Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NURUL IMAN, BANDAR
SERI BEGAWAN
Tarikh/Date : 02/08/93
Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN NEGARA SEMPENA
LAWATAN RASMI KE NEGARA
BRUNEI DARUSSALAM
BISMILLAHHI RAHMANNIR RAHIM
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin
Waddaulah, Sultan Dan Yang di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam,
Duli-Duli Yang Teramat Mulia,
Para Tetamu Yang Dihormati sekalian,
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Izinkan patek terlebih dahulu mengambil kesempatan ini
untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku
di atas limpah perkenan Tuanku mengadakan Majlis Jamuan pada
malam ini sempena lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam.
Ribuan terima kasih juga diucapkan di atas sambutan serta
layanan mesra yang telah diberikan kepada rombongan Malaysia
semenjak tiba di Bandar Seri Begawan yang indah lagi aman
ini. Sambutan dan layanan mesra ini adalah satu
penghormatan yang besar kepada kami semua dan juga kepada
Kerajaan Malaysia.
2. Sungguhpun lawatan ke Negara Brunei Darussalam sudah
beberapa kali dilakukan, namun lawatan rasmi ini adalah
tanda penghormatan dan sanjungan tinggi Kerajaan dan rakyat
Malaysia terhadap Kerajaan dan rakyat Negara Brunei
Darussalam yang merdeka dan berdaulat. Di sini, sukalah
juga disampaikan ucapan selamat dan salam persahabatan
daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan
dan seluruh rakyat Malaysia kepada Tuanku, Kerajaan dan
rakyat Negara Brunei Darussalam, berserta doa semoga
persahabatan dan persaudaraan di antara kedua-dua negara
akan terus berkekalan.
Tuanku,
3. Kerajaan Malaysia berasa amat puashati bahawa pada hari
ini hubungan di antara kedua-dua negara kita amat rapat dan
akrab sekali. Banyak perjanjian kerjasama telah dimeterai
dan tukar- menukar lawatan sering diadakan. Semuanya ini
bertujuan merapatkan lagi kerjasama dan persahabatan di
antara kedua-dua negara. Dengan adanya persetujuan untuk
menubuhkan Suruhanjaya Bersama di antara Malaysia dengan
Negara Brunei Darussalam, dipercayai usaha ke arah kerjasama
dua hala yang lebih luas dapat dipertingkatkan lagi dan apa-
apa masalah yang ada di antara kedua-dua negara dapat
diselesaikan secara aman dengan semangat persaudaraan.
Persefahaman dan kerjasama ini begitu penting bukan sahaja
sebagai asas keamanan dan kestabilan di rantau kecil ini,
tetapi juga sebagai sumbangan positif terhadap keamanan dan
kestabilan di seluruh Asia Tenggara. Juga pentingnya ialah
hubungan erat di antara Malaysia dengan Negara Brunei
Darussalam ini dapat meningkatkan terus kegemilangan bangsa
dan budaya Melayu yang sama-sama kita cintai. Budaya Melayu
yang kaya dan indah ini perlu digembur dan dipupuk supaya ia
terus subur dan mendapat tempat yang dihormati dalam budaya
antarabangsa.
4. Di samping kerjasama dua hala, kedua-dua negara kita
juga telah bekerjasama rapat dan saling bantu-membantu dalam
ASEAN dan di forum-forum antarabangsa seperti Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Persidangan Islam.
Kerjasama ini lahir kerana Malaysia dan Negara Brunei
Darussalam mempunyai pandangan dan pendirian yang sama
mengenai isu-isu penting yang melibatkan keamanan,
kestabilan dan kemakmuran serantau dan antarabangsa. Dalam
hal ini, Kerajaan Malaysia menyampaikan rasa terima kasih
dan penghargaan kepada Tuanku atas sokongan Negara Brunei
Darussalam kepada beberapa inisiatif yang diambil oleh
Malaysia, termasuklah EAEC yang sekarang mendapat
persetujuan negara-negara Asia Timur.
5. Di sini sukalah ditegaskan betapa pentingnya bagi
negara- negara ASEAN mengadakan kerjasama yang menyeluruh
antara mereka supaya ASEAN benar-benar teguh dan bersatu
bagi menghadapi tekanan dan cabaran daripada mana-mana
pihak. Sambil mengalu- alukan kerjasama dan sokongan
daripada negara-negara luar, ASEAN haruslah menjadi
penggerak utama dan menerajui apa juga usaha berkaitan
dengan ekonomi, keamanan dan kestabilan Asia-Tenggara.
Kemampuan ASEAN memainkan peranan ini jelas terbukti
daripada kejayaan yang dicapai dalam usaha mencari
penyelesaian bagi masalah Kemboja, persetujuan menubuhkan
Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dalam jangka waktu
lima belas tahun dan juga persetujuan menubuhkan EAEC.
Tuanku,
6. Syukur alhamdulillah kedua-dua negara kita menikmati
keamanan dan kemakmuran sekian lama. Di bawah pemerintahan
Tuanku, Negara Brunei Darussalam telah mencapai banyak
kemajuan dan sanggup memainkan peranan yang aktif dalam fo-
rum antarabangsa. Begitulah juga Malaysia di mana Kerajaan
Barisan Nasional telah berjaya menyatu-padukan rakyat dan
membangun negara dengan pesatnya. Dalam keadaan aman dan
makmur ini dan sesuai dengan pendirian Kerajaan untuk
menyumbang ke arah perdamaian dan kestabilan dunia dan
membantu mereka yang malang, Malaysia telah mengambil
bahagian dalam beberapa operasi keamanan Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu, termasuk di Kemboja dan Somalia. Pada masa
ini Malaysia sedang memberi perhatian serius kepada keadaan
di Bosnia-Herzegovina, di mana rakyat Islam terutamanya,
sedang menghadapi kekejaman dan keganasan puak Serb.
Laungan meminta pertolongan dan bantuan untuk mempertahankan
diri langsung tidak dihiraukan oleh negara-negara Eropah.
Malaysia tidak sanggup melihat keadaan ini berlarutan dan
sedang berusaha dengan negara-negara lain untuk membantu
rakyat Islam Bosnia mempertahankan nyawa dan hak mereka.
Dalam hal ini Kerajaan Malaysia mengalu-alukan apa jua
sokongan dan bantuan Kerajaan Tuanku bagi menyelamatkan
negara Bosnia-Herzegovina mencapai matlamat ini.
7. Akhir kata, patek memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu
wa Ta'ala agar Tuanku, Raja Isteri dan Pengiran Isteri serta
semua kerabat di Raja dan rakyat Negara Brunei Darussalam
sentiasa mendapat peliharaan dan perlindungan daripadaNya
serta dikurniakan keberkatan, rahmat dan hidayat ke arah
kejayaan yang cemerlang dalam usaha pembangunan Negara
Brunei Darussalam.
Wabillahi taufik, walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|