Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KAWASAN PERINDUSTRIAN, SHAH ALAM
Tarikh/Date : 26/01/93
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KILANG PHN
INDUSTRY SDN. BHD.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih
kepada pihak PHN Industry Sdn. Bhd. kerana sudi menjemput
saya untuk merasmikan pembukaan kilang barunya pada pagi
ini.
2. Saya berbangga kerana satu lagi projek usahasama di
antara pelabur-pelabur Malaysia dengan Jepun dalam bidang
industri otomobil di Malaysia telah dapat ditubuhkan.
Sekiranya kita berpandukan kepada pengalaman dan kejayaan
projek-projek usahasama di antara pelabur-pelabur Malaysia
dengan Jepun yang lain, kita yakin bahawa PHN Industry juga
akan turut berjaya.
3. Pada keseluruhannya industri otomotif di negara ini
telah berjaya membuat sumbangan yang besar kepada proses
perindustrian dan pembangunan ekonomi. Pada peringkat
awalnya, iaitu di peringkat pemasangan kenderaan, industri
ini telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan bagi rakyat
Malaysia.
4. Proses pemindahan teknologi ini tidak statik tetapi
berterusan. Secara perlahan-lahan tetapi pasti, teknologi
sedang dipindahkan ke negara kita melalui projek-projek
usahasama dengan negara-negara maju. Kejayaan pemindahan
teknologi ini banyak bergantung kepada kesungguhan,
kemampuan dan komitmen individu-individu yang terlibat
secara langsung dengan teknologi berkenaan. Individu-
individu ini perlu sentiasa peka terhadap perkembangan
teknologi di dalam bidang masing-masing dan sentiasa memberi
tumpuan terhadap teknologi yang lebih tinggi dan terkini.
Di samping itu, setelah menguasai sesuatu teknologi,
penerima harus berani meningkat dan membuat inovasi sendiri.
Tidak ada hanya satu cara sahaja untuk membuat sesuatu
barang. Pasti ada berbagai-bagai cara, sama ada ortodoks
atau tidak, untuk membuat sesuatu. Mereka yang terkongkong
dengan hanya cara yang biasa sahaja tidak akan maju dan akan
selalu bergantung kepada pihak lain untuk teknologi.
Teknologi yang dibeli memang lebih mahal daripada teknologi
ciptaan sendiri.
5. Masa depan sektor pengilangan negara kita sememangnya
cerah. Tetapi yang menjadi isu penting untuk memastikan ia
terlaksana ialah pemindahan teknologi yang mempunyai nilai-
tambah yang lebih tinggi supaya kita boleh memberi tumpuan
kepada operasi pengilangan produk yang menyeluruh.
6. Justeru itu, langkah yang wajib ke arah pencapaian
matlamat ini ialah dengan memberi penekanan terhadap
pelaksanaan usaha-usaha Penyelidikan dan Pembangunan atau R
& D di dalam negeri. Pada masa ini, usaha-usaha R & D di
dalam bidang pengilangan masih terlalu kecil, misalnya jika
dibandingkan dengan sektor pertanian. Sebagai contoh, 93
peratus daripada peruntukan yang telah digunakan untuk R &
D, telah dianjurkan oleh sektor awam, dan daripada jumlah
itu tiga perempat adalah untuk usaha-usaha R & D yang
berasaskan pertanian atau 'agro-based'.
7. Jika dibandingkan dengan United Kingdom, kita dapati
bahawa hanya 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan R & D
di negara itu dibiayai oleh sektor awam. Sembilan puluh
enam peratus daripada usaha-usaha R & D mereka pula
dikendalikan oleh sektor pengilangan. Kita sedar bahawa
terdapat beberapa halangan di dalam usaha-usaha R & D di
negara kita.
8. Namun halangan-halangan ini hendaklah dijadikan
pencabar dan bukan alasan. Semua pihak yang terlibat dengan
R & D, terutamanya sektor swasta, hendaklah memastikan
bahawa mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti
mempertingkatkan lagi R & D di dalam bidang masing-masing.
