Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	08/03/93 
Tajuk/Title  	: 	SEMASA PERBAHASAN RANG 
			UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN 
			(PINDAAN) 1993 




 Tuan Yang di-Pertua,
    Saya  telah  menjelaskan  dengan  panjang lebar pada 18
Januari 1993 mengenai tujuan Kerajaan  meminda  Perlembagaan
Persekutuan  berhubung  dengan  apa  yang  dianggap  sebagai
kekebalan atau immunity Raja-Raja, iaitu mereka tidak  boleh
dihadapkan  ke  mahkamah  biasa  untuk  orang  ramai  kerana
melakukan apa-apa kesalahan.    Pindaan  ini  dibuat  kerana
difikirkan  pengecualian Raja-Raja daripada tindakan undang-
undang sudah tidak sesuai lagi dengan aliran zaman.   Dengan
pindaan  ini  adalah  dipercayai  perasaan marah kepada Raja
atau  Sistem  Beraja  dapat  dielakkan  kerana  rakyat  akan
dilindungi  oleh  undang-undang  daripada dianiaya oleh Raja
dan dengan itu adalah dipercayai dan diharap Raja tidak akan
melakukannya.   Dengan pindaan ini,  perhubungan  di  antara
Raja  dengan rakyat akan menjadi lebih teratur dengan kedua-
kedua pihak mempunyai  hak-hak  tertentu  di  bawah  undang-
undang  yang jelas dan bukan lagi hanya ditentukan oleh adat
yang mudah disalaherti dan disalahtafsirkan.   Rakyat  tidak
lagi  akan  marah kepada Raja kerana apa yang dilakukan oleh
Raja adalah terhad kepada peruntukan di bawah undang-undang.
Sebaliknya jika rakyat melakukan sesuatu kesalahan  terhadap
Raja,  maka  yang  akan menentukan hukum ialah pengadil atau
hakim dalam Mahkamah Khas yang akan menguatkuasakan  undang-
undang biasa.
2.   Setelah  dibahas,  Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan
(Pindaan)  1993   telah   diluluskan   mengikut   peruntukan
Perlembagaan dengan lebih daripada dua pertiga majoriti oleh
Dewan  Rakyat  dan  Dewan  Negara.    Menurut prosedur, Rang
Undang-undang ini telah dihantarkan kepada  Yang  di-Pertuan
Agong untuk diperkenankan.
3.   Setelah  menerimanya  Yang di-Pertuan  Agong   mengikut
Perlembagaan mempunyai dua pilihan, iaitu:
     *    Baginda memberi perkenan kepada Rang Undang-Undang
          tersebut dalam tempoh 30 hari; atau
     *    Baginda memulangkan balik kepada Parlimen dengan
          menyatakan mengapa Rang Undang-Undang tersebut
          tidak diperkenankan untuk dipertimbangkan semula
          atau diubahsuaikan oleh Parlimen.
4.   Kini Yang  di-Pertuan  Agong telah  mengembalikan  Rang
Undang-Undang     tersebut    dengan    cadangan    beberapa
pengubahsuaian untuk dipertimbangkan semula  oleh  Parlimen.
Jika  Parlimen  meluluskan  Rang Undang-Undang ini, sama ada
dengan  pengubahsuaian  atau  tidak,  ia  akan  dikembalikan
kepada  Yang  di-Pertuan Agong.   Jika Yang di-Pertuan Agong
memperkenankannya maka ia akan menjadi  sebahagian  daripada
undang-undang  yang  sah.   Jika tidak diperkenankan ia akan
menjadi sah selepas genap 30 hari.
5.   Pengubahsuaian yang dibuat terhadap Rang  Undang-Undang
berkenaan  adalah  hasil  daripada  beberapa perbincangan di
antara    pihak    Kerajaan    dengan    pihak    Raja-Raja.
Pengubahsuaian  ini  disyorkan  demi  memperkemaskan undang-
undang berkenaan dan menjaga kehormatan Raja-Raja.
6.   Pengubahsuaian ini tidak menjejaskan tujuan utama  Rang
Undang-Undang   Akta   Perlembagaan   (Pindaan)   l993  yang
diluluskan  oleh  Parlimen,  iaitu  menentukan  Raja   boleh
didakwa  di  bawah undang-undang negara.  Perbezaannya ialah
Raja-Raja  akan  dihadapkan   ke   Mahkamah   Khas   sahaja.
