Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	LOT 10, JALAN SULTAN ISMAIL, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	12/08/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN MINGGU JANTUNG 
			KE-3 YAYASAN JANTUNG MALAYSIA, 


 
    Saya mengucapkan terima kasih kepada  Lembaga  Pengarah
Yayasan   Jantung   Malaysia  kerana  menjemput  saya  untuk
merasmikan Minggu Jantung Ketiga anjurannya pada hari ini.
2.   Sebagaimana kita sedia maklum, pembangunan negara telah
berkembang dengan pesatnya sepanjang dua  dekad  yang  lalu.
Berbagai-bagai  kemajuan  telah  dicapai  dan  telah memberi
manfaat kepada masyarakat.  Rakyat pada keseluruhannya telah
menikmati  taraf  hidup  yang  lebih  baik  dan  selesa dari
dekad-dekad yang lalu.
3.    Taraf kesihatan rakyat Malaysia juga  telah  meningkat
hasil    kejayaan    usaha-usaha    Kerajaan    membangunkan
perkhidmatan kesihatan yang baik di seluruh negara.    Namun
pembangunan  pesat  negara  ini  telah membawa masalah baru,
iaitu  perubahan  dalam  corak  atau  jenis  penyakit   yang
menyerang  penduduk  negara  ini.    Hari  ini penyakit yang
disebabkan oleh gaya hidup  atau  'lifestyle'    yang  mewah
lebih kerap berlaku dari dahulu.
4.    Kemajuan  pembangunan  bidang  sosio-ekonomi di negara
ini telah meninggikan  taraf  penghidupan   rakyat  sehingga
mencapai  tahap   yang  ' affluent'   dan   'sophisticated'.
Keadaan  ini  dengan  secara  sedar  atau  tidak sedar telah
mengubah cara hidup kita.   Misalnya, di  masa  yang  lampau
kita   bekerja  kuat  menggunakan  tenaga  dan  mengeluarkan
keringat tetapi kini kebanyakan  daripada  kita  tidak  lagi
menggunakan  tenaga  untuk  kerja berat.   Kerja-kerja  kita
boleh diselesaikan dengan  menggunakan  alat-alat  teknologi
yang  canggih,  tanpa bergerak dari tempat kerja atau tempat
duduk.  Penggunaan tenaga yang  berkurangan  tidak  seimbang
pula   dengan   makanan  yang  kita  makan.    Makanan  kita
seringkali  merupakan  makanan  yang   mempunyai   kandungan
kolesterol, gula, lemak dan garam yang tinggi.
5.    Gaya  hidup  yang  moden   juga   telah   menggalakkan
sesetengah daripada kita meminum minuman keras  dan  merokok
berlebihan.   Gaya dan cara hidup yang berubah tidak membawa
kita ke arah hidup yang positif bahkan  membawa  kita  hidup
secara   negatif   dan  ke  arah  pengidapan  berbagai-bagai
penyakit moden atau  'penyakit  orang  kaya'  seperti  darah
tinggi  dan  kencing manis.   Ini kemudiannya melarat kepada
penyakit  jantung  yang  kini  sudah  menjadi  punca   utama
kematian di negara ini.
6.     Penyakit  kardiovaskular  termasuk  penyakit  jantung
koronari, 'stroke' dan lain-lainnya telah menjadi  'Pembunuh
Utama'  atau  'No.  1  Killer'  di  negara  ini.   Dua puluh
sembilan  peratus  daripada  kematian  yang  didaftarkan  di
hospital  di Semenanjung Malaysia di dalam tahun 1990 adalah
berpunca daripada penyakit kardiovaskular.  Di antara  tahun
1981 hingga 1989 pula, kadar kematian itu meningkat daripada
15.3 bagi setiap 100,000 orang kepada 37 bagi setiap 100,000
orang, pertambahan sebanyak 142 peratus.
7.    Angka   kemasukan  ke   hospital-hospital   disebabkan
penyakit  kardiovaskular  juga menunjukkan peningkatan kadar
yang sangat ketara, iaitu sebanyak 534  peratus  dari  tahun
1965 hingga tahun 1989.
