Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 16/08/93
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA MINDEX
Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan
Rekabentuk dan Rekacipta Malaysia (MINDS) kerana menjemput
saya ke majlis makan malam ini sempena pamerannya yang
kelima, iaitu MINDEX '93. Tahniah kepada MINDS atas daya
usahanya untuk meningkatkan kefahaman dan penggunaan kaedah
sains dan teknologi dengan cara yang paling praktikal.
2. Kita harus sedar bahawa dalam usaha kita ke arah
menjadi sebuah negara maju, adalah penting kita menggalakkan
cara pemikiran yang lebih saintifik dan inovatif. Di
samping itu, kita juga perlu menggalakkan usaha-usaha yang
lebih pragmatik dalam menjadikan amalan sains dan teknologi
sebagai satu pendekatan yang lumrah di kalangan masyarakat
Malaysia.
3. Dalam dua dekad yang lepas, kita telah melihat
bagaimana pemindahan teknologi telah menjadikan negara kita
sebagai salah sebuah negara membangun yang paling maju di
dunia. Daripada sebuah negara yang bergantung kepada
eksport komoditi asli, kini 'manufacturing industries'
merupakan kegiatan ekonomi negara yang penting. Melalui
pemindahan teknologi, kita kini telah menjadi antara negara
pengeksport bahan-bahan komponen dan barang-barang buatan
elektrik yang terkemuka. Kita juga telah berjaya
mengeksport kereta rekaan dan buatan kita ke luar negeri.
4. Kita tentu maklum bahawa pemindahan teknologi
sahaja tidak memadai jika kita ingin menjadikan Wawasan 2020
satu kenyataan. Untuk ini kita perlu tahu bagaimana
memanfaatkan teknologi ini dalam perusahaan milik kita
sendiri. Lebih daripada itu kita perlu tahu bagaimana
menggunakan teknologi yang diperolehi untuk aplikasi yang
baru atau membuat lain-lain inovasi dan `improvement'.
Akhirnya kita akan dapat mencipta teknologi dan rekaan yang
betul-betul tulen atau asli. Apabila kita sampai ke tahap
ini maka kita akan benar-benar menjadi negara maju.
5. Bangsa yang ingin maju perlu mengkaji dan menyoal semua
perkara yang sedang dibuat atau diterima untuk mencari cara-
cara baru yang lebih baik atau bentuk yang lebih sesuai
dengan alam dan pemikiran semasa. Sebab itulah kereta
umpamanya, bertukar rupa dan memiliki kekuatan atau fungsi
mekanikal atau elektronik yang lebih canggih setiap tahun.
Tidak akan ada keadaan yang mana sesuatu barangan sudah
begitu 'perfect' sehingga tidak boleh diperbaiki lagi.
6. Dalam hubungan ini, segala usaha harus digabungkan
untuk terus meningkatkan pembangunan teknologi kita supaya
selaras dengan pembangunan ekonomi yang sedang dilalui
sekarang. Semua kerja Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
tidak seharusnya terhad kepada teknologi tinggi sahaja
tetapi hendaklah lebih menyeluruh, iaitu di semua peringkat
pengeluaran. Inovasi dalam teknologi pengeluaran amat
berkesan dalam semua perusahaan dan perlu diberi perhatian
setiap masa. Di sini pekerja biasa pun boleh memberi
sumbangan.
7. R&D harus dilaksanakan selaras dengan permintaan
pasaran baik dari dalam mahupun luar negeri. Ini akan lebih
menguntungkan kita. Tidak ada gunanya jika sesuatu barangan
atau teknologi itu dihasilkan jika ia gagal memenuhi
keperluan pihak yang perlu menggunakannya. Cara-cara untuk
'commercialise' satu-satu rekacipta hasil daripada R&D
hendaklah dijadikan satu daripada kecekapan pengurusan
supaya ianya tidak menjadi sia-sia atau menjadi satu
'academic exercise' sahaja.
8. Rekabentuk keluaran industri juga perlu diambilkira.
Buat masa ini kita masih lemah dalam bidang ini. Walaupun
Malaysia kini telahpun mengeksport barangan yang telah siap,
tetapi kita belum lagi merekacipta barangan kita yang boleh
dikaitkan dengan identiti diri kita. Di sini kecekapan
membuat prototaip amatlah penting. Prototaip yang tidak
menarik dan dibuat secara kasar akan menghadapi masalah
kurang keyakinan pelabur atau 'financier'. Perbelanjaan
yang mencukupi untuk prototaip yang baik bukanlah satu
pembaziran.
9. Langkah begini adalah perlu bukan untuk pasaran
antarabangsa sahaja tetapi juga untuk pasaran tempatan
kerana rakyat Malaysia kini adalah masyarakat yang lebih
tinggi tahap kesedaran dan pendedahan mereka. Pihak
pengeluar barangan tidak boleh lagi menganggap pengguna
Malaysia sebagai pengguna kelas kedua berbanding dengan
pengguna antarabangsa. Mereka kini turut menuntut barangan
dan perkhidmatan yang bermutu, setanding dengan nilai yang
perlu mereka bayar. Sebenarnya masyarakat Malaysia lebih
kritikal kerana mereka masih menganggap barangan dari luar
negeri sebagai lebih baik daripada barangan tempatan.
