Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PELABUHAN KUANTAN, PAHANG
Tarikh/Date : 22/05/93
Tajuk/Title : SEMPENA PERASMIAN KILANG FPG
OLEOCHEMICALS SDN BHD
Saya berasa sukacita kerana dapat bersama-sama di sini
hari ini untuk menyampaikan sepatah dua kata di upacara
pembukaan rasmi Kilang FPG Oleochemicals Sdn Bhd yang
dimiliki bersama oleh Kumpulan Felda dan Procter & Gamble
dari Amerika Syarikat.
2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah kepada Procter & Gamble serta Felda kerana wawasan
dan keusahawanan mereka mewujudkan satu kompleks oleokimia
yang begitu besar dan melibatkan modal pelaburan
berjuta-juta ringgit. Tidak syak lagi, pelaburan ini adalah
wajar kerana ianya bukan sahaja dapat mengukuh dan
menambahkan nilai eksport barangan pengeluaran pertanian
Malaysia menerusi perusahaan pemerosesan yang lebih canggih,
tetapi juga memperkenal dan melibatkan pemindahan teknologi
oleokimia yang terkini ke Malaysia.
3. FELDA sebagai sebuah agensi pembangunan pertanian yang
utama di Malaysia telah mengharumkan nama baik negara
daripada segi sosial dan ekonomi. Pada hari ini, dengan
penglibatan aktifnya dalam pengeluaran barangan oleokimia,
FELDA sekali lagi mengorak langkah ke arah aktiviti hiliran
dan perindustrian yang berasaskan pertanian.
4. Perusahaan oleokimia telah dikenalpasti sebagai
salah satu industri yang mempunyai potensi cerah di bawah
Pelan Induk Perindustrian Malaysia. Ini terbukti dengan
kadar pertumbuhannya yang pesat walaupun baru sahaja
berkembang di pertengahan pertama dekad yang lalu. Akibat
daripada kadar perkembangan yang pesat ini, Malaysia kini
menjadi sebuah negara pengeluar oleokimia terkemuka di
dunia. Kapasiti pengeluaran oleokimia di Malaysia dijangka
mencapai 1.3 juta tan pada tahun 1994 dan keluaran negara
kini dianggarkan meningkat kepada 20 peratus hingga 25
peratus jumlah oleokimia dunia yang dihasilkan daripada
bahan-bahan minyak yang bukan petroleum.
5. Perkembangan industri ini juga jelas terlihat daripada
segi peningkatan penggunaan minyak sawit dan minyak isi
sawit oleh sektor oleokimia. Dalam tahun 1989, penggunaan
ini merupakan hanya dua peratus daripada pengeluaran negara.
Bagaimanapun pada tahun 1995, industri oleokimia diramal
menggunakan lebih daripada 10 peratus jumlah barangan
hasilan sawit; manakala eksport oleokimia dijangka
menyumbangkan 10 peratus daripada jumlah nilai eksport
pengeluaran sawit.
6. Satu lagi perkembangan positif yang memberi manfaat
kepada pengeluar-pengeluar minyak sayuran ialah peningkatan
penggunaan minyak semulajadi oleh perusahaan oleokimia di
seluruh dunia. Sebelum tahun 1990, hanya sedikit sahaja
oleokimia disumberkan daripada hasilan minyak sawit. Tetapi
penggunaan keluaran sawit kini dianggarkan melebihi 10
peratus. Perkembangan dan penukaran yang pesat ini
mencerminkan peranan minyak sawit yang kian penting sebagai
bahan mentah utama untuk industri oleokimia.
7. Perkembangan ini menjadi perangsang kepada Malaysia,
yang merupakan salah sebuah negara pengeluar minyak sayuran
terbesar di dunia. Peningkatan penggunaan minyak sawit oleh
perusahaan oleokimia menunjukkan `versatility' minyak ini
daripada segi penggunaan sebagai makanan dan bukan-makanan.
8. Selain daripada penggunaan minyak sawit yang bertambah
oleh sektor oleokimia, terdapat juga permintaan yang
menggalakkan bagi komoditi ini oleh pembeli-pembeli
tradisional dan bukan tradisional, yang mana pada satu
ketika dulu merasa sangsi terhadap kesan penggunaannya
kepada kesihatan. Peningkatan permintaan untuk kegunaan
makanan bukan sahaja kerana bilangan penduduk kian
meningkat, tetapi juga kerana kesan-kesan penggantian.
9. Manusia seluruh dunia kini semakin sedar terhadap peri
mustahaknya kesihatan jasmani dan suasana alam sekitar.
Oleh itu, semakin ramai pengguna-pengguna, baik di negara
maju dan juga di negara yang sedang membangun mula menukar
penggunaan daripada lelemak haiwan kepada minyak-minyak
sayuran tanpa kolesterol. Oleh itu, eksport minyak sawit
meningkat dengan pesatnya semenjak awal tahun 1990. Pada
umumnya, ini disebabkan oleh usaha-usaha gigih sektor awam
dan swasta yang menjalankan penyelidikan dan penyebaran
maklumat mengenai ciri-ciri dan sifat-sifat kimia minyak
sawit yang berkhasiat dan bermanfaat kepada manusia.
