Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 20/05/93
Tajuk/Title : PERASMIAN SEMINAR PERANAN HOSPITAL
SWASTA DI MALAYSIA PADA MASA KINI
DAN AKAN DATANG'
Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan
Hospital-hospital Persendirian Malaysia kerana menjemput
saya untuk merasmikan seminar 'Peranan Hospital Swasta Di
Malaysia Pada Masa Kini dan Akan Datang' pada hari ini.
2. Hospital swasta adalah satu fenomena baru bagi negara
Malaysia. Di waktu apa yang dipanggil sebagai 'western
medicine' mula diperkenalkan di negara ini lebih seratus
tahun dahulu, penduduk negeri-negeri Melayu tidak begitu
yakin terhadap perubatan secara saintifik. Untuk meyakinkan
mereka, Kerajaan kolonial yang telah mengadakan perkhidmatan
perubatan untuk pegawai-pegawai asing dan kakitangan
Kerajaan, telah memperluaskan perkhidmatan hospital kepada
orang awam secara percuma. Semenjak itu penduduk negeri
negeri Melayu berpendapat bahawa memanglah menjadi
tanggungjawab Kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan
kesihatan dan perubatan secara percuma.
3. Seratus tahun dahulu, bahkan 50 tahun dahulu, harga
ubat dan kos rawatan amatlah murah. Sebotol ubat batuk
hanya berharga dua sen. Pembedahan pun tidak begitu
kompleks dan tidak melibatkan alat-alat yang canggih dan
mahal serta ubat-ubatan yang mustajab. Justeru itu,
pembekalan ubat dan rawatan amatlah murah dan dapat di
tanggung oleh Kerajaan dengan mudah.
4. Hari ini ubat dan rawatan serta pembedahan amatlah
canggih dan memerlukan belanja yang amat tinggi. Sebiji pil
mungkin berharga RM5 atau lebih dan kos pembedahan kerapkali
memerlukan belanja beribu-ribu ringgit. Oleh kerana kos
yang begitu tinggi Kerajaan tidak lagi mampu memberi ubat
dan rawatan secara percuma atau dengan bayaran yang nominal
kepada semua pesakit. Sebenarnya negara-negara yang maju
dan terkaya sekalipun tidak dapat mengadakan khidmat
perubatan secara percuma. Semua negara ini mengenakan
bayaran yuran (contributory health scheme) ataupun rakyatnya
diperlukan mengambil insurans perubatan. Tetapi di Malaysia
rawatan percuma untuk yang tidak mampu masih diadakan.
Sebab itulah pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO
berani mendakwa bahawa perkhidmatan kesihatan di Malaysia
adalah jauh lebih baik daripada Amerika Syarikat.
5. Oleh kerana beban yang berat inilah maka Kerajaan
mengalu-alukan penubuhan hospital swasta atau persendirian.
Tidak syak lagi hospital swasta dapat mengurangkan beban
kewangan Kerajaan dan tekanan bilangan penduduk yang lebih
ramai yang begitu mengambilberat tentang kesihatan.
Sekarang ini, bagi mereka yang berada, rawatan perubatan
boleh didapati dari hospital swasta tanpa menunggu giliran
di hospital Kerajaan. Dengan masyarakat menjadi lebih
'affluent', pesakit sanggup membuat bayaran yang tinggi.
Walaupun daripada satu sudut, bayaran yang tinggi
menyebabkan ramai yang berpendapatan sederhana tidak mampu
tetapi pendapatan hospital swasta meningkat sehingga dapat
mengadakan alat-alat yang terkini dan canggih. Dengan ini
kualiti rawatan dapat dipertingkatkan lagi. Adalah
diharapkan bahawa kepakaran doktor-doktor swasta juga turut
meningkat sehingga setaraf dengan pakar dunia. Jika khidmat
pakar-pakar perubatan Malaysia diakui baik, pesakit dari
luar negeri juga akan datang ke negara ini untuk mendapatkan
rawatan. Ini akan menyumbang kepada ekonomi negara dan
menjadikan Malaysia dan kepakarannya di bidang perubatan
lebih terkenal.
6. Semua yang disebut ini adalah aspek positif hospital
dan perkhidmatan perubatan swasta. Sudah tentu aspek
negatif juga ada. Yang pertamanya ialah kemungkinan doktor
doktor swasta lebih mengutamakan perniagaan dan pendapatan
yang lumayan daripada berkhidmat mengikut ikrar
'hippocratic' mereka. Dengan ini bayaran yang dikenakan
amat tinggi dan ramai pesakit mungkin ditolak kerana tidak
mampu. Profesion kedoktoran tidak patut terlalu sangat
diperdagangkan. Unsur khidmat perlu ditekankan. Walaupun
pendapatan penting, hospital swasta harus juga bertimbang
rasa dan mempunyai tanggungjawab sosial.
7. Amalan menolak pesakit 'emergency' yang tidak mempunyai
deposit tidak secocok dengan profesion kedoktoran.
Sekurang-kurangnya 'emergency treatment' patut diberi.
Walaupun ini akan menyebabkan pendapatan pada hujung bulan
terkurang sedikit, tetapi ini sepatutnya dianggap sebagai
sebahagian daripada kos. Hari ini pun pendapatan pakar
perubatan swasta adalah empat atau lima kali lebih banyak
daripada pakar yang setaraf yang berkhidmat dengan Kerajaan.
Saya percaya kekurangan sedikit pendapatan ini tidak akan
menjadi masalah yang besar. Lagipun ini tidak selalu
berlaku. Ia merupakan 'emergency' yang lebih bercorak
'first-aid'.
