Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 23/08/93
Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH ESSO
UNTUK NEGARA SEMPENA MAJLIS PENUTUP
PERAYAAN 100 TAHUN ESSO DI MALAYSIA
Saya mengucapkan terima kasih kepada ESSO kerana menjemput
saya ke Majlis Penyampaian Hadiah ESSO Untuk Negara dan
seterusnya merasmikan Majlis Penutup Perayaan 100 Tahun ESSO
pada hari ini.
2. Tahniah juga kepada ESSO Malaysia kerana Hari Jadinya
Yang Ke-100. Semoga ESSO akan kekal beroperasi di negara
ini. Sepanjang 100 tahun yang lalu, ESSO bukan sahaja telah
menyumbang terhadap pembangunan industri petroleum dan gas
di negara ini tetapi juga terhadap pembangunan negara.
Kerajaan menghargai sumbangan ESSO dan berharap ia akan
berterusan.
3. Saya difahamkan ESSO mula beroperasi di negara ini
dengan menjual minyak tanah atau `kerosene' di Pulau Pinang
pada tahun 1893. Bermula dengan perniagaan secara kecil-
kecilan ini, ESSO telah berkembang pesat untuk menjadi
pengeluar minyak mentah yang terbesar di Malaysia pada hari
ini. Saya berasa gembira bahawa ESSO telah melabur sebanyak
RM16 billion di negara ini setakat ini satu jumlah yang
besar mengikut sebarang 'standard'.
4. Malaysia memang menggalakkan pelaburan asing ke negara
ini. Dalam usaha ini, kita telah menyediakan pelbagai
insentif dan kemudahan infrastruktur. Kita juga sering
menambah serta mempertingkatkan kemudahan-kemudahan
infrastruktur ini bagi menampung pelaburan baru. Usaha ini
telah mendatangkan kejayaan dan ini terbukti dengan adanya
berbagai-bagai jenis industri, termasuk industri berat dan
canggih di ne gara ini.
5. Di samping mengekalkan kestabilan politik negara,
Kerajaan akan terus menyediakan kemudahan-kemudahan bagi
menampung keperluan pelaburan. Bagi Malaysia, pelaburan
merupakan nadi pembangunan dan kemajuan negara. Di zaman
teknologi tinggi dan canggih ini, mana-mana negara yang
enggan atau lewat memperolehinya akan tertinggal dan tidak
dapat dibangunkan. Malaysia tidak mahu ketinggalan. Justeru
itu, kita harus memasuki industri-industri yang berteknologi
tinggi dan canggih ini.
6. Bagi Malaysia pelabur asing dianggap rakan pembangunan
atau 'partners in development'. Sungguhpun para pelabur
melabur kerana ingin membuat keuntungan, hakikatnya ialah
melalui pelaburan mereka menyumbang kepada pembangunan
negara. Apabila mereka berjaya dan membuat keuntungan,
Kerajaan turut mendapat faedah melalui hasil cukai. Di
samping itu, pada hari ini banyak syarikat asing yang turut
menyumbang kepada masyarakat setempat melalui program-
program kemasyarakatannya atau 'community development
programmes'. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab
korporat mereka. Dengan adanya pelaburan, peluang-peluang
pekerjaan bagi rakyat di negara ini diwujudkan dan ini
menolong mengatasi masalah pengangguran. Dalam erti kata
yang lain, pelaburan dari luar negara menolong proses
membasmi kemiskinan dan membangunkan negara.
7. Kini, dalam usaha negara menuju ke arah pembangunan
perindustrian yang lebih pesat, Kerajaan mengalu-alukan
penubuhan industri-industri berteknologi tinggi yang akan
mendedahkan rakyat Malaysia kepada kepakaran serta
teknologi-teknologi baru. Dalam hal ini, Malaysia berharap
negara-negara maju yang melabur di negara ini akan berusaha
memindahkan teknologi tinggi mereka ke negara ini. Dalam
dunia yang saling bergantung antara satu sama lain,
membantu mempercepatkan kemajuan sesebuah negara akan
membawa manfaat kepada semua yang terlibat. Ini adalah
kerana apabila sesebuah negara itu menjadi maju, negara
pelabur boleh menjual lebih banyak barangan kepada negara
tersebut.
