Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 06/08/93
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERPADUAN HARI
PEKERJA 1993
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur
kerana menjemput saya ke Majlis Makan Malam Perpaduan
Sempena Hari Pekerja tahun ini. Ini adalah kali ketiga
Kerajaan menganjurkan upacara Sambutan Hari Pekerja dan
ianya merupakan pengiktirafan Kerajaan terhadap sumbangan
para pekerja kepada pembangunan negara. Adalah diharapkan
Majlis seumpama ini dapat memperkukuhkan hubungan antara
Kerajaan, majikan dan para pekerja dalam usaha kita membawa
Malaysia ke taraf negara maju menjelang tahun 2020.
2. Kita patut bersyukur, bahawa sementara negara-negara
Barat dan perindustrian serta negara-negara membangun yang
lain mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ekonomi
Malaysia terus berkembang dengan kadar yang menggalakkan.
Ini disebabkan keadaan politik negara yang stabil, dan
tenaga pekerja kita yang terkenal kerana rajin, cekap,
produktif dan berdisiplin. Faktor- faktor ini telah menjadi
daya penarik kepada para pelabur asing dan tempatan untuk
melabur di negara kita. Dengan ini kita berjaya menjadikan
sektor perkilangan sebagai teras dan paksi kepada
pertumbuhan ekonomi negara bagi menggantikan industri sumber
alam seperti getah dan bijih timah.
3. Dengan kejayaan program perindustrian, usaha
kita untuk menjadi negara maju adalah cerah. Jika peralihan
dari pengeluaran bahan mentah kepada industri pembuatan
tidak dibuat pada waktu yang tepat, hari ini ekonomi kita
akan lumpuh kerana harga timah dan getah adalah begitu
rendah. Ramai pekerja kita akan menganggur. Namun kita
harus ingat bahawa membuat keputusan untuk mengalih daripada
pengeluaran bahan mentah kepada industri pembuatan adalah
mudah. Yang menjadi masalah ialah tindakan susulan untuk
menjayakan peralihan ini. Banyak yang perlu dilakukan oleh
Kerajaan dan tidak kurang pentingnya ialah penerimaan dan
kesanggupan masyarakat pekerja terhadap perubahan cara
bekerja dan cara hidup mereka.
4. Mengikut 'World Competitiveness Report 1993', Malaysia
sekali lagi merupakan negara keempat yang paling
'competitive' di kalangan 'industrialising countries'. Ini
satu pencapaian yang boleh kita banggakan memandangkan pada
hari ini semua negara membangun sentiasa mengambil langkah-
langkah untuk meningkatkan lagi daya saing atau
'competitiveness' mereka. Daya saing barangan yang sama
kualiti dan kecanggihan bergantung kepada kos. Antara
faktor-faktor yang boleh mengurangkan kos ialah upahan yang
tidak tinggi dan peningkatan daya pengeluaran. Jika pada
hari ini negara-negara membangun yang tidak mempunyai modal
atau teknologi atau pasaran yang besar, atau kecekapan
pengurusan, atau sokongan media dapat bersaing dengan
jayanya dengan negara-negara maju yang memiliki semua
kelebihan ini, sebabnya ialah kerana kos upahan pekerja
negara-negara maju kini terlalu tinggi dan pekerja-pekerja
mereka mengurangkan masa kerja. Jika kita yang serba
kekurangan ini mengikuti desakan mereka supaya menaikkan
upahan dengan sewenang-wenangnya, mengurangkan masa kerja
dan kerap mengadakan tindakan perusahaan, maka kos kita juga
akan meningkat dan kita akan menjadi tidak kompetitif.
Pelaburan oleh pelabur asing dan tempatan akan berkurangan
dan pekerja akan menganggur. Dalam keadaan pengangguran
yang tinggi, upah bagi pekerja akan menurun.
5. Apakah ini bermakna bahawa upahan pekerja tidak
harus naik sama sekali? Sebenarnya kemajuan negara tidak
bermakna jika masyarakat pekerja yang menjadi sebahagian
besar daripada warganegara tidak menikmati taraf hidup yang
semakin baik. Pendapatan pekerja harus meningkat. Tetapi
peningkatannya hendaklah melalui peningkatan daya
pengeluaran. Dengan ini kos tidak akan meningkat dan daya
saing tidak akan terjejas. Di samping itu inflasi juga
tidak akan melanda pasaran kita, dan tambahan pendapatan
pekerja boleh membeli lebih banyak barangan kerana harganya
tidak naik. Upahan yang naik tidak bermakna jika harga
barangan turut naik pada paras yang sama.
