Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DELIMA RESORT, PULAU
LANGKAWI, KEDAH
Tarikh/Date : 06/06/93
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG
PERSATUAN PERUBATAN MALAYSIA (MMA)
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kerana menjemput saya
untuk merasmikan mesyuarat agung tahunannya yang ke-33 ini.
2. Penjagaan kesihatan bukan lagi merupakan keperluan asas
tetapi adalah satu kewajipan. Oleh itu, sistem penjagaan
kesihatan hendaklah berorientasikan perkhidmatan, kemahiran
dan pencapaian. Ini bermakna kejayaan sistem ini akan
bergantung kepada `health care providers' yang terlatih,
berpengalaman dan komited, yang dapat memberikan
perkhidmatan yang berkesan dan memuaskan kepada pesakit.
3. Ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya
sepanjang dua dekad yang lalu. Berbagai-bagai kemajuan
telah dicapai dan telah memberikan manfaat kepada masyarakat
daripada segi pembangunan. Dengan itu rakyat telah
menikmati taraf hidup yang lebih baik.
4. Kementerian Kesihatan turut menyumbang kepada
pencapaian ini. Dengan adanya pembangunan kemudahan
infrastruktur yang banyak, perkhidmatan kesihatan kepada
rakyat telah dapat dipertingkatkan. Sehingga tahun 1990,
jumlah kemudahan kesihatan luar bandar telah bertambah
kepada 1,778 berbanding dengan 1,167 pada tahun 1970.
Perkhidmatan kepakaran juga sedang dipertingkatkan di
semua hospital besar dan di beberapa hospital daerah.
5. Taraf kesihatan rakyat Malaysia juga telah meningkat.
Ini adalah disebabkan oleh antara lain, usaha-usaha kerajaan
membangunkan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.
Kesan pembangunan pesat negara ini boleh dilihat dengan
perubahan status kesihatan daripada penyakit-penyakit
berjangkit yang tradisional kepada penyakit-penyakit yang
disebabkan oleh 'lifestyle' yang moden.
6. Kesedaran orang awam terhadap kesihatan juga telah
meningkat. Harapan pesakit untuk mendapatkan rawatan
bermutu dan canggih turut meningkat. Begitu juga dengan kos
rawatan perubatan. Berdasarkan trend semasa, Kerajaan akan
membelanjakan hampir lima peratus daripada Keluaran Negara
Kasar (GNP) bagi perkhidmatan kesihatan pada tahun 2000 dan
kadar ini dijangka meningkat kepada tujuh peratus pada tahun
2020. Kerajaan tentu sekali tidak berupaya menanggung
perbelanjaan perkhidmatan kesihatan yang meningkat
tinggi tanpa menjejaskan peruntukan atau keperluan
perkhidmatan-perkhidmatan lain. Masanya sudah tiba bagi
kita meneliti peranan sektor swasta dalam membantu Kerajaan
ke arah penyediaan perkhidmatan yang lebih saksama dan
mampu dinikmati oleh golongan masyarakat yang lebih ramai.
7. Kos perubatan kini semakin meningkat. Ini tidak dapat
dielakkan oleh kita. Tetapi kita boleh cuba mengawalnya
supaya kadar peningkatannya lebih bersesuaian dengan tahap
pembangunan negara. Dalam hal ini, doktor-doktor mempunyai
peranan yang penting kerana pada akhirnya gaya amalan atau
'practising habits' serta keputusan yang diambil oleh
doktor-doktor dalam menguruskan pesakit adalah faktor
penting yang akan mempengaruhi kos rawatan. Perkembangan
yang pesat di bidang perubatan akan memberi tekanan kepada
para doktor untuk menggunakan teknologi-teknologi termoden
dalam merawat pesakit. Tetapi kita perlu ingat bahawa
penggunaan teknologi baru tidak semestinya menjaminkan
kualiti perkhidmatan.
8. Kualiti perkhidmatan boleh membawa erti yang
berbeza-beza, bergantung kepada siapa yang mentakrifkannya.
Bagi sesebuah organisasi, kualiti dikaitkan dengan
pengagihan kemudahan dan sumber, keberkesanan kos dalam
melaksanakan perkhidmatan serta keselamatan teknologi.
Bagi seorang doktor, kualiti mungkin ditakrifkan sejauh
mana penjagaan kesihatan dipraktikkan berbanding dengan
pengetahuan dan teknologi masa kini. Bagi pesakit pula,
kualiti dikaitkan dengan sejauh manakah seseorang doktor
itu dapat memenuhi kehendaknya -- mungkin ianya bermakna
perkhidmatan yang segera, selesa, boleh dipercayai atau
'personalised' dan dengan bayaran yang berpatutan.
9. Memandangkan kepada pandangan yang berbeza ini,
dokrtor-doktor sebagai 'pembekal' perkhidmatan perubatan
perlu peka kepada persekitaran dan bersikap proaktif dalam
menyediakan perkhidmatan. Rawatan yang diberikan oleh
seorang doktor tidak begitu berbeza dengan yang
diberikan oleh doktor yang lain. Apa yang mungkin boleh
membezakannya ialah mutu perkhidmatannya.