8. Sepertimana yang saya nyatakan tadi, pelabur-pelabur
asing adalah rakan pembangunan kita. Adalah diharapkan
bahawa falsafah ini akan diterima baik oleh syarikat-
syarikat asing, terutamanya syarikat multinasional di negara
ini. Usaha yang dijalankan oleh ESSO patut dicontohi oleh
syarikat-syarikat multinasional yang lain.
9. Saya mengalu-alukan langkah ESSO menyumbang sebanyak
RM1.0 juta kepada Perpustakaan Negara. Ini adalah selaras
dengan objektif Kerajaan supaya terdapat kerjasama yang erat
antara pihak swasta dan kerajaan seperti yang terjalin dalam
konsep Persyarikatan Malaysia. Sumbangan ESSO ini membawa
erti yang besar kepada generasi muda negara ini kerana
pendidikan dan pengetahuan adalah perkara yang ditekankan
oleh Kerajaan. Negara memerlukan penduduk yang berupaya
mengendalikan teknologi tinggi, berpengetahuan luas,
berdisiplin, beramanah serta berhemah tinggi untuk
menghadapi cabaran masa depan. Dalam hal ini, generasi
muda kita merupakan antara sumber yang terpenting bagi
membawa negara ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang
berdasarkan cita-cita dan hasrat yang dicerminkan dalam
Wawasan 2020.
10. Walau bagaimanapun, dalam mengejar pengetahuan dan
teknologi tinggi, kita tidak boleh membelakangkan nilai-
nilai murni kita. Kemajuan yang kita idamkan di bawah
wawasan 2020 adalah pembangunan yang seimbang antara
materialisme dan kerohanian. Memanglah wajar kanak-kanak
didedahkan kepada pendidikan moral daripada kecil lagi
supaya mereka menjadi warganegara yang bukan sahaja
berwibawa dalam segala aspek tetapi juga bermoral tinggi.
Dalam kata lain, komponen moral dan etika mestilah menjadi
sebahagian yang penting dalam usaha mengejar pengetahuan dan
kemahiran.
11. Di sini saya ingin menyarankan supaya perpustakaan-
perpustakaan, di samping menyediakan pusat pembelajaran yang
berteknologi tinggi, menyediakan lebih banyak bahan
pendidikan moral dalam pelbagai corak, sama ada buku, cakera
padat ataupun perisian komputer supaya kanak-kanak kita
dapat didedahkan kepadanya dan menjadi rakyat dewasa yang
bermoral tinggi. Hanya moral yang tinggi sahaja yang boleh
menjamin segala nikmat dan kemajuan akan berkekalan.
12. Kanak-kanak yang menggunakan pusat sumber hipermedia
ini boleh merujuk kepada bahan-bahan rujukan ini di samping
memperolehi maklumat yang lain. Saya difahamkan bahawa pusat
hipermedia teknologi tinggi tajaan ESSO ini adalah satu
pusat pembelajaran yang berlainan daripada yang lain. Kanak-
kanak yang menggunakan pusat ini akan didedahkan kepada
pelbagai media maklumat. Mereka akan menemui dunia komputer
melalui pendekatan membuat sambil mempelajari atau `hands-on
experimentation' dan berinteraksi dengan teknologi terkini.
Saya yakin pusat-pusat seperti ini boleh menguji kebolehan
serta mencabar keupayaan kanak-kanak dan menyediakan mereka
untuk menghadapi cabaran zaman teknologi tinggi dan
canggih.
13. Saya berharap pusat sumber hipermedia ini dapat
diperluaskan ke perpustakaan-perpustakaan lain bagi
mendedahkan kanak-kanak di luar Kuala Lumpur pada kaedah
baru ini.
14. Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada ESSO atas
sumbangan ini dan berharap ia akan terus bekerjasama dengan
Kerajaan untuk pembangunan negara dan juga rakyat Malaysia.
Semoga ESSO akan terus mencapai kejayaan yang lebih
cemerlang dinegara ini pada abad-abad yang akan datang.
15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis
Penutup Perayaan 100 Tahun ESSO.
|