Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR(KL)
Tarikh/Date : 21/05/93
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN MODEL
TERBARU PROTON
Saya mengucapkan terima kasih kepada Perusahaan
Otomobil Nasional Berhad (PROTON) dan Edaran Otomobil
Nasional Berhad (EON) kerana menjemput saya dan isteri saya
ke majlis ini untuk melancarkan model terbaru Proton, kereta
nasional Malaysia.
2. Pelancaran model terbaru Proton ini merupakan satu lagi
detik sejarah dalam perkembangan dan kemajuan industri
kereta negara. Ia merupakan satu kebanggaan dan kejayaan
Malaysia yang telah membuktikan kemampuannya menerokai
teknologi canggih dalam industri otomobil melalui satu
proses perancangan, penyelidikan dan pembangunan serta
kepakaran kejuruteraan yang dimiliki oleh tenaga kerja yang
terdiri daripada kalangan anak-anak tempatan terutama di
Proton.
3. Saya telah difahamkan bahawa projek untuk melahirkan
model terbaru Proton ini telah memakan masa, tenaga serta
pelaburan yang banyak dan telah bermula semenjak empat
setengah tahun yang lalu. Hasilnya tentu mengkagumkan dan
tuan-tuan dan puan-puan boleh lihat sendiri model terbaru
Proton ini sebentar lagi.
4. Untuk melambangkan keteguhan, kekuatan, kuasa, serta
kualiti maka kereta nasional generasi kedua ini dipanggil
dengan nama 'PROTON WIRA'. Proton generasi baru ini lebih
aero-dinamik, berciri moden, canggih dan dilengkapi
dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk
penumpang. Saya pasti PROTON WIRA setaraf dengan kereta
yang sama kelas dengannya di pasaran antarabangsa dan sudah
tentu memberikan 'top value for money'.
5. Kerajaan gembira projek kereta nasional telah mencapai
kejayaan demi kejayaan. Projek kereta nasional ini telah
memberikan banyak faedah kepada negara dalam pembangunan
industri hiliran terutama dalam pembuatan komponen kereta,
perpindahan teknologi, pemasaran, pembangunan tenaga kerja
mahir serta peningkatan penyertaan Bumiputera dalam industri
kereta.
6. Sekarang terdapat lebih daripada seratus syarikat
tempatan melibatkan diri dalam pembuatan dan pembekalan
lebih daripada seribu dua ratus jenis komponen kereta Pro-
ton. Kandungan tempatan di dalam kereta nasional turut
meningkat kepada 80 peratus sekarang. Saya berharap
peratusan kandungan tempatan ini akan dapat ditingkatkan
lagi ke paras yang lebih tinggi di masa akan datang.
7. Pelancaran model terbaru ini juga melenyapkan berbagai-
bagai anggapan negatif mengenai keupayaan rakyat Malaysia
untuk menerima pindahan kemahiran berteknologi tinggi.
Model terbaru Proton ini adalah hasil ciptaan, penyelidikan,
rekaan serta usaha rakyat Malaysia. Lebih daripada itu,
penyesuaian kilang Proton dan alat-alatnya untuk
mengeluarkan kereta hari ini adalah juga hasil usaha
jurutera dan pekerja tempatan. Dengan ini sebahagian
daripada matlamat Kerajaan untuk meningkatkan keupayaan
tempatan dalam bidang 'engineering' termasuk 'production
engineering' sudahpun tercapai.
8. Proton haruslah meningkatkan usaha Penyelidikan dan
Pembangunannya (R&D) untuk memastikan kereta nasional terus
berkemampuan menandingi prestasi kereta lain di pasaran
antarabangsa. Proton harus berupaya membuat perubahan
kosmetik terhadap model-model kereta nasional, bahkan
mencipta sepenuhnya model-model baru bagi memberi kepuasan
kepada pembeli yang selalu bertukar citarasa.
9. Kereta Proton telah berjaya menembusi pasaran di banyak
negara. Kualiti kereta nasional yang tinggi sudah terbukti
dengan enam anugerah emas yang dimenanginya di pameran
antarabangsa di United Kingdom. Banyak negara kini telah
menunjukkan minat untuk mengimport kereta nasional.
Kerajaan berharap dengan adanya PROTON WIRA ini, usaha
mencari pasaran baru dapat dipertingkatkan lagi. Untuk ini
Proton perlu menambah keupayaannya mengeluarkan lebih banyak
kereta di samping menerokai pasaran-pasaran baru.
Pengeluaran model pandu sebelah kiri atau 'left-hand drive'
amatlah penting bagi menjayakan usaha ini.
10. Kejayaan sesebuah perniagaan adalah juga bergantung
kepada perkhidmatan lepas jualannya atau 'after-sale
service'. Kepercayaan pengguna terhadap sesuatu barangan
itu biasanya bergantung kepada keupayaan pengedar atau
penjualnya menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan,
nasihat, panduan dan pembaikan barangan yang dijualnya.
Perkhidmatan ini amatlah penting bagi industri kereta.
Justeru itu, EON mestilah sentiasa memberikan perkhidmatan
lepas jualan dan layanan yang baik kepada pelanggan untuk
memastikan kereta-kereta Proton terus mendapat tempat dalam
pasaran tempatan.
11. Kini terdapat lebih daripada 400,000 kereta Proton di
jalanraya seluruh negara. Ini membuka peluang untuk satu
lagi industri yang penting -- iaitu industri 're- condition-
ing' kereta lama. Dengan adanya industri ini, kereta yang
telah dipakai bukan sahaja akan mempunyai kualiti yang baik,
tetapi ada kemungkinan ianya juga dieksport jika harganya
berpatutan. Adalah penting kereta terpakai hendaklah
dibaikpulih terlebih dahulu supaya ianya tidak menjadi punca
kemalangan di jalanraya.
12. Walaupun kapasiti pengeluaran kilang Proton sudah
ditingkatkan kepada 120,000 buah setahun daripada 80,000
buah setahun, daripada minat yang ditunjukkan oleh banyak
negara yang belum mengimport kereta Proton, peningkatan
kapasiti yang lebih adalah diperlukan. Jika model pandu
sebelah kiri dikeluarkan, banyak pasaran luar yang baru yang
menggunakan kereta jenis ini boleh dijadikan sasaran
pemasaran Proton.
13. Saya berharap Proton akan memberi perhatian yang serius
kepada eksport dan menyediakan diri untuk maksud ini. Dengan
meningkatkan 'volume' bukan sahaja 'economies of scale' akan
tercapai, tetapi juga industri sampingan dan sokongan akan
berkembang dengan lebih pesat. Dengan itu, Malaysia boleh
menjadi pembekal komponen-komponen kepada industri otomobil
di negara-negara lain.
13. Saya percaya PROTON WIRA yang bermutu tinggi ini,
dengan harga yang berpatutan di samping mempunyai lebih
keselesaan dan ciri-ciri keselamatan yang menjamin, akan
mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan sambutan hebat
daripada pembeli-pembeli.
14. Akhir kata, saya dengan sukacitanya melancarkan kereta
'PROTON WIRA' dengan rasminya.
|