Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29/05/93
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG
TAHUNAN PARTI GERAKAN YANG KE-22
Saya mengucapkan terima kasih kepada Parti Gerakan
kerana telah menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung
Parti Gerakan yang ke-22 pada pagi ini. Penghormatan yang
diberikan kepada saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional
oleh majlis ini amatlah bermakna daripada segi perpaduan
parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.
2. Selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) saya berasa
bangga melihat Parti Gerakan berjaya memenuhi
tanggungjawabnya sebagai anggota komponen Barisan Nasional.
Persaingan di antara Gerakan dengan MCA sudah dapat diatasi
dengan baik tanpa menjejaskan identiti masing-masing.
Parti Gerakan juga telah membuktikan keupayaannya memainkan
peranan yang positif dalam usaha Kerajaan mengatasi masalah
perkauman.
3. Kejayaan Parti Gerakan ini adalah disebabkan oleh
sokongan padu dan kerjasama anggota-anggota berbilang
kaumnya yang penuh dedikasi dan komited kepada perjuangan
parti. Anggota- anggotanya sungguh berdisiplin, bersemangat
tinggi dan berjuang untuk kesejahteraan, kemajuan,
kemakmuran dan keamanan rakyat dan negara.
4. Pemimpin-pemimpinnya yang diketuai oleh Presidennya
yang terkenal sebagai pejuang alam sekitar dan minyak
kelapa sawit, telah menunjukkan kualiti kepimpinan yang
tinggi dan penuh bertanggungjawab. Mereka jelas tidak
mementingkan diri sendiri dan sebaliknya berdedikasi dan
bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas yang diamanahkan
oleh rakyat kepada mereka. Mereka juga berani menghadapi
cabaran dan berpegang kepada kebenaran walaupun dijadikan
isu oleh parti lawan. Hendaknya keadaan ini akan berterusan
malah seboleh-bolehnya dimantapkan lagi supaya sistem
kerjasama dan tolak-ansur Barisan Nasional akan terus
berhasil.
5. Anggota-anggota parti dalam gabungan Barisan Nasional
hendaklah sentiasa peka dan sedar akan perkembangan yang
berlaku di luar parti mereka. Ini amat penting agar
perjuangan mereka selari dengan aliran atau arah matlamat
Barisan Nasional. Sekiranya mereka tidak mengikuti
perkembangan di luar parti, dan mengambilkira juga
kepentingan parti komponen lain, saya khuatir mereka akan
mula berpendirian sempit dan menjejaskan kewibawaan Barisan
Nasional.
6. Dalam hal ini, anggota-anggota parti hendaklah juga
memastikan bahawa mereka mempunyai pemimpin-pemimpin yang
berfikiran luas dan terbuka, berwawasan dan dapat memahami
'constraints' yang terdapat dalam negara majmuk ini. Kita
tidak mahu adanya pemimpin-pemimpin yang hanya mengutamakan
'popularity' dirinya dalam parti sahaja. Pemimpin tidak
harus menurut kehendak pengikut semata-mata tetapi hendaklah
memimpin dan memberi tunjuk-ajar kepada pengikut.
7. Semenjak tahun 1990, sudah dua parti komponen Barisan
Nasional berpaling tadah. Parti Bersatu Sabah (PBS) dan
USNO, kedua-duanya dari Sabah telah meninggalkan Barisan
Nasional semata-mata kerana pemimpin mereka mahu sesuatu
bagi diri sendiri. Untuk ini, mereka sanggup 'menikam kita
dari belakang'. Dan dua peristiwa ini membawa beberapa
petunjuk atau pengajaran kepada kita.
8. Parti-parti yang keluar daripada Barisan Nasional jelas
menunjukkan mereka tidak mempunyai pendirian. Mereka tidak
berpegang kepada konsep Barisan Nasional dan matlamat serta
perjuangannya untuk negara. Mereka hanya mengutamakan apa
yang pemimpin mereka boleh dapat daripada Barisan Nasional
tanpa mengambil berat akan sumbangan mereka kepada Barisan
Nasional dan negara. Kehadiran mereka dalam Barisan
Nasional hanya melemahkan Barisan Nasional dan menyebabkan
parti-parti komponen terpaksa memandang ke belakang semasa
menghadapi musuh. Barisan Nasional tidak boleh pasti bila
akan diserang dari belakang oleh mereka. Pemergian mereka
adalah satu 'blessing' yang jelas.
9. Hari ini konsep Barisan Nasional sudahpun diakui di
luar negara sebagai satu konsep kerjasama antara kaum yang
baik. Hari ini, ramai yang datang dari negara-negara lain
untuk mempelajari konsep Barisan Nasional. Antara yang
datang adalah ahli-ahli akademik dari negara-negara
demokratik Barat. Semua mereka kagum dengan kejayaan
Barisan Nasional bukan sahaja setakat mewujudkan keamanan
dan kestabilan politik tetapi juga membangunkan negara
dengan pesat.
