Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 12/06/93
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN INSTITUT
JANTUNG NEGARA
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Institut
Jantung Negara Sdn. Bhd. kerana menjemput saya untuk
merasmikan Institut Jantung Negara atau IJN pada hari ini.
Perasmian ini menandakan satu era baru di dalam bidang
perubatan negara, terutama dalam perkhidmatan rawatan
penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular. IJN yang
ditubuhkan untuk meningkatkan kepakaran negara dalam
perkhidmatan rawatan penyakit jantung diharap akan menjadi
pusat rawatan, rujukan dan latihan pakar yang terkini dalam
bidang ini.
2. Antara sebab utama IJN ditubuhkan ialah kebimbangan
Kerajaan terhadap meningkatnya jumlah kematian akibat
penyakit jantung setiap tahun. Mengikut perangkaan, 5,294
kes kematian atau 29.1 peratus daripada jumlah kematian di
negara ini pada tahun 1989 adalah akibat penyakit jantung.
Antara tahun 1981 hingga tahun 1989, kadar kematian kerana
penyakit ini di Semenanjung Malaysia sahaja telah meningkat
daripada 15 orang kepada 37 orang bagi setiap 100,000 orang
penduduk. Dalam tempoh antara tahun 1979 hingga 1988 pula,
bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana penyakit
ini juga telah meningkat daripada 19,216 orang kepada 50,584
orang. Pada tahun 1989, angka ini bertambah kepada 64,696
orang.
3. Peningkatan bilangan pesakit jantung ini tidak
dapat ditampung oleh peralatan dan kemudahan yang terdapat
di hospital-hospital Kerajaan, terutamanya di Jabatan
Kardiologi dan Kardiothorasik Hospital Besar Kuala Lumpur.
Pada masa itu, Unit Kardiothorasik di hospital tersebut
menghadapi beban kerja yang besar dengan bilangan pesakit
yang ramai serta kes lama yang masih tertangguh. Selain
daripada kemudahan dan peralatan yang tidak mencukupi,
kedua-dua unit ini juga menghadapi masalah kekurangan
kakitangan yang terlatih dan berpengalaman. Hanya tiga pakar
bedah kardiothorasik dan enam pakar kardiologi yang ada
ketika itu. Keadaan ini menyebabkan terdapat sesetengah
pesakit jantung yang terpaksa menunggu berbulan-bulan, dan
adakalanya sehingga dua tahun sebelum mereka boleh diberi
rawatan awal.
4. Saya difahamkan sekurang-kurangnya RM30,000 hingga
RM40,000 diperlukan untuk menjalani pembedahan jantung di
luar negara. Jumlah ini adalah dua kali ganda jika
dibandingkan dengan jumlah yang diperlukan untuk menjalani
pembedahan di dalam negara.
5. Memandangkan masalah-masalah ini, Kerajaan berpendapat
sudah tiba masanya negara mempunyai sebuah pusat
perkhidmatan rawatan pakar jantung yang dilengkapi dengan
kemudahan dan peralatan yang serba moden dan terkini.
Penubuhan IJN bukan sahaja akan dapat memenuhi matlamat
negara untuk mempertingkatkan kepakaran dalam merawat
pelbagai jenis penyakit jantung, tetapi juga untuk membantu
mengatasi kes-kes sakit jantung yang tertangguh semenjak
sekian lama.
6. Adalah tidak benar bahawa IJN ditubuhkan untuk
memanfaatkan golongan yang berada ataupun mereka yang mampu
membayar sahaja. Matlamat utama penubuhan IJN adalah untuk
menyediakan kemudahan perkhidmatan kepakaran bagi merawat
semua rakyat Malaysia yang mempunyai penyakit jantung dan
bukannya hanya untuk golongan tertentu. Apabila keputusan
diambil untuk mengkorporatkan IJN, salah satu objektifnya
ialah agar tanggungjawab sosial Kerajaan untuk menanggung
kos rawatan bagi kakitangannya dan juga bagi mereka yang
berpendapatan rendah dan layak akan terus dapat dikekalkan.
Sehingga kini, objektif ini telah dapat dilaksanakan dengan
baik. Daripada sejumlah 1,683 orang pesakit yang telah
mendapat rawatan di IJN sehingga kini, seramai 863 orang
ataupun 51 peratus adalah terdiri daripada golongan yang
berpendapatan rendah.
7. Ini adalah sejajar dengan kehendak Kerajaan supaya 55
peratus daripada jumlah pesakit yang dirawat di IJN mestilah
terdiri daripada golongan miskin, sementara golongan yang
berada dihadkan kepada 15 peratus sahaja dan selebihnya
untuk golongan pertengahan. Walau bagaimanapun, saya
berharap kemudahan yang disediakan ini tidaklah
disalahgunakan di mana mereka yang berkemampuan juga memohon
untuk dikecualikan daripada membiayai kos rawatan.
8. Semenjak kebelakangan ini banyak telah diperkatakan
mengenai kemalangan-kemalangan yang dikatakan berpunca
daripada kelalaian dan kecuaian para doktor dan kakitangan
hospital. Pendedahan kes-kes kemalangan ini menunjukkan
bahawa profesion perubatan juga tidak terlepas daripada
kritikan orang ramai, seperti juga profesion yang lain.
Jelas juga bahawa rakyat Malaysia kini lebih peka akan
hak-hak mereka dan berani menuntut mutu perkhidmatan rawatan
perubatan yang lebih baik dan berkualiti.
9. Dalam hal ini, sukalah saya menekankan sekali lagi
pentingnya hospital-hospital sentiasa memberikan
perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang. Hospital swasta
terutamanya perlu mengimbangi perkhidmatannya bukan sahaja
kepada pendapatannya tetapi juga dengan tanggungjawab
sosialnya.