Peruntukan  asal  dalam Perlembagaan bahawa Raja tidak boleh
dihadapkan ke mahkamah biasa dikekalkan.
7.   Penyesuaian  ini  memerlukan  dua  perkara   yang  baru
ditambah  kepada Rang Undang-Undang berkenaan.  Perkara yang
pertama ialah mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong  atau
kedudukan   Raja  sekiranya  Baginda  atau  Raja  menghadapi
tindakan undang-undang.   Yang  di-Pertuan  Agong  hendaklah
berhenti   menjalankan   fungsinya   sebagai  Agong  apabila
menghadapi tindakan undang-undang.  Begitu juga dengan Raja-
Raja Negeri.   Sekiranya Raja  menghadapi  tindakan  undang-
undang,  Raja  hendaklah berhenti menjalankan fungsi Baginda
dan  jika  didapati  bersalah  dan  dihukum  penjara   lebih
daripada  satu  hari  akan  diturunkan takhta melainkan jika
Baginda diampun.   Dalam tempoh  Raja  berhenti  menjalankan
fungsi-fungsi   Raja,  seorang  Pemangku  Raja  atau  Jemaah
Pemangku Raja akan  dilantik  mengikut  Perlembagaan  Negeri
untuk  menjalankan  fungsi  Raja  negeri  berkenaan.    Bagi
membolehkan fungsi-fungsi Raja itu dijalankan  oleh  seorang
Pemangku  Raja  atau  Jemaah  Pemangku  Raja, Jadual Kelapan
Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.    Penyesuaian  ini,
saya  percaya, disyorkan oleh Raja-Raja kerana tentulah aneh
dan tidak dapat diterima oleh masyarakat dan juga oleh Raja-
Raja jika seorang Raja yang dihadapkan ke Mahkamah Khas  ini
terus  menjalankan  tugasnya  sebagai  Raja atau ianya masih
terus  menjadi  Raja  setelah  dihukum  oleh  mahkamah   dan
menjalani hukuman.
8.   Mengikut  peruntukan  Perkara  71  Fasal 4 Perlembagaan
Persekutuan,   Perlembagaan   Negeri    mesti    mengandungi
peruntukan-peruntukan   yang   dinyatakan  di  dalam  Jadual
Kelapan  Perlembagaan  Persekutuan.    Maka  selaras  dengan
pindaan-pindaan  yang  diperbuat  kepada  Jadual Kelapan itu
Kerajaan Negeri juga perlu mengambil tindakan untuk  meminda
Perlembagaan Negeri masing-masing supaya Perlembagaan Negeri
juga  selaras  dengan peruntukan Jadual Kelapan Perlembagaan
Persekutuan.
9.   Adalah   diharapkan   Kerajaan-Kerajaan   Negeri   akan
menghormati keputusan Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan
dengan membuat pindaan tersebut.
10.  Sekiranya Perlembagaan Negeri tidak juga dipinda supaya
peruntukan  Perlembagaan  Negeri sejajar dengan pindaan yang
dibuat kepada Jadual Kelapan itu, maka mengikut  kuasa  yang
diberi di bawah Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan,
satu  undang-undang  boleh  dibuat  di peringkat Persekutuan
untuk  memastikan  bahawa  peruntukan-peruntukan  di   dalam
Jadual  Kelapan  Perlembagaan  Persekutuan  itu  dapat  juga
dikuatkuasakan di dalam negeri-negeri.  Dengan demikian kita
berharap   pindaan-pindaan   yang   dimaksudkan   itu   akan
dilaksanakan oleh semua Kerajaan Negeri.
11.  Pindaan  yang  kedua  ialah  sebarang  tindakan ke atas
Raja-Raja  tidak  boleh  diambil  tanpa  persetujuan  Peguam
Negara.  Ini adalah bagi menjamin Raja-Raja tidak diheret ke
mahkamah  oleh  pihak-pihak  yang hendak memalukan Raja-Raja
atas sebab-sebab yang tidak berasas.