8.    Dalam tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, rakyat Malaysia
yang mengidap penyakit ini terpaksa  mendapat  rawatan  dari
luar  negeri dengan dikenakan bayaran yang amat tinggi.  Ini
ialah  kerana  pada  masa  itu  Malaysia   tidak   mempunyai
kemudahan  rawatan penyakit jantung.  Hanya pada akhir tahun
tujuh puluhan dan lapan puluhan, pusat-pusat  jantung  telah
diwujudkan  di  Hospital Universiti dan hospital besar serta
beberapa  hospital  swasta.     Banyak  antara   warganegara
Malaysia  yang  telah mendapat rawatan daripada  pusat-pusat
jantung ini.
9.   Tahun 1992 merupakan tahun yang paling  beruntung  bagi
pesakit-pesakit  jantung  di Malaysia kerana pada tahun itu,
Institut Jantung Negara telah dibuka.    Kemudahan  Institut
itu  dibuka  kepada  semua  golongan rakyat, termasuk mereka
yang kurang berada.   Malahan  warganegara  luar  di  rantau
ASEAN juga telah menggunakan kemudahan-kemudahan di sini.
10.    Kerajaan  kini  terpaksa mengkaji kos untuk membiayai
kesihatan rakyat yang selama ini ditanggung  oleh  Kerajaan.
Sistem   pembiayaan  percuma  rawatan  pesakit  di  Malaysia
dimulakan   pada   zaman   penjajah   sebagai   satu    cara
mempopularkan  rawatan  secara Barat.   Di waktu itu rawatan
terhad kepada pemberian ubat yang amat murah harganya, iaitu
sebanyak  sepuluh  hingga  dua  puluh  sen  sebotol  sahaja.
Pembedahan  pula  jarangkali  diperlukan  dan  begitu  mudah
sehingga tidak melibatkan  kos  yang  tinggi.    Dengan  itu
khidmat perubatan oleh Kerajaan secara percuma tidak menjadi
beban  dan  tidak  menyebabkan  banyak  wang Kerajaan dialih
daripada perbelanjaan pembangunan lain untuk rakyat.    Hari
ini  keadaan  amat  berbeza.    Rawatan  pesakit  memerlukan
belanja  yang  tinggi  dan   Kerajaan   tidak   lagi   mampu
membiayainya  dengan  percuma tanpa menjejaskan perbelanjaan
untuk infrastruktur yang lain.  Oleh itu  Kerajaan  terpaksa
mengenakan  bayaran  yang  'nominal'  dan untuk kes-kes yang
memerlukan perbelanjaan yang tinggi, bayaran yang berpatutan
dikenakan.
11.  Masalahnya ialah Kerajaan masih ingin  memberi  rawatan
dengan  bayaran yang murah tetapi sistem gaji Kerajaan tidak
menarik bagi pakar-pakar perubatan yang diperlukan.  Justeru
itu, ramai yang akan meninggalkan hospital  Kerajaan  kerana
upahan  yang  diperolehi  tidak  tinggi  seperti di hospital
swasta.  Sebab itu Kerajaan mencuba  sistem  separuh  swasta
bagi  rawatan  sakit  jantung.    Dengan cara ini kakitangan
Kerajaan yang berhak masih boleh mendapat rawatan pakar  dan
orang  awam  pula  mendapat rawatan yang tidak begitu tinggi
bayarannya  kerana  Kerajaan  membantu  dengan   menyediakan
kemudahan fizikal.  Pendekatan ini sedang dicuba kerana cara
rawatan   percuma  dahulu  tidak  lagi  dapat  dipikul  oleh
Kerajaan.  Namun bayaran rawatan perubatan dan pembedahan di
negara kita masih lebih  rendah  daripada  di  negara-negara
lain.    Sebab  itu  ramai  warganegara  asing  datang untuk
mendapat rawatan di negara kita.
