Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	:	11/06/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN PERBADANAN 
			PEMBANGUNAN PERDAGANGAN LUAR 
			MALAYSIA (MATRADE) 


 
    Saya  mengucapkan  terima  kasih   kepada   Kementerian
Perdagangan   Antarabangsa   dan   Industri   (MITI)  kerana
menjemput  saya  untuk  melancarkan  Perbadanan  Pembangunan
Perdagangan   Luar   Malaysia   (MATRADE)   pada  hari  ini.
Pelancaran MATRADE diharap akan membantu mengembangkan  lagi
eksport  Malaysia  khasnya  dan  perdagangan  luar  Malaysia
amnya.
2.   Tidak dapat dinafikan ekonomi dunia  semenjak  beberapa
tahun  kebelakangan  ini  telah  dipengaruhi  oleh  pelbagai
perkembangan dan  perubahan  yang  tidak  begitu  sihat  dan
memberi   kesan   yang   kurang   baik  kepada  arah  aliran
perdagangan   dan   pelaburan    antarabangsa.        Tetapi
perkembangan-perkembangan ini perlu dianggap sebagai cabaran
bagi  kita  menguji  'resilience'  kita  melalui penyesuaian
strategi dan langkah supaya bukan sahaja dagangan kita tidak
terjejas tetapi sebaliknya terus berkembang.
3.   Keadaan ini bertambah buruk lagi dengan  ketidaktentuan
dalam  rundingan  perdagangan pelbagai hala Pusingan Uruguay
kerana tidak terdapat kata sepakat di antara blok Eropah dan
Amerika.   Dalam konteks ini, Malaysia  tidak  mahu  melihat
rundingan Pusingan Uruguay terus menemui kegagalan kerana ia
akan  menyebabkan  sistem  perdagangan pelbagai hala menjadi
lemah dan tidak  terbuka.    Gejala  ini  akan  menggalakkan
perdagangan  sehala  dan  dua  hala,  yang mana akan memberi
kelebihan kepada negara-negara yang besar  kuasa  pasarannya
dan  boleh  meletakkan syarat-syarat dagangan yang merugikan
negara-negara kecil.  Negara-negara yang  mengamalkan  dasar
perlindungan  perdagangan  pula akan meneruskan amalan tidak
sihat ini dan ini akan mendorong  negara-negara  lain,  atas
alasan   untuk   melindungi  kepentingan  mereka,  mengambil
langkah  yang  sama.    Kemungkinan-kemungkinan  ini  adalah
antara  keadaan  yang  kita  khuatiri  kerana sebagai sebuah
negara yang `outward-looking',  kita  inginkan  satu  sistem
perdagangan yang terbuka dan 'predictable'.
4.   We  must accept  the fact that the international market
place is imperfect  and  that  countries  are  in  different
stages  of  economic development because of different factor
endowments  and   differences   in  the  ability  to  manage
available  resources.   Therefore,  competition can never be
absolutely fair to all.  Notwithstanding this, what we could
try to attain is some common rules of the competitive  game.
Better  still,  the  world  should  reach  a  single  common
interpretation of the so-called  common  rules.   Sebenarnya
masalah yang kita hadapi sekarang bukanlah  terbit  daripada
kurangnya 'desire to reach consensus',  tetapi  lebih  tepat
ialah  kurangnya  'the  will  to  make  immediate  and  bold
commitments for long term interests'.
5.   Sehubungan dengan ini,  Malaysia  tidak  mampu  berdiam
diri  dan  menunggu penyelesaian rundingan Pusingan Uruguay.
Sama ada rundingan  Pusingan  Uruguay  berjaya  atau  tidak,
Malaysia   perlu   berusaha   dengan   lebih   gigih   untuk
melaksanakan  aktiviti-aktiviti  galakan  perdagangan   yang
terancang  dengan  secara  agresif  dalam usaha mengekal dan
memperluaskan pasaran keluaran negara.  Kita wajar berbangga
bahawa kita mempunyai hubungan perdagangan dengan kebanyakan
negara   dan   telah   disenaraikan   antara   negara-negara
perdagangan  utama  di dunia ini, baik daripada segi eksport
ataupun import.  Ini membuktikan bahawa pasaran kita terbuka
kepada negara  lain.    Sebenarnya  Malaysia  adalah  antara
sebilangan  kecil  negara di dunia di mana terdapat barangan
daripada seluruh pelusuk dunia dijual dengan bebas.
