Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WISMA MCA, JALAN AMPANG,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 26/06/93
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG
TAHUNAN MCA
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MCA kerana menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan
Perhimpunan Agung MCA ini. Sudah menjadi tradisi setiap
kali parti komponen Barisan Nasional (BN) mengadakan
Perhimpunan atau Mesyuarat Agung mereka, saya dijemput
merasmikannya. Sebagai Pengerusi BN saya menghargai
jemputan ini kerana ianya merupakan pengiktirafan perpaduan
dalam BN. Ia juga memberi peluang kepada saya untuk bertemu
dengan para pemimpin dan perwakilan MCA yang telah turut
memainkan peranan penting dalam menjadikan BN pada hari ini
sebuah parti yang berwibawa dan dihormati.
2. Saya gembira melihat MCA kini semakin kukuh dan
dihormati sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina di
negara ini. Kekukuhan ini adalah kerana terdapatnya
perpaduan yang lebih erat di kalangan pemimpin-pemimpin dan
ahli-ahli MCA. Pemimpin- pemimpin MCA juga telah berjaya
meletakkan kepentingan parti dahulu daripada kepentingan
mana-mana individu atau kumpulan. MCA di bawah pimpinan
Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik juga telah berjaya
melaksanakan beberapa projek yang memberi faedah kepada
masyarakat Cina. Dalam hal ini, saya mengucapkan tahniah
kepada MCA atas inisiatifnya melancarkan projek Langkawi
yang turut memberi faedah kepada kaum-kaum bukan Cina.
Projek pendidikan ini dirasakan sangat baik dan oleh sebab
ini Kerajaan menyokong projek ini. Oleh kerana sebab-sebab
ini maka saya rasa masyarakat Cina kini memandang MCA
sebagai parti yang dapat menjaga kepentingan kaum Cina dan
seperti juga dengan UMNO, mengambilkira kepentingan
kaum-kaum lain di Malaysia. Sikap inilah yang
membolehkan Malaysia terus aman dan stabil.
3. MCA yang lebih kukuh dan bersatu padu adalah sangat
dialu-alukan. Ianya bererti MCA bukan sahaja dapat
memainkan peranan yang lebih berkesan, tetapi, lebih
penting, akan dapat menyumbang kepada kekukuhan BN sebagai
parti yang unggul dan berwibawa di negara ini.
4. Rakyat Malaysia sungguh bernasib baik kerana walaupun
negara kita terdiri daripada berbagai-bagai kaum, negara
kita masih aman dan stabil. Kestabilan politik yang kita
semua wujudkan bersama ini telah membolehkan negara terus
mengalami pertumbuhan ekonomi yang tinggi semenjak beberapa
tahun kebelakangan ini. Hasil pertumbuhan ekonomi yang
tinggi ini telah membolehkan semua kaum di negara ini
sama-sama menikmati faedah daripadanya. Tidak ada mana-mana
kaum yang tertinggal dalam proses pembangunan pesat yang
dialami oleh negara. Keadaan aman dan maju yang kita
nikmati sekarang adalah jauh berbeza daripada keadaan
malang yang menimpa beberapa negara yang mempunyai penduduk
berbilang kaum. Di beberapa negara ini, rakyat menderita
akibat persengketaan kaum yang kerapkali menyebabkan
Pembunuhan yang kejam serta kekurangan makanan dan
ubat-ubatan. Di Bosnia-Herzegovina umpamanya, kekejaman
yang berlaku adalah di luar batasan kemanusiaan.
Ketidak-stabilan di negara-negara tersebut telah menyebabkan
ekonomi mereka hancur. Kita patut mengambil pengajaran
daripada kejadian yang berlaku di negara-negara ini
dan dengan itu meningkatkan lagi perpaduan, persefahaman
dan kerjasama di kalangan kita.
5. Kejayaan kita mengatasi masalah perkauman adalah hasil
daripada semangat kerjasama, tolak-ansur dan toleransi di
kalangan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti yang mewakili
berbagai-bagai kaum di negara ini, bermula daripada
Perikatan hinggalah kepada Barisan Nasional hari ini.
Konsep kerjasama, muafakat dan tolak-ansur yang
diperkenalkan oleh Perikatan dan kemudian oleh Barisan
Nasional bagi menyelesaikan sebarang masalah bukan sahaja
telah berjaya mewujudkan kestabilan politik bahkan telah
membantu perkembangan dan pembangunan ekonomi negara ini.