10. Semua mereka tahu apa yang sedang berlaku di negara-
negara berbilang kaum di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika.
Rusuhan, penindasan dan bunuh membunuh berlaku di hampir
semua negara ini. Contoh yang terburuk sekali ialah Bosnia-
Herzegovina, di mana pihak Serb telah, sedang dan akan terus
melakukan 'ethnic cleansing', satu jenis 'genocide' yang
lebih dahsyat daripada 'holocaust'.
11. Sebaliknya di Malaysia di mana terdapat bukan sahaja
perbezaan kaum di kalangan penduduk dan warganegaranya
tetapi juga perbezaan budaya, bahasa, tempat tinggal,
pencapaian ekonomi dan yang besar sekali ialah perbezaan
agama, namun keamanan, kestabilan politik, kemajuan sosial
dan ekonomi wujud. Jikalau kita kata ini adalah hasil dasar
dan pendekatan Barisan Nasional, kita bukan memuji diri
tetapi ia hanyalah satu kebenaran.
12. Apakah yang akan berlaku dalam negara ini jika
parti-parti lawan yang ada sekarang ini memerintah? Kita
mempunyai contoh yang jelas di Kelantan dan di Sabah.
Ketegangan politik melanda negeri-negeri ini dan ekonomi
mereka tidak berkembang. Perhubungan antara kaum tidak
baik. Jika tidak kerana Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam
perkara keselamatan, huru-hara mungkin sudah berlaku. Parti
pembangkang lain yang belum pernah mendirikan Kerajaan sudah
pun menunjukkan belangnya dengan pengurusan parti mereka.
Tidak ada demokrasi dan tidak ada pertukaran pucuk pimpinan
yang dibenarkan. Dan dasar mereka memang memihak kepada
satu kaum sahaja dan mereka sering memainkan isu perkauman
yang sempit. Di samping itu, mereka sering bersubahat
dengan orang asing di luar negeri untuk mengecam negara
sendiri. Jika parti ini berkuasa, keamanan dan kemajuan
ekonomi yang terdapat sekarang tetap akan rosak.
13. Sebaliknya di bawah pemerintahan Barisan Nasional
negara stabil, aman dan maju. Pengkritik-pengkritik dasar-
dasar Kerajaan Barisan Nasional dan negara ini, dari dalam
dan luar negeri, sukar untuk membuktikan kebenaran tuduhan
mereka sekarang. Segala pendekatan dan dasar Kerajaan
Barisan Nasional telah mencapai kejayaan yang jelas.
14. Barisan Nasional bukan sahaja mendokong dan mengamalkan
demokrasi dalam urusan pemerintahan negara tetapi juga
setiap parti dalam Barisan Nasional mengamalkan demokrasi
dalam parti. Kepimpinan parti-parti Barisan Nasional
bertukar ganti tetapi prinsip perjuangan mereka kekal dan
dipegang oleh kepimpinan lama dan baru.
15. Di sini ingin saya tegaskan bahawa ideologi bukan untuk
ideologi, dan demokrasi bukan untuk demokrasi. Ideologi dan
demokrasi adalah untuk kebaikan pengikutnya. Apabila
ideologi dijadikan 'agama' dan diamalkan tanpa mengambilkira
hasilnya maka ideologi akan membawa keburukan. Sebabnya
ialah ideologi adalah ciptaan manusia dan tidak 'perfect',
bahkan penuh kelemahan.
16. Ideologi komunis ada mempunyai asas, prinsip dan
matlamat yang baik iaitu untuk menghapuskan penindasan
golongan yang berada ke atas golongan pekerja yang miskin,
menyamakan semua warganegara dan membahagikan kekayaan
secara sama rata. Tetapi dalam usaha mencapai matlamat ini,
pemerintahan komunis telah melakukan pembunuhan rakyat
beramai-ramai, menyalahguna kuasa, menjadikan semua rakyat
sama miskin dan bukan sama kaya, memerintah secara diktator
yang kejam, menghasut dan mengintip semua rakyat. Hasilnya
masih juga tidak ada persamaan tetapi kemiskinan terus
ketara. Selama 70 tahun berlalu sebelum komunis sedar
bahawa ideologi mereka tidak membawa kebahagiaan kepada
rakyat atau negara.