6. Peningkatan daya pengeluaran boleh dicapai dengan
peningkatan kecekapan, dengan bekerja lebih kuat, dengan
bersedia mempelajari cara-cara pengeluaran yang baru, dengan
etika kerja yang tinggi, dengan suasana kerja yang tertib,
dengan disiplin dan banyak lagi cara. Semua cara ini tidak
melibatkan tambahan kos. Sebaliknya pengeluaran akan
meningkat. Inilah yang dikatakan peningkatan daya
pengeluaran atau 'increased productivity'. Dengan ini
upahan boleh dinaikkan tanpa menambah kos dan menaikkan
harga barang. 'Competitiveness' tidak akan terjejas.
7. Kegagalan industri di Barat adalah disebabkan oleh
kenaikan kos sehingga barangan mereka tidak lagi dapat
bersaing dengan barangan dari Asia, termasuk negara-negara
membangun seperti Malaysia. Di zaman kolonial mereka boleh
menghalang industri daripada diadakan di tanah yang dijajah
oleh mereka, boleh mengawal dan menurunkan harga bahan
mentah dari tanah jajahan mereka dengan menggunakan
'kuli-kuli' India dan Cina yang dibayar upah yang
rendah dan memaksa penduduk tanah jajahan mereka membeli
barangan buatan mereka dengan apa juga harga yang
ditetapkan oleh mereka.
8. Dengan cara ini mereka boleh menaikkan gaji pekerja
mereka, mengurangkan masa kerja, membayar 'severance pay'
dan elaun menganggur yang tinggi sepanjang masa. Majikan
mereka dapat mengaut keuntungan yang tinggi dan membayar
dividen yang lumayan. Industri mereka berkembang maju dan
bertambah, sementara pekerja mereka mendapat peluang bekerja
yang banyak. Namun pekerja mereka terus menuntut upahan
yang lebih tinggi. Jika mereka menggugat 'Industrial peace'
dengan mengambil berbagai-bagai tindakan perusahaan, tidak
ada apa-apa kesan buruk berlaku kerana mereka menguasai
sumber bahan mentah, kos di tanah jajahan mereka dan pasaran
dalam empayar mereka. Inilah 'economic order' zaman
kolonial, di mana segala-galanya ditentukan oleh kerajaan
kolonial.
9. Hari ini mereka tidak mempunyai empayar lagi. Negara-
negara yang bebas daripada penjajahan mereka boleh memasuki
bidang industri pembuatan dan boleh mengeluarkan barangan
yang dahulu hanya mereka sahaja boleh mengeluarkan. Dengan
itu negara-negara Barat terpaksa bersaing dalam pasaran
terbuka dengan negara-negara membangun. Tetapi tabiat
kerja mereka tidak berubah. Mereka terus menuntut upahan
yang tinggi, masa kerja yang semakin kurang dan bayaran
pengangguran yang tinggi. Eksekutif mereka mahu gaji yang
terlalu tinggi dan pemegang saham mereka mahu dividen yang
berlebihan. Hasilnya ialah harga barangan mereka meningkat
sehingga tidak dapat bersaing dengan barangan yang sama dari
negara membangun seperti Malaysia.
10. Mereka juga masih tidak sanggup mengurangkan upahan
mereka dan bayaran 'dole' yang tinggi. Oleh kerana Kerajaan
membayar 'dole' yang tinggi, upahan kerja tidak dapat
diturunkan. Dengan itu pelabur tidak berminat untuk melabur
di negara mereka kerana tidak mungkin mendapat keuntungan.
Sebaliknya mereka melabur di negara-negara membangun di mana
upahan adalah rendah. Dengan tindakan ini, semakin ramai
yang menganggur dan semakin tinggi belanja Kerajaan untuk
membayar 'dole'. Dan Kerajaan yang menghadapi masalah
ekonomi yang malap tidak mampu membayar 'dole' yang
meningkat. Tetapi mereka tidak dapat mengurangkan 'dole'
kerana sara hidup di negara mereka begitu tinggi. Lagipun
mana-mana Kerajaan yang cuba mengurangkan bayaran 'dole'
akan dikalahkan dalam pilihanraya.
11. Oleh kerana mereka tidak sanggup mengurangkan upahan
pekerja dan menurunkan taraf hidup mereka untuk memulihkan
keupayaan bersaing, mereka merancang untuk menaikkan kos
barangan dari negara-negara membangun. Tiba-tiba pekerja
dan kesatuan sekerja di negara-negara maju menunjukkan
simpati kepada pekerja di negara-negara membangun. Kalau
dahulu mereka tidak mempedulikan nasib malang 'kuli-kuli'
yang bekerja ditanah jajahan empayar mereka, sekarang
mereka menyatakan kesedihan mereka kerana pekerja di negara
membangun kononnya tidak bebas mengambil tindakan
perusahaan, di bayar upah yang rendah dan dikenakan beban
kerja yang berat.
