Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TAPAK UNIVERSITI ISLAM
ANTARABANGSA, GOMBAK
Tarikh/Date : 24/08/93
Tajuk/Title : MAJLIS MELETAKKAN BATU ASAS KAMPUS
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA
DI GOMBAK
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana menjemput saya untuk
melakukan upacara rasmi meletakkan batu asas kampus barunya
di Gombak pada hari ini.
2. Majlis ini sungguh bermakna sekali kerana UIA merupakan
salah satu sumber kebanggaan rakyat di negara ini. Dengan
adanya kampus baru ini, saya yakin imej UIA di kalangan
masyarakat Islam antarabangsa akan dipertingkatkan lagi.
Setelah 10 tahun ditubuhkan dan ditempatkan sementara di
Petaling Jaya, sudah sampai masanya UIA mempunyai kampusnya
sendiri selaras dengan tarafnya sebagai universiti Islam
antarabangsa.
3. Dalam beberapa aspek, UIA mempunyai keunikan. UIA tidak
merupakan badan berkanun atau 'public authority' sepertimana
universiti-universiti tempatan yang lain dan oleh itu ianya
lebih bebas daripada segi pentadbiran dan pengurusan. UIA
adalah satu institusi perintis 'seeking to promote the
Islamic concept of unified education, providing alternative
to the modern secular education that separates the physical
realities from the spiritual'. Saya berasa amat sukacita
bahawa UIA telah berkembang dengan jayanya dan kini telah
mendapat pengiktirafan antarabangsa. Daripada dua buah
fakulti dengan seramai 159 orang pelajar sewaktu ianya
ditubuhkan 10 tahun lalu, bilangan fakultinya telah
meningkat kepada empat dengan bilangan pelajar seramai 7,513
orang. Perkembangan pesat ini telah mendorong Kerajaan untuk
membangunkan kampus baru ini di Gombak dan satu lagi di
Kuantan.
4. Selain daripada mempunyai otonomi dalam aspek
pentadbiran dan pengurusan, UIA mempunyai sumber kekuatan
daripada segi pelajar dan tenaga akademik yang berbilang
bangsa, kebudayaan, latar belakang, ideologi, pengalaman dan
disiplin. Kepelbagaian ini merupakan satu aset dan sumber
kekuatan yang harus dimanfaatkan ke tahap yang optima bagi
menyumbang kepada keperluan negara dan cabaran-cabaran
antarabangsa. Sesebuah universiti itu seharusnya berupaya
mengenalpasti peluang-peluang yang baik di samping
mengetahui kekuatan dan kelemahannya. Inilah asas penting
bagi membina institusi yang boleh dianggap cemerlang. Dalam
konteks ini, soal yang harus dibangkitkan ialah sejauh
manakah UIA telah dapat menampilkan dirinya sebagai
institusi Islam yang unggul dan dicontohi di rantau ini atau
menjadi pilihan bagi pelajar dan tenaga akademik?
5. Kerajaan telah menjelaskan strategi-strategi ekonominya
dan membayangkan harapannya berhubung dengan peranan
pendidikan tinggi dalam rancangan-rancangan lima tahun,
Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua dan beberapa kenyataan
dan perakuan yang terkandung atau dilahirkan dalam Wawasan
2020. Adalah di harapkan UIA akan berjaya mencapai
pembangunan yang selaras dengan cita-cita Kerajaan.
6. Saya dimaklumkan bahawa universiti-universiti
menjalankan berbagai-bagai program di peringkat pra-
siswazah, pasca-siswazah serta diploma dan sijil. Akhir-
akhir ini, dan selaras dengan arus perkembangan, universiti
juga menjalankan program-program pendidikan berterusan
(continuing education). Dalam konteks persekitaran `global'
yang sentiasa berubah, pembangunan sains dan teknologi, dan
kemajuan komunikasi dan teknologi maklumat,universiti perlu
menawarkan program-program yang 'market driven', peka kepada
perubahan persekitaran dan relevan dengan keperluan
masyarakat daripada mana penuntut itu datang. Pada asasnya
kita dapati di negara ini, badan-badan profesional, industri
dan majikan sering melahirkan rasa tidak puas hati terhadap
program serta kualiti pelajar yang dikeluarkan oleh
universiti-universiti tempatan. Oleh itu universiti-
universiti tempatan harus berupaya untuk menyesuaikan diri
mereka dengan keperluan pasaran dan membuatkan program-
program mereka lebih relevan dan berguna kepada masyarakat.
7. Terdapat beberapa faktor dalaman dan luaran yang
menyokong serta menampilkan peluang untuk membangunkan
Malaysia sebagai pusat antarabangsa bagi pendidikan tinggi.
