Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SHAH ALAM, SELANGOR
Tarikh/Date : 20/04/93
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN BANGUNAN
PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN PROTON
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perusahaan
Otomobil Nasional Berhad atau Proton kerana menjemput saya
untuk merasmikan Bangunan Penyelidikan dan Pembangunannya
pada pagi ini.
2. Hari ini kita boleh berbangga dengan prestasi dan
kejayaan yang dicapai oleh PROTON dan Projek Kereta Nasional
ini. Kereta Nasional, Proton Saga, bukan sahaja kini
popular tetapi telah dapat menguasai pasaran tempatan
dengan jayanya. Kereta-kereta PROTON juga telah mencatat
nama di pasaran antarabangsa dan berjaya mengharumkan nama
Malaysia sebagai negara membangun yang berjaya mengeluarkan
keretanya sendiri.
3. Matlamat utama projek Kereta Nasional ini ialah untuk
mencapai keupayaan negara dalam teknologi ciptaan rekabentuk
dan kejuruteraan otomobil dan mempergiatkan lagi pembuatan
komponen. Dengan terlaksananya projek kereta nasional, kini
terdapat lebih daripada 100 syarikat tempatan yang
mengeluarkan hampir seribu jenis barangan atau komponen bagi
menampung pengeluaran kereta Nasional ini. Di masa yang
sama, negara kita telah mencapai peningkatan teknologi yang
lebih tinggi, walaupun banyak lagi harus dipelajari
untuk membolehkan kita membuat Penyelidikan dan Pembangun an
bagi menghasilkan model kereta kita sendiri sepenuhnya.
4. Kini, PROTON telah mencapai jumlah pengeluaran melebihi
480,000 unit. Jumlah pengeluaran yang besar ini dan
peningkatannya dari masa ke masa akan membuat industri
pembuatan komponen tempatan lebih 'viable' dan kompetitif.
Ini jelas dapat dilihat dengan minat yang ditunjukkan oleh
syarikat-syarikat komponen luar negeri dan syarikat tempatan
untuk membekal komponen-komponen kepada PROTON.
5. Perkembangan yang positif ini juga dapat dilihat
daripada sudut minat pelabur-pelabur membeli saham PROTON
semenjak PROTON disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Syarikat PROTON ini telah berjaya menduduki tempat di antara
10 syarikat teratas di Malaysia daripada segi 'market
capitalisation'.
6. Dalam konteks ini saya sukacita merakamkan penghargaan
kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan Kakitangan
PROTON di atas usaha gigih mereka. Ucapan terima kasih
Kerajaan juga dipanjangkan kepada rakan kongsi Mitsubishi
Motors Corporation (MMC) dan Mitsubishi Corporation (MC)
yang sentiasa memberi kerjasama erat bagi menentukan
pencapaian yang cemerlang.
7. Di sektor pembuatan dan pengilangan, terutama di bidang
industri otomotif, aspek yang paling penting yang perlu
ditekankan ialah bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
PROTON kini telah mencapai tahap kemampuan di bidang-bidang
'assembling of mass volume vehicles' dan seterusnya berjaya
meningkatkan kebolehan di bidang kejuruteraan.
8. Saya berbangga kerana jurutera-jurutera PROTON terutama
di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan dan Kejuruteraan
telah mampu menyokong kerja-kerja pengubahsuaian rekabentuk
kereta ke tahap 'cosmetic changes'. Apa yang perlu
ditekankan dan seharusnya menjadi cabaran sekarang ialah
kebolehan dalam mencapai tahap 'capability in design devel-
opment and manufacturing' secepat mungkin. Sementara
kerjasama dengan rakan-rakan dari negara asing seperti Jepun
perlu diteruskan, peningkatan kebolehan kita sehingga kita
mampu membuat semua kerja dari mula sehingga ke akhir dalam
bidang automotif industri, adalah penting.
9. Kita sedia maklum bahawa bidang Penyelidikan dan
Pembangunan menjadi 'focal-point' di dalam usaha
mempertingkatkan mutu pengeluaran yang tinggi dan
kompetitif. Ini terutama sekali di bidang industri otomotif
di mana setiap pengeluaran menghadapi persaingan yang hebat,
baik daripada aspek rekabentuk keluarannya, cara-cara
pengeluaran serta nilai harganya. Persaingan yang hebat
juga dirasakan di bidang teknologi, di samping citarasa
pengguna yang seringkali berubah mengikut arus peredaran
masa. Disebabkan faktor-faktor inilah, peranan R&D adalah
amat penting bagi mempastikan kejayaan PROTON berterusan dan
sama sekali tidak boleh diabaikan.
