Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02/06/93
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA
PELANCARAN PERAYAAN JUBLI
PERAK BERNAMA
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan
BERNAMA kerana menjemput saya dan isteri saya ke Majlis
Makan Malam sempena pelancaran perayaan Jubli Perak BERNAMA.
Saya dimaklumkan bahawa majlis malam ini merupakan
sebahagian daripada pelbagai acara yang disusun oleh
Pengurusan dan Kelab Keluarga BERNAMA sehingga penghujung
tahun ini, bagi mengingati Ulangtahun Ke-25 Pertubuhan
Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA.
2. Tempoh 25 tahun itu sesungguhnya satu tempoh yang agak
panjang juga. Kalau diibaratkan sebagai seorang manusia,
pada usia sedemikian ia merupakan seorang belia yang serba
bertenaga dan bersemangat perjuangan yang berkobar-kobar.
Saya berharap tenaga dan semangat BERNAMA juga tidak kurang
daripada belia berumur 25 tahun.
3. BERNAMA memulakan perkhidmatannya pada 20 Mei, 1968
sebagai sebuah agensi berita kebangsaan yang ditubuhkan
melalui satu Akta yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia.
Dengan hanya bermula secara kecil-kecilan, dengan tumpuan
liputannya berkisar di sekitar Kuala Lumpur, agensi ini kini
telah berjaya menubuhkan Pejabat-Pejabat Bironya bukan
sahaja di semua Ibu Negeri di seluruh negara tetapi juga di
beberapa buah bandar penting di luar negara. Agensi ini
juga telah mengambil satu langkah yang saya rasa berani dan
tepat pada waktunya apabila pada tahun 1984, ia
mengembangkan lagi sayapnya untuk bergiat dalam bidang-
bidang yang pada ketika itu masih dianggap asing bagi
sesebuah agensi berita, terutama di negara-negara membangun.
4. Pengurusan BERNAMA pada waktu itu telah mempelbagaikan
kegiatan agensi ini bagi mencakupi kegiatan-kegiatan yang
bukan 'conventional' seperti pembekalan maklumat tepat masa,
data-data kewangan dan profil syarikat. Berikutan dengan
langkah tersebut yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada
Kerajaan, Akta BERNAMA telah dipinda yang secara langsung
merombak sifatnya daripada sebuah agensi yang hanya bergiat
dalam pemungutan dan penyebaran berita kepada sebuah agensi
berita dan maklumat yang terlibat dalam pengumpulan dan
penyebaran berita serta pelbagai bentuk maklumat.
5. Usaha ini telah mula mendatangkan hasil semenjak
beberapa tahun kebelakangan ini. Kalau pada mula ditubuhkan
BERNAMA terpaksa bergantung 100 peratus kepada Kerajaan
untuk menampung biaya mengurusnya, pergantungan itu secara
sedikit demi sedikit telah mula berkurangan. Kerajaan
memang sengaja mengurangkan peruntukannya kepada BERNAMA
secara berperingkat-peringkat untuk membolehkan agensi ini
berusaha sendiri menampung keperluan kewangannya. Saya
sukacita mendapati BERNAMA telah berjaya menyahut cabaran
ini. Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, agensi ini telah
berjaya menunjukkan prestasi kewangan yang menggalakkan
setelah terus menerus mengalami kerugian pada tahun-tahun
sebelumnya.
6. Mulai tahun 1990 agensi ini berjaya dipulihkan (turned
around) dengan mencatatkan sedikit 'surplus' setelah
mengalami kerugian pada tahun-tahun sebelumnya. Saya
diberitahu bahawa buat pertama kalinya pada tahun lepas,
defisit terkumpul BERNAMA sebanyak RM9.5 juta bukan sahaja
dapat dihapuskan, malah mencatatkan 'surplus' sebanyak RM3.1
juta. Sesungguhnya, ini merupakan satu prestasi yang
membanggakan. Saya lebih gembira lagi mendapat tahu bahawa
pergantungan BERNAMA kepada Kerajaan daripada segi kewangan
kini kurang daripada 15 peratus setahun.
7. Saya mengucapkan tahniah kepada Pengurusan dan
kakitangan BERNAMA atas kejayaan tersebut. Bagi pihak
Kerajaan, saya ingin menyatakan di sini bahawa kita akan
terus mengurangkan elemen subsidi ini kepada BERNAMA pada
tahun-tahun akan datang. Ini bukan merupakan satu langkah
yang aneh. Ia sebenarnya selaras dengan dasar Kerajaan yang
dilaksanakan semenjak beberapa tahun yang lalu bagi
menggalakkan agensi-agensi Kerajaan, termasuk jabatan-
jabatan Kerajaan, untuk mengambil apa-apa juga langkah bagi
menambahkan sumber kewangan masing-masing.