6.   Dalam  masa  yang  sama,  kita  juga  melihat  beberapa
perkembangan  yang  menggalakkan yang membuka peluang kepada
kita untuk  meningkatkan  perdagangan  dengan  negara-negara
tertentu.  Dua contoh boleh disenaraikan di sini, iaitu;
   -  Pertama, usaha-usaha untuk mewujudkan ASEAN Free Trade
      Area  (AFTA)  melalui  Common  Effective  Preferential
      Tariff Scheme (CEPT),  dan
   -  Keduanya,  usaha-usaha kerjasama ekonomi negara-negara
      Selatan  melalui  G-15  dan  aktiviti   subsidiarinya,
      South Investment Trade and  Technology  Data  Exchange
      Centre (SITTDEC).
7.   Perkembangan ini diharap dapat memberi contoh bagaimana
kerjasama   ekonomi   di  kalangan  negara  membangun  dapat
membantu pembangunan ekonomi yang berterusan.
8.   Sama  ada  isu  di  hadapan  kita  merupakan  rintangan
perdagangan  atau sebaliknya, peluang pemasaran perlu diberi
perhatian dan memerlukan usaha gigih yang sama daripada kita
untuk   mengatasinya  atau  memanfaatkannya.   We  will  not
despair  when the odds are against us.  Neither will we rest
on our laurels.
9.   Dalam   menerokai   pasaran   antarabangsa,    Malaysia
hendaklah   bersedia   dan   seharusnya   mampu   menawarkan
tolak ansur laluan pasaran kepada negara-negara rakan  niaga
sepertimana kita pula berharap negara-negara yang  menikmati
faedah tersebut juga bersedia memberi kepada Malaysia laluan
pasaran  yang  sama di negara mereka.  Dengan ini, kedua-dua
belah  pihak akan bersama-sama menikmati  faedah.    Langkah
yang  diambil  oleh Malaysia dalam menerokai pasaran-pasaran
baru terutama  di  negara-negara  dunia  ketiga  seperti  di
Afrika,  Amerika  Selatan  dan  Asia,  adalah selaras dengan
strategi  ini.    Oleh  itu,  bagi   melengkapkan   hubungan
perdagangan  di  peringkat   Kerajaan   dengan  Kerajaan  di
negara-negara berkenaan,  sektor swasta pula adalah  digalak
kan untuk memperkukuhkan  hubungan dengan rakan-rakan swasta
mereka di negara-negara  berkenaan.    Dalam  hubungan  ini,
Kerajaan sentiasa menggalakkan penubuhan persatuan-persatuan
ataupun 'business council' di antara sektor swasta  Malaysia
dengan rakan-rakan mereka  di negara-negara  yang  mempunyai
perhubungan perdagangan dengan Malaysia.
10.   Malaysia  akan  terus   menyokong  usaha-usaha   untuk
mewujudkan  dasar-dasar  perdagangan  yang  tidak  mempunyai
unsur-unsur diskriminasi oleh mana-mana negara.   Dalam  hal
ini,  peraturan- peraturan untuk mengawal amalan perdagangan
hendaklah digunakan secara  adil  dan  bukan  disalahgunakan
sebagai  satu alat untuk menekan negara-negara kecil seperti
tindakan  anti-lambakan,  yang  sering   digunakan   sebagai
halangan bukan tarif.
11.  Sebagai sebuah ekonomi yang dipengaruhi oleh keadaan di
luar  negara,  Malaysia  perlu  komited  kepada  pelaksanaan
sistem  ekonomi  dunia  yang  liberal  dan  terbuka.    Bagi
mencapai  hasrat  ini,    Kerajaan   akan  terus   menggubal
dasar-dasar dan mengambil  pendekatan-pendekatan yang  boleh
menggalakkan pembangunan industri serta merangsangkan aliran
masuk  pelaburan.  Sektor swasta Malaysia hendaklah bersedia
menerima hakikat bahawa pada satu masa nanti  Kerajaan  akan
menghentikan  semua  perlindungan  yang telah mereka nikmati
selama ini.  Justeru itu, sektor swasta  hendaklah  berusaha
untuk meningkatkan persediaan mereka bagi menghadapi pasaran
terbuka tanpa perlindungan.
12.   Di peringkat firma pula,  pengeluar-pengeluar Malaysia
haruslah sedar bahawa  persaingan  di  pasaran  antarabangsa
kini  semakin  mencabar.    'Competitive  edge' dalam banyak
keadaan  ditentukan  oleh  keupayaan  sesebuah  firma  untuk
mengamalkan inovasi daripada segi teknologi pengeluaran yang
dapat   mengurangkan  kos  dan  meningkatkan  mutu  keluaran
mereka.  Oleh itu firma-firma di Malaysia haruslah  bersedia
dan  sanggup membuat pelaburan dalam bidang Penyelidikan dan
Pembangunan (R&D) dan tidak  pula  mengharapkan  semata-mata
kepada insentif daripada Kerajaan.