Tuan Yang di-Pertua,
12.  Kerajaan  menyokong  Rang  Undang-Undang  pindaan  yang
disyorkan  dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja ini kerana
ianya selaras dengan pindaan asal.  Pindaan ini adalah untuk
kebaikan rakyat, Raja-Raja  dan  Kerajaan.    Ianya  memberi
keadilan  kepada  semua  pihak dan sesuai dengan pentadbiran
negara masakini serta selaras dengan pemikiran di zaman  ini
berkenaan dengan Sistem Beraja.
13.  Persetujuan Raja-Raja kepada pindaan Rang Undang-Undang
ini adalah baik untuk masa depan Sistem Raja Berperlembagaan
dan Demokrasi Berparlimen negara ini.
14.  Kerajaan  menyanjung  tinggi  kebijaksanaan   Raja-Raja
kerana  bersetuju   dengan   pindaan   Perlembagaan   dengan
pengubahsuaian ini.
15.  Dengan  lulusnya  pindaan kepada Rang Undang-Undang ini
kelak oleh  Parlimen  dan  diperkenankan  oleh  Seri  Paduka
Baginda  Yang  di-Pertuan Agong, kita yakin semua pihak akan
dapat  menumpukan  perhatian   dan   usaha-usaha   ke   arah
pembangunan dan kemajuan negara tanpa gangguan lagi.
Tuan Yang di-Pertua,
16.  Perbincangan  berkenaan  pindaan  kepada   Perlembagaan
untuk  memberi  perlindungan  undang-undang  kepada   rakyat
daripada  sebarang tekanan atau penganiayaan oleh Raja telah
mengambil masa yang agak panjang.  Kadang-kadang kita dengar
kritikan bahawa serangan  terhadap  Raja,  tingkah-laku  dan
cara hidup mereka adalah keterlaluan.
17.  Sayugia diingatkan bahawa sehingga tahun 1990 tidak ada
sesiapa  yang  mengkritik  atau menegur Raja secara terbuka.
Ini mungkin kerana adat resam orang Melayu atau kerana takut
melanggar Akta Hasutan.
18.  Tetapi  selepas Pilihanraya Umum  1990  perasaan  marah
kepada  Raja  Kelantan  telah  meluap  kerana  Baginda telah
secara aktif dan terbuka berkempen  bagi  pihak  parti  bapa
saudaranya.    Rakyat  tidak  dapat  menerima  bukan  sahaja
perbuatan  membelakangkan  larangan  berpolitik  oleh  Raja,
tetapi  juga  percubaan  untuk menaikkan keluarga sendiri ke
jawatan tinggi -- satu  jenis  nepotisma  yang  amat  berbau
feudal dan anti demokrasi.
19.  Semenjak  itu  rakyat  mula   mengkritik  Raja   secara
terbuka.  Mereka tidak berasa segan-silu  lagi.    Apa  yang
telah  dilakukan  oleh  Raja  Kelantan ialah membuka, dengan
izin Tuan Yang di-Pertua 'a can of worms'.    Malangnya  bau
busuk  yang keluar terlekat juga kepada Raja-Raja lain.  Bak
kata pepatah Melayu kerana  seekor  kerbau  membawa  lumpur,
habis semuanya terpalit juga.
20.  Kerana  Raja  Kelantan, adat resam dan ketakutan rakyat
kepada undang-undang telah hilang.    Maka  apabila  berlaku
peristiwa   Gomez,   rakyat  membuat  teguran  dan  kritikan
terhadap Raja-Raja dengan begitu  lantang.    Kerajaan  yang
dipilih  oleh  rakyat yang percaya kepada kedaulatan undang-
undang tidak dapat berdiam diri.  Untuk memberi perlindungan
kepada rakyat maka pindaan telah dibuat kepada  Perlembagaan
seperti  dalam  Akta  yang dibahaskan oleh Dewan ini pada 18
dan 19 Januari 1993.
Tuan Yang di-Pertua,
21.  Sepatutnya Raja Kelantan sedar dan insaf akan hasil dan
kesan  penglibatannya  dalam  politik   parti   keluarganya.
Tetapi nampaknya Raja Kelantan tidak sedar dan tidak insaf.