10. Setiap syarikat pembuatan dan pengilang hendaklah
memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bidang penyelidikan dan
pembangunan. Pada masa ini, usaha-usaha di bidang R&D dalam
bidang pembuatan di negara ini masih terlalu kecil jika
dibandingkan dengan sektor lain. Untuk mencapai matlamat
Wawasan 2020, usaha-usaha R&D perlu dipertingkatkan.
11. Saya berharap syarikat-syarikat pengilangan tempatan
dapat memberi penekanan yang lebih kepada aktiviti R&D
kerana hanya dengan cara ini sahaja dapat kita bersaing
dengan pengeluar- pengeluar bertaraf antarabangsa. Untuk
memperbaiki mutu barangan yang dikeluarkan dan bagi
menghasilkan barangan yang baru supaya dapat bersaing dan
kompetitif, maka pengeluar-pengeluar perlu meningkatkan
aktiviti R&D meskipun ianya memerlukan pelaburan yang besar.
Syarikat pengeluar harus berani untuk memulakan penyelidikan
dengan menggunakan teknologi-teknologi yang terbaru demi
menghasilkan barangan yang kompetitif lagi bermutu tinggi.
12. Di samping itu, rakan-rakan kongsi syarikat-syarikat
perlu mempercepatkan proses pemindahan teknologi kepada
kakitangan tempatan, agar satu hari kelak negara ini dapat
mencapai taraf 'self-reliance' dan dapat melaksanakan kerja-
kerja R&D sendiri. Rakan-rakan kongsi tidak perlu bimbang
dengan pencapaian tersebut kerana ia memberi manfaat kepada
semua pihak yang terlibat sekiranya barangan yang
dikeluarkan menepati citarasa dan keperluan pengguna
tempatan hasil daripada kerja-kerja R&D yang dibuat di
negara ini.
13. Saya difahamkan bahawa di PROTON sekarang ini,
penekanan diberi ke arah mempergiatkan aktiviti-aktiviti
R&D. Ini adalah satu langkah yang baik dan saya berharap
pelaksanaannya akan terus dipertingkatkan. Jika aktiviti-
aktiviti R&D ini dapat diteruskan dengan licin dan teratur
maka ini akan mempastikan keupayaan kakitangan PROTON dapat
dipertingkatkan dari masa ke masa.
14. Satu cara yang digunakan oleh industri otomotif untuk
meningkatkan kecekapan R&D dan memberangsangkan penyelidik
dan perekacipta ialah dengan mencipta "concept car".
Galakan perlu diberi oleh Proton kepada "concept car"
ciptaan bahagian R&Dnya. Wang yang dibelanjakan untuk
"concept car" ini bukanlah pembaziran tetapi merupakan
satu pelaburan yang wajar bagi mempertingkatkan
kecekapan jurutera dan perekacipta Proton. Segala galakan
perlu diberikan kepada mereka. Saya juga ingin mengumumkan
hadiah tertentu untuk 'concept car' yang dicipta oleh
jurutera-jurutera otomotif di Malaysia, sama ada daripada
industri atau akademik. Saya harap cadangan ini akan
mendapat sambutan hangat daripada semua pihak termasuk rakan
kongsi dari luar negeri.
15. Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas kepada PROTON
yang telah mengumumkan 'Anugerah Penyelidikan' yang
menekankan bidang penyelidikan. Program ini juga secara
tidak langsung akan memberi perangsang dan inisiatif kepada
penyelidik-penyelidik tempatan untuk meneruskan bidang
penyelidikan demi kebaikan dan kebajikan masyarakat
keseluruhannya.
16. Dalam konteks ini, adalah menjadi hasrat Kerajaan
untuk menyokong perkembangan industri otomotif dengan
menyediakan kemudahan ujian termasuk di suatu masa akan
datang satu projek 'PROVING GROUND' yang mana boleh di
gunakan oleh semua yang terlibat di bidang industri
pengangkutan. Tujuan utama kemudahan seperti ini ialah
untuk membolehkan aktiviti-aktiviti R&D dijalankan pada
keseluruhannya di negara kita.
17. Prospek untuk mencapai pertumbuhan di bidang otomotif
adalah cerah. Memandangkan sektor ini penting dalam
menyumbang kepada pembangunan ekonomi, saya ingin menyeru
pihak swasta supaya memainkan peranan masing-masing dalam
menjayakan industri ini.
18. Kerajaan akan terus memberi sokongan dengan menyediakan
infrastruktur yang mencukupi di samping memastikan jentera
kerajaan bekerjasama dengan pihak swasta demi mencapai
matlamat ini.
19. Strategi Kerajaan di bawah Dasar Pembangunan Negara
ialah memulakan era baru di dalam usaha untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Saya
berharap PROTON dapat memberi sumbangan penting dan bersikap
lebih agresif untuk mencapai matlamat ini.
20. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Bangunan
Penyelidikan dan Pembangunan PROTON ini.
Sekian, terima kasih.
|