8. Dalam hubungan ini, BERNAMA tidak harus mudah leka
dengan kejayaannya setakat ini. Sebaliknya, ia harus terus
berusaha untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sehingga
menjadi sebuah agensi berita dan maklumat yang terunggul di
negara ini. Saya dimaklumkan bahawa di samping BERNAMA,
terdapat beberapa buah syarikat tempatan lagi yang juga
terlibat dalam perniagaan maklumat seperti BERNAMA.
Syarikat-syarikat ini telah berusaha bersungguh-sungguh
untuk menyaingi BERNAMA dalam pasaran maklumat tempatan.
9. Potensi dalam bidang ini adalah amat luas dan terus
berkembang selaras dengan perkembangan ekonomi negara. Ini
bertepatan dengan andaian bahawa industri maklumat adalah
industri masa depan. Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa
BERNAMA kini menguasai cuma sebahagian kecil daripada
industri maklumat negara yang dianggarkan bernilai puluhan
juta ringgit setahun. Sebahagian besar daripada pasaran
maklumat dalam negara masih lagi dikuasai oleh agensi-agensi
asing. Orang sering berkata bahawa maklumat itu kuasa.
Sambungan daripada natijah ini ialah orang yang menguasai
maklumat itu sebenarnya memegang kuasa. Kuasa ini mungkin
lebih besar daripada kuasa yang ada pada ahli-ahli politik.
Kalau kuasa yang ada pada ahli-ahli politik boleh
disalahgunakan, kuasa yang ada pada syarikat-syarikat
maklumat juga boleh disalahgunakan. Bayangkanlah apa yang
akan terjadi kepada negara dan masyarakat sekiranya ini
berlaku.
10. Sebaliknya, jika maklumat itu digunakan secara
bijaksana dan disebarkan kepada rakyat secara tepat,
objektif dan meluas, ia boleh membantu melahirkan masyarakat
bermaklumat. Satu-satu masyarakat yang kaya dengan maklumat
dan pandai menggunakannya akan menjadi masyarakat yang maju.
11. Satu-satunya cara yang mungkin BERNAMA boleh fikirkan
untuk mengkukuhkan lagi kedudukannya ialah dengan menjalin
satu bentuk kerjasama yang lebih berkekalan dengan agensi-
agensi yang lebih 'established', khususnya agensi-agensi di
Asia Timur. Saya yakin adunan kepakaran yang ada pada
BERNAMA dengan pengalaman serta teknologi terkini yang
dikuasai oleh agensi-agensi yang lebih 'established' ini
akan berjaya menghadapi apa juga bentuk saingan yang
dijangka dihadapi pada tahun-tahun akan datang. Di samping
itu, usaha meluaskan 'income base', pengenalan produk-produk
baru, peningkatan taraf dan mutu produk-produk yang sedia
ada serta pengurangan kos yang dijalankan sekarang juga
harus diteruskan. Ini penting bukan sahaja untuk
mengekalkan prestasi kewangan yang baik sekarang tetapi juga
untuk meningkatkannya lagi.
12. Apa juga pendekatan yang akan diambil oleh BERNAMA
dalam tahun-tahun akan datang tidak seharusnya mengabaikan
fungsi asalnya yang termaktub dalam Akta penubuhannya --
iaitu mengumpul dan menyebarkan berita. Tanpa tugas
'conventional' ini, BERNAMA tidak akan wujud di negara ini.
Malangnya kegiatan 'editorial' ini, sama seperti lain-lain
tanggungjawab sosial yang dijalankan oleh mana-mana juga
organisasi, merupakan satu-satunya kegiatan yang tidak
mungkin mendatangkan keuntungan. Di samping kos yang
meningkat tahun demi tahun, BERNAMA juga menghadapi masalah
untuk menaikkan yuran langganan di kalangan pertubuhan-
pertubuhan media tempatan.
13. Akibatnya, sebahagian besar daripada keuntungan yang
diperolehi daripada kegiatan penjualan maklumat kepada para
pelanggan bukan media terpaksa digunakan sebagai subsidi
untuk para pelanggan media. Dalam hubungan ini,
pertubuhan-pertubuhan media di negara ini, termasuk media
elektronik dan cetak perlu memikirkan cara yang lebih sesuai
untuk membantu BERNAMA menjalankan tanggungjawab sosial ini
secara yang lebih berkesan.
14. Jabatan-jabatan Kerajaan termasuk di peringkat negeri
serta Kerajaan-kerajaan negeri sendiri mungkin boleh juga
membantu dengan berlanggan kepada perkhidmatan berita
BERNAMA. BERNAMA boleh mengenakan bayaran terhadap
perkhidmatan yang dibekalkan kepada Kerajaan, termasuk
perkhidmatan sosial yang saya katakan tadi.
