Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANK NEGARA MALAYSIA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/06/93
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Kefahaman
Islam Malaysia dan Kementerian Kehakiman Malaysia kerana
menjemput saya untuk merasmikan Persidangan 'Islam dan
Keadilan' pada hari ini.
2. Semenjak beberapa abad selepas keruntuhan empayar
Islam, dunia telah dikuasai oleh negara-negara Barat yang
bukan Islam. Mereka bukan sahaja berjaya menakluki hampir
semua wilayah di dunia tetapi juga dapat menakluki fikiran
dan menyemaikan nilai-nilai hidup dan falsafah mereka.
Konsep dan prinsip-prinsip keadilan mereka telah disebarkan
sehingga dunia tertaksub dengannya dan tidak lagi menyoal
akan baik-buruknya konsep dan prinsip-prinsip itu.
3. Di masa yang sama, negara-negara Barat ini menjadi kuat
daripada segi ketenteraan dan ekonomi, dan menguasai
berbagai-bagai ilmu, termasuk teknologi maklumat, yang mana
semua ini membolehkan mereka menekan mana-mana pihak yang
mencabar atau menentang prinsip dan nilai-nilai yang mereka
sebarkan.
4. Demikianlah dengan konsep keadilan. Mereka bercakap
tentang 'the rule of law' atau pemerintahan berasaskan
undang-undang, hak kemanusiaan dan demokrasi atau kuasa
suara ramai, tanpa mengambilkira bahawa ada undang-undang
ciptaan manusia yang tidak adil, ada hak manusia yang
keterlaluan dan ada suara ramai yang tidak waras. Demikian
undang-undang Barat terlalu mengutamakan hak individu
sehingga individu boleh membuat apa sahaja walaupun
perbuatannya mengancam ketenteraman dan keselamatan
masyarakat.
5. Undang-undang antarabangsa pula dibentuk supaya memberi
hak kepada yang kuat menindas yang lemah. Demikian juga
dengan hak kemanusiaan yang dijunjung begitu tinggi sehingga
kegiatan kumpulan-kumpulan yang menggunakan kebebasan
demokrasi untuk mengancam dan mengugut masyarakat sehingga
tidak aman dan maju diberi perlindungan. Demokrasi atau
suara ramai seperti di kalangan orang Serb di Bosnia
dihormati walaupun tujuannya adalah untuk menindas orang
Islam Bosnia. Walaupun jelas demokrasi membawa perpecahan,
keruntuhan 'rule of law', penindasan, kekejaman dan
kemiskinan yang menyeluruh seperti yang berlaku di beberapa
bekas negara Soviet dan Eropah Timur, namun demokrasi
dijunjung tinggi.
6. Di waktu yang sama, Barat tidak segan-silu
membelakangkan prinsip-prinsip keadilan mereka sendiri jika
perbuatan ini perlu bagi kepentingan mereka. Di Asia Barat,
mereka kononnya bertindak untuk melindungi orang Kuwait
daripada kezaliman Iraq. Kononnya mereka bertindak kerana
berpegang kepada prinsip kemanusiaan dan keadilan. Tetapi
apabila keganasan orang Serb ke atas orang Islam Bosnia
jelas berlaku, mereka memberi seribu alasan kenapa mereka
tidak bertindak melawan orang Serb. Sebenarnya mereka
bertindak di Kuwait kerana ingin melindungi sumber minyak
mereka. Oleh kerana tidak ada apa-apa kepentingan di
Bosnia, mereka sanggup membenarkan orang Serb membunuh,
mengganas dan menindas orang Islam Bosnia.
7. Prinsip sebenar yang dipegang oleh Barat dan sebahagian
besar daripada tamadun dunia sekarang ialah 'Kekuatan adalah
Kebenaran' atau 'Might is Right'. Oleh kerana kuasa-kuasa
Barat adalah kuat, maka apa sahaja yang dilakukan oleh
mereka adalah adil. Oleh kerana orang Serb kuat maka
rampasan wilayah Islam oleh mereka dihalalkan. Dan susulan
daripada itu, oleh kerana negara Islam dan orang Islam di
mana-mana sahaja adalah lemah maka segala perbuatan mereka
adalah tidak benar dan tidak adil. Percubaan orang Islam
untuk menegakkan semula konsep keadilan seperti yang
disarankan oleh agama Islam dikecam oleh Barat sebagai
percubaan untuk menegakkan semula cara-cara pemikiran yang
sudah lapuk. Bahayanya ialah dalam kekecewaan dengan
kelemahan dan kegagalan kita, orang Islam akan bertindak
tidak seperti yang diajar oleh agama kita. Kerana kecewa,
kita mungkin mengganas dan melakukan jenayah yang sama
seperti dilakukan oleh musuh kita. Dengan itu maka terbukti
benarlah dakwaan orang Barat. Inilah yang sedang berlaku di
kalangan ekstrimis Islam.