12. Mereka mahu supaya para pekerja negara membangun
mengadakan kesatuan sekerja yang kuat dan militan yang gemar
mogok dan sepanjang masa menuntut kenaikan gaji dan
mengurangkan masa kerja dan lain-lain lagi yang boleh
menaikkan kos pengeluaran barangan. Dengan ini mereka
berharap barangan mereka akan dapat bersaing dengan jayanya
dengan barangan dari negara-negara membangun.
13. Yang anihnya mereka tidak menghiraukan nasib pekerja-
pekerja yang termiskin yang tidak mengeluarkan barangan yang
bersaing dengan barangan mereka. Sebenarnya nasib pekerja
di 'least developed countries' atau LDC yang gagal memasuki
bidang industri adalah jauh lebih buruk. Tetapi tidak ada
simpati dan 'brotherhood' yang ditunjukkan oleh pekerja dan
kesatuan sekerja dari negara maju ini kepada pekerja dari
LDC. Di sini jelaslah bahawa simpati dan persaudaraan
pekerja dan kesatuan sekerja dari negara maju ini tidak
ikhlas, tetapi bertujuan untuk menghancurkan ekonomi negara
membangun yang berjaya memasuki bidang industri seperti
Malaysia.
14. Kita berharap pekerja dan kesatuan sekerja di Malaysia
tidak terpedaya dengan simpati dan persaudaraan pekerja
daripada kesatuan sekerja negara maju ini. Jika nasihat dan
bantuan mereka diterima akibatnya ialah pembangunan negara
kita akan terjejas dan peluang kerja serta 'security'
pekerjaan kita akan tergugat. Akhirnya kita akan balik
semula menjadi miskin sementara mereka akan terus kaya dan
hidup mewah dengan upahan dan kemudahan yang lumayan.
15. Sebenarnya tidak ada cara untuk cepat kaya, baik bagi
pengusaha atau pekerja. Mogok dan ugutan kepada majikan
mungkin akan berjaya menaikkan upahan dan lain-lain balasan
dengan cepat. Tetapi negara dan pekerja yang terkenal
kerana suka mengambil tindakan perusahaan tidak akan dapat
menarik pelabur dan membangunkan negara. Pengangguran akan
meningkat. Negara seperti Malaysia di mana kita tidak mampu
mengadakan sistem 'dole' akan menghadapi tekanan
pengangguran yang teruk. Apabila bilangan penganggur
meningkat, upah tetap akan menurun kerana permintaan untuk
pekerja adalah kurang daripada bekalan. Akhirnya tindakan
mogok pun tidak akan berhasil. Lebih banyak perusahaan
terpaksa gulung tikar dan berpindah.
16. Sebaliknya cara yang terselamat dan lebih terjamin
untuk menaikkan upahan ialah dengan menjayakan perusahaan di
mana kita bekerja. Kita lihat di Malaysia, kerana strategi
dan insentif Kerajaan berkesan, hari ini bilangan pekerja
kurang daripada peluang kerja yang ditawarkan. Jika majikan
tidak sanggup menaikkan upah, mereka tidak akan mendapat
pekerja. Tetapi kita harus selalu sedar bahawa jika upah
naik terlalu tinggi dan cepat pelabur akan pergi ke negara
lain.
17. Hakikatnya ialah 'industrial peace' dan 'high produc-
tivity' lebih berkesan dan lebih kekal dalam menaikkan upah
pekerja daripada cara-cara yang usang seperti tindakan
perusahaan.
18. Kenaikan upah cara ini pula tidak akan menyebabkan
inflasi. Dengan itu tambahan pendapatan bermakna kenaikan
'purchasing power' atau daya pembelian. Jika kenaikan upah
adalah kerana ugutan, dengan tidak ada kenaikan daya
pengeluaran, maka inflasi tetap akan berlaku. Apabila
inflasi berlaku maka kenaikan upahan tidak dapat menambah
daya pembelian. Apakah gunanya pendapatan meningkat tetapi
barangan yang boleh dibeli dengannya tidak bertambah?
19. Kita ingin melihat negara kita menjadi negara maju.
Negara maju bermakna pekerja mendapat upahan yang meningkat
dan daya pembelian yang naik bersama.
20. Inilah niat Kerajaan. Percayalah Kerajaan pilihan
rakyat ini lebih bersimpati dengan pekerja negara ini
daripada pekerja dan kesatuan sekerja asing. Simpati mereka
adalah simpati palsu. Niat mereka adalah kebaikan bagi diri
mereka dan bukan bagi pekerja kita. Sudah tentu mereka
tidak bersimpati terhadap aspirasi kita untuk menjadi negara
maju yang mampu bersaing dan mengalahkan mereka.
21. Justeru itu pada hari ini, Hari Pekerja, kita semua
harus sedar dan bertindak untuk kebaikan diri kita dengan
tidak terpengaruh dengan kata-kata manis pihak asing. Hanya
kita sahaja yang boleh menolong diri kita sendiri.
Sekian.
|