Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUBLIC BANK, JALAN SULTAN SULAIMAN
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 23/08/93
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN TAMAN WAWASAN
PUBLIC BANK
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Public Bank kerana
usahanya membentuk sebuah taman yang diberi nama Taman
Wawasan Public Bank. Usaha ini adalah satu contoh kerjasama
yang erat di antara Kerajaan dan pihak swasta dalam
mengindahkan bandar dan negara. Sesungguhnya usaha ini harus
digalakkan dan dicontohi oleh badan-badan korporat dan
institusi-institusi swasta yang lain.
2. Sebagaimana yang kita maklum, Malaysia adalah komited
ke arah mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.
Sebahagian besar cita-cita ini melibatkan pembangunan dan
perindustrian yang pesat. Dalam ertikata yang lain untuk
melaksanakan Wawasan 2020 ini, kita harus melahirkan
masyarakat perindustrian yang serba cekap yang dapat
memenuhi keperluan tempatan dan permintaan dari luar negeri.
Bila ini berlaku, kita tidak dapat lari daripada tekanan
nilai hidup yang komersil yang menitikberatkan keuntungan
semata-mata. Namun demikian, kita tidak seharusnya
mengenepikan nilai-nilai yang lain yang sama penting dalam
proses kemajuan ke arah sebuah negara sihat dan bersatu.
3. Pencapaian kemajuan dan kejayaan yang hanya
berlandaskan kepada satu nilai khusus akan mewujudkan
ketidakseimbangan kepada perkembangan rohani dan jasmani
masyarakat. Ini adalah tidak sihat.
4. Dalam hal ini, marilah kita mengkaji dan meneliti
pengalaman negara-negara Barat yang telah lebih dahulu maju
daripada kita. Negara-negara Barat ini yang menumpukan
perhatian sepenuhnya kepada kebendaan dan keuntungan serta
mengenepikan nilai-nilai lain kini mengalami banyak masalah
sosial. Bandaraya-bandaraya mereka sekarang sudah mengalami
`decay' dengan jalan berlopak-lopak, sampah-sarap di merata
tempat dan taman-taman tidak dipelihara dan amat berbahaya
bagi pelawat.
5. Warga bandaraya tidak lagi mempunyai `civic pride'.
Justeru itu mereka mengotorkan keadaan di sekeliling. Tidak
ada siapa yang sanggup mencantikkan bandar dengan apa-apa
hiasan kerana segala hiasan tidak dihargai oleh wargakota
dan akan diconteng dan dirosakkan. Akhirnya bandar menjadi
muram dan suasana ini menjadikan kehidupan wargakota lebih
tidak selesa. Suasana ini juga tidak menggalakkan usaha ke
arah kejayaan baik dalam perniagaan atau bidang seni dan
budaya.
6. Itulah sebabnya dalam sembilan cabaran yang diutarakan
dalam Wawasan 2020 diterapkan nilai moral, etika dan nilai
kasih sayang sebagai prasyarat penting untuk menjadi negara
yang maju dalam serba sudut. Nilai-nilai ini akan membentuk
masyarakat Malaysia yang seimbang selaras dengan Wawasan
2020. Ia akan membawa kita kepada pembangunan dan kemajuan
tanpa sebarang kerugian atau pengabaian daripada aspek-
aspek sosialnya.
7. Nilai moral dan etika umpamanya akan memberi landasan
rohaniah yang kukuh dalam usaha kita memburu kemajuan. Ia
akan membentuk masyarakat yang ada 'social conscience'
dengan kefahaman yang jelas mengenai kebaikan dan penting-
nya sikap-sikap liberal, toleran dan keadilan sosial dalam
masyarakat majmuk.
8. Nilai ekonomi mesti dibantu dan diperlengkapkan dengan
nilai estetik atau keindahan. Petunjuk-petunjuk
kesempurnaan sesebuah organisasi itu tidak seharusnya
dicerminkan oleh nilai wang, keuntungan ataupun kejayaan
kebendaan semata-mata. Ianya mestilah diseimbangkan dengan
nilai-nilai lain seperti cinta pada keindahan, seni, budaya
dan kecemerlangan sukan.
9. Setelah diperhitungkan kesemuanya, maka imej
keseluruhan dan rangkaian nilai bersama yang jitu dan
saling berkaitanlah yang menandakan kejayaan bagi sesebuah
organisasi atau masyarakat.
10. Sumbangan Taman Wawasan ini mempunyai dua aspek
penting. Pertama, ia membantu program pengindahan bandaraya
Kuala Lumpur. Kerajaan sememangnya berazam menjadikan Kuala
Lumpur sebuah bandaraya taman untuk dinikmati dan dihayati
oleh para pelancong dan juga penduduknya. Kita memerlukan
taman-taman yang dicipta dengan baik bagi masyarakat
menikmati keindahan, melapangkan fikiran dan memberangsang-
kan pembangunan. Di samping itu, tempat-tempat riadah
begini akan juga memberi peluang untuk masyarakat berbilang
kaum berinteraksi dan mengukuhkan lagi perpaduan kita. Pada
masa ini kawasan-kawasan lapang di Kuala Lumpur hanya
berjumlah 667 hektar. Ini sahaja yang ada yang boleh
dijadikan tempat-tempat riadah. Oleh sebab kawasan
seumpama ini terhad, ia memerlukan perancangan yang baik
dan teliti. Menjelang tahun 2020 adalah dianggarkan 70
peratus daripada penduduk Malaysia akan tinggal di bandar-
bandar. Sudah tentu mereka memerlukan taman-taman seperti
Taman Wawasan ini bagi menenangkan fikiran dan untuk
memupuk hubungan masyarakat dan komunikasi serta kegiatan
rekreasi lain.
11. Di samping itu, taman-taman seperti ini juga dapat
menolong memupuk masyarakat yang berjiwa indah. Masyarakat
yang berjiwa indah akan dapat menghayati nilai-nilai etika
yang mulia, dan membentuk tamadun yang tinggi. Marilah kita
menjadikan tamadun kita sesuatu yang dihormati dan terpuji.
12. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Taman
Wawasan Public Bank ini.
|