13.   Pada  masa ini  perbelanjaan yang diperuntukkan kepada
bidang R&D di Malaysia adalah terlalu kecil.    Dalam  tahun
1992  perbelanjaan  bagi  tujuan  R&D  di Malaysia hanya 0.8
peratus daripada Keluaran  Negara  Kasar  (KNK).    Daripada
jumlah  ini,  hanya  20  peratus sahaja dibiayai oleh sektor
swasta manakala selebihnya oleh  sektor  awam.    Ini  tidak
mencukupi.    Sektor  swasta perlu mengeluarkan lebih banyak
perbelanjaan untuk pembangunan dan  penyelidikan.    Melalui
R&D  ini,  kita akan dapat membangunkan sesuatu keluaran itu
hingga menjadi lebih istimewa atau mempunyai nilai  ditambah
yang  tinggi  berbanding  dengan  keluaran  sejenisnya  oleh
pengeluar-pengeluar lain.
14.  Saya percaya dalam bidang R&D ini, sektor swasta  boleh
memainkan   peranan   yang  lebih  utama  berbanding  dengan
Kerajaan.   Ini adalah kerana  biasanya  R&D  oleh  Kerajaan
kurang  'commercial  oriented'.    Sesuatu  projek  R&D yang
diusahakan oleh firma  swasta  tidak  semestinya  besar  dan
menelan   belanja  berjuta-juta  ringgit  atau  menghasilkan
ciptaan yang betul-betul baru.   Memadai jika  setiap  firma
peka  kepada  keperluan  menyesuaikan barangan mereka kepada
citarasa semasa.   Ini mungkin hanya  melibatkan  modifikasi
kepada rekabentuk (design) atau penggunaan bahan alternatif,
atau  usaha  mengubahsuai  proses  pengeluaran  supaya lebih
'cost- effective' ataupun meningkatkan kepakaran  pengurusan
dan  sebagainya.  Usaha-usaha seperti ini jika dibuat secara
berterusan akan mengurangkan kos  oleh  kerana  perbelanjaan
yang diperlukan boleh dibuat dan diagihkan dalam tempoh masa
yang lebih panjang.
15.   Strategi  pembangunan  keluaran  masa depan  hendaklah
diarah untuk menjadikan keluaran  kita  mempunyai  kelebihan
komparatif  berdasarkan  teknologi, kualiti dan kepelbagaian
keluaran dan  bukan  hanya  berdasarkan  kepada  pembangunan
pengeluaran berasaskan sumber-sumber sedia ada dan kos buruh
yang  relatif  rendah.    Ini boleh memastikan kita sentiasa
mendahului  saingan,  dan  dengan  itu  menerajui  kemasukan
barangan  buatan  Malaysia  ke  pasaran antarabangsa melalui
kelebihan daya saingan dan kualiti.   Strategi seumpama  ini
telahpun dilaksanakan dengan jayanya oleh beberapa negara di
Asia  Timur  dalam  membangunkan industri berasaskan eksport
mereka.
16.   Sudah sampai masanya bagi  Malaysia  dikenali  sebagai
negara  pengeluar  barangan yang berkualiti tinggi dan mampu
menandingi  keluaran   negara-negara   lain   di   peringkat
antarabangsa.    Ini  kerana  untuk jangkamasa sepuluh tahun
akan datang, sektor pembuatan dijangka berkembang pada kadar
purata 10.5 peratus setahun dan seterusnya  menjelang  tahun
2000  akan  menyumbangkan sebanyak 37.2 peratus daripada KNK
berbanding dengan 27 peratus pada tahun 1990.
17.   Di samping  itu,  sektor  pembuatan  juga  akan  terus
memainkan  peranan yang penting di dalam pembangunan eksport
negara.   Di bawah Rangka  Rancangan  Jangka  Panjang  Kedua
(RRJP2),  eksport  sektor pembuatan dijangka berkembang pada
kadar 16 peratus setahun dan sumbangan kepada jumlah eksport
negara pula dijangka meningkat daripada  60.4  peratus  pada
tahun 1990 kepada 81.8 peratus menjelang tahun 2000.   Dalam
pada  itu,  kita  perlu  meningkatkan kepakaran dalam sektor
perkhidmatan kerana sektor  ini  mempunyai  potensi  eksport
yang  tinggi.    Setakat  ini  ada firma-firma Malaysia yang
telah  mengeksport  perkhidmatan  tetapi  adalah  difikirkan
bahawa  satu  strategi  perlu digubal dan program yang lebih
menyeluruh  disediakan  bagi   eksport   perkhidmatan   ini.