8. Sejarah mempunyai banyak contoh tentang keadilan Islam.
Apabila orang Rom menakluki Palestin, orang Yahudi diusir
sehingga mereka terpaksa menjadi orang buangan di seluruh
dunia, apa yang dikenali sebagai 'the Jewish diaspora'.
Sebaliknya apabila Khalifah Umar Ibn Khattab menakluki
Palestin, orang Kristian dan Yahudi dibenarkan tinggal di
sana. Demikian juga apabila Khalifah Salahuddin Al-Ayubi
menakluki Palestin, orang bukan Islam terselamat. Hari ini
apabila Yahudi dengan bantuan Barat merampas Palestin, orang
Islam ditindas, diusir dan dibunuh hari-hari, termasuk
kanak-kanak.
9. Demikian juga di Sepanyol di mana orang Islam
memerintah selama 800 tahun. Dalam masa itu, orang Yahudi
dan Kristian kekal dengan agama mereka dan tinggal bersama-
sama dengan orang Islam. Tetapi apabila Ferdinand dan
Isabella menakluki semula Sepanyol, orang Islam dan Yahudi
yang tidak melarikan diri ke Afrika dibunuh atau disiksa
sehingga menerima agama Kristian. Sebab itu sementara
selepas 800 tahun orang Islam memerintah, masih terdapat
orang Yahudi dan Kristian di Sepanyol, tetapi apabila
Kristian memerintah tidak ada seorang pun orang Islam yang
tinggal.
10. Di Soviet Union semasa pemerintahan komunis, Islam di
tindas sehingga tidak siapa berani mengakui mereka beragama
Islam. Demikian juga di Albania di zaman
pemerintahan Marxist.
11. Dan sekarang ini kita lihat ketidakadilan yang jelas di
Bosnia. Sebenarnya di hampir seluruh dunia orang Islam
ditindas walaupun dunia mendakwa bahawa pegangan mereka di
zaman ini ialah kepada keadilan dan 'rule of law'.
12. Sebaliknya dalam Islam, agama yang juga merupakan cara
hidup yang lengkap, keadilan adalah perkara utama yang
jelas. Dalam Islam ditegaskan bahawa tujuan utama alam ini
dijadikan adalah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.
Al-Quran telah menegaskan dalam Surah Al-Hijr (15) ayat 85,
maksudnya:
"Dan tidak Kami ciptakan langit, bumi dan segala yang
terdapat antara kedua-duanya, kecuali untuk keadilan"
Begitu juga dengan Surah Ad-Dukhaan (44) ayat 38-39, Allah
Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman yang bermaksud:
"Dan tidak Kami ciptakan langit, bumi dan segala yang
terdapat antara kedua-duanya untuk main-main. Kami
tidak menciptakan kedua-duanya melainkan untuk
keadilan, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui"
Ayat-ayat di atas dengan jelas menyatakan tujuan sebenar
bagi kejadian bumi dan langit ini, bahkan seluruh alam,
ialah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman
atau kejahatan. Dalam Surah Ad-Dukhaan (44), ayat 38-39
yang disebut di atas, Allah sengaja menyatakan yang ciptaan
alam ini tidak dilakukan untuk bermain-main. Alam ini tidak
terjadi dengan begitu sahaja tanpa sebab. Ayat ini
sebenarnya menafikan bahawa kejadian alam ini tidak
bertujuan. Sebaliknya alam ini dijadikan untuk menegakkan
kebenaran dan keadilan.
13. Sekiranya kita menerima hakikat bahawa alam ini dijadi
kan untuk menegakkan keadilan, maka kita sebagai manusia
yang termasuk sebagai salah satu daripada kejadian atau
ciptaan Tuhan, harus juga menegakkan keadilan. Bahkan
negakkan keadilan adalah dikira sebagai salah satu
daripada tugas atau tanggungjawab kita sebagai manusia.