Saya percaya jika konsep yang dibawa oleh Perikatan dan BN
ini tidak diperkenalkan, Malaysia tetap akan menjadi seperti
negara-negara lain yang mempunyai penduduk berbilang kaum
yang selalu menghadapi rusuhan. Sebaliknya negara-negara
Eropah dan Amerika yang sering mengkritik kita kerana
kononnya mempunyai sikap berat sebelah kepada kaum
Bumiputera, tidak pun memberi kerakyatan kepada kaum
pendatang dan rakyat mereka sanggup membakar dan membunuh
penduduk yang bukan daripada kaum bangsa mereka. Sifat
keterlaluan Nazi dan `fascist' masih ada pada mereka. Namun
mereka berani bercakap tentang `human rights' dan demokrasi.
6. Oleh itu, adalah amat penting BN terus mendapat
sokongan kuat semua rakyat, termasuk masyarakat Cina, untuk
menjamin Malaysia akan terus stabil, maju dan membangun
dengan pesat. Konsep BN telahpun teruji atau `tested'
dengan jayanya. BN telahpun membuktikan kemampuan dan
keupayaannya menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara
ini dan menguruskan ekonomi negara ini dengan cekap dan
bijak. Tidak ada alternatif lain yang dapat menggantikan
BN. Pakatan antara parti-parti komponen dalam BN adalah
tetap dan lebih kekal. Ianya bukan seperti pakatan antara
parti-parti pembangkang yang hanya wujud apabila pilihanraya
umum muncul. Selepas pilihanraya masing-masing parti
membawa diri. Kegagalan pakatan tiruan antara parti-parti
pembangkang ialah kerana para pemimpinnya tidak jujur dan
mereka lebih mementingkan diri sendiri daripada kepentingan
rakyat dan negara. Bahawa cara BN memerintah adalah
berkesan dapat dilihat daripada minat yang ditunjukkan oleh
banyak negara membangun dan pertubuhan-pertubuhan
antarabangsa untuk mempelajari cara-cara kita mentadbirkan
negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama ini.
7. Kita akui sekali-sekala terdapat 'minor ripple' dalam
BN seperti baru-baru ini USNO bersubahat dengan parti lawan.
Tetapi tindakan seperti ini tidak menjejaskan kedudukan BN.
Bahkan ianya telah menguatkan lagi BN kerana BN tidak
sanggup mempunyai pemimpin-pemimpin dalam parti komponennya
yang lebih mementingkan diri mereka sendiri daripada
kepentingan parti, rakyat dan negara.
8. Di sini sukalah saya menegaskan bahawa selain daripada
prinsip kerjasama, tolak-ansur dan toleransi, BN juga
memegang prinsip bahawa kepentingan negara dan parti adalah
lebih utama daripada kepentingan individu atau mana-mana
kumpulan. Prinsip inilah yang akan sentiasa dipegang oleh
BN kerana jika BN tunduk kepada mana-mana individu atau
kumpulan, BN akan menghadapi kehancuran.
9. Saya gembira kerana matlamat Kerajaan menjadikan
Malaysia sebuah negara maju telah mendapat sokongan padu
semua parti komponen BN. MCA sendiri telah memainkan
peranannya untuk menjelas dan menerangkan Wawasan 2020
kepada rakyat terutama masyarakat Cina.
10. Sudah lebih dua tahun berlalu semenjak Wawasan ini
diumumkan kepada rakyat, namun masih ada pihak-pihak yang
masih tidak yakin Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju
menjelang tahun 2020. Pihak-pihak yang `sceptical' ini
termasuklah mereka yang sentiasa menentang apa sahaja yang
dilakukan oleh Kerajaan. Mereka yang menentang adalah
mereka yang suka 'oppose for the sake of opposing'.
Walaupun umum mendapati sesuatu rancangan atau projek yang
dilaksanakan oleh Kerajaan berfaedah atau baik, kumpulan
penentang ini tetap akan mengkritiknya. Walaupun kemudian
rancangan atau projek ini telah terbukti berjaya dan dunia
mengakuinya, mereka tetap tidak mahu menerima kenyataan.
Tetapi yang anehnya mereka turut menumpang kejayaan
tersebut. Jika pihak asing tidak yakin akan kemampuan kita
mencapai matlamat Wawasan 2020, ini memang boleh dijangka.
Hari ini pun pihak asing ini tidak senang hati dengan
pencapaian kita. Sebab itu mereka cuba menghasut rakyat,
terutama kaum pekerja dan kesatuan- kesatuan sekerja, supaya
mensabotaj usaha-usaha kita. Mereka tahu bahawa walaupun
Malaysia sebuah negara kecil, kesan daripada kejayaannya
dirasai juga oleh mereka dalam bidang-bidang tertentu.
Tetapi rakyat Malaysia sendiri perlu lebih yakin kerana
keyakinan adalah separuh daripada sifat-sifat yang boleh
membawa kejayaan.
