Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 23/07/93
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN
PERKHIDMATAN TADBIR DAN
DIPLOMATIK PPTD)
Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan
Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik kerana menjemput saya ke
Majlis Jamuan Makan Malam PPTD tahun ini.
2. Saya berasa gembira diberi peluang ini untuk beramah
mesra dan mengeratkan lagi hubungan antara kita semua.
Persefahaman dan kerjasama antara pemimpin Kerajaan pilihan
rakyat, iaitu pemimpin politik, para pentadbir serta
pemimpin-pemimpin korporat di dalam sesebuah negara adalah
sangat penting dalam usaha memajukan negara. Pemimpin
pemimpin pengurusan yang diamanah dan diharapkan oleh rakyat
untuk menguruskan hal ehwal negara perlu sentiasa komited
serta kreatif dalam menangani segala cabaran. Mereka harus
cekap dan tekun dalam menjalankan urusan mereka. Mereka
perlu mempunyai 'vision' dan 'a sense of mission' apabila
menjalankan tugas. Bagi mereka balasan yang utama ialah
prestasi kejayaan yang mereka capai dalam menjalankan tugas.
Dan kejayaan ini terbukti dan boleh diukur daripada
pertumbuhan yang ditunjuk oleh negara.
3. Kita harus mempunyai komitmen yang mendalam untuk
membawa negara menempuh Abad ke-21. Hanya Malaysia sahaja
antara negara-negara di dunia yang mempunyai matlamat yang
tetap dan tepat. Kita telah tentukan bahawa kita mahu
menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Penentuan
matlamat ini penting. Ia menolong perancangan dan
penyusunan langkah untuk matlamat berkenaan.
4. Segala-galanya akan ditentukan oleh Tuhan. Tetapi ini
tidak bermakna kita tidak boleh menentukan arah dan
matlamat. Insya-Allah jika kita betul-betul berusaha,
kemungkinannya ialah kita akan mencapai matlamat kita.
Sebaliknya jika kita tidak tahu ke mana hendak kita pergi,
agak sukar bagi kita mengatur langkah dan kemungkinan kita
mencapai sesuatu agak lemah.
5. Untuk mencapai sesuatu matlamat bagi diri sendiri atau
bagi negara, banyak yang perlu diketahui dan dibuat.
Semuanya penting, walaupun ada yang lebih penting daripada
yang lain. Antara perkara yang penting bagi sesebuah negara
yang perlu kita tahu dan kita usahakan ialah kestabilan
politik.
6. Kita boleh lihat bagaimana negara yang tidak stabil
politiknya tidak dapat mencapai kemajuan walaupun faktor
faktor lain amat sesuai. Sesebuah negara mungkin kaya
daripada segi sumber alam, kecerdikan rakyat dan kecekapan
bekerja, tetapi kerana politik tidak stabil maka semua aset
ini menjadi sia-sia sahaja.
7. Sebaliknya jika politik stabil walaupun kekurangan
aset, kemajuan boleh juga tercapai. Di Malaysia kita
mempunyai banyak faktor yang boleh 'destabilise' politik
kita. Tetapi kerana rakyat sedar bahawa politik untuk
politik adalah sia-sia, maka keghairahan untuk berideologi
atau berpuak-puak atau bersikap fanatik kepada pemimpin
tidak mengganggu ketenteraman dan kestabilan negara. Tolak
ansur dan toleransi menjadi amalan kita.
8. Para pentadbir dan pengurus dalam Kerajaan, mahu pun di
pihak swasta, perlu faham akan pentingnya kestabilan
politik. Mungkin kerananya ada pihak yang tidak mendapat
semua yang dituntut. Tetapi mendapat sebahagian adalah
lebih baik daripada memperolehi semua yang sudah rosak.
9. Walaupun secara langsung pengurus dan pentadbir tidak
terlibat dengan politik, tetapi kesan daripada usaha dan
urusan mereka dapat menentukan politik akan stabil atau
tidak. Secara umum negara yang ditadbirkan dengan baik dan
berjaya daripada segi ekonomi lebih mudah stabil.
Sebaliknya seperti yang telah disebutkan, kestabilan politik
pula memudahkan proses pertumbuhan ekonomi. Dengan itu
adalah jelas bahawa politik dan ekonomi tidak boleh
dipisahkan, bahkan masing-masing bergantung di antara satu
dengan lain. Pengurus dan pentadbir hendaklah faham
mengenai kaitan yang rapat di antara kedua-dua perkara ini,
dan dengan itu akan berusaha melahirkan pentadbiran yang
baik yang boleh membantu pembangunan ekonomi dan kestabilan
politik.
10. Faktor kedua yang boleh menentukan kejayaan sesebuah
negara ialah peranan pentadbir dan pihak swasta. Mengikut
tradisi pemerintahan lama, pentadbir hanya mentadbir segala
galanya termasuk sektor swasta. Dengan itu sikap pentadbir
kepada swasta ialah sebagai pentadbir atau penguatkuasa
undang-undang dan peraturan-peraturan. Yang diutamakan
ialah undang-undang dan peraturan-peraturan dan bukan
kepentingan swasta. Adalah dipercayai bahawa undang-undang
dan peraturan-peraturan adalah untuk kebaikan masyarakat dan
negara. Bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan
mungkin menghalang urusan perniagaan dan perusahaan tidak
mendapat perhatian pentadbir.