14. Dalam Islam keadilan itu sendiri bermaksud meletakkan
sesuatu pada haknya. Tiga aspek keadilan yang paling
penting dalam konteks ini ialah: Pertama, meletakkan
seseorang pada jawatan atau tugas yang sesuai mengikut
kemampuannya. Kedua, menjatuhkan hukuman atau membuat
keputusan yang paling sesuai mengikut keadaan atau orang
yang menerimanya. Ketiga, meletakkan harta atau kekayaan
kepada orang yang benar-benar berhak memilikinya.
15. Dalam memilih seseorang untuk sebarang jawatan atau
tugas, lebih-lebih lagi jawatan penting seperti hakim, Islam
menentukan supaya orang yang paling layak sahaja
dipertanggungjawabkan dengan tugas atau jawatan sedemikian.
Sekiranya kita melantik orang yang bukan ahli dalam bidang
berkenaan maka kita melakukan dua jenis kezaliman. Pertama,
orang yang dilantik itu sendiri dizalimi kerana dia tidak
akan dapat menyempurnakan tugasnya kerana tidak mempunyai
kepakaran yang diperlukan. Dia akan merasa tertekan, bosan,
tidak yakin kepada dirinya dan tidak berminat melakukan
tugasnya. Kezaliman yang kedua ialah terhadap orang atau
masyarakat yang seharusnya mendapatkan perkhidmatan daripada
penjawat jawatan tadi. Mereka dizalimi kerana perkhidmatan
yang diharapkan itu tidak akan terlaksana.
16. Dalam memilih pemimpin atau seseorang untuk sesuatu
jawatan penting, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang
bermaksud bahawa "melantik seseorang kepada sesuatu jawatan
(penting) sedangkan ada orang lain yang lebih layak untuk
jawatan itu, adalah mengkhianati Allah, mengkhianati
Rasulnya dan orang yang beriman". Ini bermakna bahawa dalam
membuat perlantikan itu, suatu usaha yang rapi harus
dilakukan untuk mencari calon yang paling layak dan sesuai
di kalangan orang yang ada supaya kita tidak berlaku zalim
kepada diri kita sendiri yang melantik, kepada yang dilantik
dan kepada masyarakat yang mengharapkan perkhidmatan yang
paling baik daripada perlantikan itu.
17. Daripada segi menjatuhkan hukum juga, Islam telah
meletakkan berbagai-bagai panduan melalui al-Quran dan
Sunnah Rasulullah s.a.w. supaya segala hukuman yang
dijatuhkan hendaklah adil. Islam menetapkan supaya hakim
itu dipilih daripada kalangan mereka yang paling layak
daripada segi ilmu, kemampuan, kebijaksanaan serta
ketakwaan. Cara yang harus digunakan hendaklah membolehkan
segala maklumat didapatkan, ditapis dan ditimbang sehingga
tidak ada sebarang kecurigaan untuk menjatuhkan hukuman.
Orang yang menjadi saksi juga hendaklah meletakkan keadilan
di atas segala kepentingan lain, walaupun kebenaran yang
disaksikan itu boleh menjejaskan atau merugikan dirinya
sendiri, keluarganya atau sahabatnya.
18. Membuat keputusan, sama ada dalam aspek sosial,
politik, ekonomi mahupun pentadbiran dan pengurusan, juga
hendaklah mencerminkan keadilan. Keputusan yang boleh
membawa keburukan kepada mana-mana pihak adalah keputusan
yang zalim.
19. Keadilan juga dituntut dalam mengagihkan kekayaan dalam
bentuk harta ataupun peluang untuk mengumpulkan harta.
Dalam hal ini, selain daripada pengagihan harta secara
langsung, pengagihan peluang untuk mengumpulkan harta juga
perlu dilakukan dengan adil. Ini termasuklah pengagihan
peluang kepada pendidikan, peluang perniagaan, dan peluang-
peluang lain.