17. Sekarang ini Barat ingin menjadikan demokrasi ala-Barat
sebagai satu agama yang mesti diamalkan walau apapun
terjadi. Keruntuhan Empayar Soviet Rusia memanglah satu
hasil demokrasi yang dunia alu-alukan. Tetapi di samping
itu, berlaku peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di
Azerbaijan, Georgia, Belarus, Ukraine, Tajikistan dan juga
di Eropah Timur, termasuklah `genocide' di Yugoslavia.
Rusia sendiri menjadi tidak stabil, lemah dan miskin hasil
daripada demokrasi dengan sistem pasaran terbukanya.
18. Di Barat sendiri, demokrasi yang keterlaluan telah
membawa keruntuhan akhlak yang ketara dengan dadah,
homoseks, 'single parents' dan ekonomi yang merosot kerana
etika kerja yang buruk. Tetapi mereka bukan sahaja terus
mengamalkan demokrasi mereka bahkan juga cuba memaksa orang
lain menerima dan mengamalkan segala tabiat buruk dan nilai-
nilai mereka kerana kononnya ia adalah demokratik dan tidak
boleh dipersoalkan.
19. Kita menerima demokrasi tetapi kita perlu berhati-hati
supaya tidak keterlaluan sehingga merosakkan kita.
Kebebasan yang tidak terhad adalah merbahaya. Dalam
masyarakat kita yang berbilang kaum, rusuhan mudah berlaku
jika kita dengan bebas menghasut kaum, menunjuk perasaan di
jalan-jalan, bermogok
sepanjang masa dan melakukan perkara-perkara lain yang
kononnya menjadi hak rakyat negara demokratik.
20. Demikian juga dalam parti. Jika kita bertanding hanya
kerana dibenarkan bertanding ataupun kita berkempen dengan
menggunakan cara yang buruk dan wang sogokan, jika kita
sengaja memburukkan calon, hasilnya bukan kejayaan bagi
parti tetapi perpecahan yang boleh membawa kehancuran.
Inilah yang berlaku kepada UMNO pada tahun 1987. Demokrasi
ibarat pisau yang tajam, jika digunakan dengan baik boleh
mengukir sesuatu yang cantik, tetapi pisau itu juga boleh
membunuh. Oleh itu, berhati-hatilah dalam mengamalkan
demokrasi, baik dalam parti atau dalam negara.
21. Pengamal demokrasi di Barat juga sebenarnya tidak
begitu demokratik. Sementara mereka mengecam negara-negara
membangun kerana tidak demokratik tetapi dalam arena
antarabangsa dan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mereka
tidak sanggup menerima kedaulatan suara ramai. Di dalam
negara mereka juga diskriminasi berlaku terhadap kaum
minoriti dan yang kulit berwarna. Akhbar mereka semua berat
sebelah dan tidak memberi kebebasan bersuara kepada orang
yang mereka tidak sukai. Malaysia hampir tidak pernah
mendapat tempat dalam ruang akhbar mereka, melainkan jika
ada berita yang memburukkan kita.
22. Dalam Barisan Nasional kita demokratik. Kita memberi
perwakilan yang sama banyak dalam Majlis Tertinggi Barisan
Nasional. Ini adalah untuk menentukan kepentingan parti
yang kecil mendapat perhatian yang sama dengan parti yang
besar. Di samping itu, ia juga untuk menentukan tidak ada
parti yang terlalu besar sehingga boleh memerintah sendiri.
Sokongan parti- parti kecil dalam Barisan Nasional tetap
penting. Tetapi oleh kerana majoriti dalam Kerajaan besar
dan lebih daripada dua pertiga, parti kecil tidak boleh
mengugut untuk keluar dan menjatuhkan Kerajaan seperti yang
boleh berlaku dalam kerajaan- kerajaan campuran di negara-
negara lain. Inilah 'check and balance' kita, supaya tidak
ada sesiapa boleh menidakkan suara ramai. Sebaliknya jika
kita mempunyai sistem dua parti yang hampir sama kuat
seperti terdapat di beberapa negara Barat, pemerintahan yang
kuat tidak boleh diadakan. Sebenarnya masalah yang dihadapi
oleh semua negara Eropah dan Amerika Utara sekarang berpunca
daripada cara mereka mengamalkan demokrasi.
23. Di sebaliknya, amalan demokrasi di Rusia, di bekas-
bekas negara Soviet Union dan di Eropah Timur hanya membawa
perpecahan, rusuhan, peperangan kaum, penindasan, kelemahan,
kerosakan ekonomi dan bermacam-macam lagi malapetaka.