Saya berharap agar rakan-rakan usahasama di dalam projek-
projek kita akan terus memberikan sokongan dan kerjasama ke
arah usaha ini. Dalam masa yang sama rakyat Malaysia
sendiri mestilah menyiapkan diri untuk menyambut cabaran
ini, dan kita yakin rakyat Malaysia mempunyai kemampuan. Di
samping itu, struktur untuk menyokong aktiviti-aktiviti R &
D di sektor pengilangan swasta juga perlu diperkukuhkan.
9. Rakyat Malaysia juga perlu peka dan sentiasa mengikuti
perkembangan amalan-amalan di kalangan pengusaha-pengusaha
industri. Misalnya, tenaga kerja kini kian kompetitif.
Yang menjadi rebutan ialah tenaga kerja yang mempunyai
berbagai-bagai kemahiran. Pengusaha-pengusaha industri kini
sibuk memperkatakan soal TQC, pengaliran maklumat dua hala,
dan penekanan terhadap konsep pengurusan yang
berorientasikan kumpulan. Segala-gala konsep ini mendorong
pembentukan tenaga kerja yang berkualiti tinggi.
Kesimpulannya, kita mesti mewujudkan golongan tenaga kerja
yang berkualiti. Kita mahu hakikat ini menjadi daya penarik
kepada para pelabur dan bukan tenaga kerja yang murah.
10. Kebelakangan ini, jumlah pelaburan oleh pelabur-pelabur
tempatan dan asing telah banyak meningkat. Namun ia belum
memadai untuk mencapai pertumbuhan seperti yang dirancangkan
di dalam Rancangan Perindustrian Malaysia. Kita perlu
memesatkan lagi langkah-langkah ke arah meningkatkan
pelaburan di dalam sektor pengilangan.
11. Pada hari ini pula, industri ini telah berkembang maju
dan di dalam proses tersebut telah juga merintis dan
menggalakkan pertumbuhan industri komponen-komponen atau
peralatan kereta, bukan sahaja untuk kegunaan atau
permintaan pasaran alat ganti tetapi juga lebih penting,
industri ini telah dapat mempertingkatkan kadar kegunaan
komponen-komponen atau alat-alatan keluaran tempatan di
dalam kenderaan-kenderaan yang dipasang di negara kita.
12. Pada tahun 1982, Kerajaan telah mengambil langkah yang
kontroversial untuk membangunkan industri kenderaan bermotor
secara integrasi dengan menubuhkan Perusahaan Otomobil
Nasional Bhd. (PROTON) dan melancarkan projek Kereta
Kebangsaan. Harapan Kerajaan ialah kereta kebangsaan akan
menjadi 'catalyst' bagi industri komponen dan kejuruteraan
di Malaysia. Strategi ini, sedikit demi sedikit telah
berjaya meningkatkan secara sistematik dan tersusun
pengeluaran komponen yang semakin canggih, persis, bermutu
tinggi, kemahiran daripada segi teknologi dan kejuruteraan
tempatan khusus untuk bidang kenderaan bermotor.
13. Memandangkan bahawa pasaran dalam negeri kita adalah
terhad, Kerajaan berharap industri komponen-komponen serta
peralatan kereta akan dapat bersaing di dalam pasaran
antarabangsa. Pengeluar-pengeluar komponen tempatan juga
boleh mengambil peluang untuk memasuki pasaran ASEAN
menerusi usahasama Skim Perindustrian ASEAN atau 'ASEAN In-
dustrial Join-Venture (AIJV) Scheme' serta Skim
Komplementasi 'Brand-to-Brand' di dalam industri otomotif.
Akhir-akhir ini, Kerajaan bersama-sama dengan Kerajaan-
Kerajaan ASEAN yang lain sedang melaksanakan skim 'Common
Effective Preferential Tariff' (CEPT) dan menerusi skim ini,
kita berharap akan wujud pasaran bebas ASEAN (ASEAN Free
Trade Area) yang dapat memberi galakan berterusan kepada
industri komponen otomotif.
14. Setakat ini, terdapat lebih daripada 200 syarikat
pengeluar komponen otomotif dan lebih daripada 70 daripada
mereka khusus mengeluarkan barangan untuk pasaran asal
pengeluar-pengeluar kenderaan atau 'original equipment mar-
ket'. Dengan adanya dasar skim kandungan tempatan untuk
kenderaan penumpang dan komersil yang dipasang di negeri
kita berharap dapat membantu mengembangkan lagi pasaran
terhadap komponen-komponen tersebut.