8. Kita di Malaysia bertuah kerana amalan mendakwa doktor
di mahkamah kerana kecuaian tidak begitu ketara. Jika
adapun, undang-undang menyekat bayaran pampasan yang terlalu
tinggi. Gantirugi hendaklah dibayar tetapi ianya hendaklah
berpatutan.
9. Kerajaan tidak ingin melihat 'litigation' dan tuntutan
yang keterlaluan. Di negara-negara di mana doktor kerap
dihukum oleh mahkamah supaya membayar gantirugi yang terlalu
tinggi, perkhidmatan perubatannya adalah amat buruk.
Hospital dan doktor membuat pemeriksaan-pemeriksaan yang
tidak begitu perlu kerana takut dituduh cuai. Dengan itu
kos rawatan melambung tinggi. Bayaran juga dinaikkan
kerana bayaran insurans doktor dan hospital adalah tinggi
dan jika gantirugi hendak dibayar doktor akan bankrap.
Adakalanya doktor mengelak daripada memberi rawatan
kecemasan atau menyentuh pesakit kerana kemungkinan
pesakit akan mendakwanya di mahkamah untuk mendapat
gantirugi. Masyarakat akan rugi jika kita mempunyai tabiat
'litigation' itu.
10. Namun doktor tidak harus cuai dalam menjalankan
tugasnya. Mereka hendaklah memberi khidmat yang sebaik
baiknya sama ada kepada yang mampu membayar banyak atau
sedikit. Janganlah hendaknya pemeriksaan dengan alatan
alatan yang canggih dan mahal dibuat semata-mata untuk
menaikkan pendapatan atau mengelak daripada didakwa di
mahkamah kerana cuai.
11. Amalan 'fee-splitting' dan 'ambulance chasing' juga
tidak harus dibuat. Pakatan dengan peguam untuk mendapat
'business' patut dielakkan. Demikian juga amalan
'feesplitting' dengan doktor-doktor lain dan pemeriksaan
serta pembedahan yang tidak perlu tidak harus dibuat.
Sebenarnya tanpa sebarang amalan yang tidak baik yang
membelakangkan ikrar doktor (hippocratic oath), pendapatan
yang lumayan boleh diperolehi. Dan pendapatan ini adalah
lebih kekal dan tidak mempunyai risiko tindakan undang
undang. Di samping itu, profesion perubatan akan dihormati
dan disanjung tinggi oleh masyarakat.
12. Seperti yang telah saya nyatakan, hospital swasta
membantu mengurangkan beban Kerajaan dalam memberi khidmat
perubatan. Tetapi masalah yang besar bagi Kerajaan ialah
perbezaan jauh di antara pendapatan doktor dan jururawat
swasta dengan gaji doktor dan jururawat Kerajaan. Amatlah
mudah mencadangkan supaya gaji doktor dan jururawat Kerajaan
dinaikkan. Masalah dalam perkhidmatan Kerajaan ialah
'parity' adalah perkara utama. Jika jarak antara satu
kumpulan kakitangan Kerajaan adalah sekian, ia tidak boleh
dilebih atau dikurangkan. Jika berubah sedikit pun, pihak
yang terkilan akan membuat tuntutan, bahkan ugutan. Jika
tuntutan ini dilayan maka semua kategori kakitangan Kerajaan
terpaksa dibayar gaji yang lebih. Ini bukan sahaja bermakna
perbelanjaan tambahan Kerajaan meningkat tinggi, tetapi
perasaan tidak puas hati doktor atau jururawat akan
berkekalan kerana jarak di antara gaji mereka dengan gaji
kakitangan lain masih tidak berubah. Di samping itu, doktor
swasta pula boleh meningkatkan lagi bayaran dan menambah
pendapatan mereka. Dengan ini perbezaan di antara
pendapatan mereka dengan gaji rakan mereka dalam Kerajaan
terus jauh. Oleh kerana kenaikan gaji sedikit sebanyak
menyumbang kepada inflasi, tidak sesiapa pun yang akan
memperolehi faedah daripada percubaan mengurangkan perbezaan
pendapatan di antara doktor swasta dengan doktor Kerajaan.
13. Tetapi jika perbezaan ini tidak dikurangkan, pengaliran
doktor dan jururawat Kerajaan ke sektor swasta akan
berterusan. Akhirnya perkhidmatan kesihatan Kerajaan tidak
dapat diadakan dengan sempurna.
14. Masalah ini hanya boleh diatasi jika jumlah doktor dan
pakar perubatan meningkat sehingga persaingan yang besar
berlaku di kalangan doktor-doktor swasta. Jika pengeluaran
doktor tidak meningkat dengan ketara, maka Kerajaan terpaksa
membenarkan doktor asing masuk dan bekerja dengan Kerajaan
atau hospital swasta atau persendirian.
15. Di samping kita melindungi apa juga profesion dalam
negeri, kita juga harus ingat bahawa kepentingan umum adalah
lebih utama daripada kepentingan individu atau mana-mana
kumpulan. Sebenarnya hospital dan perubatan swasta
berkembang maju kerana masyarakat Malaysia mewah dan boleh
membayar bayaran yang dikenakan. Ini bermakna doktor
terhutang budi kepada masyarakat, baik daripada segi peluang
belajar mahu pun daripada segi praktisnya. Justeru itu
hospital swasta dan juga doktor-doktor patut memberi
khidmat kepada masyarakat di samping perlunya untuk
mendapatkan pendapatan yang tinggi.
16. There is a place for private hospitals in Malaysia now
and in the future but the commercial aspect of this role
must go hand in hand with the social aspect. Then and then
only will the private hospitals and private doctors be
regarded with respect by the community and the nation.
17. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan seminar
'Peranan Hospital Swasta Di Malaysia Pada Masa Kini Dan Akan
Datang'.
|