagai   pembekal
khidmat  yang  diperlukan  oleh masyarakat.   Tidak akan ada
industri yang berjaya jika ianya tidak  membekalkan  sesuatu
yang  diperlukan  oleh masyarakat.   Pengusaha makanan tidak
kurang pentingnya daripada  pengusaha  industri  berat  atau
industri  canggih.    Jika  kita dapat melihat industri dari
sudut ini, iaitu dari sudut pembekal khidmat,  maka  peranan
industri bagi umat Islam dan agama Islam menjadi lebih mudah
difahami   dan  disokong.     Sebenarnya  orang  Islam  yang
mengusahakan industri akan lebih sedar akan kaitannya dengan
agama jika mereka menganggap industri  mereka  sebagai  satu
khidmat  kepada  masyarakat  dan  agama.   Dengan menganggap
industrinya  sebagai  satu  khidmat,  maka   usahanya   akan
ditumpukan  bukan  semata-mata  kepada  keuntungan besar dan
kekayaan, tetapi juga kepada kualiti dan nilai khidmat  yang
diberikan.   Jika ahli-ahli perusahaan Islam mempunyai sifat
dan pendekatan seperti ini terhadap  industri,  tidak  dapat
tidak,  industri  mereka akan menjadi lebih maju, berkualiti
dan memperolehi keuntungan.  Kenapa tidak?    Barangan  yang
dikeluarkan oleh pengusaha Islam, yang ingin memberi khidmat
yang  baik  di  samping  mencari  keuntungan, tetap canggih,
bermutu dan berpatutan harganya.  Pelanggan tentu akan lebih
suka membeli barangan yang memenuhi  kehendak  dan  citarasa
mereka.    Menganggap  industri sebagai khidmat bukan sahaja
lebih secocok dengan pandangan agama  Islam  terhadap  usaha
dan harta kekayaan, bahkan juga lebih memungkinkan kejayaan.
16.  Jika kita menerima industri sebagai khidmat kepada umat
dan  agama,  saya  yakin  minat umat Islam terhadap industri
akan meningkat.  Dengan ini berbagai-bagai  jenis  industri,
kajian, tuntutan ilmu pengetahuan dan pembentukan sikap yang
mulia akan maju di negara-negara Islam dan di kalangan orang
Islam.     Insya-Allah dengan ini juga negara Islam dan umat
Islam akan lebih maju dan  berjaya  serta  dapat  menentukan
agama Islam dan umat Islam lebih dihormati.
17.  Memandang dari sudut ini, Persidangan ini amatlah pent-
ing  dan  kena  pada  masanya.    Umat Islam harus memandang
industri sebagai satu alat untuk  memperkuatkan  umat  Islam
dan  negara-negara  Islam  supaya mereka lebih dihormati dan
lebih mampu mempertahankan diri mereka.    Umat  Islam  yang
daif  tidak  dapat menyumbang sebarang kebaikan kepada agama
Islam.  Sebaliknya penguasaan segala industri serta  beribu-
ribu   jenis   ilmu  yang  diperlukan  untuk  industri  akan
menjadikan umat Islam dan agama Islam lebih dihormati.
18.  Pandangan dan sikap orang Islam yang  negatif  terhadap
industri   bukan  sahaja  tidak  menguntungkan  tetapi  juga
sebenarnya bertentangan dengan agama Islam dan ajaran-ajaran
Islam.  Sudah tiba masanya bagi umat Islam  untuk  membentuk
sikap   dan   pendekatan  yang  betul-betul  Islam  terhadap
industri.
19.  Saya berharap Persidangan ini  dapat  menentukan  sikap
umat Islam terhadap perindustrian yang secocok dengan Islam.
Jika  sikap  ini dapat ditentukan, maka berbagai-bagai usaha
dapat dilakukan untuk memastikan  umat  Islam  memiliki  dan
menguruskan  industri dengan berkesan dan memanfaatkan agama
dan umat.
20.  Dengan ini, saya dengan lafaz  Bismillahirrahmanirrahim
dengan   sukacitanya   merasmikan   Persidangan   Islam  dan
Perindustrian ini.
     Wabillahitaufik      walhidayah,       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google