10. Para doktor perlu peka bahawa tahap yang dianggap
sebagai berkualiti pada hari ini mungkin tidak lagi dianggap
berkualiti di masa hadapan. Oleh itu usaha-usaha
meningkatkan kualiti hendaklah berterusan. Di samping itu
saya berpendapat sudah tiba masanya bagi sektor swasta
mewujudkan mekanisma yang 'self- regulatory' untuk mengawasi
kualiti perkhidmatan. Dalam hal ini, mungkin sektor swasta
ingin mencontohi program 'Quality Assurance' yang
dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.
11. Amalan perubatan melibatkan penyerahan (submission)
oleh pesakit secara rela dan sepenuhnya kepada doktor.
Setiap doktor perlulah memberikan perkhidmatan yang baik dan
menentukan bahawa rawatan yang diberikan akan memberi
manfaat kepada pesakit. Untuk ini para doktor perlu
melibatkan diri dalam usaha-usaha untuk meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang mereka.
Pesakit-pesakit juga perlu dimaklumkan di mana perlu dan
baik baginya tentang kedudukan penyakit yang mereka alami,
rawatan yang dicadangkan dan juga jenis ubat-ubatan yang
diberikan kepada mereka. Sebagai doktor kita perlu
memelihara 'doctor-patient relationship' yang akan memberi
manfaat kepada kedua-dua pihak.
12. Dalam keghairahan memberi perkhidmatan, para doktor
perlu sentiasa memastikan ianya selari dengan etika
profesion mereka. Kepentingan pesakit adalah faktor yang
terpenting. Prinsip ini perlu diutamakan supaya imej
profesion perubatan sentiasa dipertahankan agar keyakinan
masyarakat terhadap profesion itu sentiasa dapat dipelihara.
13. Dalam usaha kita untuk meningkatkan mutu perkhidmatan,
pendidikan perubatan secara berterusan adalah penting bagi
menambahkan pengetahuan dan kemahiran khususnya dalam
perkembangan terbaru dalam bidang perubatan. Usaha
memperdalami ilmu perubatan haruslah berterusan dan menjadi
satu kewajipan pengamal-pengamal perubatan. Dalam hal ini,
badan-badan profesional perlu memainkan peranan yang lebih
besar dalam menggerakkan doktor-doktor dan pengamal-pengamal
perubatan lain, khususnya mereka di sektor swasta, untuk
meluangkan masa dan menceburi program-program meningkatkan
ilmu dan kemahiran mereka. Mungkin dalam hal ini,
program-program ini akan lebih berkesan jika ia dapat
dihubungkaitkan dengan peranan pengamal-pengamal seharian.
14. Kebelakangan ini media massa nampaknya banyak memberi
perhatian kepada layanan atau perkhidmatan yang diberikan
kepada pesakit oleh hospital-hospital Kerajaan ataupun
swasta. Apa yang 'ironic' ialah kritikan-kritikan terhadap
profesion dan institusi perubatan ini timbul dalam keadaan
di mana perihal penjagaan kesihatan adalah lebih baik dan
lebih senang didapati. Mungkin aduan-aduan ini berbangkit
daripada kesedaran masyarakat kini yang lebih kritikal dan
harapan mereka yang lebih tinggi terhadap rawatan perubatan.
Bagaimanapun saya percaya kejadian-kejadian buruk seperti
yang dilaporkan boleh dikurang atau dielakkan sekiranya
doktor-doktor bukan sahaja memberikan rawatan yang rapi
tetapi juga berusaha untuk meningkatkan interaksi dengan
pesakit dalam memainkan peranan mereka sebagai penasihat
atau sahabat kepada pesakit. Interaksi yang tidak mencukupi
kadangkala merupakan punca utama ketidakpuasan pesakit
dengan perkhidmatan yang diberikan.
15. Finally I would like to say a few words about the
Malaysian Medical Association. Practically every profession
has an association. The medical profession is no exception.
Indeed medical associations are among the first to be formed
in any society.
16. A professional association is not quite a trade union.
It is not really meant to fix fees, etc. Rather it is more
concerned with ethics and standards of professionalism among
its members. Because of this, it is usually accorded
recognition by society. In fact in many instances, through
its council, the association determines whether a person is
qualified or not qualified to practise. It also metes out
disciplinary action, for which it is given legal authority.
17. These basic functions of the Association must always
be borne in mind by the members, particularly the
office-bearers. An association loses its integrity and the
respect of the community if it involves itself in politics,
for example, or in bickering and internal dissension.
On the other hand, if it helps to upgrade the quality of
service and the standards of skills of the practitioners,
it will help give prestige to the profession.
18. The MMA must never forget this. It must not allow
itself to be used by a few members for their own ends.
Instead it must, with dignity, uphold the stature of
the profession and build an image of integrity that is
unassailable. More than any other profession, the medical
profession needs the respect and trust of those whom the
profession serves. It is the duty of the Association to
ensure this at all times.
19. Di sini sukacita saya mengucapkan tahniah kepada
Persatuan Perubatan Malaysia sempena mesyuarat agung
tahunannya. Kerajaan sentiasa menghargai usaha-usaha MMA
dalam meningkatkan lagi tahap mutu rawatan pesakit di negara
kita. MMA juga telah banyak menabur bakti bukan sahaja
dalam bidang perubatan malah juga dalam bidang sosial dan
kebajikan. Saya berharap MMA akan terus bergiat dalam
usaha-usaha murni ini.
20. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
mesyuarat agung tahunan Persatuan Perubatan Malaysia yang
Ke-33 ini.
|