15. Kerajaan yakin bahawa BERNAMA boleh memainkan peranan
ke arah mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang
bermaklumat menjelang tahun 2020. Lebih banyak maklumat
yang dikuasai oleh satu-satu masyarakat, maka akan menjadi
lebih majulah masyarakat tersebut. Ini bermakna rakyat
Malaysia harus didedahkan kepada pelbagai maklumat yang
canggih untuk menjadikan mereka 'a well-informed society'.
16. Dunia kewartawanan hari ini telah banyak berubah jika
dibandingkan dengan kewartawanan yang kita kenal pada tahun-
tahun menjelang kemerdekaan atau selepas kemerdekaan dulu.
Hari ini, kita bukan sahaja berusaha mengisi kemerdekaan
tetapi juga meningkatkan lagi isi dan mutu kemerdekaan itu.
Usaha ini bukanlah merupakan satu usaha yang mudah.
Daripada segi citarasa pembaca atau 'audience' sendiri,
ianya telah banyak berubah. Mereka kini lebih terpelajar,
canggih dan lebih kritikal daripada, misalnya, keadaan 25
tahun yang lalu, akibat pembangunan sosial dan ekonomi dan
peningkatan taraf serta kualiti hidup. Kecuali kita mengubah
sikap dan pendekatan kita, kita mungkin akan ditinggalkan
oleh arus perubahan itu sendiri.
17. Kalau dulu para pembaca mungkin berpuas hati membaca
perkara-perkara yang asas dalam akhbar-akhbar kita, hari
ini mereka tidak boleh dipuaskan semudah itu. Kalau dulu
orang cuma ingin tahu tentang sesuatu yang berlaku,
hari ini mereka bukan sahaja mahu tahu apa yang berlaku
tetapi juga kenapa perkara itu berlaku. Isu-isu yang
dibincangkan dalam akhbar-akhbar juga kini sudah menjadi
terlalu sofistikated. Dulu mungkin kita tidak pernah dengar
tentang 'merger' atau 'takeover', atau turun naik saham di
bursa-bursa saham tempatan dan luar negara. Tetapi hari ini
perkara-perkara sedemikian menjadi topik perbualan di kedai-
kedai kopi dan warung. Kalau mereka berbual mengenai
politik, mereka tidak lagi memperkatakan perkara-perkara
asas. Sebaliknya mereka berbincang mengenai 'intricacies of
politics', tentang sama ada orang ini akan lawan orang itu
dalam pemilihan UMNO November ini, tentang sama ada dakwaan
pemimpin ini tidak akan lawan pemimpin itu boleh dipercayai
dan bermacam-macam lagi.
18. Rakan-rakan saya dalam Kabinet sering mengadu bahawa
mereka mengesyaki kebanyakan wartawan, terutama yang muda-
muda, yang menemuramah mereka tidak membuat `homework'. Ini
berdasarkan kepada soalan-soalan yang dikemukakan serta
maklumat latar belakang mereka. Saya berpendapat sekiranya
kita ingin menjalankan tugas kita secara yang lebih
berkesan, kita harus menjadikan diri kita lebih canggih
daripada pembaca kita.
19. Ini boleh kita lakukan dengan lebih banyak membaca,
menghadiri kursus atau seminar atau berusaha mendapatkan
kelulusan yang lebih tinggi. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa tahun-tahun yang akan datang merupakan tahun-tahun
yang serba mencabar bagi tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Cabaran ini akan terus meningkat selaras dengan peranan yang
diperlukan dalam usaha pembangunan negara.
20. Bagi Kerajaan, usaha akan terus diambil untuk memudah
dan meluaskan lagi penyebaran maklumat kepada rakyat.
Seperti yang sedia dimaklumi, tidak lama lagi sebuah lagi
stesen TV swasta akan muncul di negara ini.
21. Kerajaan juga telah memutuskan untuk menjadikan Kuala
Lumpur sebagai Pusat Media dan Maklumat bagi rantau ini.
Pelbagai persediaan telah dibuat kearah itu. Beberapa telah
syor dirumuskan oleh sebuah Jawatankuasa Pelbagai Jabatan
bagi memudahkan lagi urusan keluar masuk dan operasi
wartawan-wartawan asing di negara ini. Kerajaan akan
mengkaji perakuan-perakuan ini dan sekiranya didapati sesuai
,ia akan melaksanakannya demi kebaikan bersama.
22. Sekali lagi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
tahniah kepada BERNAMA sempena Perayaan Jubli Perak ini.
Saya mendoakan semoga BERNAMA akan terus maju jaya dalam
menghadapi cabaran-cabaran di masa hadapan.
23. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan
Perayaan Jubli Perak BERNAMA.
Terima kasih.
|