Tumpuan perkembangan ekonomi dunia kini telah beralih kepada
Kawasan Pasifik. Pertumbuhan ekonomi, khususnya di kalangan
'Newly Industrialised Countries' (NIC) telah merangsangkan
persaingan yang begitu hebat dan setiap negara sedar bahawa
untuk bersaing mereka perlu meningkatkan pelaburan dalam
pembangunan sumber manusia.
8. Kini terdapat seramai 75,000 pelajar ASEAN menuntut di
luar negara bagi tahun 1988. Lebih kurang 85 peratus
daripada pelajar-pelajar ASEAN tertumpu di tujuh buah
negara, iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia,
Jerman, Kanada, Jepun dan Perancis. Tetapi perubahan dasar
berhubung dengan yuran, iaitu pengenalan yuran penuh bagi
pelajar asing di negara-negara tertentu dan faktor kadar
pertukaran wang asing telah memaksa Kerajaan-Kerajaan dan
ibubapa untuk memikirkan negara alternatif yang sesuai.
Malaysia juga memainkan peranan yang aktif di forum-forum
antarabangsa dan serantau seperti Kerjasama Selatan-Selatan
G-15, Pertubuhan Negara-negara Islam dan ASEAN dan Kerajaan
telah mengemukakan cadangan untuk meningkatkan kerjasama
dalam bidang pendidikan dan latihan serta kesediaan untuk
membuka peluang-peluang dan kemudahan berkaitan di negara
ini. Di sini timbullah peluang bagi negara ini mengaturkan
strategi-strategi dan tindakan-tindakan untuk menarik
sebahagian daripada pasaran pelajar ini dan menyumbangkan
'reverse flow' pelajar ASEAN.
9. Usaha untuk menarik pelajar-pelajar asing dan selaras
dengan arus 'internationalisation of higher education'
memerlukan institusi-institusi tempatan memberi tumpuan
kepada isu-isu yang lebih luas. Antaranya ialah
pengubahsuaian yang perlu dilakukan kepada kandungan
program, kaedah pengajaran dan sistem pemindahan kredit,
kaunseling dan sokongan sosial dan bahasa pengantaraan di
peringkat fakulti, institusi dan di peringkat sistem
pendidikan tinggi itu sendiri bagi memudahkan penerimaan
pelajar-pelajar asing. Apakah profil dan sistem pembangunan
staf, organisasi serta pembiayaan penyelidikan yang sedia
ada tidak perlu diubahsuai untuk menghadapi cabaran yang
berbangkit daripada 'internationalisation of higher
education'?
10. Ada pandangan bahawa universiti menyesuaikan diri atau
'adapt' terlalu perlahan dengan perubahan-perubahan dunia di
sekeliling mereka. Adalah dikhuatiri sekiranya universiti-
universiti tempatan dan institusi pendidikan yang lain masih
mengekalkan acuan atau 'mould' dan pemikiran tahun lima
puluhan untuk menangani masalah dan menghadapi cabaran-
cabaran semasa dan tahun-tahun menjelang 2020, maka peluang
untuk membangunkan negara sebagai pusat pendidikan tinggi
antarabangsa akan terlepas begitu sahaja. Justeru itu,
negara memerlukan model institusi yang lebih dinamik dan
dan responsif.
11. Sebagai universiti Islam adalah wajar UIA memperjuang
dan meningkatkan imej Islam yang begitu rendah kedudukannya
dalam pandangan dunia amnya dan memperbetulkan andaian dan
pengetahuan cetek mengenai agama, masyarakat dan ekonomi
Islam. Potensi untuk UIA ditampilkan sebagai pusat
pendidikan tinggi antarabangsa adalah begitu luas sekali
jika dibandingkan dengan universiti-universiti tempatan yang
lain. Ini adalah kerana berberapa ciri keistimewaan dan
kekuatan yang ada pada UIA.
12. Di samping itu UIA juga perlu berusaha bersungguh-
sungguh untuk mengukir kecemerlangan dalam bidang-bidang
tertentu supaya ia mendapat pengiktirafan yang lebih meluas
daripada akademik dan masyarakat antarabangsa. Matlamat UIA
hendaklah untuk menjadi institusi pelajaran tinggi yang
diiktiraf dan dihormati bukan sahaja oleh dunia Islam tetapi
dunia pelajaran tinggi amnya.
13. Dengan harapan ini saya dengan lafaz
Bismillahirrahmanir rahim merasmikan upacara meletakkan batu
asas kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di
Gombak.
|