Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 05/06/93
Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN
SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN
SERI PADUKA BAGINDA YANG
DI-PERTUAN AGONG
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah,
Tuanku,
Dengan hormat dan penuh takzimnya pihak Kerajaan dan
seluruh rakyat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena
Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku hari ini. Rakyat
sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga
Tuanku serta Tuanku Bainun dilanjutkan usia serta
dilimpahkan rahmat dan hidayah-Nya, mudah-mudahan Tuanku
berdua berada dalam keadaan sihat dengan penuh kesejahteraan
dan kedaulatan.
Tuanku,
2. Syukur alhamdulillah kerana dengan izin dan limpah
kurnia Allah Subhanahu wa Ta'ala negara terus berada dalam
keadaan aman dan makmur. Suasana aman damai ini wujud hasil
daripada kerjasama rakyat berbilang kaum. Setelah begitu
lama tinggal bersama, rakyat sedar akan pentingnya perpaduan
dan keharmonian kaum. Kunci utama terhadap perpaduan dan
keharmonian kaum ini ialah keinginan rakyat untuk sentiasa
hidup aman damai dan bebas daripada segala rusuhan.
Peristiwa-peristiwa persengketaan kaum dan agama di luar
negeri juga telah memberi iktibar kepada rakyat negara ini
tentang pentingnya penduduk berbilang kaum bersatupadu dan
bekerjasama antara satu sama lain. Peristiwa-peristiwa ini
diyakini telah menguatkan keazaman rakyat negara ini untuk
mengukuhkan lagi perpaduan dan kerjasama di kalangan mereka.
Ini sudah tentu akan mengukuhkan kestabilan politik negara
ini dan dengan itu membolehkan Kerajaan menumpukan usaha
terhadap pembangunan.
3. Bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
di samping mempunyai kestabilan, ekonomi negara terus
menunjukkan prestasi yang menggalakkan. Walaupun kadar
pertumbuhan dijangka kurang sedikit pada tahun ini
berbanding dengan tahun lalu, ianya masih tinggi. Lebih
menggalakkan ialah pertumbuhan tinggi ini disertai dengan
kadar inflasi yang rendah. Ini telah membolehkan rakyat
terus menikmati taraf hidup yang lebih baik. Kerajaan pula
telah dapat meneruskan usaha-usaha pembangunan yang lebih
pesat bagi faedah rakyat. Kejayaan kita menguruskan ekonomi
dengan baik adalah hasil kerjasama yang rapat antara
Kerajaan, rakyat dan pihak swasta.
4. Kerajaan sedar bahawa banyak lagi usaha yang perlu
dijalankan untuk memastikan negara akan terus maju
dan makmur. Ke arah ini, Kerajaan telah menggariskan
dasar-dasar dan arah pembangunan sektor-sektor penting
seperti pembangunan perindustrian, pertanian, pelancongan,
alam sekitar serta sains dan teknologi.
5. Sementara kita boleh berbangga dengan kejayaan ekonomi
negara, kita tidak harus leka dan berpuas hati.
Tanggungjawab menentukan ekonomi terus berkembang adalah
tanggungjawab semua pihak.
6. Di samping itu, semua pihak harus memainkan peranan
yang berkesan untuk terus mengawal inflasi. Kerajaan
khuatir jika inflasi ini tidak dikawal ianya akan memberi
kesan negatif kepada negara. Rakyat boleh memainkan peranan
dengan berjimat-cermat dan berhati-hati apabila berbelanja.
Di samping mengurangkan penggunaan yang berlebihan, rakyat
juga perlu meningkatkan lagi kadar simpanan mereka. Para
pekerja kita juga boleh membantu dengan tidak menuntut
kenaikan gaji yang berlebihan. Sebarang kenaikan gaji yang
tidak selaras dengan peningkatan produktiviti dan kecekapan
akan menyebabkan inflasi yang mana ini akan mensia-siakan
sahaja pendapatan yang bertambah.