10. Dengan ini saya harap semua pihak yang terlibat, baik
syarikat kecil atau syarikat korporat, akan berusaha dengan
bersungguh-sungguh untuk mengambil langkah-langkah yang
lebih menyeluruh ke arah meningkatkan mutu dan nilai
barangan Malaysia. Program-program, baik dari peringkat
konsep hingga ke peringkat pengeluaran ataupun pemasaran,
harus dibuat dengan teliti dan jitu.
11. Masanya sudah lama tiba bagi pengeluar tempatan
menerima piawaian atau 'standard' antarabangsa sebagai
'standard' nasional. Dengan itu kita perlu menganggap
syarat-syarat mutu antarabangsa sebagai cabaran yang mesti
kita atasi dan kita buktikan kepada masyarakat dunia bahawa
Malaysia juga mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar
terbaik antarabangsa.
12. Label 'Made in Malaysia' yang dipasang pada barangan
buatan Malaysia hendaklah menjadi jaminan kepada pengguna
seluruh dunia bahawa barangan itu berkualiti tinggi.
Apabila label 'Made in Malaysia' sudah dapat diterima,
separuh daripada masalah pemasaran sudah diatasi. Justeru
itu, kos yang tinggi di peringkat awal untuk menentukan
barangan Malaysia mempunyai 'standard' yang tinggi
adalah wajar dan menguntungkan. Mereka yang cuba mengeluar
dan mengeksport barangan yang 'sub-standard' sepatutnya
dihalang dan dihukum kerana mereka menjejaskan kredibiliti
barangan lain dari Malaysia. Pencipta dan perekaperlu
sentiasa berwaspada dan menerima ujian yang ketat bagi
segala ciptaan mereka. Apa yang dikehendaki ialah
penerimaan oleh dunia akan semua barangan ciptaan dan
keluaran Malaysia sebagai bermutu dan menepati diskripsi.
13. Mungkin SIRIM, yang setakat ini memainkan peranannya
menentukan mutu pengeluaran barangan tempatan akan terus
mengkaji dan meningkatkan 'standard' yang ditetapkan dan
diberi kuasa ke atas kelayakan barangan untuk eksport.
14. Saya yakin kita mampu melaksanakan apa sahaja yang
dilakukan oleh negara-negara maju. Contohnya, kejayaan kita
di Geneva baru-baru ini. Antara rekacipta yang menang di
pameran antarabangsa itu ialah ciptaan 'smart lamp'.
15. Dalam hubungan ini saya berasa bangga kerana kejayaan
syarikat ini adalah juga menerusi MINDS. Ini menunjukkan
bahawa bukan syarikat-syarikat besar sahaja yang mempunyai
kemudahan penyelidikan yang boleh menghasilkan sesuatu yang
baru tetapi juga syarikat-syarikat kecil.
16. MINDS, sejak 1989, telah membuktikan bahawa Malaysia
mempunyai ramai perekacipta dan perekabentuk. Melalui
Malaysian Invention and Design Society Exhibition (MINDEX),
Malaysia telah berjaya menonjol beberapa bakat yang mampu
menunjukkan daya kreatif dan kemampuan ahli-ahlinya.
17. Daya kreatif seseorang itu sebenarnya tiada batasnya.
Ia tiada batasan agama, bangsa atau budaya. Sesiapa sahaja
boleh menjadi seorang perekacipta dan perekabentuk. Semoga
MINDEX akan dapat terus mencungkil bakat-bakat yang
terpendam.
18. Saya berharap perekacipta-perekacipta perseorangan akan
mengambil inisiatif untuk memahami undang-undang yang
melindungi rekacipta atau rekabentuk yang mereka hasilkan.
Mereka harus berwaspada supaya keuntungan yang mereka dapati
daripada ciptaan mereka tidak dikaut oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab. Di samping itu mereka juga harus ingat
bahawa tanpa kecekapan 'commercialisation' dan teknologi
pengeluaran, ciptaan mereka tidak akan mendatangkan apa-apa
hasil. Justeru itu, mereka harus sanggup berkongsi
pendapatan daripada rekaan mereka.
19. Malaysia mempunyai undang-undang 'patent' dan
'copyright' tersendiri. Mereka yang terlibat dalam
rekacipta dan rekabentuk perlulah mengambil berat terhadap
setiap perkembangan terbaru tentang 'patent' dan
'copyright'.
20. Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi daya
usaha dan pengeluaran rakyat Malaysia. Bagi mereka yang
terlibat dalam bidang rekacipta dan rekabentuk, Kerajaan
menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar
telahpun melancarkan Yayasan Rekacipta.
21. Peruntukan kewangan memang disediakan oleh Kerajaan.
Tetapi saya harap sektor swasta juga akan turut memainkan
peranan mereka dalam menyumbang kepada yayasan ini.
22. Adalah juga diharapkan bahawa sektor swasta akan
memainkan peranan yang lebih aktif dalam perkembangan sains
dan teknologi serta penyelidikan. Kita perlu mewujudkan
masyarakat yang lebih prihatin kepada bidang yang penting
dalam pembangunan teknologi dan ekonomi negara ini.
23. Saya berharap lebih ramai lagi, baik individu
mahupun badan korporat, dapat memberi sokongan di masa-masa
akan datang dalam usaha murni ini. Saya yakin dan percaya
kita akan terus bersatu dalam usaha kita untuk memajukan
Malaysia. Insya-Allah satu hari nanti, kita akan melahirkan
satu generasi yang mempunyai daya cipta dan daya inovasi
yang tinggi dan akan menolong mengukir nama Malaysia di
kalangan masyarakat antarabangsa.
|