12.   Perbelanjaan  Kerajaan  dan  tanggungan  rakyat  boleh
dikurangkan  dengan  tindakan pencegahan.  Bagi mengurangkan
insiden penyakit kardiovaskular,  yang  penting  ialah  cara
hidup  yang  sihat.    Sebenarnya  cara hidup yang sihat ini
bukan sahaja akan mengurangkan  kos  perubatan  tetapi  juga
mengurangkan  kos  sara hidup.  Umpamanya satu daripada cara
hidup yang baik ialah tidak merokok.  Sudah tentu  ini  akan
mengurangkan   perbelanjaan   yang  membazir  ini.    Selain
daripada itu ialah mengelakkan makanan yang mempunyai banyak
kolesterol atau garam atau  gula  dan  lain-lain  lagi  yang
memudaratkan.    Jelas  sekali  amalan  pemakanan yang sihat
menjimatkan perbelanjaan.
13.   Mengurangkan  berat   badan   dan   melakukan  senaman
seperti berjalan kaki dan pergerakan anggota lain juga tidak
melibatkan   perbelanjaan.       Sebaliknya   ia    berkesan
mengurangkan  kemungkinan  diserang  sakit jantung.   Memang
benar mereka yang kurus dan ringan dan  tidak  merokok  juga
boleh mendapat sakit jantung.  Ini mungkin kerana ketegangan
hidup  atau  'stress of living'.  Tetapi pada purata, mereka
yang mengamalkan cara hidup yang sihat adalah lebih selamat.
Justeru itu slogan 'Mencegah Lebih  Baik  Daripada  Rawatan'
atau  'Prevention  Is  Better  Than Cure' adalah tepat untuk
penyakit kardiovaskular ini.
14.   The establishment of corporate  health  promotion  and
wellness  programmes  would have value to both the employees
and the employers  and  also  to  the  nation.    A  healthy
workplace  should  be  for  all and not to a group of people
committed   to  their  own  wellness.    It   involves   the
integration  of  the  functions  of  traditionally  separate
departments including occupational health and safety,  human
resource  development, communications, employee benefits and
public relations.   The  concepts  extend  to  managing  the
workforce for wellness by creating a corporate culture based
on  the belief that concern for  the  health  of  individual
employees provides a  competitive  edge in  this   evolving,
complex,  global  market  place of  today and tomorrow,  the
year 2020 and beyond.
15.  Sesungguhnya adalah wajar kita meningkatkan usaha untuk
menjadikan rakyat Malaysia rakyat yang sihat  daripada  segi
jasmaninya,  mentalnya  dan  jantungnya.   Tanggungjawab ini
terletak kepada kita semua.
16.   Dalam    hal   ini  saya  ingin  menggesa  'healthcare
providers'   --     hospital-hospital  awam   dan  swasta --
melaksanakan   program-program   'preventive   health'   dan
'{ommunity extension'.  Para doktor, jururawat dan ahli-ahli
profesional kesihatan lain perlu  memainkan  peranan  cergas
dalam   program-program  'preventive  health'.    Sebahagian
daripada keuntungan yang diperolehi  oleh  hospital-hospital
swasta,  kumpulan  pengamal-pengamal  kesihatan  dan  klinik
hendaklah   diperuntukkan   untuk   program-program  seperti          ini.
Philanthropists  and  corporations  may contribute funds for
preventive health programmes  and  health  research  studies
that would be of direct benefit to the people.
17.   Saya  berasa  bangga  bahawa Yayasan Jantung Malaysia
telah bergerak cergas.  Kegiatan-kegiatannya seperti  Minggu
Jantung,  Pameran  Jantung  Sihat  dan forum perubatan boleh
membantu  meningkatkan  kesedaran   orang   ramai   terhadap
pencegahan  penyakit jantung.   Saya juga difahamkan Yayasan
ini telahpun mewujudkan tabung bagi projek  kajian  penyakit
ini.  Syabas saya ucapkan kepada Yayasan Jantung yang sedang
merancang   memberi    perkhidmatan    perubatan     bantuan
(para-medical)  dan  juga  mewujudkan sebuah Rumah Lindungan
sebagai projek barunya.
18.    Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Minggu
Jantung ke-3 Yayasan Jantung Malaysia.

 
 



 
Google