22.  Dalam  usahanya  untuk  menolak   pindaan  yang   telah
dipersetujui oleh Raja-Raja, Raja Kelantan telah antara lain
mendakwa bahawa persidangan  Dewan  yang  mulia  ini  semasa
membahaskan Pindaan Perlembagaan pada 18 Januari 1993 adalah
tidak  sah.   Raja Kelantan mendakwa pula bahawa persidangan
ini pun tidak sah.
Tuan Yang di-Pertua,
23.  Saya khuatir Raja Kelantan mungkin  telah  sekali  lagi
membuka,  dengan  izin,  satu  lagi 'can of worms'.  Apabila
dakwaan dibuat oleh satu pihak  terhadap  pihak  yang  lain,
pihak yang lain juga boleh melempar dakwaan yang sama.
24.  Jika  Dewan Yang Mulia ini didakwa  tidak sah oleh Raja
Kelantan, Dewan ini juga boleh mendakwa, dengan  sebab-sebab
yang  berasas, bahawa mungkin perlantikan dan penabalan Raja
Kelantan sekarang sebagai Sultan Negeri Kelantan tidak  sah.
Mungkin ada orang lain yang lebih berhak.
25.  Jika  dakwaan-dakwaan seperti ini mula dibuat,  mungkin
ia akan merebak dan berpanjangan dan  lumpur  akan  terpalit
pula kepada tubuh badan orang lain.
26.  Kita  tidak  ada  niat  jahat  terhadap  Raja Kelantan.
Tetapi  gerak-geri   Raja   Kelantan   dalam   isu   pindaan
Perlembagaan  ini  amatlah tidak menyenangkan.  Bukan sahaja
Kerajaan Pusat tidak dihormati, tetapi Raja-Raja  lain  juga
tidak dihormati.
27.  Jika  setelah bermesyuarat secara teratur, Majlis Raja-
Raja tidak memegang kepada keputusan yang  dibuat,  siapakah
yang  akan  menghormati  mesyuarat  Majlis  Raja-Raja,  atau
Majlis itu atau Raja-Raja?    Saya  tidak  ingin  meramalkan
kesan   yang   akan  menyusuli  kehilangan  kepercayaan  dan
kehormatan kepada Majlis Raja-Raja dan institusi Raja kerana
perbuatan Raja Kelantan.
Tuan Yang Di-Pertua,
28.  Saya ingin sekali lagi  menegaskan  bahawa  Raja  tidak
pernah   mengatasi  undang-undang.    Negara  kita  dibentuk
mengikut  satu  Perlembagaan  yang  bertulis.    Kita  semua
memegang  jawatan  masing-masing  mengikut  peruntukan  ini,
termasuklah  Raja-Raja.    Perlembagaan  atau  undang-undang
tubuh  atau  undang-undang  asas negara adalah undang-undang
yang menentukan adanya Raja, adanya Yang  di-Pertuan  Agong,
adanya   Majlis   Raja-Raja,   adanya   Jemaah  Menteri  dan
sebagainya.  Institusi-institusi ini dari  awal  lagi  tidak
wujud  dengan  sendirinya  tetapi adalah hasil perjanjian di
antara rakyat dengan pihak yang dipertuankan, hasil daripada
satu kontrak  sosial  yang  contohnya  ialah  perjanjian  di
antara  Demang  Lebar  Daun  dengan  Sang  Sapurba  Trimurti
Tribuana.
29.  Apabila kita menubuhkan Persekutuan Tanah  Melayu  pada
tahun  1957,  Raja-Raja  telah  secara  rasmi menandatangani
perjanjian Federation of Malaya dan  menerima  undang-undang
asas,  iaitu  Perlembagaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  yang
menentukan  kedudukan,  tempat  dan  peranan  masing-masing.
Penerimaan undang-undang ini bermakna semua pihak meletakkan
diri   mereka   di  bawah  undang-undang.    Soal  Raja-Raja
mengatasi undang-undang tidak wujud dan tidak pernah ada.
