Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : GURUN, KEDAH
Tarikh/Date : 20/02/93
Tajuk/Title : PERASMIAN PERWAJA STEEL SDN. BHD
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
pihak pengurusan Kumpulan Perwaja Steel Sdn. Bhd. kerana
menjemput saya untuk berucap dan seterusnya membuka dengan
rasminya Kilang Perwaja di Gurun pagi ini.
2. Pembukaan Kilang Perwaja ini merupakan satu lagi
mercutanda dalam pembangunan industri berat di negara kita,
terutamanya dalam bidang besi dan keluli. Besi dan keluli
memainkan peranan penting dalam program pembangunan negara-
negara yang sedang membangun kerana ia merupakan sumber yang
digunakan di dalam industri kejuruteraan, pengangkutan,
barangan elektrik, tempaan logam dan industri binaan.
3. Sungguhpun sumbangan industri ini kepada pengeluaran
pembuatan di Malaysia masih agak kecil, namun ia sedang
mengalami pertumbuhan yang pesat serta perubahan dalam
struktur pengeluaran barangannya. Justeru itu, pengeluaran
besi dan barangan keluli telah meningkat semenjak
kebelakangan ini, iaitu daripada 1.6 juta tan pada tahun
1987 kepada 3.4 juta tan pada tahun 1991.
4. Pertumbuhan industri ini adalah menggalakkan dan terus
berkembang untuk menghasilkan lebih banyak lagi barangan
hiliran dan nilai ditambah. Dalam hal ini, tidak dapat
dinafikan bahawa semenjak beberapa tahun dahulu industri
besi dan keluli negara tertumpu hanya kepada pengeluaran
barangan seperti billets, bars dan rods bagi tujuan
pembinaan, pengeluaran wires, bolts dan nuts, pengeluaran
keluli dan fabrication, dan barangan kejuruteraan lain iaitu
tools, moulds, dies dan cylinder.
5. Kita mungkin menyoal mengapakah Syarikat Perwaja ini
menceburi pembuatan barangan hiliran yang lebih canggih.
Daripada sudut ekonomi, projek ini dijangka dapat
mengeluarkan barangan yang mempunyai nilai ditambah yang
lebih tinggi, yang boleh meningkatkan lagi kemajuan Perwaja
Steel Sdn Bhd. Memandangkan Perwaja Steel di Kemaman,
Terengganu akan menggandakan pengeluarannya daripada 600,000
metrik tan kepada 1.2 juta metrik tan berikutan permodenan
kilangnya pada tahun ini, maka ia akan menjadi satu sumber
bahan mentah yang tetap kepada kilangnya di Gurun.
6. Kilang di Gurun ini dijangka mengeluarkan dua barangan
asas, iaitu steel wire rods dan steel round bars dan
mempunyai keupayaan pengeluaran sebanyak 450,000 metrik tan
setahun. Saya difahamkan kos kilang ini adalah sebanyak
RM400 juta dan mempunyai teknologi yang termoden di Malaysia
yang dicipta oleh pengeluar jentera terkenal Itali, Danieli
and C.SpA.
7. Saya difahamkan juga bahawa alat jentera yang termoden
ini akan menentukan pengeluaran steel wire rods dan bars
yang bermutu dan bergred tinggi yang pada ketika ini tidak
dikeluarkan oleh mana-mana pengeluar keluli.
8. Oleh itu, pengeluar-pengeluar keluli tempatan
seharusnyalah tidak berasa cemas atau bimbang bahawa pasaran
mereka akan diambilalih oleh kilang Perwaja di Gurun ini
apabila ianya beroperasi sepenuhnya. Pengeluaran kilang
ini, tidak sepertimana dengan pengeluaran kilang-kilang besi
waja yang lain di negara ini, tidak akan digunakan untuk
tujuan pembinaan. Pengeluarannya akan digunakan hanya
sebagai bahan mentah bagi memproses lagi barangan hiliran
seperti spring, ball-bearings, hydraulic couplings yang mana
kesemuanya memerlukan keluli yang bermutu khas.