MATRADE  telahpun  diberi  tanggungjawab  untuk   mengadakan
program-program  yang dapat  meningkatkan  prestasi  eksport
perkhidmatan oleh syarikat-syarikat Malaysia.
18.   Satu perkara yang perlu mendapat perhatian semua pihak
yang terlibat dengan dagangan antarabangsa ialah  penggunaan
kemudahan  negara.    Setiap  tahun negara kehilangan ribuan
juta ringgit kerana pedagang  Malaysia  mencari  jalan  yang
mudah dengan menggunakan kepakaran, organisasi dan kemudahan
negara  ketiga.    Oleh kerana ini, bukan sahaja pembangunan
kemudahan  infrastruktur   fizikal   kita   tidak   mendapat
keutamaan,   tetapi  juga  berbagai-bagai  jenis  perniagaan
seperti pengangkutan,  pembungkusan,  pengendalian  kontena,
insurans dan kegiatan sampingan di pelabuhan-pelabuhan tidak
berkembang.
19.   Kerajaan sedar akan alasan biasa, iaitu pelabuhan kita
dan  urusannya  dianggap  tidak  efisyen  seperti  pelabuhan
asing.    Tetapi  semua ini boleh dibetulkan.  Bahkan dengan
penswastaan  Pelabuhan   Kelang,   prestasinya   sudah   pun
meningkat.      Dan   ada   banyak   kemungkinan   ia   akan
dipertingkatkan lagi.    Di  samping  itu,  Kerajaan  sedang
membesarkan  lagi  Pelabuhan Kelang dan pelabuhan- pelabuhan
lain.   Sistem  'Electronic  Data  Interchange'  (EDI)  akan
diperkenalkan tidak lama lagi.
20.  Kerajaan telah mengisytiharkan Pelabuhan Kelang sebagai
pelabuhan   bebas   cukai   untuk   menjadikannya  pelabuhan
entrepot.   Dengan  ini  Pelabuhan  Kelang  dapat  mengumpul
barangan  dari  pelabuhan-pelabuhan  kecil  di Asia Tenggara
untuk  dibawa  oleh  kapal-kapal  'inter  continental'   dan
sebaliknya  Pelabuhan  Kelang  boleh  menjadi  'distribution
centre' kepada barangan untuk  Asia  Tenggara  dari  Eropah,
Amerika   dan   pengeksport-pengeksport   lain   yang  jauh.
Perdagangan  entrepot   akan   mewujudkan   banyak   peluang
perniagaan   dan  akan  menjadikan  Pelabuhan  Kelang  lebih
penting di rantau ini.
21.   Saya   berharap    pedagang-pedagang   Malaysia   akan
menggunakan Pelabuhan Kelang dengan lebih lagi dan mengambil
peluang  daripada aktiviti dagangan entrepot yang dipasarkan
di situ.
22.  Penubuhan MATRADE adalah satu tindakan  Kerajaan  untuk
mengukuhkan  prestasi  eksport  Malaysia  sama  ada  eksport
barangan ataupun perkhidmatan.  Saya berharap MATRADE  dapat
meningkatkan  lagi usaha-usaha menyediakan maklumat-maklumat
perdagangan yang diperlukan oleh masyarakat pedagang seperti
maklumat-maklumat   berkenaan   dengan  pasaran,   keperluan
import,  peluang-peluang perdagangan  dan  risikan  pasaran.
Sehubungan dengan ini, MATRADE perlu menyediakan satu sistem
maklumat perdagangan yang komprehensif bagi menyokong sistem
maklumat pasaran  yang  sedia  ada  dan  dihubungkan  dengan
rangkaian   sistem   maklumat  yang  terdapat  di  peringkat
antarabangsa.  Adalah diharapkan bahawa  aliran  penyampaian
maklumat  dapat  dicepatkan  dan  dikemaskinikan  lagi  bagi
membolehkan     pengeksport-pengeksport     kita    mendapat
maklumat-maklumat yang penting dan tepat pada masanya.
23.  Saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada Kementerian
Perdagangan   Antarabangsa   dan   Industri  kerana  berjaya
menubuhkan MATRADE bagi meningkatkan lagi  kegiatan  eksport
negara dan mengembangkan ekonomi Malaysia.
24.   Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan dengan
rasminya Perbadanan Pembangunan Perdagangan  Luar  Malaysia,
atau MATRADE.

 

 



 
Google