7. Di pihak Kerajaan, sukacita dinyatakan bahawa
langkah-langkah yang sesuai telah pun diambil untuk
memastikan inflasi terus terkawal. Kerajaan juga akan
meneruskan dasar-dasarnya untuk mengurangkan perbelanjaan
dan berjimat cermat selaras dengan hasil pendapatan negara.
Tuanku,
8. Kerajaan juga akan terus mengamalkan dasar pelaburan
yang liberal untuk menggalakkan pelaburan, terutama
pelaburan asing. Dalam hal ini, Kerajaan akan memperbaiki
lagi kemudahan-kemudahan infrastruktur yang diperlukan.
Usaha-usaha juga akan diteruskan untuk meningkatkan lagi
keupayaan pekerja kita daripada segi produktiviti, kecekapan
dan daya saingan. 'Competitive edge' yang ada pada negara
hanyalah kos pekerja yang rendah berbanding dengan negara-
negara maju. Dengan tidak mempunyai teknologi sendiri,
modal dan pasaran dalaman yang mewah, kenaikan kos pekerja
akan menghapuskan 'competitive edge' kita. Justeru itu,
adalah penting pekerja tidak dihasut oleh kesatuan-kesatuan
sekerja asing supaya menuntut upahan yang berlebihan.
9. Sebagaimana termaklum, langkah menggalakkan pelancongan
juga merupakan salah satu strategi untuk menambahkan
pendapatan negara. Di dalam Rancangan Malaysia Keenam,
teras pembangunan pelancongan adalah dengan tujuan
memperluas dan mempelbagaikan aktiviti serta asas
pelancongan. Ini kerana pelancongan dijangka dapat
mewujudkan lebih banyak lagi pekerjaan, pendapatan, nilai
ditambah serta perwujudan berbagai-bagai rangkaian dengan
sektor- sektor lain dalam pembangunan ekonomi negara.
Kerajaan telah pun menetapkan tahun 1994 sebagai Tahun
Melawat Malaysia dan persiapan-persiapan telah dibuat bagi
maksud menarik lebih ramai pelancong ke sini.
10. Tahun 1993 merupakan tahun yang penting bagi negara
menggerakkan usahanya ke arah mencapai cita-cita menjadi
negara maju. Cita-cita ini boleh dicapai jika semua pihak
-- Kerajaan, rakyat dan pihak swasta -- berganding bahu dan
bekerjasama rapat. Faktor utama yang perlu ditekankan
adalah sikap yang komited terhadap keinginan untuk memajukan
negara. Selain daripada itu, kita juga perlu menanam sikap
rajin berusaha, mempunyai disiplin yang tinggi serta
mempunyai dedikasi terhadap kerja.
11. Pihak Kerajaan berasa bangga bahawa Tuanku
menitikberatkan soal perjalanan jentera Kerajaan dan
mengambil berat mengenai kebajikan rakyat. Kesediaan Tuanku
menghadiri dan mendengar taklimat-taklimat yang dibuat oleh
jabatan-jabatan Kerajaan memperlihatkan kesungguhan Tuanku
untuk mengetahui dengan mendalam selok-belok dan dasar-dasar
Kerajaan. Kerajaan dan negara juga menghargai minat Tuanku
mengambil berat mengenai hubungan antarabangsa. Dalam hal
ini, lawatan-lawatan Tuanku ke luar negeri telah membantu
Malaysia menjalin hubungan yang rapat dengan dunia luar. Di
sini pihak Kerajaan ingin menyatakan bahawa Malaysia akan
sentiasa memainkan peranan yang cergas di peringkat
antarabangsa tanpa segan dan takut.
12. Kerajaan sedar bahawa pentadbiran yang cekap dan
produktif adalah penting untuk menjamin negara akan terus
maju dan makmur. Dalam hal ini, Kerajaan melalui
kakitangannya akan berusaha dengan sepenuhnya untuk mencapai
mutu kerja yang lebih cemerlang.
Tuanku,
13. Pada hari yang mulia dan penuh dengan adat istiadat
ini, Kerajaan dan rakyat dengan penuh hormat dan takzimnya
menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi
kepada Tuanku sebagai Raja yang memerintah.
|