11. Keyakinan ini bukanlah berasaskan kepada keangkuhan.
Ianya harus berasaskan kepada kesedaran bahawa matlamat
Wawasan 2020 ini adalah satu matlamat yang realistik setelah
mengambil kira kemampuan rakyat Malaysia dan prestasi
ekonomi kita selama ini. Kajian yang teliti dan mendalam
telah dijalankan sebelum kita mengambil keputusan
menggariskan matlamat kita menjadi negara maju. Hampir 10
tahun dahulu apabila kita mengumumkan Projek Kereta
Nasional, banyak pihak yang mengkritiknya dengan hebat.
Kononnya Malaysia tidak akan berupaya dan mampu memiliki
kemahiran dan teknologi yang canggih untuk mengeluarkan
kereta yang bermutu tinggi dan boleh bersaing pula di
pasaran antarabangsa. Kini kejayaan Projek Kereta Nasional
tidak dipersoalkan lagi. Walaupun di Malaysia Proton
mendapat sedikit lindungan daripada Kerajaan, ia bersaing di
negara asing dengan jayanya tanpa apa-apa lindungan yang
istimewa.
12. Hari ini rakyat Malaysia berbangga dengan kereta
nasional mereka. Lebih penting, Projek Kereta
Nasional telah menghasilkan banyak 'spin-off effects' dan
bersama-sama projek-projek industri berat yang lain telah
meletakkan asas penting bagi proses perindustrian negara
yang lebih cepat.
13. Projek kereta nasional membuktikan rakyat Malaysia
mampu dan berupaya melakukan apa juga yang dirancangkan oleh
mereka. Kita telah membuktikan bahawa kita berupaya
menguasai kemahiran dan teknologi yang canggih serta
menghasilkan barangan yang bermutu tinggi dan boleh bersaing
di pasaran antarabangsa. Kita juga mempunyai tenaga kerja
di semua peringkat yang rajin, tekun, cekap dan produktif.
Rakyat Malaysia juga mempunyai disiplin dan komitmen yang
tinggi dan tidak mudah dihasut oleh musuh negara. Justeru
itu, kemungkinan negara menjadi sebuah negara maju bukanlah
satu khayalan atau impian di siang hari, tetapi satu
realiti.
14. Yang penting ialah kestabilan politik negara perlu
dikekalkan. Oleh yang demikian adalah amat penting
kaum-kaum di negara ini tidak bertindak sehingga boleh
menjejaskan kestabilan politik negara ini. Semua kaum
hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan perpaduan dan
persefahaman. Mereka hendaklah menghakiskan ketebalan
semangat perkauman. Walaupun kita tidak dapat menghapuskan
secara langsung identiti kaum dan menggantikannya dengan
perasaan kebangsaan yang satu, kita tidak harus
mengapi-apikan semangat perkauman sehingga suasana
politik dan sosial negara menjadi tegang. Ingatlah, setiap
kaum boleh sama-sama memperolehi bahagian yang lebih banyak
hasil daripada kestabilan negara berbanding dengan jika
setiap kaum cuba merebut semuanya untuk dirinya sendiri.
15. MCA adalah salah satu parti komponen BN yang penting
yang telah banyak menyumbang ke arah membantu Malaysia
menjadi sebuah negara yang lebih stabil, bersatu padu, maju
dan makmur. Tanpa sumbangan MCA, saya yakin negara tidak
akan berada di tahap sekarang. Sikap para pemimpinnya yang
sederhana dan realistik terhadap kenyataan bahawa negara ini
diduduki oleh penduduk berbilang kaum telah membolehkan BN
menyelesaikan dengan baik banyak masalah yang dihadapi oleh
negara tanpa menjejaskan perpaduan dan kestabilan negara.
Sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina, MCA telah
berjaya menjaga hak kepentingan yang berpatutan kaum Cina.
Kejayaan ini lebih penting memandangkan dalam memperjuangkan
hak kepentingan kaum Cina, MCA tidak bersifat ekstrim dan
'racist' seperti DAP. Sifat-sifat inilah yang menyebabkan,
antara lain, MCA lebih diterima daripada DAP oleh majoriti
masyarakat Melayu. Oleh itu, adalah diharapkan masyarakat
Cina akan terus memberi sokongan yang kuat kepada MCA. MCA
adalah antara parti-parti dalam BN yang boleh menyelesaikan
masalah kaum Cina. Sikap perkauman DAP yang tebal hanya
akan membawa negara ini ke kancah perpecahan dan rusuhan
kaum seperti di negara-negara majmuk lain. Untuk
membolehkan Malaysia terus aman, stabil, makmur dan maju
masyarakat Cina hendaklah menjauhkan diri daripada politik
perkauman keterlaluan seperti yang diamalkan oleh DAP.
16. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Mesyuarat Agung Tahunan MCA bagi tahun 1993.
|