30.  Hanya yang ada ialah Raja-Raja tidak  boleh  dihadapkan
ke  mahkamah-mahkamah  yang  pada ketika itu diwujudkan oleh
Perlembagaan.   Tidak boleh  dihadapkan  ke  mahkamah  tidak
bermakna   dikecualikan  daripada  peruntukan  undang-undang
negara ini.  Bahkan tidak boleh dihadapkan ke mahkamah  juga
merupakan  satu  undang-undang,  dan  di bawah undang-undang
inilah maka Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah.    Jika
ini  dianggap satu keistimewaan Raja-Raja, maka keistimewaan
ini masih kekal dengan pindaan yang  disyorkan  oleh  Majlis
Raja-Raja.
31.  Sekarang  ini  diperuntukkan   satu  badan  khas  untuk
membicarakan Raja-Raja yang  melakukan  kesalahan  di  bawah
undang-undang  negara.    Mahkamah  Khas yang ditubuhkan ini
bukan untuk rakyat tetapi untuk Raja.  Ini tidak  melucutkan
keistimewaan  Raja  daripada  segi  tidak  boleh  didakwa di
mahkamah biasa,  tetapi  menambah  keistimewaan  itu  dengan
mewujudkan satu mahkamah yang khas bagi Raja.
32.  Bagi  rakyat,   yang  penting  ialah  mereka   mendapat
perlindungan undang-undang daripada sebarang  penyalahgunaan
kedudukan yang dilakukan oleh Raja.  Bagi Raja, keistimewaan
mereka dikekalkan.  Bagi negara, konsep Raja Berperlembagaan
dan  Demokrasi  Berparlimen  mendapat makna yang lebih tepat
dan jelas.
Tuan Yang di-Pertua
33.  Ada pihak yang cuba menggambarkan persetujuan Raja-Raja
ini sebagai hasil daripada tekanan ala-Mac Michael.    Pihak
ini  berasa  kecewa  kerana  segala usaha dan nasihat mereka
yang tidak baik tidak berhasil.   Mereka  ingin  menggunakan
isu  ini  sebagai  isu  politik.    Mereka tidak sama sekali
memikirkan tentang kepentingan rakyat yang perlu  dilindungi
daripada tindakan-tindakan yang salah oleh Raja.  Saya yakin
mereka akan menyebarkan dakwaan mereka kononnya Kerajaan ini
bertindak seperti Mac Michael dengan membuat tekanan ke atas
Raja  sehingga  mereka  bersetuju.   Kita berpendapat bahawa
persetujuan  ini  adalah  suatu  kebaikan.    Sama  ada   ia
diperlukan  oleh  undang-undang  ataupun tidak, terpulanglah
kepada mahkamah untuk menentukannya.
34.  Saya harap mereka ini yang kecewa dalam  politik,  yang
tidak ada tempat dalam politik negara akan berhenti daripada
usaha  yang  tidak  berfaedah ini dan sebaliknya bekerjasama
dengan Kerajaan untuk membangunkan negara ini.  Kalau  sudah
tidak  laku,  saya rasa tidak usahlah kita menjual lagi diri
kita.  Mereka ini takut hendak  berhadapan  dengan  Parlimen
apabila  melihat  mereka akan kalah.  Sebab itu mereka tidak
hadir pada kali ini.   Dulu mereka  hadir,  tetapi  kemudian
telah  keluar  daripada Dewan.   Tindakan mereka adalah cara
orang pengecut, yang  tahu  akan  kalah.    Kita  sepatutnya
berani  menghadapi  lawan,  dan  kalau  kalah,  menerimanya.
Dalam politik, kita tidak selalu boleh menang.  Kalau  semua
orang   selalu  menang,  tentulah  susah.    Dalam  politik,
bagaimana kita hendak membentuk  Kerajaan  jika  kalau  yang
kalah pun menang, dan yang menang, menang?
35.  Jadi saya  harap  mereka yang ingin terus dalam politik
menerima  hakikat  bahawa   kadangkala   kita   menang   dan
kadangkala  kita kalah.   Ini, bila menang, terima keputusan
tetapi bila kalah enggan  terima  keputusan.    Inilah  yang
menjadi masalah kepada kita.
36.  Oleh kerana sebab-sebab ini saya menyokong pindaan yang
disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang telah dipersetujui
oleh  Majlis  Raja-Raja  kepada  Akta  meminda  Perlembagaan
Persekutuan yang telah diluluskan oleh  Dewan  ini  pada  19
Januari 1993.

 
 



 
Google