9. Pada masa ini pengeluar-pengeluar komponen dan bahagian
keluli memerlukan keluli yang bermutu tinggi. Adalah
dianggarkan bahawa sejumlah 200,000 metrik tan keluli ini
diimport pada tiap-tiap tahun untuk keperluan ini. Justeru
itu, kilang di Gurun ini akan membantu negara menjimatkan
banyak tukaran asing.
10. Hasil penjimatan tukaran asing ini tentu sekali akan
memanfaatkan rakyat Malaysia. Tetapi lebih penting, ia akan
membuka jalan bagi Malaysia untuk menghasilkan barangan yang
mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta berteknologi
canggih. Projek ini akan membantu meningkatkan lagi
keupayaan teknologi dan paras kemahiran negara dan dengan
itu mendekatkan kita untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.
11. Saya yakin kilang Perwaja ini akan memberi manfaat
kepada pembangunan industri daripada segi mengukuhkan
rangkaian industri sesama sendiri, iaitu memperkuatkan
hubungan di antara dan di kalangan industri, di samping
mengukuhkan lagi keupayaan eksport Malaysia. Saya harap
penubuhan kilang ini akan menggalakkan lebih ramai lagi
pelabur untuk mencebur dalam bidang pemerosesan hiliran
barangan besi dan keluli. Kilang-kilang keluli memang
mempunyai peranan penting dalam membantu kita membangun
industri-industri kejuruteraan dan industri sokongan dengan
memberi peluang untuk fabrication berbagai-bagai alat ganti
dan komponen yang diperlukan oleh kilang-kilang.
12. Di masa lampau eksport barangan besi dan keluli telah
meningkat dengan agak pesat daripada RM250 juta pada tahun
1981 kepada RM1.06 ribu juta pada tahun 1991. Dengan
kemampuan kilang ini mengeluarkan keluli yang bermutu
tinggi, eksport barangan keluli dijangka bertambah dengan
lebih pesat lagi di tahun-tahun akan datang. Saya ingin
menegaskan bahawa penggunaan keluli per kapita negara telah
meningkat daripada 41 kilogram pada tahun 1971 kepada 220
kilogram pada tahun 1992. Malaysia kini digolongkan sebagai
pengguna keluli di tahap sederhana.
13. Kadar penggunaan keluli ini dijangka meningkat 25
peratus setiap tahun bagi barangan tertentu dan sebanyak 10
peratus hingga 15 peratus secara keseluruhan. Memandangkan
hakikat ini dan keperluan bagi bekalan tempatan yang besar,
pendirian kilang di Gurun ini adalah tepat pada masanya.
14. Selain daripada adanya bahan mentah yang mudah
diperolehi dan paras penggunaan yang semakin meningkat, para
pelabur juga patut tertarik dengan perkembangan terbaru
dalam ASEAN. Rantau Asia Tenggara bukan sahaja merupakan
salah satu rantau yang berkembang dengan pesat, tetapi juga
aspirasi negara-negara rantau ini untuk memajukan ekonomi
mereka akan menyebabkan peningkatan permintaan bagi keluli
dan barangan keluli. Pembentukan AFTA juga akan membantu
usaha untuk membebaskan lagi perdagangan di antara negara-
negara ASEAN dalam beberapa tahun akan datang.
15. Justeru itu, saya menyeru pelabur-pelabur tempatan
supaya mengambil peluang ini untuk menerokai pasaran ASEAN.
Mereka seharusnya tidak bergantung kepada teknologi yang
diimport semata-mata. Sebaliknya mereka perlu membangunkan
keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R & D) mereka.
Adalah diharapkan bahawa kilang Perwaja di Gurun ini akan
membuka jalan bagi meningkatkan lagi R & D tempatan supaya
kita akan terus kompetitif dalam pengeluaran barangan
keluli.
16. Saya berharap pengilang-pengilang keluli tempatan akan
lebih agresif lagi dalam usaha-usaha pemasaran dan eksport
mereka. Ini boleh dilakukan dengan memperbaiki rangkaian
pemasaran serta meningkatkan lagi mutu barangan mereka.
17. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
kilang Perwaja Steel Sdn. Bhd. ini.
|