20. Islam menuntut keadilan bukan daripada kalangan
pemimpin atau pemerintah sahaja tetapi di kalangan seluruh
masyarakat asalkan wujud salah satu daripada tiga keadaan di
atas. Dengan itu jika orang ramai diberi hak untuk memilih
pemimpin, mereka hendaklah memilih orang yang layak dan
berkebolehan. Segala rasuah, seperti menuntut sesuatu
bagi diri sendiri atau pihak tertentu sebagai balasan kepada
sokongan yang diberi adalah bertentangan dengan keadilan
dalam Islam.
21. Kepincangan masyarakat di dunia hari ini adalah kerana
masyarakat antarabangsa tidak mengamalkan prinsip keadilan.
Masyarakat antarabangsa begitu zalim terhadap golongan-
golongan yang lemah. Sekali lagi contoh Bosnia boleh
digunakan. Puak Islam yang lemah tidak dibenar mendapatkan
senjata walaupun hanya untuk mempertahankan diri. Pihak
Serb yang sudah kuat dibenar mendapatkan bekalan senjata
lagi. Dan sekarang kuasa besar bersetuju memberi wilayah
Islam yang dirampas oleh orang Serb kepada mereka tanpa
memperdulikan hak orang Islam.
22. Bagi kuasa besar, Serb yang kuat adalah benar dan orang
Muslim yang lemah adalah salah dan tidak berhak. Namun
kuasa-kuasa Barat ini masih mendakwa diri mereka adalah
benar dan adil. Apakah dapat kita menerima konsep dan
prinsip keadilan Barat ini sebagai asas keadilan bagi
masyarakat kita? Tidakkah perlu kita menolak konsep dan
prinsip keadilan mereka melainkan jika ianya tidak
bertentangan dengan keadilan Islam seperti yang dihuraikan
sebentar tadi?
23. Sejarah perundangan membuktikan bahawa proses
mengkanunkan undang-undang dimula dan dilaksanakan oleh
orang Islam. Dengan proses ini undang-undang Islam menjadi
lebih tepat dan teratur. Di samping itu, oleh kerana mereka
yang mengkanunkan undang-undang Islam adalah manusia biasa
yang tidak sunyi daripada kecacatan, pembetulan dan
penyesuaian hendaklah dilakukan kepada kanun undang-undang
mengikut zaman dan tempat. Dengan cara ini undang-undang
yang diasaskan kepada al-Quran dan Hadis akan sesuai dengan
keadaan di sepanjang zaman.
24. Jenayah berubah di sepanjang masa. Di zaman moden ini
terdapat jenayah dagangan atau 'commercial crime' yang
begitu halus dan kompleks sehingga sukar menentukan
kesalahan yang telah dilakukan. Jika tidak ada satu usaha
untuk mengenalpasti jenayah ini dan menentukan hukuman yang
sesuai dengan ajaran agama maka banyaklah jenayah yang akan
melanda masyarakat. Demikian juga dengan beratus-ratus
jenayah lain yang muncul di zaman ini. Usaha perlu dibuat
supaya sistem perundangan negara tidak bercanggah dengan
konsep dan prinsip keadilan dalam Islam.
25. Dalam Islam banyak kelonggaran diberi kerana
mengambilkira keadaan di sekeliling. Dalam semua ibadat
terdapat kelonggaran ini. Dengan ini amalan cara hidup
Islam tidaklah menjadi beban sehingga menyusah dan
memudaratkan orang Islam dan menyebabkan mereka tersisih
daripada aliran zaman.
26. Hari ini orang Islam terdapat di mana-mana sahaja dan
tidak hanya di negara Islam. Di kebanyakan negara mereka
menjadi puak minoriti. Sebagai minoriti mereka tidak dapat
melaksanakan undang-undang Islam yang diamalkan oleh negara-
negara yang dikuasai seratus peratus oleh orang Islam.
27. Di samping itu amatlah penting pemerintahan oleh orang
Islam diakui adil oleh semua pihak, termasuk orang yang
bukan Islam. Semenjak dari zaman Rasulullah lagi
pemerintahan Islam di Madinah dan kemudian di Mekah bersikap
adil kepada orang bukan Islam. Paksaan supaya menerima
agama Islam dan undang-undang untuk orang Islam, rampasan
harta dan penindasan tidak dilakukan oleh pemerintah
Rasulullah dan Khalifah-khalifah Al-Rashidin. Adakalanya
hukuman yang dijatuhkan ke atas orang bukan Islam diasaskan
kepada undang-undang agama mereka. Oleh kerana adilnya
pemerintahan Islam maka akhirnya ramai rakyat bukan Islam
telah memeluk agama Islam dan meletakkan diri mereka di
bawah undang- undang Islam.