10. Minyak sawit ialah satu-satunya minyak makan yang kerap
dan amat mendalam diselidiki oleh ahli saintis dan para
pakar makanan yang terkemuka di dalam dan luar negeri.
Justeru itu, minyak sawit bertapis kini diterima dan diakui
ramai kerana sifat-sifatnya dalam membantu pencegahan
penyakit jantung, tidak mengandungi kolesterol serta kaya
dengan vitamin E dan beta karotin yang mana menjadi agen
anti-penyakit barah.
11. Satu faktor lagi yang memanfaatkan dan memihak kepada
perusahaan perladangan sawit ialah pada amnya ia dianggap
baik daripada segi suasana alam sekitar. Penukaran kawasan
tanah yang asalnya hutan rimba dengan tanaman komersil dan
mampu hidup berpanjangan, bukan sahaja menyokong pembangunan
yang kukuh tetapi juga pada asasnya membantu mengekalkan
suasana alam semulajadi.
12. Sungguhpun kita merasa senang hati melihat
industri minyak sawit kini dan seterusnya dalam keadaan
sihat, ini bukan masanya untuk kita berpuashati dan
berpeluk-tubuh. Sebenarnya, masa paling baik untuk
menyediakan diri terhadap sebarang angkara ialah pada
waktu-waktu kemewahan dan kemakmuran. Sepertimana kita
sedia maklum, sektor minyak dan lelemak merupakan urusaniaga
yang paling kompetitif dan memerlukan mutu barangan yang
tertinggi. Demi menjaga kedudukan kompetitifnya, industri
minyak sawit perlu meningkatkan usaha penyelidikan ke atas
pelbagai peringkat pengeluaran dari penanaman hingga ke
hasilan terakhir, baik dalam bentuk barangan makanan atau
bukan-makanan. Ini merupakan usaha yang bukan mudah.
Tetapi sebaliknya ianya juga bukan suatu yang mustahil.
Ianya memerlukan pelaburan diparas yang lebih tinggi
khususnya ke atas sumber tenaga manusia supaya industri
minyak sawit mempunyai golongan kakitangan yang terlatih dan
para saintis yang mahir untuk membuat perancangan serta
berkebolehan menyelesaikan masalah di beberapa peringkat
peredaran pengeluaran dan pemasaran.
13. Oleh kerana masalah kekurangan pekerja di
ladang-ladang, salah satu keperluan penting sektor
perladangan ialah penggunaan jentera bagi kegiatan-kegiatan
yang banyak memerlukan tenaga manusia. Usaha mekanisasi
ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah tenaga buruh,
tetapi juga selanjutnya meningkatkan kadar produktiviti.
Ini merupakan masalah genting yang perlu diatasi oleh
industri minyak sawit supaya sentiasa sihat, cergas dan
sedia bersaing.
14. Kerajaan akan memainkan peranannya bagi menjalinkan
suasana dagangan yang 'conducive' dan menggalakkan agar
proses peralihan ekonomi ke arah perindustrian akan terus
berkembang. Ini perlu untuk membolehkan ekonomi negara
terus maju. Pembangunan yang berasaskan pertanian dan
komoditi utama adalah pada hakikatnya tidak stabil dan
terdedah kepada manipulasi pasaran. Menyedari hakikat ini,
Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk terus melaksanakan
proses perindustrian dengan tujuan untuk menambah nilai
kepada bahan-bahan mentah keluaran negara supaya dapat
mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan harga
komoditi.
15. Ekonomi Malaysia adalah sebahagian daripada ekonomi
Rantau Pinggiran Pasifik, yang telah dikenalpasti sebagai
kawasan perkembangan ekonomi yang pesat bagi tempoh abad ke
dua puluh satu. Prospek yang dinamik ini merupakan bukan
sahaja suatu rahmat tetapi juga satu cabaran. Cabaran ini
mesti dihadapi dengan bijak dan tabah hati. Sebagai negara
yang membangun, kita tidak boleh berlagak sebagai negara
maju. Kita harus menggunakan 'comparative advantage' kita,
terutama kos rendah kita, tanpa dipengaruhi oleh hasutan
daripada pihak yang bersaing dengan kita yang ingin melihat
kos kita meningkat.
16. Penyertaan Procter & Gamble dalam projek usahasama ini
sudah tentu akan menghasilkan pemindahan teknologi
pemerosesan yang lebih canggih ke Malaysia dan memberi
sumbangan daripada segi latihan kepada penduduk tempatan.
Adalah diharapkan ianya juga akan dapat menambahkan minat
penanaman pelaburan dan menggalakkan banyak lagi pelabur
dari Amerika Syarikat dan syarikat gergasi antarabangsa
untuk mengambil peluang yang sedia ada di Malaysia, bukan
sahaja dalam sektor oleokimia tetapi juga di bidang
perusahaan lain.
17. Saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan setinggi tahniah kepada Procter & Gamble dan
Felda di atas kegigihan mereka. Saya yakin bahawa dengan
teknologi dan kemahiran pemasaran Procter & Gamble serta
bekalan daripada sumber Felda, usahasama ini akan mendapat
kejayaan dan membuka peluang untuk menerokai
aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar di masa depan.
18. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kilang
FPG Oleochemicals Sdn Bhd.
|