10. Konsep kualiti mempunyai tafsiran dan makna yang luas
dan berbeza. Ada yang mengaitkan kualiti sesuatu
perkhidmatan tersebut dengan kos, iaitu lebih tinggi kos
sesuatu perkhidmatan, lebih baik kualitinya. Bagi sektor
swasta pula, kualiti mungkin bermakna peningkatan di dalam
keuntungan syarikat yang diukur daripada pertambahan dalam
jumlah jualan dan pelanggan. Ada pula yang mengatakan
bahawa perkhidmatan dan layanan kakitangan yang boleh
memuaskan hati pelanggan seperti bersopan-santun, mesra,
cekap, menepati masa dan boleh dipercayai adalah
perkhidmatan yang berkualiti. Tidak kurang juga yang
mengaitkan peralatan dan teknologi yang digunakan dengan
kualiti, iaitu semakin canggih teknologi yang digunakan
dalam sesuatu perkhidmatan, lebih tinggilah kualitinya.
11. Kesemua tafsiran mengenai kualiti yang disebutkan tadi
mungkin betul dan harus ada pada bidang perubatan yang
menyediakan kemudahan dan perkhidmatan rawatan kepada orang
ramai. Bagaimanapun saya rasa pada amnya, perkhidmatan yang
berkualiti ialah perkhidmatan yang dapat memenuhi harapan
atau 'expectation' pesakit yang datang mendapatkan rawatan
dan mereka ini berpuas hati dengan tahap layanan yang
diterima.
12. Kemudahan atau perkhidmatan yang disediakan mestilah
juga selamat dan berfungsi untuk digunakan, contohnya
preskripsi ubat kepada pesakit mestilah dinyatakan dos yang
betul dan mudah digunakan. Perkhidmatan yang diberikan juga
hendaklah menepati masa yang bersesuaian supaya ia dapat
memberi faedah yang maksimum kepada orang ramai.
13. Selain daripada itu, maklumat-maklumat yang ditulis
oleh jururawat atau doktor mengenai pesakit hendaklah tepat
dan jelas agar kesilapan tidak berlaku apabila pesakit ini
nanti dirujukkan ke bahagian atau kakitangan yang lain.
Tidak kurang penting juga ialah daya ketahanan atau
`durability' sesuatu kemudahan yang disediakan, iaitu
seperti ubat yang diberikan kepada pesakit hendaklah diisi
di dalam bekas yang tidak mudah rosak apabila digunakan.
14. Selain daripada kriteria-kriteria penentuan kualiti
perkhidmatan yang saya sebutkan tadi, pihak pengurusan
hospital juga perlu mempasti lokasi atau jarak di antara
sesuatu jabatan dengan jabatan lain haruslah mudah untuk
dikunjungi oleh pesakit. Kemudahan-kemudahan fizikal
seperti papan tanda, tandas awam dan tempat menunggu yang
bersih dan selesa juga harus diambilkira dalam menyediakan
kemudahan kepada orang ramai. Layanan dan kepekaan
kakitangan hospital dalam melayan permintaan dan aduan
daripada orang ramai serta tindakan yang segera untuk
mengatasi masalah yang dikemukakan juga mestilah diutamakan.
15. Dalam hal ini, saya ingin menyarankan kepada semua
pengurusan hospital supaya dapat membentuk satu standard
yang boleh dijadikan ukuran kualiti bagi sesuatu
perkhidmatan atau kemudahan yang diberikan.
16. Setiap hospital perlu dilengkapkan dengan peralatan
yang memuaskan, canggih dan berteknologi tinggi, tetapi
kelengkapan peralatan ini semata-mata tidak akan menjamin
dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti sekiranya
kemahiran kakitangan mengunakannya tidak dapat ditingkatkan.
Latihan-latihan di dalam perkhidmatan sama ada di dalam
mahupun di luar negara amat penting ke arah meningkatkan
kepakaran dan kemahiran mereka. Dengan adanya kakitangan
yang terlatih dan mahir, sudah pasti mereka ini akan dapat
memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada orang ramai
dan pesakit.
17. Di samping itu, penyenggaraan peralatan yang digunakan
juga perlu diberikan perhatian. Ini bagi mempastikan
peralatan tersebut dapat berfungsi dengan baik setiap masa
dan juga mempunyai ketahanan yang lebih lama. Selain
daripada peralatan yang moden dan kakitangan yang mahir
untuk mengendalikannya, beberapa inovasi dan kemudahan baru
harus diperkenalkan oleh pihak hospital dari semasa ke
semasa.
18. Program atau aktiviti-aktiviti bagi mencapai
kecemerlangan dalam perkhidmatan atau mendapatkan kualiti
dalam perkhidmatan tidak akan berjaya sekiranya tidak
mendapat sokongan daripada semua peringkat kakitangan
hospital yang ada. Program ini juga tidak akan berjaya
sekiranya perubahan pada sikap kakitangan tidak ada. Adalah
amat penting bagi kakitangan supaya sentiasa berusaha ke
arah mempertingkatkan daya inisiatif dan dedikasi untuk
menentukan perkhidmatan yang diberikan itu berkualiti.
19. Akhir kata, saya percaya dan berkeyakinan usaha-usaha
murni yang dilakukan oleh pakar-pakar jantung serta komitmen
oleh pegawai dan kakitangan IJN di semua peringkat akan
dapat menolong menyelamatkan banyak nyawa. Dengan
kesungguhan, komitmen dan dedikasi yang ada pada mereka,
saya yakin IJN berupaya dan akan muncul sebagai pusat
rawatan dan rujukan kardiothorasik yang unggul bukan sahaja
dalam negara tetapi juga di rantau ini.
20. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Institut
Jantung Negara.
|