28. Pemerintahan yang diterajui oleh orang Islam di
Malaysia yang mempunyai rakyat dan penduduk berbilang agama
hendaklah membuktikan kepada semua pihak, Islam dan bukan
Islam, bahawa pemerintahan mengikut konsep dan prinsip-
prinsip keadilan Islam adalah benar-benar adil. Jika hari
ini terdapat gambaran bahawa Islam keterlaluan atau kejam
sebabnya bukanlah ajaran Islam itu kejam tetapi ada orang
Islam yang, apabila berkuasa, menjadi angkuh dan tidak
mengikut ajaran al-Quran dan Hadis dan contoh pemerintahan
Rasulullah dan Khalifah-khalifah yang terkenal dalam sejarah
Islam. Orang Islam yang berkuasa, hakim dan pentadbir Islam
di Malaysia tidak harus angkuh kerana berkuasa dan melupakan
ajaran Islam mengenai keadilan. Amatlah penting
pemerintahan yang diterajui oleh orang Islam di Malaysia
membuktikan bahawa pemerintahan mereka adil kepada semua
pihak, tidak berat sebelah dan tidak menindas. Adalah
menjadi tanggungjawab semua orang Islam untuk membetulkan
imej Islam yang tidak baik yang disebabkan oleh kumpulan-
kumpulan penyeleweng ekstrimis yang telah memberi gambaran
yang tidak baik kepada agama Islam dan penganutnya.
29. Di samping itu, kita tidak boleh lupa bahawa bagi dunia
sekarang ini kekuatan dianggap kebenaran. Negara-negara
Islam termasuk Malaysia perlu mengejar kekuatan. Untuk ini
perkara yang utama dan penting ialah menegakkan pemerintahan
yang adil dan cekap supaya kemajuan dicapai sehingga setaraf
dengan negara-negara maju yang lain. Apabila sudah maju
maka baharulah persiapan dapat dibuat untuk menaikkan
keupayaan pertahanan negara menjadi sama dengan negara-
negara maju dalam semua bidang. Ini adalah wajib kerana
telah disebut dalam al-Quran, Surah Al- Anfal, Ayat 60 yang
bermaksud:
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa
sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang
ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu)
kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-
orang selain mereka yang kami tidak mengetahuinya,
sedang Allah mengetahuinya".
30. Jika hari ini negara-negara tertentu dan bangsa-bangsa
seperti Serb dan Yahudi berani dan dapat menindas dan
mengganas, sebabnya ialah oleh kerana negara-negara Islam
semuanya lemah. Ajaran al-Quran berkenaan persiapan untuk
pertahanan tidak dihiraukan. Pemerintahan mereka kerap
tidak adil dan tidak berjaya mewujudkan keamanan dan
ketenteraman yang diperlukan
untuk pertumbuhan ilmu, kecekapan dan kekayaan, yang mana
semua ini diperlukan untuk kekuatan dan kehormatan.
31. Justeru itu, sebelum kita umat Islam menyalahkan pihak
lain semata-mata, kita harus soal diri kita sendiri tentang
amalan ajaran agama kita, terutama daripada segi menegakkan
pemerintahan yang adil. Jika keadilan Islam tidak terbukti
dan sukar diterima umum, kesalahannya adalah juga pada diri
kita.
32. Sebab itu, amatlah penting bukan sahaja memperkatakan
tentang keadilan Islam tetapi kita membuktikan bahawa konsep
dan prinsip-prinsip keadilan dalam Islam memang dapat
menegak kebenaran dan mewujudkan masyarakat yang bahagia.
33. Saya berharap persidangan ini akan berjaya menjelaskan
konsep dan prinsip-prinsip keadilan dalam Islam supaya
keraguan dan imej yang buruk terhadapnya dapat dihapuskan
dan dunia dapat menyedut daripada keadilan ala-Islam unsur-
unsur yang boleh mengatasi ketidakadilan yang sedang berlaku
hasil keangkuhan kuasa-kuasa dunia sekarang.
34. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Persidangan 'Islam dan Keadilan'.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|