Demokrasi dengan sendirinya tidak boleh membawa keamanan dan
kemakmuran. Bagi bangsa-bangsa dan negara-negara yang tidak
tahu loghat dan cara- cara demokrasi, amalannya tetap akan
membawa keburukan. Sebaliknya di China dan Vietnam,
pemerintahan 'authoritarian' dikekalkan sementara reformasi
ekonomi dilaksanakan. Mereka ini lebih berjaya. Walaupun
rakyat mereka belum bebas tetapi mereka lebih makmur. Saya
yakin apabila sudah makmur, mereka akan menuntut kebebasan
yang lebih. Cara ini lebih selamat daripada cara yang cuba
diamalkan oleh Rusia. Apa yang jelas ialah pihak Barat
mendapat dividen yang besar daripada percubaan demokrasi
oleh blok Timur. Hari ini blok Timur hancur dan lemah dan
terpaksa meminta-minta pertolongan Barat. Inilah yang
dikehendaki oleh Barat, bukan demokrasi, bukan pasaran bebas
dan bukan 'human rights'. Jika pemerintahan kuku besi
diamalkan oleh negara yang menyokong Barat, ini tidak
mengapa. Mereka terus mempertahankan kawan mereka yang
tidak demokratik.
24. Semua ini perlu disedari dan difahami oleh ahli-ahli
politik dan rakyat negara ini. Kita tidak boleh terima
demokrasi ala- Barat tanpa mengambilkira kesan buruk
daripadanya.
25. Bersikap fanatik dalam apa-apa bidang pun, tidak akan
membawa kebaikan. Demikian juga dengan fanatik demokrasi.
Pendapat bahawa biarlah negara hancur dan rakyat menderita
asalkan ianya kerana demokrasi adalah bodoh. Demokrasi
adalah untuk kebahagiaan masyarakat dan bukannya masyarakat
adalah untuk keperluan demokrasi. `Democracy is meant to
serve society and not society to serve democracy'.
26. Mereka dari Barat yang mudah mengkritik orang lain
kerana kononnya tidak demokratik, sebenarnya mereka
sendirilah yang tidak demokratik. Di negara mereka,
diskriminasi berlaku terhadap orang yang bukan sebangsa atau
seagama dengan mereka. Mereka ini dikawal dalam 'ghettoes',
ditindas, dipukul dan dibunuh, tidak diberi hak, tidak dapat
menguasai media, diletak di bawah telunjuk kulit putih
sepanjang masa dan tidak mendapat keadilan daripada
mahkamah. Tekanan terhadap negara-negara bukan kulit putih
supaya mereka demokratik adalah sebahagian daripada
manifestasi otokratik mereka dari Barat ini. Mereka
berpendapat oleh kerana mereka berkulit putih, maka apa yang
mereka buat adalah demokratik. Justeru itu mereka tidak
begitu tegas dalam melawan apartheid. Sekarang ini
kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh tentera Serb-
Bosnia ke atas orang Islam-Bosnia di Bosnia-Herzegovina
bukan sahaja diterima tetapi dihalalkan oleh mereka. Dan
orang seperti ini dengan angkuhnya mengatakan bahawa kita
tidak demokratik.
27. Janganlah kita mudah tergoda dengan Barat. Kita harus
demokratik tetapi tidak sehingga menjadi hamba kepada
demokrasi. Dalam parti kita, demokrasi penting tetapi jika
parti kita akan hancur dan negara kita menghadapi huru-hara
kerana amalan-amalan tertentu yang kononnya demokratik, kita
mestilah memilih parti dan negara. Tanpa parti dan negara
demokrasi tidak bermakna. Kita bernasib baik kerana amalan
demokrasi di Malaysia tidak membawa malapetaka seperti di
Soviet Union dan Eropah Timur.
28. Yang penting sekali dalam demokrasi ialah kita boleh
menukar Kerajaan atau pemimpin tanpa menimbulkan apa-apa
bencana seperti rusuhan. Dan ini dapat kita lakukan di
negara kita.
29. Yang lain adalah 'icing' kepada kek demokrasi. Di
Malaysia kita mempunyai banyak 'icing' ini kerana kita tahu
mengawal nafsu dan sedar akan apa yang baik bagi negara
kita. Tetapi kita tidak perlu kepada jenis kebebasan yang
keterlaluan yang telah mewujudkan masyarakat yang biadap di
Barat.
30. Saya mengucapkan tahniah kepada parti-parti komponen
Barisan Nasional yang semuanya berupaya mengamalkan
demokrasi yang waras. Selagi kita dapat berbuat demikian,
akan terselamatlah negara kita.
31. Saya berharap Parti Gerakan akan selalu demokratik dan
kukuh. Pilih dan tukarlah pemimpin jika perlu tetapi
jagalah Parti. Kekuatan Barisan Nasional bergantung kepada
kekuatan parti komponennya. Dengan memelihara parti dengan
baik, saudara- saudari juga memelihara Barisan Nasional dan
negara.
32. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Mesyuarat Agung Parti Gerakan yang ke-22 ini.
|