15. Berdasarkan kepada angka-angka pengimportan komponen
serta peralatan kereta, terdapat ruang yang luas bagi
mempertingkatkan pengeluaran komponen serta alatan kritikal
di dalam industri kenderaan bermotor. Di dalam tempoh
Januari hingga November 1992, import komponen dan peralatan
berjumlah RM2.1 billion. Komponen-komponen tersebut mungkin
boleh dikeluarkan bagi dibekalkan kepada Proton atau kereta
yang lain atau pun mungkin dieksport. Sehubungan dengan
itu, Kerajaan telah mewartakan pengeluaran komponen serta
peralatan kenderaan sebagai satu aktiviti yang digalakkan
dan dengan itu adalah layak untuk dipertimbangkan pemberian
galakan cukai seperti Taraf Perintis atau galakan Elaun
Cukai Pelaburan.
16. Kerajaan memang menggalakkan pelaburan di dalam
industri ini daripada sumber tempatan atau luar negeri.
Kita berpendapat bahawa usahasama di dalam bidang ini akan
mempertingkatkan lagi kadar pertumbuhan dan penggunaan
teknologi serta dapat menyediakan peluang pasaran
antarabangsa menerusi 'marketing network' yang sedia ada
oleh pengeluar-pengeluar luar negeri tersebut.
17. Kerajaan menggalakkan projek usahasama dengan pihak-
pihak asing di dalam bidang-bidang berikut:-
- pengeluaran komponen kritikal seperti enjin dan
peralatan transmisi;
- pengeluaran barangan separuh siap (intermediate
materials) seperti barang tuangan untuk enjin dan
transmisi (raw castings for engine and trans-
mission), peralatan penempaan (forged parts) serta
komponen-komponen kecil yang digunakan dalam
pemasangan komponen-komponen besar atau yang
utama;
- pengeluaran bagi tujuan mengeksport komponen-
komponen tersebut untuk pasaran antarabangsa;
- penubuhan industri khidmat sokongan kejuruteraan
seperti membuat acuan dan perkakas (tool/mould and
die making).
18. Justeru itu, Kerajaan mengalu-alukan penubuhan
usahasama oleh PHN Industry Sdn. Bhd. yang bergiat di dalam
bidang pengeluaran pengecapan komponen otomotif (automotive
metal-stamped components). Sebagai sebahagian daripada Pro-
gram Pembangunan Pembekal kepada Proton, syarikat ini telah
diberi peluang untuk menyertai serta mendapat pengalaman
dalam mengeluarkan komponen otomotif persis. Adalah
diharapkan PHN Industry Sdn. Bhd. akan dapat membekalkan
sepenuhnya keperluan pengecapan alatan otomotif untuk Proton
supaya PROTON menggunakan kapasiti dan sumber yang sedia ada
untuk digemblengkan kepada aktiviti-aktiviti pengeluaran
yang lain.
19. Saya difahamkan bahawa PHN Industry Sdn. Bhd. bukan
sahaja akan menjadi pengeluar utama 'metal stamped parts'
untuk industri kenderaan bermotor, tetapi juga untuk
membekalkan keluarannya kepada industri elektrik dan
elektronik. Umpamanya, terdapat peluang untuk
memperkembangkan aktiviti atau pengeluaran 'metal stamped
parts' bagi mengeluarkan panel-panel untuk peti sejuk serta
mesin basuh.
20. Adalah diharapkan PHN Industry Sdn. Bhd. tidak hanya
melibatkan diri sebagai pembekal peralatan asal (original
equipment supplier) untuk Proton sahaja malahan diharap
dapat juga mengkaji untuk membekalkan pasaran alat ganti,
terutama bagi komponen-komponen kenderaan.
21. Adalah diharapkan bahawa PHN Industry Sdn. Bhd. akan
dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan
industri acuan dan perkakas (mould and die industry)
tempatan dengan mengeluarkan barangan tersebut di negara
ini. Ini juga akan dapat mempertingkatkan lagi hubungan
atau linkages di antara pembekal-pembekal komponen dengan
industri pemasangan kereta dan dengan ini akan dapat
mempertingkatkan mutu serta kemampuan industri sokongan
kejuruteraan di negara kita.
22. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan kilang
baru PHN Industry Sdn. Bhd.
|