11. Dengan ini perhubungan antara pentadbir dan pihak
swasta tidak digalakkan. Sudah tentu kerjasama di antara
kedua-dua pihak ini tidak wujud.
12. Tetapi sebenarnya kekayaan dan pembangunan negara
bergantung kepada kejayaan peniaga dan pengusaha. Bukan
sahaja mereka dikehendaki membayar cukai kepada Kerajaan,
tetapi juga kegiatan mereka menolong 'money circulation',
mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menggerakkan
ekonomi. Wang yang tidak bergerak tidak akan membawa apa
apa faedah. Peniaga dan pengusaha menggerakkan wang. Tanpa
mereka pertumbuhan ekonomi tidak mungkin.
13. Jika peranan swasta dalam pertumbuhan ekonomi diakui
maka Kerajaan yang ingin membangunkan negara hendaklah
berusaha supaya pihak swasta dapat berfungsi dengan baik.
Justeru itu, kerjasama antara Kerajaan, pentadbiran dan
pihak swasta adalah wajar. Ia boleh menolong mewujudkan
iklim perdagangan yang baik.
14. Konsep Persyarikatan Malaysia diasaskan kepada
kesedaran ini. Walaupun penyelewengan mungkin berlaku,
tetapi faedah daripada kerjasama ini adalah lebih daripada
kemungkinan berlakunya perkara yang buruk.
15. Kita tidak dapat menilai secara kuantitatif hasil
daripada pelaksanaan konsep Persyarikatan Malaysia. Tetapi
hakikatnya ialah pertumbuhan ekonomi Malaysia sekarang lebih
tinggi dari masa tidak adanya konsep Persyarikatan Malaysia.
Sedikit sebanyak konsep ini atau kerjasama awam dan swasta
telah menyumbang kepada kemajuan negara.
16. Memang benar konsep Persyarikatan Malaysia sahaja
dengan sendirinya tidak mungkin membawa kejayaan. Tetapi
faktor ini tetap berperanan penting.
17. Faktor ketiga ialah organisasi. Kelebihan negara
negara Barat di zaman dahulu ialah mereka lebih tersusun
dalam pentadbiran mereka, sama ada di peringkat negara atau
di peringkat pasukan. Tentera mereka disusun rapi dan
mempunyai 'hierarchy' yang jelas -- daripada 'general' di
atas hingga kepada 'trooper' di bawah. Cara-cara memberi
arahan juga ditentukan dan mempunyai maksud yang diketahui
oleh semua peringkat. Dengan ini maka segala urusan dapat
berjalan dengan tertib dan lancar. Faktor organisasi yang
kemas inilah yang membolehkan negara Barat, dengan pasukan
pasukan yang kecil menakluki, menguasai dan mentadbir
wilayah-wilayah di Afrika, Amerika dan Asia yang mempunyai
penduduk yang begitu ramai.
18. Hari ini kita telah sedar akan pentingnya berorganisasi
dan berperaturan. Dengan menyusun diri dalam organisasi
kita telah dapat merebut balik kemerdekaan kita dan
mendirikan pentadbiran yang efektif. Sudah tentu dengan
pentadbiran yang lebih cekap dan lebih kemas, kita akan
lebih berjaya.
19. Para pentadbir dan pengurus tentu sedar akan hakikat
ini. Usaha untuk meningkatkan struktur organisasi dan
menyusun pengurusannya tidak mempunyai had. Negara yang
ingin berjaya perlu menyemak struktur dan urusan organisasi
pentadbirannya sepanjang masa. Dengan alat-alat moden
pengurusan menjadi lebih mudah dan lebih cepat. Pendekatan
baru dan latihan yang berulang adalah perkara yang penting
bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran.
20. Susunan 'hierarchy' adalah penting. Tetapi 'hierarchy'
tanpa disiplin tidak bermakna. Justeru itu, pentadbiran
yang ingin berjaya perlu berdisiplin. Disiplin bermakna
organisasi adalah lebih penting daripada anggota individu.
21. Malaysia sedang bergerak ke arah Wawasan 2020, ke arah
menjadi sebuah negara maju. Untuk bergerak dengan berkesan,
selain daripada mengenali matlamat, kita perlu kepada
kefahaman dan tindakan. Banyak faktor yang penting
diperlukan.
22. Tetapi di sini kita menekankan beberapa faktor utama
sahaja. Kita perlu kepada kestabilan politik. Kita perlu
kepada Persyarikatan Malaysia. Dan kita perlu kepada
organisasi-organisasi yang berdisiplin. Insya-Allah jika
kita ada tiga faktor ini kemungkinan kita menjadi negara
maju pada tahun 2020 adalah cerah.
23. Sebagai anggota PTD, tuan-tuan dan puan-puan akan
memainkan peranan yang kritikal. Oleh itu fahaman tuan-tuan
dan puan-puan terhadap faktor-faktor utama ini adalah
penting. Sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan negara
dan bangsa kita bermaruah dan dihormati.
24. Dengan ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada
pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan
semoga tuan-tuan dan puan-puan akan terus bekerjasama dalam
memenuhi amanah yang diberikan kepada tuan-tuan dan
puan-puan.
Terima kasih.
|